Monday, October 13, 2014

Melayu lemah, salah siapa?

MUHAMMAD ALI HASHIM
13 Oktober 2014
SEMUA Melayu yang cintakan bangsanya pasti berasakan kedudukan Melayu hari ini paling tertekan dan terancam, iaitu situasi genting yang belum pernah berlaku dalam sejarah kehidupan bangsa. Hari ini semakin ramai melihat ancaman terhadap Melayu satu isu hidup-mati bangsa atau existential threat, kerana Melayu dihujani ancaman serentak dari semua sudut kehidupan.

Bukan sahaja ekonomi layu dan politik tergugat sejak beberapa lama. Kali ini semua hak Melayu dipersoal, termasuk status dan hak di sisi undang-undang dan perlembagaan. Demikian juga keutuhan sosial dan budaya Melayu digoncang hingga ke akar-umbi, langsung mencabar kedudukan agama dan nilai hidup serta tamadun Melayu sekali pun. Prospek generasi depan Melayu semakin tidak menjanjikan kepastian, seolah-olah semua yang dimiliki dan dicapai selama ini semakin beransur terlepas daripada genggaman dan kawalan bangsa.


Tambahan pula, sumber ancaman bukan sahaja berciri domestik atau dalam negara. Badai dan gelora global kelihatan lebih kencang menggugat dan melanda semua. Kedudukan Melayu sebagai Muslim turut tercabar hebat setelah negara dan umat Islam seluruh dunia semakin tergugat, terjejas konflik dan keganasan berpanjangan, mengakibatkan kesucian dan kebesaran agama Islam dan status tamadun umat terbaik atau “khaira ummah” dicabar dan dipersoal.

Bukan masa menuding jari

Ancaman kepada Melayu dan masa depan mereka menjadi lebih genting dan membimbangkan apabila barisan kepimpinan dan elit Melayu di puncak masyarakat kelihatan semakin rancak menuding jari sesama sendiri. Harapan bangsa Melayu kepada pemimpin di segala peringkat dan lapisan sebenarnya sangat tinggi; mengharapkan kuasa, kedudukan, sumber dan pengaruh yang ada pada mereka digunakan untuk menunjukkan jalan keluar mendapatkan penyelesaian terbaik.
Sebaliknya ramai pemimpin Melayu semakin mengecewakan kerana tidak kelihatan dapat bertindak dengan hikmah dan bijaksana meyakinkan semua membulatkan bangsa. Ada yang kelihatan berminat merebut kerusi dan kuasa, tetapi kemudiannya menggunakan semuanya untuk menegakkan perjuangan sempit parti atau agenda politik dan kedudukan peribadi. Terlalu ramai pemimpin politik Melayu kelihatan lebih mengutamakan memenangi PRU akan datang, langsung sanggup mengetepikan kepentingan lebih besar bangsa, agama dan negara.

Lebih buruk, apabila ada pemimpin politik lebih gemar menuding jari menuduh dan menyalahkan sesama sendiri, termasuk menonjolkan kelemahan pemimpin lama yang diganti, sekali pun semua terbabit bersama parti. Malang sekali bagi bangsa Melayu jika kecenderungan menuding jari ini sebenarnya mencerminkan kebankrapan idea dan ketandusan daya fikir berstrategi; juga kehilangan hikmah dan kebijaksanaan pemimpin dan golongan elit Melayu serta merosotnya kebesaran jiwa barisan pemimpin Melayu.

Tuduh-menuduh mengecewakan

Justeru, pasti ramai Melayu kecewa apabila tokoh hebat Melayu, iaitu pemimpin politik seperti Tun Mahathir Mohamed dan pembesar agama seperti Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak, kedua-dua sangat disanjung tinggi, dihormati dan disegani oleh bangsa Melayu, dilaporkan telah bertikam lidah secara terbuka di media mengenai kontroversi punca ramainya remaja Melayu mengangkat senjata berjihad ke Syria. (Lihat Malay Mail Online, 2 Oktober, 2014).
Tidak kena pada tempatnya jika pejuang besar politik menuding jari menyalahkan pemimpin agama atas berlakunya peristiwa ini.  Lebih-lebih lagi, selagi kemiskinan dan kesempitan hidup, juga rasuah dan korupsi, penyelewengan, ketidakadilan dan kezaliman ekonomi serta keangkuhan dan penyalahgunaan kuasa di negara sendiri tidak tegas diatasi dan tidak berkesan dibasmi oleh pejuang politik.  
Demikian juga sebaliknya, apabila pemimpin agama menuduh pejuang politik dan kelemahan dasar kerajaan sebagai sebab utama remaja Melayu berjihad menyertai Negara Islam (IS) di Syria, dikatakan kerana kegagalan kerajaan menyeimbangkan ekonomi dan melindungi hak milik harta Melayu dan umat Islam. Apakah wajar kita hentikan pembangunan perindustrian dan perlahankan pertumbuhan ekonomi cuma kerana takutkan Melayu terpinggir dan ketinggalan?

Justeru, tidak ada manfaatnya bangsa Melayu diheret ke dalam kancah tuduh-menuduh seperti ini. Dalam sistem demokrasi, perdebatan, perbalahan dan lontaran idea serta pandangan pro-kontra suatu proses digalakkan untuk mencari titik pertemuan rumusan terbaik dijadikan teras persepakatan dan kebulatan maju ke depan.

Malangnya, dalam sistem demokrasi separa matang seperti di Malaysia, masyarakat masih terlampau terpengaruh oleh kesetiaan kepada peribadi seseorang pemimpin dan lebih menilai baik-buruk atau salah-benar sesuatu isu berlandaskan siapa yang menutur atau memperkatakannya dan tidak menilai secara objektif makna, pengertian atau kesan dan impak sebenar terhadap kepentingan bangsa dan agama daripada apa yang diperkatakan.

Yang membimbangkan ialah apabila perbezaan pendapat dan pandangan tidak dilihat sebagai satu proses mencapai keputusan dan mencari penyelesaian menuju persepakatan dan kebulatan. Lebih merosakkan apabila masyarakat Melayu amnya dengan penuh emosi, turut terjun terbabit sama dalam kancah tuding-menuding dan tuduh-menuduh, taksub pula berpuak dan berpihak menyokong pemimpin kesukaan masing-masing sehingga melupakan kepentingan besar bangsa, agama dan negara.

Jihad sebagai jalan keluar

Inilah bahayanya apabila Melayu tidak memandang serius dan tidak memahami dengan mendalam cabaran dan ancaman hidup-mati yang sedang dihadapi bangsa. Seolah-olah bangsa Melayu telah menjadikan berpolitik satu sukan baru, dijadikan acara tontonan dan hiburan meraih minat tepuk-sorak bangsa.
Apabila politik menjadi acara sukan, pasti ada golongan yang akan taksub dengan wira dan menjulang juara masing-masing, setia kepada warna dan simbol pilihan tanpa mempedulikan makna dan pengertian sebenar perjuangan. Juga, apabila persoalan hidup-mati bangsa dan agama dijadikan satu acara sukan, misalnya membabitkan pertandingan antara puak politik dan puak agama, fokus atlet politik bangsa dan jaguh agama akan terpesong kepada hanya untuk menjadi juara, merebut piala dan mendapat tepukan dan sorakan gemuruh sementara daripada kalangan penyokong masing-masing.
Akhirnya keseronokan sementara ini akan hanya merobek perpaduan bangsa yang sedia rapuh dan getas, bukan menyimpul kukuh mendapatkan semula punca untuk mengikat-kuatkan kembali jalinan kesepaduan.
Sesungguhnya ramai Melayu pasti kecewa dengan peristiwa tuduh-menuduh dan tuding-menuding jari antara pemimpin politik dan agama, sehingga mungkin ada juga yang terkilan, terjejas semangat juang olehnya. Namun saya yakin semuanya kembali terubat dan mendapat suntikan semangat baru apabila membaca titah ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah disampaikan pada majlis sempena ulang tahun penubuhan BPR/SPRM seperti dilaporkan media pada 2 Oktober, 2014.  
Titah Sultan Perak dengan tajuk “Rasuah: Senario dan Cabaran” wajar mendapat sambutan seluruh bangsa Melayu, terutama apabila baginda Sultan dengan tegas dan berani menyeru bangsa Melayu bangkit berjihad memerangi rasuah.  Baginda Sultan menganjurkan jihad memerangi rasuah berlandaskan hakikat rasuah berpunca daripada dua kategori utama. Pertama, golongan miskin dan terdesak, yang terpaksa melakukannya kerana kesempitan hidup; dan kedua, kalangan yang bersifat tamak-haloba, “…secara umumnya daripada kumpulan atasan, berjawatan penting, bernafsu tinggi, mengamalkan gaya hidup mewah.”

Kesimpulannya, dalam menghadapi cabaran serta ancaman hidup-mati, pemimpin Melayu di segala bidang, peringkat dan lapisan tiada pilihan selain serius mencari penyelesaian berani, berimpak besar membawa pembaharuan bermakna yang kekal berpanjangan. Justeru, langkah besar dan berani berjihad memerangi rasuah, berjihad membersihkan politik, juga berjihad menerusi bisnes (Jihad Bisnes) memerangi kemiskinan dan ketidakadilan ekonomi memperkasa ekonomi Melayu wajar dijadikan agenda besar bangsa dan negara, sekali gus diintegrasikan sepenuhnya ke dalam RMK 11 serta semua program perancangan transformasi negara.   

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) ali.bizjihad@yahoo.com


No comments:

Post a Comment