ABD JALIL
ALI
Sinar Harian 19 September 2013
HARAP
maklum keliling kita ramai sangat perompak. Orang yang sepatutnya baik pun
boleh menjadi penjenayah. Nampak macam mudah sangat untuk menyamun dan menjadi
mewah.
Dua hari lalu bekas seorang pegawai kanan sebuah kementerian disoal siasat oleh
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pegawai tersebut dikatakan
memiliki lebih 10 buah kenderaan mewah, tidak munasabah dengan gajinya sebagai
pegawai di sebuah kementerian.
Seperti yang dijelaskan oleh Pengarah Penyiasatan SPRM, Datuk Mustafa Ali,
antara kereta yang dimiliki pegawai tersebut ialah Toyota Alphard, Toyota
Vellfire, Toyota Camry, Volkswagen Golf GTI.
Pegawai berkenaan bertanggungjawab kendali sebuah dana khas yang ditubuhkan
kerajaan untuk membantu rakyat termiskin. Ada
kebimbangan sebahagian peruntukan dari dana tersebut telah diselewengkan
untuk membeli kenderaan milik peribadi. Samseng moden!
Bercakap mengenai samseng, tabik saya pada polis yang berjaya menakutkan
kumpulan kongsi gelap menerusi Ops Cantas. Sehingga kelmarin, genap sebulan
sejak dilancarkan, operasi tersebut berjaya menahan lebih 8,000 orang di
seluruh negara, sebahagian besarnya samseng.
Ketua Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Bukit Aman, SAC Datuk
Jalil Hassan berkata, turut dirampas dalam operasi tersebut setakat ini ialah
283 senjata termasuk 23 senapang, 12 senapang angin, 1,232 peluru hidup, 25
pedang, 89 pisau, 83 parang, 16 batang besi dan sebutir bom tangan.
Jumlah yang ditahan ialah Melayu (3,620), India (2,425), Cina (1,052) dan
lain-lain (1,352). Angka-angka ini bagaimana pun masih amat sedikit berbanding
jumlah sebenar anggota kongsi gelap di seluruh negara kira-kira 40,000 orang.
Seperti yang didedahkan baru-baru ini ada 49 kongsi gelap di seluruh negara,
dengan tiga daripadanya - Geng 36, Geng 04 dan Geng 08 – dikesan sebagai paling
berbahaya. Geng-geng ini terlibat dalam pelbagai jenayah termasuk pengedaran
dadah, peras ugut, pelacuran dan pergaduhan, pembunuhan.
Menurut rekod polis, perincian mengenai kumpulan-kumpulan kongsi gelap adalah
seperti berikut:
G08 aktif di Kuala Lumpur ,
Selangor, Pulau Pinang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. G38 di
Kepong, Jinjang dan Setapak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan di Johor
Baharu, G30 aktif di seluruh Semenanjung, G24 di Kuala Lumpur,
Pulau Pinang, Perak dan Johor.
Pendek kata di keliling kita ada sekian banyak nombor yang dikaitkan dengan
kegiatan jenayah. Terasa sangat kita hidup dalam bahaya. Setiap hari,
sana-sini, ada sahaja pistol meletup, dan nyawa melayang kerananya.
Harap-harap Ops Cantas diteruskan sehingga kongsi gelap betul-betul diperangi
sepanjang masa. Gerakan ini kena diteruskan, bukan
bermusim, dan tidak hangat-hangat tahi ayam. Jangan beri muka langsung kepada
samseng.
Bercakap mengenai angka-angka dan nombor-nombor pengenalan kumpulan kongsi
gelap, saya pulang ke Muar hujung minggu baru lalu, dan segera terpengaruh
dengan kumpulan 24. Seperti yang diketahui umum ini adalah antara kumpulan yang
menjadi sebutan dari dulu hingga sekarang, tidak kira dalam kalangan anak muda,
mahu pun orang tua.
Saya diberitahu, di negeri Johor, khasnya di Muar, ada beberapa kumpulan lain
yang selalu menjadi perhatian, termasuk 02, 88, dan 101. Polis sendiri pun
telah lama memerhatikan kumpulan-kumpulan ini, tetapi sampai sekarang kumpulan
tersebut tidak pernah diganggu.
Dengan fakta yang amat meyakinkan, dan jaminan tidak akan diganggu gugat oleh
mana-mana pihak, termasuk oleh Ketua Polis Daerah, saya tidak berfikir panjang
dan petang hujung minggu itu memilih kumpulan 24, walaupun sejak awal saya tahu
risikonya. Kata orang berani buat berani tanggung.
Seperti saya jangka, kesan kumpulan 24
memang terasa sekarang. Doktor mengesahkan kadar gula saya meningkat mendadak. Untuk
keselamatan doktor memberi amaran supaya saya segera meninggalkan kumpulan
tersebut, atau jika tidak mautlah jawapannya.
Jangan salah sangka, nombor-nombor di Muar
yang saya sebutkan itu bukan Geng atau ‘G’, tetapi D24, D02, D88, D101, iaitu
angka-angka untuk baka durian. Bukan semua angka merujuk kepada
kongsi gelap!
No comments:
Post a Comment