Manusia Mudah Lupa Nikmat
Usia panjang peluang
terus jadi hamba yang taat dan bersyukur
Tentulah kita tidak
boleh menyesali kepayahan dan kesukaran hidup di dunia, anggaplah ada hikmah
yang menanti sementara iman diuji, tetapi berusahalah untuk mencari kesenangan.
Firman Allah SWT: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya
kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya
Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nahl, ayat 18)
Tidak lupa syukuri nikmat
Sebab itulah kita tidak harus lupa mensyukuri segala kemurahan hati Allah SWT
menganugerahkan sebuah kehidupan yang lengkap buat makhluk-Nya di bumi, cuma
ada kemudahan yang Allah sediakan tidak dapat dimanfaatkan akibat sikap manusia
juga yang tidak tahu menghargai nikmat.
Sikap manusia yang mudah lalai dan lupa juga menyebabkan nikmat dikurniakan
tidak memberi apa-apa faedah kepada manusia itu sendiri. Usia yang panjang
sepatutnya diisi dengan kebajikan dan faedah kepada diri serta orang lain
tetapi dihabiskan aktiviti judi dan zina.
Tidak pula terkilan dengan kezaliman dan kejahatan meragut serta merompak,
bahkan ada kehidupan orang lain yang terkesan juga disebabkan kejahilan ini.
Rasulullah SAW bersabda diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmizi: “Tidak berganjak
kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya
pada perkara apakah ia habiskan, dan ilmunya untuk apakah ia gunakan, dan harta
bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, dan juga tubuh
badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya.”
Guna tenaga, akal cari rezeki
Adanya tenaga dan akal gunalah untuk mencari rezeki halal. Apa salahnya merasa
nikmat yang Allah berikan percuma untuk dilaburkan bagi mendapat nikmat lain.
Buat orang yang berhati-hati menjaga amanah Allah SWT, mereka tidak akan alpa
dengan kemewahan dunia kerana tahu semua adalah pinjaman saja.
Sebaliknya, mereka berusaha meningkatkan limpahan rahmat dan nikmat itu supaya
nikmat Allah yang ada padanya dapat dikongsi dengan orang lain yang kurang
berkemampuan. Orang yang tidak melupakan hari akhirat walaupun dunia ini
menjanjikan seribu kemewahan tidak membazirkan nikmat Allah dengan
keangkuhannya sebagai manusia.
Memusnahkan imbangan alam, mengotorkan sumber air, membiarkan tanah tanpa
tanaman dan menzalimi sesama makhluk Allah lainnya untuk nikmat sementara
adalah petanda orang yang tidak mengetahui hakikat kurniaan nikmat dunia untuk
menuju kehidupan akhirat lebih senang dan mewah.
Nikmat usia panjang
Sambutan ulang tahun kelahiran yang saban tahun diraikan haruslah dijadikan
kayu pengukur sama ada nikmat usia dikurniakan benar-benar kita hargai. Adakah
kita terus menjadi hamba yang taat atau ingkar, adakah kita menjaga hubungan
sesama insan dengan baik atau kita menyusahkan orang lain.
Adakah kita banyak memanfaatkan kurniaan Allah atau kita membinasakannya dan
adakah kita berbaloi diizinkan terus benafas?
Rasulullah SAW bersabda: “Daripada Abdul Rahman bin Abi Bakrah dari ayahnya,
seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah! Siapakah sebaik-baik manusia?
Berkata Rasulullah: Sebaik-baik manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya
dan umur itu dipergunakan untuk berbuat kebaikan. Berkata lelaki itu lagi:
Siapakah sejahat-jahat manusia? Maka Rasulullah berkata: Sejahat-jahat manusia
ialah orang yang dipanjangkan umurnya tetapi digunakannya untuk berbuat
kejahatan.” (Riwayat Al-Imam At-Tirmizi)
Usia yang panjang adalah satu nikmat tidak ternilai kerana kita terus dapat
beribadat, merasai kehidupan, berkongsi kebahagiaan dan merencana masa depan.
Jika nikmat usia diambil semula oleh pemiliknya maka kita tiada peluang lagi
untuk terus menjadi hamba yang taat dan bersyukur.
Sebab itulah jika kita beringat bahawa setiap yang bermula itu ada akhirnya,
maka usia adalah satu peringatan sangat bermakna.
Firman Allah SWT: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang telah ditetapkan,
maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat
pun dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Surah Al-‘Araaf, ayat 34)
Justeru, jika kita mengerti nikmat Allah SWT yang satu ini tidak boleh dirayu
jika Allah menghendakinya semula, apalah daya kita. Sedangkan bertahun lamanya
Dia berikan kita peluang dan ruang untuk memanfaatkannya demi kehidupan yang
lebih abadi.
Janji-janji kosong juga tidak mampu menukar qada’ dan qadarnya. Kita sepatutnya
tersedar dari awal dan tahu bahawa kematian adalah pengakhirnya. Sedang pintu
taubat sentiasa terbuka, janganlah kita longlai usaha untuk menjadi insan.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia
No comments:
Post a Comment