Firman Allah yang bermaksud:
“Allah Maha Berkuasa atas segala
sesuatu, Dialah yang mentakdirkan adanya kematian dan kehidupan untuk menguji
dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik
amalannya.” – (Surah al-Mulk, ayat 1-2) .
Menyingkap maksud firman Allah itu, manusia sentiasa akan diuji
dengan kebaikan dan kesulitan. Segala perkara atau peristiwa berlaku dengan
izin dan kehendak Allah.
Bagi Allah segala-galanya adalah kebaikan untuk hamba-Nya.
Penerimaan manusia boleh jadi berbeza sama ada perkara itu baik atau buruk
kecuali orang mukmin yang memiliki keimanan sebenar. Sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud:
“Allah sungguh kagum kepada orang
mukmin, apabila menerima nikmat ia bersyukur dan apabila ditimpa musibah ia
bersabar.” – (Maksud al-Hadis)
Setiap detik kehidupan kita perlu meyakini bahawa kita berada
dalam ujian Allah sehingga roh bercerai daripada badan. Firman Allah yang
bermaksud:
“Apakah manusia mengira bahawa mereka
akan dibiarkan saja mengatakan kami sudah beriman sedangkan mereka tidak diuji
terlebih dulu. Dan sesungguhnya kami sudah menguji orang sebelum kamu maka
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)
Manusia diberi kemampuan mengamati atau menilai sesuatu perkara
dan peristiwa secara zahir melalui deria penglihatan. Manusia juga dapat
mengguna akal untuk mentafsir perkara atau peristiwa yang dilihat.
Manusia yang lebih tinggi martabatnya ialah apabila dapat
melihat melalui mata hati. Ini adalah penglihatan atau gambaran cahaya iman.
Allah berfirman yang bermaksud: “Maka ambillah pelajaran wahai orang yang
memiliki mata hati.” (Surah al-Haysr, ayat 2)
Sering kali kita terdengar rungutan apabila hari hujan kerana
hujan yang turun menyusahkan untuk ke pejabat atau ke mana saja sedangkan bagi
tukang kebun atau petani, hujan adalah rahmat Allah yang akan menyuburkan pokok
serta tanaman mereka. Begitulah kepelbagaian ragam dan persepsi dalam
kehidupan.
Segala penentuan Allah diterima dengan persepsi berbeza antara
satu sama lain. Perbezaan sudut pandang ini bergantung kepada beberapa perkara
seperti ilmu, keimanan, amalan dan ketakwaan seseorang. Orang beriman sentiasa
reda dan menerima segala ketentuan dengan hati tenang kerana mereka berfikir
secara positif, mencari hikmah di sebalik setiap peristiwa.
Setiap insan sentiasa mengharapkan kedamaian dan ketenangan
hidup, bahkan manusia menginginkan kesenangan itu berpanjangan. Realiti
kehidupan tidak selalu begitu kerana langit tidak selalunya cerah.
Panduan berikut boleh dijadikan pedoman untuk mendidik diri
menerima sesuatu peristiwa baik atau buruk dengan penuh keredaan. Dengannya
kita akan berasa tenang dalam menerima sesuatu dengan rela hati :
Bersyukur kepada Allah dan
Membilang Nikmat-Nya
Kita beriman bahawa Allah tetap
memberi nikmat di dunia kepada semua hamba-Nya. Apabila kita mendapat
nikmat-Nya kita bersyukur dan mengiktiraf nikmat itu supaya tidak lupa jasa
Allah.
Firman Allah yang bermaksud:
“Allah
sudah menyempurnakan nikmat-Nya kepada kalian baik yang zahir mahupun yang batin.”
- (Surah
Luqman, ayat 20)
Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan
jika kalian menghitung nikmat Allah nescaya kalian tidak akan dapat
menghitungnya.” – (Surah
Ibrahim, ayat 34)
Nabi Sulaiman yang dikurniakan
kerajaan dan kekayaan berkata:
“Ini
termasuk dalam kurnia Tuhanmu untuk menguji aku adakah aku bersyukur atau kufur
nikmat.” – (Surah
an-Namlu, ayat 20) .
Syukur bukan setakat mengucapkannya
tetapi kita perlu zahirkan kelakuan orang yang bersyukur dalam bentuk
perbuatan. Contohnya, apabila seseorang itu mendapat keuntungan daripada
perniagaan diusahakannya, dia akan dibelanjakan ke jalan halal dengan ikhlas.
Musibah
Menghapuskan Dosa
Kita menerima musibah dengan
positif untuk menyedarkan kita supaya menilai kembali tingkah laku. Sebagai
manusia, kita tidak sunyi daripada melakukan dosa. Musibah dapat melenyapkan
dosa yang dilakukan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidaklah
seseorang mukmin itu ditimpa kecemasan, kegelisahan, rasa sakit dan keletihan
hingga tertusuk duri melainkan dengan semua itu Allah akan menghapuskan
dosanya.” –(Maksud al-Hadis)
Bersabar
Tanda Kemenangan
Allah mendidik kita supaya menerima
sesuatu dengan reda dan sabar kerana Allah bersama dengan orang yang sabar.
Orang yang bersabar akan mendapat kemenangan di dunia dan syurga di akhirat.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan
supaya kamu jangan terlalu berduka cita terhadap apa yang hilang daripada kamu
dan janganlah kamu terlalu gembira apabila mendapat sesuatu nikmat.” – (Surah
al-Hadid, ayat 23)
Berdoa
dan Memohon Pertolongan Hanya Kepada Allah
Doa adalah senjata orang mukmin.
Berdoalah dengan bersungguh-sungguh, yakin dan kenalilah Allah ketika senang
nescaya Allah akan mengenali kita ketika susah. Berdoa dengan khusyuk dan
jadikan berdoa para nabi sebagai panduan. Bayangkan bagaimana pasrah dan
khusyuk nabi berdoa dalam keadaan genting.
Kita juga tahu Allah memakbulkan
doa mereka. Nabi Ibrahim berdoa memohon pertolongan Allah ketika dibakar dalam
unggun api yang marak menyala, Nabi Muhammad ketika perang Badar dan Nabi Musa
yang cemas ketika di kepung Firaun di Laut Merah dan saat kegelapan Nabi Yunus
dalam perut ikan.
Membaca
al-Quran
Al-Quran adalah kitab rujukan utama
kepada setiap mukmin yang cemerlang. Kitab ini perlu dibaca dan difahami
maksudnya setiap hari dengan tujuan melembutkan hati serta mendidik jiwa supaya
istiqamah dalam amalan yang baik.
Allah sentiasa mengingatkan supaya mengambil pendekatan
sederhana kerana keluh kesah akan menambah lagi musibah. Apabila menerima
sesuatu musibah, kita zahirkan rasa syukur dengan membandingkan musibah lebih
besar atau membandingkan musibah dihadapi orang lain.
Mengambil pelajaran dan melihat sesuatu hikmah dalam setiap
perkara akan melahirkan insan yang celik perasaan serta mampu mengharungi hidup
yang penuh pancaroba.
Sumber: http://www.iluvislam.com
No comments:
Post a Comment