Agenda umat adalah
paling utama
Sinar Harian 28.3.2013
Sejak merdeka agenda membangun umat
berjalan seperti direncana. Ada menempa
kejayaan dan ada bermasalah. Di samping dasar negara yang perlu diperkukuhkan, pelaksanaan
mengambil kira kepentingan rakyat dan ketirisan yang terjadi, ternyata Malaysia
adalah di antara negara yang maju ke hadapan dibandingkan negara umat Islam
lain.
Dr Ghazi Ahmad Hamad, Timbalan Menteri Luar Hamas sewaktu melawat Malaysia
baru-baru ini menyatakan, “Malaysia berada di landasan betul mengisi keperluan
rakyat justeru tuntutan kononnya kerajaan sedia ada perlu dijatuhkan demi
perubahan adalah tidak sesuai sama sekali”.
Pandangan Dr Ghazi pejuang intifadah itu amat menarik untuk direnung. Dengan
melihat Malaysia yang maju, aman dan berdaya saing dalam ekonomi, tentu beliau
melihat Malaysia salah sebuah negara Islam yang boleh membantu kebangunan
Palestin secara berkesan.
Keutamaan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk memerlukan dasar-dasar
seimbang. Agenda Islam yang sedang berjalan mengambil kira faktor masyarakat
bukan Islam supaya bahasa mereka tidak terpinggir dan bebas nyatakan pandangan
selagi tidak bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan.
Bank Rakyat yang operasinya patuh-syariah umpamanya amat diminati oleh pelabur
dan peminjam bukan Islam. Asasnya ialah wujud kestabilan dan keuntungan. Produk
halal umpamanya disertai majoriti peniaga bukan Islam. Asas ini kalau dapat
dikembangkan dengan berhemah dan bijaksana jangka panjangnya boleh hasilkan
sistem ekonomi Islam.
Hal sama juga berlaku dalam dunia pendidikan. Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia mula menerima pelajar bukan Islam untuk mengikuti kursus yang ada. Penubuhan
Kolej Universiti Al-Quran Malaysia yang diumumkan kerajaan baru-baru ini adalah
suatu testimoni untuk melaksanakan pendidikan Islam secara komprehensif.
Apabila ekonomi berkembang secara Islami dan pendidikan berjalan secara sepadu,
ia bakal menghasilkan sumber daya atau modal insan yang mampu masuk dalam
sistem. Sistem dan dasar akan menjadi lebih baik kerana dikendalikan orang
lebih berwibawa.
Allahyarham Tan Sri Prof Ahmad Ibrahim tidak pernah putus asa untuk menyusun
kembali sistem perundangan dan syariah Islam dalam sistem kita. Pendekatan
menyantuni umara dengan program-program bijaksana ternyata memberi kesan baik
kepada pelaksanaan syariah di Malaysia.
Bayangkan sistem pendidikan kita mampu menghasilkan pelajar yang menekuni
bidang syariah dan memahami bidang konvensional - bakal menyumbang ke arah
memperkasa sistem perundangan dan syariah di Malaysia.
Agenda ini terjadi kerana kita ada sebuah kerajaan yang mengambil kira agenda
umat. Umat Islam ketinggalan dan lemah dalam banyak perkara. Kalaulah kuasa
hilang daripada umat dan menjadi dominasi pihak yang ingin memperkenalkan
konsep sama rata dan sama rasa, di samping faham sosialis demokratik yang tidak
mengambil kira kepentingan Islam, ditambah pula dengan faham liberal dan
pluralisme agama yang songsang, sudah tentu agenda utama umat akan menghadapi
masalah.
Asas agenda umat yang telah terbina memerlukan penerusan - hanya boleh berlaku
sekiranya kuasa politik berada di tangan umat Islam. Sekiranya umat Islam
pecah, dominasi pihak ketiga akan terjadi. Umat Islam adalah teras di samping
bekerjasama dengan pihak lain dan keadilan diberikan kepada mereka.
Jika ini terjadi mendapatkannya kembali adalah suatu hal yang payah. Jangan
biarkan kata pepatah, “Nasi menjadi bubur” atau “Terhantuk baru tengadah”
kerana kesannya amat tidak baik bagi umat Islam.
Ambil pendekatan, “Berhati-hati bila meniti, berhemat bila memanjat. Sekali
tergelincir padahnya buruk, sekali terjatuh payah untuk bangun”.
Agenda umat masih belum selesai. Generasi muda Islam mempunyai peluang luas
dalam bidang pendidikan. Usahawan bidang tijarah atau bisnes terus
diperkasakan. Faktor daya saing di kalangan warga umat harus diperkasakan.
Binaan mentaliti subsidi dan rasa selesa dengan apa yang ada harus diatasi. Umat
Islam harus menjadikan agenda mandiri sebagai suatu matlamat dan cita-cita. Kemampuan
untuk bersaing dengan kekuatan sendiri harus menjadi agenda utama.
Globalisasi dan kebangkitan China sebagai suatu kuasa besar memerlukan Malaysia
berdaya maju agar model Islam dapat diketengahkan untuk mengatasi kemelut
kemanusiaan yang menjadikan materalisme segala-gala. Malaysia boleh
berperanan ke arah cita-cita ini.
No comments:
Post a Comment