oleh TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Ali seorang pelari yang amat
mementingkan kemenangan. Bagi Ali, asalkan menang. Segalanya diukur dari sudut
kemenangan, dan baginya kemenangan dan tepukan adalah kegembiraan.
Kehebatan Ali dalam berlari memang dikenali di kampungnya.
Satu hari ada pertandingan berlari di kampungnya. Cuacanya panas. Ramai orang
kampung datang menyaksikan pertandingan tersebut, termasuk seorang tua yang
datang jauh untuk menyaksikan kehebatan Ali yang didengarinya.
Perlumbaan pertama bermula. Meskipun sengit, Ali dengan semangat tidak
mengalahnya telah berlari dengan segala jiwa, tenaga dan kekentalan dan
memenangi perlumbaan pertama.
Orang ramai bertepuk gemuruh dan menyorak untuk Ali. Tapi orang tua itu tidak
memberikan sebarang reaksi. Ali terpandang orang tua itu, pelik tapi tidak
peduli. Bagi Ali, rasa bangga dan dipentingkan lebih utama.
Esok harinya, perlumbaan kedua bermula, dengan lebih ramai pelari muda untuk menyaingi
Ali. Ali tetap menang dan hadirin semakin gila menyorak untuk Ali. Walaupun
seronok, Ali tetap berasa pelik pada reaksi orang tua itu, yang tidak
memberikan sebarang reaksi.
Mendengar sorakan yang semakin riuh, Ali terasa kembang dan menjerit, “Jom
lumba lagi! Jom lumba lagi!”
Orang tua itu tetiba bersuara. “Saya ingin menaja perlumbaan ketiga. Ali sudi
sertai? 3 pelumba sahaja kali ini.”
“Sudah tentu,” kata Ali.
Orang tua meletakkan Ali di tengah. Kemudian orang tua itu membawa seorang
nenek tua dan seorang buta untuk berlumba dengan Ali.
“Apa ini? Ini aku jalan pun menang,” bisik Ali di hatinya.
Perlumbaan ketiga pun bermula. Ali berlari dengan secepat hati ke garisan
penamat. Nenek dan orang buta tidak sampaipun di tengah perlumbaan, Ali sudah
menghabiskan lariannya.
“Aku menang lagi,” jerit Ali sambil menggengam tangannya ke langit.
Namun kali ini. Tiada sorakan daripada para hadirin. Sunyi.
Ali berasa pelik dan terkejut. Mengapa tiada sorakan kali ini? Mengapa tiada
yang gila memuji?
“Mengapa ini berlaku? Mengapa mereka tidak meraikan kemenangan saya?” tanya Ali
pada orang tua itu.
Orang tua itu berkata: “Lumba lagi. Kali ini pastikan kamu tiba di garisan
penamat bersama dengan nenek dan orang buta itu.”
Ali bersetuju.
Perlumbaan keempat bermula. Kali ini Ali memegang tangan nenek dan orang buta
dan sama-sama melepasi garisan penamat.
Para hadirin memberikan sorakan semangat sehinggalah akhir perlumbaan. Mereka
melambai-lambai ke arah Ali. Ali terasa pelik, apa bezanya?
Orang tua itu memandang Ali sambil mengangguk kepalanya.
“Pakcik, saya tak faham. Kali ini mereka sorak untuk apa? Siapa antara kita
bertiga yang menang?” tanya Ali.
Orang tua itu meletakkan tangan di belakang bahu Ali. “Dalam perlumbaan ini,
kamu menang jauh lebih banyak daripada perlumbaan-perlumbaan yang lepas kerana
perlumbaan ini mereka tidak menyorak untuk siapa yang menang.”
Wahai anakku,
Kadang-kala kamu terlupa erti kehidupan sebenar. Ia bukan diukur daripada
jumlah angka di akaun bank, ia bukan diukur daripada jumlah pujian, ia bukan
diukur daripada kedudukan, ia bukan diukur daripada jumlah sanjungan manusia
dan ia bukan diukur daripada jumlah harta.
Ia diukur daripada perbuatan amal dan pahala kamu yang tidak dapat dihisab di
dunia ini. Berlumbalah untuk perkara-perkara amal yang membanyakkan pahala.
Ingatlah wahai anak kesayanganku, sesuatu barangan itu bernilai bukan sangat
kepada barangan, tetapi keadaan menentukan nilainnya.
Sebatang buluh yang hanyut tiada nilai dalam keadaan biasa, namun ia akan lebih
mahal dari dunia dan isinya bagi seseorang yang sedang terkapai-kapai
kelemasan.
Demikian juga sebotol air minuman, mungkin nilainya hanya satu ringgit dalam
keadaan biasa., akan tetapi ia akan mencecah ribuan ringgit di saat sedang
dahaga di padang pasir.
Demikianlah pahala tidak dirasai nilainya sewaktu di dunia, berbanding di
akhirat, yang semua tiada bernilai melainkan pahala.
Setiap 1 minit yang berlalu bermaksud 60 saat kamu menghampiri kematian, maka
kutiplah apa yang menjadi bekalan pahala, walau sekadar manis muka pada
saudaramu.
Senyum
No comments:
Post a Comment