Disiarkan pada Apr 24, 2010 dalam kategori Akidah |
Soalan: Saya mudah kecewa. Apabila saya doa,
saya rasa doa saya Allah tidak akan terima. Saya dah minta doa macam-macam,
tapi banyak benda yang minta itu tak berlaku seperti yang diminta. Kadang-kadang
sehingga saya rasa macam tidak larat hendak berdoa. Tolonglah saya Dr!
Wardini, Kuala Kangsar.
Jawapan Dr MAZA:
Saudari,
semoga Allah merahmati kita semua. Untuk menjawab kemusykilan saudari itu, saya
nyatakan seperti berikut:
1. Doa adalah
permohonan kepada Allah. Allah ialah Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mencipta.
Apabila seseorang berdoa kepadaNya, hendaklah ia dilakukan dengan penuh
perasaan merendah diri, kekusyukan jiwa, harapan dan pergantungan yang mutlak
diserahkan kepadaNya.
Ramai orang
berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu jiwa merendah,
penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah. Kebanyakan doa diungkapkan dengan jiwa yang
hambar sedangkan Allah memerintahkan: (maksudnya)
“Berdoalah
kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan.
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. (Surah
al-‘Araf, 55).
Jika kita
dapat menjadikan jiwa kita ini begitu beradab, merendah, khusyuk dan penuh
pengharapan kepada Allah, kita menghampiri pintu kemakbulan.
2. Bersangka
buruk kepada Allah seperti menganggap Allah tidak akan terima doa adalah
perasaan yang salah dan perlu dibaiki. Bagaimana mungkin Allah menolak doa,
sedangkan Dia yang memerintahkan kita berdoa kepadaNya. Firman Allah:
(maksudnya):
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada
mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan
orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut
seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu
supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah, 186).
FirmanNya
juga: (maksudnya)
“Dan Tuhan
kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan
kamu”. (Surah Ghafir, 60).
Doa yang
dilakukan dengan penuh penghayatan pasti diterima Allah. Itulah jaminan Allah
sendiri.
3. Maka
seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa Allah
akan memakbulkan doanya. Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa sahaja
yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah. Sabda Nabi s.a.w:
“Berdoalah kamu
kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah
sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa”
(Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
4. Namun,
waktu dan ketika yang dipilih oleh Allah untuk sesuatu doa itu diperkenankan,
hanya dalam ilmu Allah. Kadang-kala dilewatkan atas hikmah yang Dia Maha
Mengetahui, dan insan yang berdoa juga biasanya akan tersingkap hikmah tersebut
apabila tiba masanya. Sehingga apabila tiba waktu doa itu ditunaikan Allah,
baru kita akan merasa betapa beruntungnya kemustajaban itu hadir pada waktu
tersebut. Maka jangan putus asa dalam berdoa. Sabda Nabi s.a.w :
« Sentiasa
doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk
membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak
tergopah-gapah ». Ditanya baginda : « Apa itu tergopoh-gapah ? ». Sabda baginda
: «Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi
aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan
meninggalkan doa » (Riwayat Muslim).
5. Cara
bagaimana Allah memustajabkan sesuatu pengharapan atau doa hamba itu juga
berbeza-beza. Mungkin tidak seperti jalan yang disangka hamba yang berdoa itu,
tetapi Allah sesuatu yang lain yang lebih baik untuknya. Umpamanya, mungkin
seorang hamba meminta kekayaan yang besar atas andaian dengan kekayaan itu maka
dia akan bahagia.
Namun Allah
mengetahui tentang hal hamba tersebut yang mana kekayaan besar boleh
memudaratkan iman atau persekitarannya yang lain. Allah mungkin menggantikan
kekayaan yang besar itu dengan rezeki yang mencukupi, kesihatan yang baik,
anak-anak yang soleh dan keluarga yang bahagia. Kesemua itu membawanya mencapai
ketenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
Maka insan
hendaklah jangan cepat menyatakan doanya tidak diterima, sebaliknya hendaklah
dia sentiasa menyemak dan menilai segala kurnia Allah yang ada di
sekelilingnya. Kemustajaban doa itu berlaku dalam berbagai bentuk. Sehingga ada
yang Allah tangguhkan apa yang diminta itu ke hari akhirat, kerana Allah
mengetahui bahawa di saat itu insan tersebut lebih memerlukan apa yang diminta
tersebut. Sabda Nabi s.a.w :
« “Tiada
seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan
silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga
perkara: samada disegerakan kemakbulan, atau disimpan untuk diberikan pada hari
akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya”. (Riwayat Ahmad,
Al-Bazzar dan Abu Ya’la dengan sanad yang sahih).
6. Doa tidak
sia-sia. Doa adalah lambang pengabdian diri seorang hamba Allah kepada Allah
Yang Maha Agung. Sebab itulah berdoa kepada selain Allah, sekalipun memohon
kemustajaban dari nabi atau wali adalah dianggap sebagai syrik. Sementara
berdoa kepada Allah adalah ibadah. Ertinya, jika seorang hamba itu berdoa
selama sejam, dia sebenarnya sedang beribadah selama sejam. Jika dia berdoa
sepanjang malam, bererti dia beribadah sepanjang malam. Sabda Nabi s.a.w :
“Doa itu adalah
ibadah” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Adapun berdoa
selain Allah pula adalah syirik dan memusuhi penyerunya pada hari Kiamat kelak.
Firman Allah: (maksudnya):
“Dan tiada
yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat
menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk
yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila
manusia dihimpunkan (pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh
(kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka” (Surah al-Ahqaf,
5-6).
7. Kehidupan
ini mempunyai rahsianya yang tersendiri. Banyak perkara yang kita rasa pahit
dan membencinya pada masa tertentu padahal ia manis pada masa yang lain. Banyak
perkara yang kita rasa baik, ia buruk apabila berubah masa dan keadaan. Allah
Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan telah terjadi. Kita
selalu tergopah-gapah menilai sesuatu keadaan. Sehingga kadang-kala kita berdoa
hendak sesuatu, sedang Allah mengetahui ia tidak baik untuk kita. Allah
menggantikan dengan perkara lain, kita mungkin tidak perasan atau sedar.
Seseorang
mungkin merasakan doa yang dikehendaki belum Allah mustajabkan, tetapi dia
terlupa apa yang sedang dinikmatinya itu sudah mencapai harapannya. Maka,
janganlah cepat kita berputus asa dengan rahmat Allah dan terus menghukum
bahawa doa kita belum dimustajabkan.
8. Dukacita dan keperitan hidup
menghapuskan dosa dan menaikkan darjat seseorang di sisi Allah. Ia juga membawa
insan membanyakkan doa. Dalam detik menunggu kemustajaban doa, ramai yang
kembali menjadi soleh, tunduk, tawaduk dan membanyakkan ibadah. Penangguhan doa
mempunyai berbagai hikmah dalam kehidupan muslim. Dunia ini amat kerdil dan
tidak dibandingkan dengan akhirat. Doa merupakan amalan yang membawa kebahagian
insan di akhirat. Menanti kemustajaban doa dengan iman dan penuh tawakal
merupakan tempoh yang menyebabkan banyak insan kembali menemui jalan Allah yang
hakiki.
9. Marilah kita teruskan doa, baiki diri
dan nilailah apa yang telah berikan kepada kita dalam kehidupan hari ini. Keperitan hari ini,
mungkin kemanisan hari esok. Kemanisan hari ini, belum tentu kenikmatan hari
esok. Maka, sentiasa bertawakal kepada
Allah dan jangan putus asa berdoa kepadaNya
sumber : http://drmaza.com/home/?p=1109
No comments:
Post a Comment