Wednesday, December 25, 2013

Prof Muhaya :Solusi keluar dari bebanan hidup

RAZIATUL HANUM A. RAJAK
24 Disember 2013
 / 1 

SHAH ALAM –Isu peningkatan kos hidup sering dikaitkan dengan bebanan kehidupan terutama buat golongan kurang mampu.

Malah ada yang menuding jari ke arah sesetengah pihak ekoran harga barang semakin mahal dan kesempitan hidup mencengkam kehidupan.

Namun, berbeza pula dengan penceramah terkenal, Prof Dr Muhaya Mohamad yang melihat perkara itu dari sudut positif.

Menurutnya, umum menanggap peningkatan kos hidup sebagai satu perkara negatif sehingga hasilnya kekal negatif tanpa ada sebarang perubahan.

“Saya simpati dengan keadaan kenaikan harga tetapi kena faham konsep dunia. Tidak ada situasi di mana harga akan turun. Memang harga akan naik. Bukan apa yang berlaku itu penting tetapi respons kita terhadap apa yang berlaku.

“Kalau kita guna formula kita ini, peristiwa yang berlaku campur dengan respons kita menghasilkan hasil kehidupan kita. Kalau peristiwa itu negatif, respons kita negatif,  hasilnya mesti negatif. Jadi, kita guna formula, peristiwa negatif iaitu barang naik, respons kita mesti sangat positif, maka hasilnya positif,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Mengulas lanjut mengenai formula tersebut, beliau menyarankan agar orang ramai menggunakan kemahiran yang ada dengan lebih bermanfaat.

“Jangan kata kita tak mampu beli barang itu, kita tanya bagaimana untuk saya lebih mampu? Nilai berapa jam masa digunakan untuk benda yang produktif?

“Contoh sebelum ini kita tonton TV lima jam, apa yang kita dapat? Kalau wanita yang ada bakat, tingkatkan pendapatan melalui online, berniaga sambal tumis dan sebagainya. Orang lelaki mungkin boleh bekerja lebih,” katanya.

Jelasnya, corak berbelanja juga perlu diatur semula mengikut kesesuaian dan keutamaan.

“Saya rasa kita kena mengatur cara kita berbelanja. Bagi orang yang merokok, merokok itu memang membakar wang. Kenapa harus merokok juga?

“Bagi orang yang berbelanja pula, audit balik perbelanjaan kita. Air gas, ais krim semua itu tidak membina nutrisi kita, jadi, kalau tak boleh tingkatkan pendapatan, kita kurangkan perbelanjaan yang tidak penting,” katanya.

Katanya, keberkatan daripada wang yang diperoleh juga penting diberi penekanan.

“Ada dua jenis manusia. Satu, merungut dan mengeluh. Sibuk hidup dari luar ke dalam. Macam-macam alasan. Dia sibuk mencari faktor di luar daripada faktor dirinya sendiri.

“Manusia diberi duit berdasarkan nilai yang diberi kepada dunia. Kita gaji RM1,000 tetapi kerja macam RM800, tak berkat duit. Tapi kalau gaji RM1,000 kerja macam RM2,000, ALLAH akan beri keberkatan RM2,000 itu kepada kita. Ini undang-undang sunnatullah,” katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, beliau sempat menyampaikan pesanan buat orang ramai.

“Ingat ya, ALLAH sudah tetapkan rezeki, kita jangan sibuk dengan benda yang ALLAH dah jamin hingga terlupa tanggungjawab kita. Saya perhatikan, banyak orang yang cuai dengan tanggungjawab dan ketika itulah duit tak cukup, kereta rosak dan sebagainya.

“Jaga ALLAH, ALLAH urusan dunia kita. Kita kejar akhirat, dunia kejar kita. Itu konsep nak hilangkan tekanan. Kalau kita tak bersyukur, kita akan mengeluh, merungut. Kalau bersyukur, aura positif magnet kepada benda yang positif. Ini yang membuatkan kita tertekan,” katanya


Amanah bekerja bawa berkat
DR ASYRAF WAJDI DUSUKI



KITA sering merasakan tidak pernah cukup untuk menampung kehidupan diri dan keluarga. Kita juga mengeluh apabila gaji banyak mana pun tidak menjamin hidup selesa dan bahagia. Hakikatnya fenomena sebegitu amat terkait dengan perilaku sendiri dalam melaksanakan amanah dalam pekerjaan seharian. Memang masih ramai tidak segan silu melakukan perbuatan curang dalam pekerjaan seharian.

Mungkin kita tidak menyedari kerja dilakukan dengan penuh dedikasi tanpa unsur penyelewengan akan membawa berkat. Manakala, perlakuan curang dalam pekerjaan akan membawa padah. Curang dimaksudkan penulis adalah sikap tidak amanah seperti curi tulang, kerja sambil lewa, menipu kedatangan, buat kerja sampingan yang tidak memenuhi kontrak pekerjaan sebagaimana termeterai dengan majikan.

Walhal Islam memandang serius aspek amanah dalam mengotakan setiap apa yang dipersetujui majikan dan pekerja sebagaimana kontrak yang ditandatangani. Ini ditegaskan dalam firman ALLAH SWT: “Wahai Orang yang beriman! Patuhilah setiap perkara yang kalian akadkan (terma yang termaktub dalam kontrak)”. (Surah Al-Maidah: 1)

Dalam Islam, setiap kontrak seperti jadual masa kerja, skop dan tanggungjawab kerja ditandatangani antara dua pihak adalah wajib dipatuhi selagi mengikuti prinsip dan syariat. Implikasi kontrak dimeterai bukan sahaja terhadap hak sesama manusia, malah kesannya terkait langsung dengan hak ALLAH.

Hakikatnya, Islam melihat pekerjaan sebagai suatu yang cukup bernilai. Malah Islam menganggap ‘kasbu al-halal’ atau bekerja untuk memperoleh pendapatan yang halal adalah suatu jihad (maksud hadis). Oleh itu, Islam menganjurkan umatnya bekerja keras untuk kebaikan di akhirat dan kecemerlangan hidup di dunia.

Usaha setiap manusia untuk mencari nafkah halal bagi menyara diri, keluarga atau membantu kaum kerabat dan jiran tetangga pada hakikatnya diletakkan setaraf dengan kedudukan berjihad di jalan ALLAH. Itulah sebabnya ALLAH menerangkan konsep mencari nafkah yang halal dan berjihad ini dalam ayat yang sama.

“Dan sebahagian manusia berjalan di muka bumi mencari sebahagian daripada (rezeki) anugerah ALLAH. Sebahagian yang lain pula berperang di jalan ALLAH.” (Surah Al-Muzammil: 20)

Diriwayatkan Saidina Umar Al-Khattab berkata, “Keadaan yang paling aku sukai bila ajal menjemput ku adalah apabila aku sedang berjihad di jalan ALLAH. Kemudian keadaan di mana aku sedang mencari rezeki kurniaan ALLAH.” Kemudian beliau lantas membaca ayat di atas.
 
Rasulullah SAW sentiasa memperingatkan golongan sahabatnya dan umat Islam agar bekerja bersungguh-sungguh bagi mencari rezeki yang halal dan sah. Setiap pekerjaan baik merupakan ibadah yang bakal mendapat ganjaran dan maghfirah ALLAH. “Sesiapa yang bermalam dalam keadaan penat kerana mencari rezeki yang halal maka dia bermalam dalam keampunan (Tuhan)”. (Riwayat Ibnu Asakir daripada Anas).

Budaya kerja yang disemangati oleh nilai Islam diharapkan dapat menghindari perbuatan tidak baik dan tidak bermoral dalam pekerjaan.

 Kebelakangan ini, semakin meluasnya gaya hidup menyeleweng seperti terlalu memikirkan diri sendiri (individualistik) mahupun terlampau taksub hendak jadi kaya dengan jalan pintas (materialistik).

Hilangnya keberkatan bermakna manusia tidak lagi memperoleh kebahagiaan hakiki dan ketenangan dalam hidup yang dijanjikan ALLAH kepada orang Islam bertakwa dan bekerja dengan ikhlas mengikut ajaran dan prinsip Islam sejati.

Ini menyebabkan hidup kita dalam kesulitan, hubungan suami isteri berantakan, anak bermasalah dan rezeki yang diperoleh tidak pernah rasa cukup.

Sebaliknya rezeki yang berkat walaupun sedikit tetap cukup dan memenuhi keperluan hidup yang pelbagai. Menurut ulama, makna keberkatan sebagai “as-saadah al-haqiqiah” (kebahagiaan hakiki) dan “az-ziadah” (nilai tambah) dalam kehidupan. Ini tentunya dapat menceriakan diri dan memenuhi keperluan rumah tangga.

Itulah pentingnya mencari rezeki halal dengan berpegang teguh kepada segala peraturan, prinsip dan nilai sebagaimana digariskan Islam. Mudah-mudahan dengan bekerja bersungguh-sungguh mencari rezeki halal itu kita sentiasa berada dalam kebahagiaan dan ketenangan lantaran dilimpahi rahmat dan berkat ALLAH sentiasa.

*Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

No comments:

Post a Comment