DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN
21 Februari 2014
SEORANG pelajar bernama Amin terkenal
dengan kenakalannya di sekolah.
Amin suka memberontak, tidak memberikan penumpuan dalam kelas, keputusannya
tidak cemerlang, suka mengacau rakan lain, mempersendakan dan melawan kata-kata
cikgunya.
Selepas tamat sesi persekolahan tahun lepas, dan tiba masa untuk mengagihkan
pelajar, tiada guru di sekolah yang sudi menerima Amin di dalam kelas mereka.
“Saya tak mahu. Nanti sakit jantung,” kata Puan Halimah.
“Saya tak mahu. Dah serik setahun dengannya,” kata Cikgu Kamala.
“Jangan pandang saya. Kalau saya, saya dah tendang dia keluar,” kata Tuan
Kassim.
“Tak apa saya ambil,” jawab Ustaz Ismail Nihat.
Semua menarik nafas lega, tapi sahabat baik Ustaz Ismail, Cikgu Koh berkata,
“Ustaz fikir baik-baik. Kena ada kesabaran tinggi untuk mengajar budak itu.
Kalau tak tahan, ustaz tukar dengan saya.”
“Takkan budak ini saya tak dapat kawal hehehhe,” jawab Ustaz Ismail dengan
berseloroh.
Malangnya, perbualan guru-guru itu telah didengari Amin.
Amin berbisik di hatinya, “Ustaz Ismail nak kawal saya ya? Kita tengok siapa
lebih hebat!”
Sesi persekolahan baru pun bermula, Amin memasuki kelas Ustaz Ismail.
Ustaz Ismail mengaturkan Amin duduk di barisan depan kelas.
Amin cuba buat perangai, tapi Ustaz Ismail tetiba bersuara…
“Saya nak cadangkan seorang pelajar untuk jadi ketua kelas. Dia ini keputusan
tak berapa baik. Akan tetapi, dia pandai bergurau. Jika dia jadi ketua kelas,
sudah tentu kita dapat senyum tiap-tiap hari,” kata Ustaz Ismail sambil
menunjuk kepada Amin.
Para pelajar kelas Ustaz Ismail terus terdiam dan berbisik sesama sendiri.
“Orang macam dia pun, Ustaz pilih jadi Ketua Kelas? Ustaz tahu ke dia terkenal
sebagai pelajar ternakal di sekolah.”
Amin yang muka kemerahan kerana segan hendak menolak tawaran, tapi Ustaz Ismail
tidak memberi peluang…
“Jadi ketua kelas bukan lihat pada keputusan sahaja. Yang paling penting dia
boleh jadi contoh kepada pelajar lain. Saya percaya Amin boleh melakukannya dan
dia amat berpotensi. Apa kata kita beri dia satu peluang?”
“Baik ustaz,” jawab para pelajar.
Kata-kata ini menyebabkan Amin terasa malu dan segan sehingga muka bertambah
merah.
Akhirnya, Amin menjadi ketua kelas.
Besok harinya, apabila masuk ke kelas, pelajar mendapati Amin sudah berada di
tempat duduknya dan tidak mengacau pelajar lain ketika Ustaz Ismail mengajar.
“Amin sudah tak buat perangai dan kacau orang?” tanya seorang pelajar bernama
Zul yang selalu dibuli Amin.
“Saya ketua kelas. Saya perlu jadi contoh pada orang lain,” jawab Amin.
Apabila melihat Amin menumpukan perhatian di dalam kelas, seorang pelajar lain
Jannah bertanya pada Amin, “Mengapa Amin tak perlekehkan ustaz seperti biasa
sehingga cikgu menghalau Amin keluar?”
“Saya ketua kelas. Saya perlu jadi rajin dan bagus keputusan barulah orang lain
boleh terima saya sebagai Ketua Kelas dengan hati terbuka ,” jawab Amin.
Peperiksaan menjelang dan keputusannya, Amin melonjak dari tangga terakhir di
sekolah ke tangga ke 15.
“Dia meniru ke ustaz?” tanya Tuan Kassim pada Ustaz Ismail.
“Berdasarkan ketekunan dia, saya rasa keputusan ini benar. Ini memang hasil
dia,” jawab Ustaz Ismail.
“Ustaz Ismail memang hebat,” kata Cikgu Koh.
“Apa yang Ustaz buat kat dia?” tanya Puan Halimah.
“Dia nakal sebab ego nak perhatian. Saya bagilah dia dapat perhatian secukupnya
sebagai ketua kelas. Kerana egonya, maka dia memaksa dia menjadi baik supaya
orang tak kata dia tak layak jadi ketua kelas,” jawab Ustaz Ismail sambil
tersenyum.
Wahai anakku,
Semua yang dicipta ALLAH ada hikmahnya jika digunakan dengan betul.
Najis binatang, jika diletakkan pada tempat yang tidak betul, ia busuk dan
tidak menyenangkan pandangan.
Jika ia terkena tanah dan ditanam, ia bertukar menjadi baja yang menghasilkan
banyak pokok yang berbuah.
Begitu juga dengan kamu wahai anak kesayanganku, apakah kamu sedang menggunaan
segala pemberian ALLAH (badan, minda dan jiwa kamu) dengan betul dan
selayaknya? Atau kamu sedang membusukkannya.
Senyum Jumaat
No comments:
Post a Comment