Berbakti kepada al-Quran
Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
PENGKAJIAN
terhadap sejarah kehidupan ulama dalam bidang al-Quran dan penghayatan mereka
terhadap al-Quran menginsafkan diri sendiri betapa jauhnya diri dengan
al-Quran. Mereka menghabiskan banyak masa dengan al-Quran sama ada dalam
pengajaran atau penulisan.
Syeikh
Amir Sayyid Uthman umpamanya merupakan tokoh yang amat disegani dalam ilmu
al-Quran pada zaman beliau. Diceritakan bahawa di mana sahaja kamu berjumpa
dengan Syeikh Amir pasti kamu akan dapati ada seseorang di sampingnya sedang
membaca al-Quran bertalaqqi daripadanya. Walaupun ketika beliau sedang menunggu
teksi atau dalam kapal terbang pasti ada seorang murid membaca al-Quran di sisi
beliau.
Ulama
silam menghabiskan masa dengan menjadi khadam kepada al-Quran. Mulut mereka
selalu membaca al-Quran walau di mana sahaja berada. Perkara ini amat berlainan
dengan adat masyarakat kita yang selalu membaca al-Quran dalam program tertentu
sahaja. Bahkan pada hari Jumaat, al-Quran tersimpan dengan rapi di rak-rak
dalam ruangan masjid tanpa disentuh. Orang yang membacanya akan dipandang
dengan pandangan yang pelik.
Berlainan
pula pemandangan dengan masjid-masjid di Tanah Arab, terutamanya di Masjid Nabi
dan Masjidil Haram Mekah. Satu jam sebelum khutbah semua rak-rak al-Quran
kosong kerana al-Quran berada di tangan pembacanya. Orang yang datang lewat
akan membawa al-Quran sendiri yang bersaiz poket. Dan orang yang tidak membaca
al-Quran akan merasa aib dan malu kerana tidak membaca al-Quran lantaran semua
orang membaca al-Quran.
Pada
awal 80-an seorang tokoh ulama bernama Syeikh Abdul Fattah al-Mirsafi pergi ke
Madinah al-Munawwarah sebagai pensyarah di Kuliah al-Quran, Universiti Islam
Madinah. Beliau amat alim dalam bidang Qiraat dan al-Quran menghasilkan karang
yang menjadi rujukan dalam ilmu tajwid iaitu Hidayah al-Qari Ila Tajwid Kalam
al-Bari.
Syeikh
al-Mirsafi menjadi tumpuan pelajar untuk talaqi al-Quran dan qiraat. Selepas
sesi pengajaran di universiti, ramai pelajar berkunjung ke rumahnya untuk
bertalaqqi al-Quran. Sehingga dikatakan rumahnya sesak dengan pelajar dan
mereka membaca seorang demi seorang sehingga lewat malam. Malah ketika beliau
menjamah makanan ada pelajar yang membaca di sisi Syeikh al-Mirsafi.
Sudah
menjadi ketentuan Ilahi akan menghabiskan riwayat seseorang mengikut amalannya.
Ibarat seorang guru yang berpesan kepada muridnya jika lori yang membawa sayur
kemalangan maka bertaburanlah sayur di atas jalan dan jika lori yang membawa
najis kemalangan maka bertaburanlah najis di jalan dan mustahil berlaku
sebaliknya.
Syeikh
al-Mirsafi yang menghabiskan masa harian beliau dengan mengajar al-Quran telah
meninggal dunia ketika beliau mendengar al-Quran daripada bacaan seorang
pelajarnya yang bernama Syeikh Bilal. Ketika Syeikh Bilal khusyuk membaca surah
al-Mulk juzuk 29 pada ayat 12 yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang takut
dengan Tuhan mereka tanpa melihatnya bagi mereka keampunan dan ganjaran yang
besar. Syeikh Mirsafi rebah dan meninggal dunia.
Lantaran
itu, marilah sama-sama kita berbakti kepada al-Quran yang merupakan kitab Allah
panduan kepada seluruh manusia. Membacanya membawa kepada rahmat dan mendapat
ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.
Peluang
mendapat rahmat Allah SWT terbentang luas di hadapan kita, tepuk dada tanyalah
iman. Semoga amalan yang kita lakukan itu memungkinkan kita termasuk dalam
kalangan ahli al-Quran sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
No comments:
Post a Comment