ABD RAZAK MUTH
ALIB, PERUNDING LATIHAN DAN MOTIVASI DI AITC.
17 Oktober 2014
MERENUNG kisah
Khalifah Umar bin Abd al-Aziz selepas beliau dilantik menjadi khalifah, amat
meruntun jiwa dan perasaan. Pembesar yang menunggu kehadiran Umar bin Abd
al-Aziz hairan kenapa beliau tidak muncul di khalayak ramai.
Lalu mereka bertanya kepada anaknya. Kata anaknya: “Ayahku sejak dilantik,
beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya,
air matanya bercucuran hingga ke janggutnya.
Apabila ditanya, dia berkata: “Wahai Fatimah! Aku dikalungkan urusan umat
Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir perihal orang yang fakir,
yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi
lagi dipaksa, tawanan perang yang di jauh, orang tua yang uzur, orang mempunyai
keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada
di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu Tuhanku akan bertanya aku
mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh
untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis.” (Lihat: Mahmud al-Baji, Muthul ‘Ulya
min Qada al-Islam, 144)
menangis ingat akhirat
Masih ada lagikah pemimpin umat seperti ini? Menangis kerana takutkan saat
bertemu Tuhan bagi menjawab segala amanah yang dipertanggungjawabkan. Apabila
dilantik menjadi pemimpin, fikirannya kepada kebajikan rakyat, kerana ada yang
susah dan melarat, lalu timbul rasa resah apakah jawapannya di akhirat.
Alangkah bahagianya jika kita berada di bawah pemerintahan pemimpin seperti
ini. Nasib rakyat benar-benar terjaga. Jauh sekali terasa dianiaya. Suara
penderitaan rakyat didengar dan dibela. Adil dan saksama. Kesusahan dan
kesenangan dirasai bersama. Jawatan dan pangkat tidak disalah guna untuk
kemewahan diri dan sanak keluarga.
Menjadi pemimpin bukanlah suatu yang mudah dan ringan bagi mereka yang sentiasa
ingat bahawa akan ada hari perhitungan di hadapan Tuhan. Semakin tinggi jawatan, semakin berat amanahnya. Semakin berat amanah,
semakin banyak soal bicaranya. Jika di dunia seorang pemimpin mampu bercakap
keluarkan alasan itu dan ini bagi menghalalkan pengkhianatan amanah yang
dilakukan, jangan harap untuk ulanginya di akhirat.
ALLAH SWT mengingatkan: “Pada waktu itu Kami meterai mulut mereka (sejurus);
dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan
masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka
telah usahakan”. (Surah Yaasin: 65)
Hanya sifat keadilan dan ketakwaan mampu menjamin nasib seorang pemimpin di
akhirat kelak. Sebab itulah di dalam hadis yang diriwayatkan al-Bukhari dan
Muslim, Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW menyenaraikan satu
daripada tujuh golongan yang akan mendapat naungan ALLAH SWT di akhirat ialah
pemimpin yang adil.
Rakyat
pilih pemimpin adil
Justeru menjadi tanggungjawab rakyat juga apabila ingin melantik pemimpin,
kriteria yang dinilai ialah tokoh yang berwibawa, bijak, amanah dan mampu
memerintah dengan adil.
ALLAH SWT berfirman:memerintahkan kita: "Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu
supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak
menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (ALLAH
menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya ALLAH dengan (suruhan-Nya)
itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya ALLAH
sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat." (Surah Al-Nisa’: 58)
Rakyat perlu mengangkat pemimpin yang bijak, amanah dan adil. Malanglah bagi
sebuah masyarakat jika yang dinilai layak menjadi pemimpin ialah mereka yang
hartanya melimpah ruah, rumah tersergam indah, pakaian dan kereta serba mewah,
tetapi amanah dan keadilannya punah ranah.
Tidak
salah pemimpin kaya
Tidak salah untuk pemimpin menjadi kaya raya, asalkan kekayaan itu adalah hasil
titik peluhnya secara halal. Mudah-mudahan kekayaannya itu dapat membantu
menyempurnakan lagi tanggungjawabnya kepada rakyat jelata. Jika pemimpin yang
diangkat hanya memikirkan kekayaan dirinya, maka akan terjadilah rakyat disuruh
berjimat cermat, tidak membeli barangan yang mewah, sambil itu dia mengangkat
telefon bimbit terbarunya dengan megah.
Ini satu musibah!
Islam tidak menghalang pemimpin mahupun rakyat untuk menjadi kaya. Tetapi
biarlah ia diperolehi dan dinikmati secara halal, adil dan saksama. Kekayaan
itu pula dimanfaatkan untuk meningkatkan kekuatan umat. Bukan untuk memuaskan
nafsu tamak individu. Jika pemimpin kita kaya raya, tetapi rakyat masih ada
yang merana, apakah patut kita berasa bangga?
Pemimpin
yang dicari
Kita mencari pemimpin yang memperjuangkan kebenaran dan menegakkan keadilan
berdasarkan syariat Islam. Said bin Suwaid di dalam khutbahnya pernah berkata:
“Wahai manusia, sesungguhnya Islam mempunyai dinding yang kuat dan pintu yang
utuh. Dinding Islam ialah kebenaran dan pintunya ialah keadilan. Islam akan sentiasa
kuat selagi mana pemerintahnya bersifat tegas. Ketegasan pemerintah bukanlah
membunuh dengan pedang atau memukul dengan cemeti tetapi dengan menegakkan
perkara yang benar dan memerintah dengan adil.” (Ibn Abd Rabbihi, al-‘Aqd
al-Farid, 1/33)
Pemimpin yang menjadikan akhirat sebagai matlamat, tidak akan tergamak untuk
khianat kepada amanah rakyat. Rakyat akan dipimpin agar taat kepada ALLAH dan
Rasul supaya dapat menuju akhirat dengan selamat.
Hayati ucapan khalifah pertama, Abu Bakr al-Siddiq semasa diberikan amanah
pemerintahan: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin
kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah
aku.
“Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah
khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku
mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku
sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya),
insya-ALLAH.
“Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad,
melainkan ALLAH timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan
ALLAH dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan ALLAH dan Rasul-Nya, maka tiada
ketaatan untukku.” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361)
Wahai pemimpin, kami dambakan keadilan, kejujuran dan keprihatinan kalian di
dunia ini. Kami akan mati, kalian juga akan
mati. Apa jawapan kita di akhirat nanti?
No comments:
Post a Comment