Denmark sekali lagi mengekalkan takhta sebagai negara paling bahagia di dunia berdasarkan laporan tahunan kedua yang dikeluarkan oleh UN Sustainable Development Solutions Network, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam Laporan Kebahagiaan Dunia 2013 (World Happpiness Report 2013).
Tahap kegembiraan sesebuah negara
dinilai berdasarkan enam elemen penting iaitu kesihatan jangka hayat (health life expectancy),
persepsi terhadap rasuah (perceptions of corruption), KDNK per kapita (GDP per capita),
kebebasan untuk membuat pilihan hidup (freedom to make life choices), sokongan
sosial (social
support) dan juga and kemurahan hati (generosity). Laporan yang
dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di Earth Institute di
University of Columbia itu
mengklasifikasikan tahap kebahagiaan pada skala 1 hingga 10. Denmark mendapat
7.693 mata manakala Malaysia pula berada di tangga ke-56 dengan 5.760 mata dari
keseluruhan 156 negara yang tersenarai.
Apa yang menarik, kelima-lima negara
yang mengungguli carta negara paling gembira atau bahagia di dunia adalah
negara yang terletak di utara eropah iaitu Denmark (1), Norway (2), Switzerland
(3), Netherlands (4) dan juga Sweden (5). Jadi, apakah punca sebenar
rakyat di negara tersebut gembira dan bahagia? Adakah faktor cuaca dan lokasi
sesebuah negara?
Daripada pemerhatian dan pengamatan penulis yang berada di bumi Denmark selama
hampir tiga tahun, terdapat banyak faktor yang mendorong Denmark menjadi negara
paling gembira di dunia. Apa yang pasti ia bukan disebabkan faktor cuaca kerana
negara di skandinavia mengalami musim sejuk yang panjang. Mana mungkin,
seseorang itu boleh menjadi lebih gembira sekiranya sentiasa dibelenggu cuaca
yang sejuk dan dingin sepanjang tahun. Jadi apakah faktor sebenar yang
melayakkan Denmark digelar sebagai negara paling bahagia?
Kebajikan
rakyat terjaga
Denmark sememangnya cukup dikenali
sebagai model contoh sebuah negara kebajikan. Semua warganegara mempunyai hak
yang sama dalam aspek keselamatan sosial dan beberapa perkhidmatan disediakan
untuk rakyat secara percuma. Contohnya kemudahan kesihatan. Di Denmark, setiap
individu bebas memilik klinik panel dan doktor keluarga masing-masing. Ini
termasuk semua penduduk sama ada berstatus penduduk tetap ataupun sementara.
Semua diberikan insurans kesihatan bagi menjamin kebajikan orang yang menetap
di Denmark terjaga.
Tidak keterlaluan dinyatakan bahawa
negara ini turut menitikberatkan kebajikan haiwan peliharaan. Penulis sendiri
pernah melalui pengalaman yang merumitkan walau sekadar ingin memelihara ikan kecil
di dalam rumah. Ini adalah kerana untuk memelihara ikan, sampel air di rumah
perlu dihantar untuk dianalisis dan perlu membeli akuarium yang mempunyai saiz
tertentu serta lengkap dengan peralatan khas termasukkan sistem pengaliran
udara dan juga penapisan air. Pendek kata, jika tuntutan tersebut tidak dapat
dipenuhi maka ikan tidak akan dijual. Semua langkah ini dijalankan bagi
memastikan kebajikan ikan yang bakal dipelihara terjaga.
Pendidikan
percuma
Dalam sistem kebajikan Denmark,
pendidikan juga adalah percuma dari sekolah rendah hingga universiti. Kadar
literasi di Denmark antara yang tertinggi di dunia iaitu 99%. Pendidikan
awal kanak-kanak lebih tertumpu sebagai tempat membina kemahiran berdikari dan
bersosial serta menyuburkan nilai murni dan jati diri. Pelajar sekolah tidak
terbeban dengan timbunan kerja sekolah yang perlu dilangsaikan setiap hari.
Sekali seminggu, guru akan membawa kanak-kanak kecil melawat zoo, muzium, taman
rekreasi dan tasik dengan hanya menaiki pengangkutan awam seperti bas dan juga
keretapi tanpa perlu menempah bas sekolah atau van. Mudah dan senang bukan?
Semua mahasiswa di universiti tidak
perlu membayar yuran pengajian bagi institusi pengajian tinggi awam dan juga
hampir semua institusi pengajian tinggi swasta. Malahan semuanya ditawarkan
bantuan kewangan bulanan yang dikenali sebagai Statens Uddannelsesstøtte
(The State's
Educational Support). Institusi pendidikan di Denmark mempunyai
tahap yang tinggi dan menggabungkan pendekatan pembelajaran yang inovatif bagi
menghasilkan pelajar yang berperananan aktif dalam masyarakat berasaskan
pengetahuan global. Apa yang menarik, institusi pendidikan turut mendapat
manfaat daripada kerjasama yang erat dengan pihak industri dan institusi
penyelidikan lain bagi memperkayakan suasana pembelajaran yang efektif untuk
pelajar.
Kerja
sedikit, gaji banyak
Organisation for Economic
Co-operation and Development (OECD) pada tahun lalu melaporkan pekerja di
Denmark mempunyai purata tempoh waktu kerja yang kedua terendah selepas
Netherlands iaitu hanya 33 jam seminggu. Semua pekerja turut memperolehi
sekurang-kurangnya lima minggu cuti bergaji untuk bercuti di musim panas. Tidak
dinafikan pekerja di Denmark juga turut selesa menikmati gaji bulanan yang
tinggi. Misalnya gaji minimum yang disyaratkan oleh kerajaan Denmark adalah 115
danish kroner iaitu kira-kira RM66 sejam.
Bagaimanapun, pekerja dikenakan cukai
yang cukup tinggi. Purata cukai yang dikenakan adalah dari 38-55% bergantung
kepada jumlah pendapatan tahunan. Malah, potongan cukai boleh mencapai sehingga
68%. Walaupun cukai yang dikenakan tinggi, warga tempatan seolah reda kerana
mereka sama-sama dapat menikmati kemudahan dan prasana kelas pertama yang
disediakan kerajaan. Misalnya, jaringan pengangkutan awam yang efisen serta
pilihan perkhidmatan internet dan telekomunikasi yang baik.
Selain itu, undang-undang buruh
negara Denmark mengamalkan konsep 'flexicurity' iaitu gabungan unik di antara
fleksibiliti (flexibility) dan juga keselamatan ataupun jaminan (security).
Konsep unik ini membolehkan majikan bebas melantik atau memecat pekerja.
Bagaimanapun, sekiranya dipecat, pekerja tersebut akan dilindungi kerajaan yang
mana penganggur berhak mendapat gaji minimum yang membolehkannya menyara hidup
sehingga mendapat kerja yang baru dalam tempoh dua tahun.
Pekerja juga mempunyai waktu kerja
yang fleksibel. Kebanyakan majikan membenarkan pekerja memilih waktu masuk
kerja. Apa yang penting kerja yang ditugaskan diselesaikan dalam tempoh waktu
kerja yang ditetapkan. Lebih menarik, ibu yang melahirkan anak boleh mendapat
cuti bersalin dengan gaji penuh sehingga setahun. Manakala si bapa pula boleh mendapat cuti bergaji jika pasangan bersalin
hingga tiga bulan. Menarik bukan?
Persekitaran
sihat dan selamat
Penduduk di sekitar bandar Copenhagen
gemar menggunakan basikal untuk ke sesuatu tempat. Oleh itu kesesakan lalu
lintas adalah sangat kurang walaupun pada waktu puncak. Situasi ini bukan
sahaja baik untuk alam sekitar malah baik untuk kesihatan. Masyarakat tempatan
juga gemar melakukan aktiviti riadah tanpa mengira waktu. Seringkali kelihatan
orang ramai bersenam dan berjoging tidak kira dalam kehujanan, pada waktu malam
malah semasa salji turun sekalipun. Di kawasan kejiranan pula banyak disediakan
taman kecil dan tempat beriadah. Sementelahan itu, jika cuaca baik, maka
berpusu-pusu orang ramai keluar bersiar-siar atau hanya sekadar duduk di bangku
di beranda sambil menikmati sinar mentari.
Malah sewaktu musim sejuk sekalipun
mereka gemar menceriakan suasana sambil beristirehat di rumah dengan memasang
lilin beraroma atau lebih dikenali sebagai 'hygge' dalam bahasa tempatan.
Perkataan itu sendiri sebenarnya sukar didefinisikan kerana mempunyai konotasi
berbeza-beza. Tetapi boleh ditakrifkan sebagai keselesaan. Contohnya, dengan
menikmati secawan kopi sambil dibaluti selimut sambil membaca buku. Suasana
sebegini sudah tentu mendamaikan dan membuatkan hati menjadi tenang dan selesa.
Antara faktor lain yang menjadikan
seseorang itu sentiasa gembira adalah apabila berasa selamat. Kadar jenayah di
Denmark secara keseluruhannya rendah. Jarang sekali terdengar kes tembakan,
kecurian atau rompakan. Tirai besi tidak diperlukan untuk membaluti tingkap
kaca rumah. Anak kecil juga boleh bebas bermain di sekitar kediaman tanpa ibu
bapa perlu risau bahaya kes penculikan.
Lantaran itu, faktor sebegini
mendorong rakyat di Denmark menjadi sentiasa ceria dan gembira serta sangat
berpuas hati dengan kehidupan masing-masing. Memang penduduk negara kaya
cenderung untuk lebih bahagia tetapi kekayaan sesebuah negara bukanlah menjadi
faktor penentu untuk mengukur tahap kebahagiaan.
* Penulis adalah pelajar yang baru
menamatkan ijazah sarjana di Copenhagen, Denmark.
No comments:
Post a Comment