Thursday, March 28, 2013


Saka keturunan

bersama Haji Lokman Abdul Hamid
www.alhidayah-medic.com


SALAM Tuan Haji Lokman. Nama saya Zulkarnian Zamzuri dari Balek Pulau, Pulau Pinang berusia 30 tahun empat beradik dan saya anak yang kedua.Di sini saya hendak bertanya adakah saya terkena gangguan sihir atau gangguan saka. Sejak ayah saya meninggal dunia 3 tahun lepas, kesihatan saya selalu terganggu.

Kadang-kadang saya tidak boleh tidur malam, mimpi menakutkan, sakit di sendi terutama di bahagian pinggang dan tengkuk dan fikiran saya kebingungan.

Susah untuk saya hendak fokus dan membuat sesuatu kerja. Prestasi kerja saya merosot dan kadang-kadang saya merasa diri saya kosong dan tidak bersemangat.

Saya sudah pergi berjumpa beberapa doktor pakar dan semua mengatakan saya sihat dan tidak ada apa-apa penyakit fizikal dan ada daripada mereka berpendapat saya menghadapi penyakit kemurungan.

Saya pernah berjumpa dengan seorang Ustaz di kampung saya dan dia memberitahu saya ada gangguan saka dari keturunan saya. Saya minta penjelasan dari Tuan Haji.

Jawapan

Gangguan makhluk halus, penyakit yang boleh dikira sebagai dominan dalam masyarakat Melayu kita, sejak dari dulu, hingga ke era moden seperti hari ini.

Setiap hari perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah pasti bertemu dengan pesakit yang mengalami masalah gangguan makhluk halus. Antara gangguan yang sangat popular dan selalu dikenal pasti adalah gangguan saka.

Pesakit tersebut kadang-kala tidak terfikir bahawa sakit yang dialami oleh mereka bertahun-tahun lamanya dan tidak sembuh walaupun sudah mendapat rawatan moden disebabkan oleh gangguan saka.

Banyak kali pesakit datang ke klinik kami untuk berubat sakit sendi atau urat saraf, tetapi apabila dikenal pasti penyakit yang dialami sebenarnya adalah gangguan saka. Untuk pengetahuan pembaca, gangguan saka adalah merupakan jin-jin yang diwarisi daripada seorang manusia kepada manusia lain sama ada secara disedari atau tidak disedari dan biasanya melibatkan keturunan iaitu mempunyai pertalian darah yang sama.

Melalui pengalaman saya mengeluarkan saka dari badan pesakit, kebanyakan daripada saka adalah dari keturunan sebelah keluarga bapa pesakit dan jarang sekali kami berjumpa saka yang berasal dari sebelah keluarga ibu.

Kenapa ini berlaku adalah kerana pertalian darah dari bapa kepada anak-anak lebih kuat dari pertalian darah dari ibu kepada anak-anak.

Manakala gangguan sihir pula, adalah gangguan jin dan iblis yang dihantar kepada sesaorang daripada seseorang yang mempunyai niat jahat melalui pengamal sihir. Selalunya pengamal-pengamal sihir ini menggunakan jin dan iblis untuk menganiayai seorang yang disasarkan oleh pelanggan mereka.

Apa pun jenis jenama sihir yang ada sekarang di zaman moden seperti santau, susuk, ilmu kebal, ilmu pemisah dan pengasih, semuanya berlaku melalui campur tangan jin dan iblis ini yang berdamping dengan pengamal-pengamal sihir tersebut.

Bukan semua anak-anak dalam keluarga itu boleh mewarisi saka keturunan dari keluarga. Jin-jin saka ini boleh memilih (pick and choose) anak-anak tuan mereka, untuk didampingi oleh mereka.

Sukar untuk saya memberi penjelasan apakah kriteria atau ciri-ciri yang ada pada anak-anak yang boleh membuat tubuh badan mereka ini senang didampingi oleh makhluk-makhluk halus ini.

Tidak ada satu formula yang boleh kita guna pakai untuk meramal siapa antara ahli keluarga itu didampingi oleh jin-jin saka ini.

Tidak semestinya anak yang sulung dalam keluarga itu atau hanya anak-anak lelaki sahaja yang selalu didampingi oleh jin-jin saka ini. Sehingga hari ini, kita masih belum memahami dengan jelas, bagaimana kaedah dan kriteria pemilihan ahli keluarga itu didampingi oleh jin-jin saka ini.
Mungkin faktor-faktor seperti lemah semangat, kekuatan iman, kepercayaan kepada benda-benda khurafat seperti menyimpan senjata-senjata lama yang diwarisi dari keturunan mereka dan sebagainya.

Masyarakat Melayu pada zaman dahulu suka memelihara dan berdamping dengan jin-jin kerana mempercayai makhluk yang didampingi tersebut boleh menjadi pembantu mereka dalam kerja-kerja seharian.

Sebagai contoh, terdapat kisah orang-orang tua dahulu yang berpesan kepada anak isteri mereka bahawa akan ada makhluk halus yang menjaga rumah mereka sepanjang tempoh si suami atau ayah tersebut keluar ke laut atau hutan untuk mencari rezeki.

Kadang-kala, mereka ini menuntut apa-apa ilmu yang disangka sebagai ilmu dunia ghaib tanpa mengetahui bahawa untuk menguasai ilmu tersebut, mereka akan didampingi oleh jin-jin yang dianugerahkan oleh tok guru mereka tanpa mereka sedari.

Ilmu-ilmu tersebut seringkali melibatkan ilmu-ilmu seperti ilmu pendinding, amalan kebatinan, ilmu kecantikan seperti susuk, ilmu pelaris untuk memajukan perniagaan, ilmu untuk menundukkan kuasa seseorang, ilmu sihir pemisah atau sihir pengasih dan sebagainya.

APA ITU JIN?

Pada zaman moden sekarang ramai di kalangan umat Islam yang hampir tidak dapat mempercayai wujudnya golongan jin-jin atau makhluk halus ini.

Namun, golongan jin merupakan makhluk halus yang harus diyakini akan kewujudan mereka walaupun mata kasar manusia tidak dapat melihat jin-jin tersebut.

Allah swt telah menyebut mengenai kewujudan jin-jin berulang kali di dalam Al-Quran dan salah satu daripada surah dalam AL-Quran sendiri dinamakan sebagai surah Al-Jinn.

Contoh dalil akan kewujudan jin adalah seperti di dalam firman Allah swt di dalam surah az-Zariyat ayat ke 56: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."

Sebab utama kenapa golongan jin tidak dapat dilihat oleh manusia kerana jin merupakan makhluk halus yang berasal daripada unsur-unsur kejadian yang berlainan dan berbeza daripada manusia, iaitu api.

Dalilnya, firman Allah Ta'ala di dalam surah Ar-Rahman, ayat 15 menyatakan:

“Dan Dia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang."
Selain itu di dalam surah Al-Hijr, ayat 27 Allah swt turut berfirman bahawa;

“Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma."

Ramai pesakit yang dirasuki atau diganggu oleh jin mengadu tubuh badan mereka selalu rasa panas.

Perkara ini dapat dijelaskan seperti yang disebut dalam ayat-ayat Al-Quran seperti diatas iaitu kejadian jin itu adalah daripada api.

Banyak rencana yang ditulis oleh pemikir-pemikir Barat berkenaan “energy" yang dikeluarkan oleh benda-benda halus ini. “Energy" yang selalu dimaksudkan ini ialah bahang api dari unsur-unsur jin-jin tersebut .

Jin tidak mempunyai jasad seperti manusia sebab itu mereka dipanggil makhluk halus. Tidak mempunyai jasad bermakna mereka tidak ada darah, daging, tulang dan kulit seperti manusia.

Oleh kerana mereka tidak ada jasad, mereka lebih fleksibel daripada manusia, iaitu boleh mengecilkan bentuk asal mereka sehingga boleh memasuki tubuh manusia melalui saluran-saluran darah dan boleh hidup dalam badan manusia bertahun-tahun lamanya.

(Bersambung ke minggu hadapan}

No comments:

Post a Comment