SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa kepada Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar semasa Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-53 di Kuala Lumpur, semalam.
Sultan Perak, Sultan Nazrin
Muizzuddin Shah bertitah, dalam usaha melahirkan graduan berminda terbuka,
pentadbiran universiti perlu mencerminkan karakter sebuah taman yang di
dalamnya terkandung kepelbagaian flora dan fauna baik dari segi bentuk, saiz,
bau mahu pun rupa.
Titah baginda, minda terbuka
adalah aset kerana dengan pemikiran tersebut lahirnya persefahaman,
keharmonian, berupaya memerdekakan jiwa individu daripada sikap prejudis,
menyuburkan sifat toleransi, melahirkan idea baharu dan membantu mengukuhkan
amalan demokrasi.
"Universiti jangan sama sekali memiliki identiti ladang. Ladang
menumpukan tanaman yang terbatas, serupa dan sama, disusun menurut kontur dan
barisan yang tegar. Dituai hasilnya secara bermusim, diracun dan dibunuh
tumbuhan lain yang cuba menjalar di persekitaran ladang.
"Universiti hendaklah memiliki identiti sebuah taman yang mengandungi
kekayaan pelbagai flora dan fauna, hidup subur dan segar dari pepohon besar
kepada tumbuhan renek, merimbun lagi melata dengan pelbagai bentuk, saiz, warna
dan bauan," titah baginda di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah demikian semasa Istiadat Konvokesyen Universiti
Malaya (UM) Ke-53 yang diadakan serentak bersempena pemasyhuran baginda
sebagai Canselor UM keempat bagi menggantikan ayahandanya, Almarhum Sultan
Azlan Muhibbuddin Shah yang mangkat Mei lalu.
Pada majlis istiadat tersebut juga, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan
Sri Ramli Ngah Talib turut dimasyhurkan sebagai Pro Canselor UM sebagai
pengiktirafan terhadap pengetahuan dan pengalaman beliau dalam bidang ilmu yang
diyakini dapat memanfaatkan UM.
Pada konvokesyen kali ini, seramai 5,257 graduan akan menerima diploma dan
ijazah masing-masing dengan dua tokoh, Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar dianugerahkan
Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa manakala Datuk Rasammah Noami
(Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan).
Selain itu, dua graduan yang memperoleh keputusan cemerlang sepanjang
pengajian mereka pula akan menerima Anugerah Pelajaran Diraja iaitu Izhar
Mustaqin Madisa, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Seni Bina serta Lim Dwem
Wei, graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi.
Dalam pada itu Sultan Nazrin bertitah, para pensyarah juga hendaklah
memiliki prinsip dan hikmah bagi menyuburkan sesebuah taman ilmu dengan
memiliki karakter penjaga taman iaitu tidak menebang dahan atau mencabut akar
sebaliknya hanya memotong ranting yang reput.
"Universiti adalah gedung terkumpulnya khazanah ilmu dan modal
intelek. Khazanah intelek perlu diurus tadbir dengan minda terbuka, inovatif
lagi kritikal manakala modal intelek pula harus dilaburkan melalui budaya yang
berupaya memerdekakan idea baharu," titah baginda.
No comments:
Post a Comment