Prof Madya Dato’ Dr
Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Dosa membawa insan ke neraka.
Perbuatan baik pula membawa insan ke syurga. Itulah hasil yang sepatutnya. Dosa
adalah perbuatan salah yang dimurkai Allah. Kebaikan adalah perbuatan baik yang
disukai Allah.
Pun begitu dalam kehidupan insan
tidak mustahil untuk dosa menyebabkan seseorang itu mendampingi Allah sehingga
membawanya ke syurga. Juga tidak mustahil kebaikan membuatkan seseorang melupai
Allah sehingga membawa pengamalnya ke neraka.
Ujub
Ujub atau kagum dengan diri sendiri
adalah penyakit rohani yang kronik. Dalam kalangan manusia, ada yang merasa
sombong dengan amalan agamanya sehingga melihat orang lain hina di sisi Allah
dibandingkan dirinya. Dengan kesombongan itu dia meminta orang mencium
tangannya atau meminum bekasnya ataupun mengambil syafaat darinya. Jika itu
perkara berlaku tanpa permintaannya, tidak mengapa. Tidak dinafikan pun
keberkatan Allah yang diturunkan untuk orang-orang soleh. Namun apabila ada
manusia merasakan merekalah merupakan orang soleh yang diturunkan keberkatan
itu, bagai sudah pasti ahli syurga sementara orang lain adalah pendosa yang
memerlukan syafaat mereka untuk ke syurga, maka itu adalah tanda ujub, sombong
dan riyak. Ia mengheret ramai yang bersolek dengan solekan agama ke
neraka.
Sabda Nabi s.a.w:
“Tiga pembinasa; iaitu: kebakhilan
yang ditaati, hawa nafsu yang dituruti dan kekaguman seseorang dengan dirinya
sendiri” (Riwayat al-Bazzar, al-Tabarani, al-‘Uqaili dll. Hadis berstatus
hasan)
Dosa
ke syurga?
Jangan hairan bahawa jika nanti di
akhirat ada dalam kalangan mereka yang kelihatan pernah melakukan dosa di dunia
ini menuju ke syurga. Bagaimana?
Ya, terdapat insan yang apabila dia
melakukan dosa, dia tersangat menyesal. Dia bertaubat dan sentiasa merasa hina
diri di hadapan Allah Yang Maha Agung. Terasa kesalahan itu mengikuti setiap
langkahnya. Malu kepada Allah meliputi perasaannya. Segala ibadah yang dia
lakukan dirasakan kerdil dan kecil. Dia bertungkus lumus membaiki diri lebih
dari keadaannya sebelum terjatuh ke dalam dosa tersebut.
Timbul rasa tawaduk dalam jiwanya.
Apabila dia melihat orang lain dia merasa betapa mereka lebih mulia daripadanya
di sisi Allah kerana dia seorang yang berdosa. Segala kesombongan dalam jiwanya
dikikis apabila dia mengenangkan dosa-dosanya itu. Mungkin orang lain tidak
tahu tentang dosanya, namun dia sendiri tahu dan Allah Maha Mengetahui. Betapa
dia bersyukur kerana Allah menutupkan keaibannya, ataupun memberikan ruang
untuk dia terus hidup sekalipun dengan dosa-dosa yang pernah dilakukan. Maka
kalau demikianlah keadaan, dosa-dosanya itu membawanya ke syurga dengan izin
Allah.
Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Qayyim
al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam karyanya Miftah Dar al-Sa’adah:
“Antaranya, bahawa sesungguhnya Allah
apabila mengkehendaki kebaikan untuk seseorang hambaNYA, DIA jadikan hamba itu
lupa gambaran ketaatan-ketaatan yang telah dia lakukan. Diangkat itu semua dari
jantung hati dan lidahnya (tidak membangkit-bangkitkannya). Apabila dia diuji
dengan dosa, Allah jadikan dosa itu memenuhi ruang matanya, dia lupa segala
amalan baiknya dan dia jadikan segala ingatan dukanya terhadap dosanya.
Sentiasa dosanya itu berada di hadapannya, semasa dia berdiri, duduk ataupun
berjalan. Maka inilah sumber rahmat pada dirinya. Ini seperti kata sebahagian
Salaf Soleh: “Sesungguhnya ada hamba Allah melakukan dosa, lantas dengan dosa
itu dia masuk syurga. Ada
pula yang beramal dengan kebaikan lantas dengannya dia masuk neraka”. Bagaimana
demikian? Sebabnya, dia melakukan dosa lalu sentiasa dosa itu memenuhi matanya,
setiap kali dia ingat dia akan menangis, menyesal, beristighfar, merendah diri
kepada Allah, kembali kepadaNYA, merasa hina dan pasrah. Lantas dia beramal
dengan amalan-amalan soleh maka itu menjadi sebab kerahmatan untuk dirinya”
(1/445-446. Beirut :
Muassasah Fuaad).
Pahala
Ke Neraka?
Kebaikan sepatutnya membawa ke
syurga. Namun jika pengamal kebaikan itu menjadi riak, sombong, takjub dengan
dirinya sendiri sehingga merasa dia tiada cacat di hadapan Allah. Hilang dari
jiwanya perasaan tawaduk, kerendahan diri sebagai hamba dan seakan pasti
dirinya ke syurga. Ditambah lagi, dia memandang lekeh kepada orang lain. Orang
lain bagaikan pendosa, dialah bagaikan sumber pahala. Ini merupakan musibah
terhadap kerohaniannya. Ini telah menimpa ramai golongan yang berpakaian agama
sehingga mereka bagaikan penentu siapa ke syurga dan siapa ke neraka. Berjalan
dengan sombong sambil menghulur tangan untuk dicium oleh orang lain dengan
bangganya.
Inilah yang dinukil oleh al-Imam Ibn
Qayyim al-Jauziyyah tadi: “Ada
pula yang beramal dengan kebaikan lantas dengannya dia masuk neraka”.
Ibn Qayyim menjelaskan maksud hal ini
dengan menyebut:
“Dia beramal dengan kebaikan lalu
sentiasa fikirannya mengungkit, mengingat dan menghitung-hitung kebaikan itu
terhadap tuhannya dan manusia. Dia takabur dengannya, dia merasa pelik jika
orang tidak mengagung, memulia dan membesarkan kebaikannya. Sentiasalah
keadaannya begitu sehingga bertambah kuasa pengaruh perasaan itu lalu ia
memasukkannya ke dalam neraka. Tanda kebahagiaan itu apabila kebaikan-kebaikan
seseorang hamba Allah itu berada di belakangnya (dia tidak mengingatinya)
sementara kejahatan-kejahatannya pula berada dalam ruangan matanya
(mengingatinya). Tanda kecelakaan pula apabila hamba itu menjadikan
kebaikan-kebaikannya memenuhi ruang matanya sementara kejahatan-kejahatannya
berada di belakangnya (dia melupainya)” (ibid, 1/446).
Pakaian
Agama
Maka janganlah kita sangka semua yang
berpakaian agama itu akan ke syurga. Tidak mustahil lengangan jubah, rida,
serban dan segala lambang-lambang agama yang dipakai dengan kesombongan
sehingga merasa dirinya lebih baik dan sempurna dibanding orang lain, itu semua
hanya mengheret pengamalnya ke dalam neraka.
Ibn Ataillah dalam hikamnya menyebut:
“Boleh jadi Allah membuka untukmu
pintu ketaatan tapi tidak dibuka pintu penerimaan amalan. Boleh jadi
ditakdirkan untukmu maksiat maka itu menjadi sebab jalan sampai kepada Allah.
Maksiat yang menyebabkan seseorang rendah diri dan pasrah lebih baik daripada
ketaatan yang membawa kepada ujub dan takabur”
Apatahlagi mereka yang ujub dan
sombong dengan keturunan seperti yang mendakwa dirinya dari keturunan Nabi
s.a.w ataupun wali ataupun ulama sehingga dia memandang lekeh kepada orang
lain. Ini sama dengan slogan Iblis ketika membantah Allah:
“Aku lebih baik daripadanya (Adam),
aku diciptakan dari api sedangkan dia diciptakan dari tanah” (Surah al-A’raf
ayat 12).
sumber: http://drmaza.com/home/?p=2658
No comments:
Post a Comment