Keadilan bakal menjadi tema penting bagi musim pilihan raya mendatang. Ramai rakyat Malaysia merasakan ketidakadilan yang mendalam – dengan golongan elit lemas dalam lautan kemewahan dan kuasa, tetapi kerap mengelak daripada tanggungjawab diberikan.

Inilah menyebabkan masyarakat berpandangan sinis apabila melihat defendan-defendan berpengaruh berjaya mengelak sistem keadilan dengan lagak seperti mereka kebal dari undang-undang negara.

Suka atau tidak, persepsi itu penting, dan prognosis ini amat buruk buat Malaysia.

Apa lebih menarik – walaupun saya pasti ramai tidak akan bersetuju – mungkin kita boleh mempelajari sedikit sebanyak daripada jiran kita, Indonesia dalam berdepan golongan elit dan kemungkaran mereka.

Perkara yang berlaku kebelakangan ini menjadi kayu ukur bagaimana pihak berkuasa di Indonesia sangat berani menghadapi kuasa-kuasa berpengaruh.

Beberapa minggu kelmarin, Anas Urbaningrum, Ketua Umum Parti Demokrat- tonggak kerajaan koalisi pemerintahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) diisytiharkan secara rasmi sebagai suspek dalam skandal rasuah Kompleks Sukan  Hambalang oleh Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK).

Anas dituduh menerima pelbagai sogokan (termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Harrier) sebagai ganjaran untuk mendapatkan projek. Hambalang di Jawa Barat sangat sinonim dengan salah urus pentadbiran dan rasuah. Malah, kos pembinaan melonjak dari IDR 125 bilion (bersamaan MYR 40.18 juta) kepada IDR 2.5 trilian (MYR 803 juta).

Mereka yang jadi “mangsa” pendedahan ini bukan calang-calang orang, termasuk Bendahari Parti Demokrat M Nazaruddin (kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun) dan bekas Menteri Belia dan Sukan yang satu ketika dahulu merupakan bintang muda Parti Demokrat, Andi Mallarangeng.

Kes Anas menjerumuskan parti yang dibina Presiden SBY ke dalam kemelut lebih teruk, dengan ada ura-ura mengatakan anak bongsu Presiden itu, Edhie Baskoro Yudhoyono (dipanggil ‘Ibas’) juga turut terlibat dalam skandal rasuah Hambalang.

Pendedahan mengejutkan ini memenuhi dada-dada akhbar di republik itu, membuat saya berfikir bagaimana Indonesia dan Malaysia masing-masing berdepan isu rasuah.
Ingin saya maklumkan di sini bahawa Andi Mallarangeng adalah teman saya dan Anas pernah saya temu bual sebelum ini.

Ironisnya sepanjang 30 tahun ini, saya tidak pernah bertemu seorang pun pemimpin Malaysia pernah dipenjarakan kerana rasuah – tanpa mengira kes Anwar Ibrahim yang agak disangsikan.

Semestinya ada yang akan menganggap bahawa ini membuktikan Indonesia lebih korup dari Malaysia. Namun walaupun menyedihkan, saya tidak boleh untuk bersetuju.

Sebaliknya ini menunjukkan proses kehakiman di Indonesia lebih berkesan dan bebas daripada pengaruh luar berbanding di Malaysia. Semestinya, perbandingan ini amat merisaukan.

Satu lagi faktor penting adalah media di Indonesia yang sangat bernyawa dan bebas. Tiada satu parti politik atau pemimpin negara akan mampu mengawal (atau menakut-nakutkan) mana-mana akhbar, laman web, radio dan stesen televisyen di negara yang didiami 240 juta penduduk itu.

Mungkin kerana ini, pihak media tidak berasa takut untuk mengetengahkan isu-isu rasuah berprofil tinggi.

Namun begitu, KPK, yang ditubuhkan pada 2002, pasca Reformasi mempunyai kuasa berkanun dan menggunakannya dengan betul. Badan ini diberi kuasa menyiasat kes-kes rasuah dan mendakwa pihak terbabit dan ketegasan mereka dalam menangani skandal-skandal ini memberi kredibiliti kepada badan tersebut.

Bukan itu sahaja, kedua-dua KPK dan media di Indonesia langsung tidak takut dalam menjalankan penyiasatan masing-masing meskipun ia membabitkan keluarga Presiden. Mereka tidak goyah dalam menghadapi kuasa-kuasa besar. Sebaliknya, mereka lebih bersungguh-sungguh.

Ironisnya biarpun benar banyak kes rasuah kecil yang terlepas pandang atau dilambatkan proses birokrasi, kes-kes berprofil tinggi dipercepatkan dan hampir pasti dibawa ke muka pengadilan sepantas mungkin. Sudah saya katakan dahulu, dan ingin saya ulangi lagi banyak perkara yang boleh kita pelajari dari negara seberang.