SEMUA insan pasti akan menemui suatu detik yang tidak dapat dielak lagi. Sama ada dia seorang rakyat jelata atau pemerintah negara, detik itu pasti akan tiba. Tidak mengira pangkat apa yang disandang, setinggi mana nama dijulang, berapa guni harta di gudang, detik itu tetap akan datang.
Detik inilah yang dinamakan kematian
Kematian bukanlah noktah terakhir untuk segala-galanya. Ia adalah fasa pemindahan dari suatu alam ke alam yang lain. Dari alam kehidupan di dunia berpindah menuju ke alam kehidupan di akhirat. Akhirat sebenarnya destinasi yang dituju. Di sana akan disoal siasat satu persatu. Keadaannya tidak menentu. Lain orang lainlah nasib keadaannya. Ada yang di dalam ketenangan dan kebahagiaan di bawah naungan Tuhan. Ada yang terseksa di dalam kepanasan, kehausan dan kelemasan.
Rasulullah SAW memberikan gambaran suasana kedahsyatan pada hari tersebut: “Pada hari Kiamat didekatkan matahari kepada makhluk sehingga jaraknya satu batu. Pada ketika itu, manusia berada di dalam peluh masing-masing menurut kadar amalan jahat yang dilakukan. Ada yang (peluhnya) sekadar sampai di buku lali, lutut, pinggang dan mulut (sambil Baginda menunjukkan isyarat ke mulutnya). (Riwayat Muslim dan Tirmizi)
Namun, Rasulullah SAW memberikan kita khabar gembira tentang siapakah yang akan mendapat layanan istimewa, yang selamat dari azab siksaNya.
Abu Hurairah melaporkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tujuh golongan yang ALLAH SWT akan naungi mereka pada hari yang tiada naungan selain naungan ALLAH SWT: pemimpin yang adil, pemuda yang hidup dalam melakukan ibadat kepada ALLAH SWT, lelaki yang jiwanya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih-kasihan kerana ALLAH SWT bertemu dan berpisah keranaNya, lelaki yang diajak oleh wanita yang cantik dan berkedudukan untuk melakukan zina, lalu dia menjawab: sesungguhnya aku takutkan ALLAH SWT, lelaki yang memberikan sedekah dan disembunyikan sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diberi oleh tangan kanan, dan lelaki yang mengingati ALLAH SWT secara seorang diri lalu mengalirkan air matanya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Di dalam hadis ini, Rasulullah SAW menyenaraikan tujuh golongan yang akan selamat dan mendapat perlindungan ALLAH SWT di akhirat kelak. Namun, ia bukanlah bermakna hanya tujuh golongan ini sahaja. Di dalam hadis-hadis yang lain, baginda menyenaraikan lagi golongan yang lain seperti yang dikumpulkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari.
Namun, memadai dengan satu hadis yang kita baca, ia telah mampu menggetarkan seluruh jiwa. Persoalan yang kita perlu tanya: selamatkah aku di sana? Kedudukan yang kita miliki, harta yang kita cari, rumah yang kita diami, kenderaan yang kita naiki, anak pinak yang kita sayangi; apakah itu semua dapat membantu kita untuk selamat di akhirat nanti?.
Di dalam senarai tujuh golongan yang akan selamat mendapat naungan ALLAH SWT, Rasulullah SAW mulakan dengan menyebut pemimpin yang adil. Seseorang yang dilantik menjadi pemimpin, jawatan tersebut akan membuka pintu yang luas untuknya meraih keredaan ALLAH SWT. Namun, jawatan tersebut juga boleh menyebabkannya dihumban ke dalam api neraka. Reda ALLAH SWT bagi pemimpin yang adil.
Azab dan siksa dijanjikan bagi pemimpin yang zalim
Pemimpin yang adil, merupakan nikmat yang terindah buat rakyat. Pemimpin yang zalim menjadi musibah yang akan meruntun kebahagiaan umat. Mungkin ada yang akan bertanya, tergamakkah pemimpin untuk menzalimi rakyatnya sendiri? Ya dan sejarah telah pun membuktikannya. Hari ini juga kita dapat menyaksikannya sendiri. Cuma mungkin jalan ceritanya berbeza dan wataknya bersilih ganti.
Justeru, Rasulullah SAW mengingatkan kita: “Sesungguhnya selepas aku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka, maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya. Dia tidak mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dalam kalanganku dan aku dari kalangannya. Dia akan mendatangi telaga (di syurga)”.
(Al-Haitami berkata: Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bazzar dan al-Tabrani di dalam al-Kabir dan al-Awsat. Para perawi salah satu sanad al-Bazzar dan Ahmad adalah para perawi Sahih al-Bukhari)
Pemimpin yang adil ialah mereka yang menjalankan urusan pentadbiran mereka berpandukan keadilan. Tidak ada lagi keadilan yang paling utama selain keadilan syariat ALLAH SWT. Mereka yang menjadikan syariat sebagai landasan utama pentadbiran, maka itulah pemimpin yang adil. Namun, jika syariat tidak menjadi rujukan, diganti pula dengan nafsu yang merosakkan, di celah itulah akan munculnya kezaliman.
Rasuah, riba, pecah amanah, pembohongan, penyelewengan harta, penafian hak, penindasan kuasa; ini semua adalah contoh-contoh api kezaliman yang memadamkan cahaya keadilan. Bukan setakat kita diharamkan untuk melakukan kezaliman, bahkan kita juga ditegah cenderung menyokong mereka yang zalim. ALLAH SWT mengingatkan kita: “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka jika kamu melakukan demikian, api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari ALLAH SWT. Kemudian ( dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan”. (Surah Hud: 113)
Sekiranya kita bencikan kezaliman, langkah pertama ialah jangan berlaku zalim ke atas diri sendiri. Urus dan tadbir kehidupan diri sendiri dengan penuh keadilan, berpandukan syariat Tuhan. Keadilan dituntut ke atas pemimpin, dan setiap kita adalah pemimpin untuk diri sendiri.
Apabila kita mengurus dan mentadbir diri sendiri dengan keadilan, kita juga mahukan mereka yang menguruskan hal ehwal rakyat dan negara adalah dari kalangan mereka yang adil. Mudah-mudahan keadilan yang berteraskan syariat yang kita tegakkan ini, menjadi hujah untuk kita mengacapi nikmat di akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment