MOHD RIZAL JAAPAR
20 September 2013
SEKIRANYA
diberi peluang untuk bertanya kepada Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu, Allahyarham
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, antara soalan yang bakal diajukan ialah; apa
yang Tunku impikan daripada kemerdekaan Tanah Melayu?
Bolehkah kita mentadbir negara sendiri setelah sekian lama diperhambakan?
Kekayaan dan kebebasan sememangnya telah diberikan oleh British, jadi mengapa
kita perlu merdeka?
Tunku mungkin sudah tiada lagi, tetapi persoalan di atas sebenarnya masih
relevan, bahkan lebih mendesak apabila dikaji semangat juang rakyat Malaysia pada
hari ini. Kita sedih kerana nikmat dan kemanisan merdeka sudah tercabut
daripada sanubari.
Lagu Negaraku diubah sesuka hati mengikut rentak yang tiada makna, Jalur
Gemilang dibiarkan kusam dan longlai, manakala filem-filem yang bersifat
sejarah boleh diolah sesedap rasa tanpa mengambil kira ketulenan dan keaslian
fakta.
Bahkan ada yang begitu celupar merendah-rendahkan perjuangan anak watan dengan
mendakwa kemerdekaan Malaysia
di meja rundingan tidak setaraf dengan kemerdekaan negara lain yang bermandikan
darah.
Justeru saban tahun kita melihat sambutan hari kemerdekaan semakin lesu dan
penuh kepura-puraan.
Apakah kita fikir yang kita akan merdeka selama-lamanya dan tidak mungkin akan
dijajah kembali? Sebenarnya pada hari ini, usaha menjajah masih giat berlaku di
mana-mana menggunakan pelbagai cara.
Sebagai contoh, penjajahan minda berlaku melalui indoktrinasi pendidikan,
informasi maya dan hiburan tanpa sempadan. Penjajahan kehidupan pula melalui
ajaran agama dan gaya
hidup yang kabur serta penyalahgunaan erti kebebasan.
Namun
kemusnahan yang paling dahsyat ialah penjajahan ekonomi tanpa disedari; dan
dalam sekelip mata mampu mengheret negara dan rakyat kepada kemusnahan besar.
Rakyat tidak mati dibunuh, tetapi terpenjara dengan beban hutang.
Semenjak berakhirnya perang dunia kedua, penjajah mencipta begitu banyak
perjanjian yang kononnya untuk berdagang dengan aman dan saksama di samping
berkongsi pasaran dan keuntungan.
Bermula daripada rundingan GATT, WTO, Apec dan akhir sekali perjanjian
perdagangan dua hala (FTA); yang pada asasnya dikarang oleh pemilik-pemilik
syarikat yang berasal dari empayar terbesar abad ini iaitu Amerika Syarikat.
Pada 2006, TPP tercipta dengan niat mengumpulkan negara-negara berminat untuk
berurus niaga dengan Amerika Syarikat menggunakan kaedah FTA tetapi bersifat
multilateral. Ia jalan tengah Amerika kepada WTO yang tidak efektif dan
perjanjian-perjanjian bilateral lain yang kurang menguntungkan.
TPP khabarnya akan dimuktamadkan pada tahun ini juga di antara Amerika dan 11
anggota lain, termasuk Malaysia .
TPP tidak lain hanyalah helah untuk merampas kembali kemerdekaan yang telah
kita kecapi sekian lama.
TPP bukanlah perjanjian yang baik dan ikhlas. Ia hanyalah versi baru kepada
perjanjian-perjanjian lampau yang mahu dijual oleh Amerika.
Memang pada awalnya TPP kelihatan seperti inisiatif negara membangun, namun
setelah diteliti, perjanjian ini dari awal lagi adalah kertas cadangan
syarikat-syarikat gergasi Amerika yang tidak mahu rugi, dan mengambil
kesempatan di atas kuasa besar Amerika untuk desak, bahkan mengugut mana-mana
negara yang ingkar dengan pelbagai sekatan dan denda.
TPP tidak mungkin mampu membuka pasaran Amerika untuk kita kerana itu tidak
pernah berlaku sebelum ini, dan Amerika sekali-kali tidak akan mengizinkannya.
TPP juga adalah agenda politik yang penting buat Amerika dalam usaha mencari
sekutu bagi meneutralkan pengaruh serta kekuatan ekonomi China dan Korea yang sudah begitu jauh ke
hadapan.
TPP pasti akan menyempitkan peluang pekerjaan tempatan, akan menyebabkan
monopoli produk buatan Amerika; langsung meningkatkan harga barangan mustahak
seperti ubat-ubatan, produk-produk pertanian dan automotif.
TPP lambat laun akan mendedahkan Malaysia kepada serangan nuklear
ekonomi apabila kita sudah tercekik ini diheret ke tribunal antarabangsa yang
tidak pernah sekali pun bertindak adil.
Justeru, kita tidak sepatutnya buang masa dan tenaga melayan kehendak-kehendak
yang mahu merampas hak anak bangsa dan harus segera keluar daripada rundingan
TPP.
* Penulis ialah bekas Sekutu Kanan Polisi & Ekonomi di (MTEM)
No comments:
Post a Comment