Tujuan penciptaan akal
Allah SWT telah mengurniakan akal
kepada setiap manusia untuk menggunakan nikmat pemberian itu dengan
sebaik-baiknya dalam meniti kehidupan. Akal manusia mampu mentadbir alam ini
dengan sempurna supaya kehidupan dilalui dalam keadaan yang harmoni dan
teratur.
Namun, ada kala pemberian Allah SWT ini disalahgunakan tanpa rasa berdosa
kepada penciptanya. Sesungguhnya akal pemberian Allah kepada manusia perlu
digunakan dengan sebaik-baiknya. Allah menceritakan mengenai hamba-Nya yang
digelar ‘Ulul al-Bab’ yang beriman dan menggunakan akal pemikiran dengan
sebaik-baiknya dalam mentaati segala perintah-Nya.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya pada
penciptaan langit dan bumi, pertukaran waktu malam dan juga siang adalah
tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berfikir. Mereka ialah manusia
yang sentiasa mengingati Allah ketika berdiri, duduk mahupun berbaring. Mereka
memikirkan pada penciptaan langit dan bumi (lalu berkata): Wahai Tuhan kami
sesungguhnya Kamu tidak menciptakan semua ini secara sia-sia, maha suci Engkau
maka jauhilah kami daripada azab api neraka.” (Surah Ali-Imran, ayat 190-191)
Tujuan utama penciptaan akal
Ayat ini jelas menunjukkan tujuan utama penciptaan akal adalah untuk melihat
kebesaran Allah SWT melalui penciptaan alam, seterusnya tunduk dan patuh kepada
segala perintah-Nya. Antara kegunaan akal adalah untuk memahami syariat Islam
yang diturunkan Allah SWT melalui kalam-Nya al-Quran.
Malah akal yang diberikan Allah SWT adalah penentu dalam meletakkan hukum bagi
setiap manusia yang mukalaf.
Sabda Nabi SAW: “Diangkatkan penulisan (dosa) daripada tiga golongan: orang
yang tidur sehinggalah dia bangun, kanak-kanak sehinggalah dia bermimpi
(baligh) dan orang gila sehinggalah dia waras.” (Direkodkan oleh Imam Abu Daud)
Tujuan dikecualikan dosa bagi tiga golongan ini disebabkan keterbatasan dalam
penggunaan akal fikiran yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka. Selain itu akal adalah kurniaan Allah yang cukup besar untuk manusia
mengenalpasti dan menganalisis hukum dalam syariat Islam.
Dibenarkan berijtihad
Buktinya kita dibenarkan berijtihad bagi sesuatu hukum yang baru apabila
terdapat nas jelas bagi permasalahan itu. Oleh itu, akal digunakan untuk
berijtihad dalam permasalahan berkenaan melalui dalil berbentuk umum.
Namun ijtihad tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya tetapi mestilah
melalui individu yang diiktiraf ketinggian ilmu mereka dalam selok-belok agama. Akal digunakan dalam permasalahan
qiyas iaitu meletakkan hukum bagi permasalahan baru berdasarkan hukum sedia ada
melalui persamaan illah (sebab). Contohnya, pengharaman menagih dadah yang
diqiyaskan kepada pengharaman arak melalui sebabnya iaitu menghilangkan
kewarasan akal manusia.
Walaupun dibenarkan untuk kita menggunakan akal dalam perbahasan berkaitan syariat
Islam namun perlu diketahui bahawa akal manusia tidak boleh melangkau serta
melepasi batasan nas al-Quran dan al-Sunnah. Sebaliknya
akal manusia perlulah mengikut sesuatu yang telah diterangkan oleh Allah SWT
dan Rasul-Nya. Allah SWT berfirman: “Wahai orang yang beriman janganlah kamu
mendahului urusan Allah dan Rasul-Nya; dan bertakwalah kamu kepada Allah SWT,
sesungguhnya Allah SWT Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Hujurat,
ayat 1).
Akal yang waras perlu mengikut ketetapan hukum daripada al-Quran dan al-Sunnah.
Sesungguhnya setiap yang dinyatakan oleh Allah SWT adalah perkara terbaik bagi
sekalian manusia dalam segala aspek kehidupan mereka. Maka sesiapa yang
meminggirkan al-Quran dan al-Sunnah secara sengaja bermakna mereka telah
mendahului urusan Allah SWT dan Rasul-Nya.
Akal yang diberikan Allah SWT perlu diselarikan dengan pemahaman dalil daripada
al-Quran dan al-Sunnah. Dalam Islam, akal digunakan untuk menghuraikan ayat
al-Quran dan sunnah Nabi SAW mengikut disiplin yang tertentu.
Akal bukan sumber hukum
Kita dilarang sama sekali untuk meletakkan akal sebagai sumber hukum dan
menjadikan nas al-Quran dan al-Sunnah sebagai penghurainya. Ini adalah kaedah
yang salah kerana mendahulukan akal daripada dalilal-Quran dan al-Sunnah. Memahami ayat al-Quran memerlukan kita
melihat huraian ulama tafsir yang muktabar kerana ulama menggunakan dua kaedah
utama iaitu al-Tafsir bi al-Ma’thur dan al-Tafsir bi al-Ra’y.
Maksud al-Tafsir bi al-Ma’thur adalah menghuraikan ayat al-Quran berpandukan
ayat al-Quran yang lain. Di samping itu kaedah tafsir ini juga menghuraikan
ayat al-Quran menggunakan hadis Nabi SAW dan athar sahabat. Kaedah al-Tafsir bi al-Ra’y ialah
huraian ayat al-Quran dengan mengetengahkan pendapat peribadi mahupun pandangan
sarjana Islam lain. Daripada huraian itu maka terserlah hikmah daripada ayat
al-Quran yang kadangkala tidak mampu dilihat oleh mata-mata manusia.
Antara karya tafsir yang menggunakan pendekatan ini ialah kitab Fi Zilal
al-Quran karangan Ustaz Sayyid Qutb. Walaupun
begitu, kaedah al-Tafsir bi al-Ma’thur perlulah diutamakan dalam perbahasan
ayat al-Quran dan seterusnya diselitkan hikmah serta pandangan yang mampu
memberi manfaat kepada pembaca dengan menggunakan kaedah al-Tafsir bi al-Ra’y.
Untuk memahami hadis Nabi SAW, akal memainkan peranan utama. Terdapat dua
kajian utama iaitu kajian sanad (jalur periwayatan) dan kajian matan (teks
hadis). Kajian terhadap sanad sebelum ia sampai kepada Nabi SAW manakala kajian
matan meliputi pemahaman dan pengeluaran hukum daripada hadis.
Akal memainkan peranan penting dalam memahami syariat Islam. Adanya akal yang
waras segala hukum mampu difahami oleh umat Islam. Namun, akal yang dikurniakan
itu perlulah selari dengan tuntutan al-Quran dan al-Sunnah tanpa sebarang
pertikaian
No comments:
Post a Comment