HARAKAHDAILY | .
KUALA
LUMPUR: Jika bangsawan itu sekadar
menunjukkan kesamsengan kepada rakyat, mendapat pelbagai harta dan tempat atas
cengkaman kedudukan padahal ramai lain yang lebih layak, membazir harta awam,
memukul sesuka hati orang biasa, mengambil apa saja yang mereka suka, mengungut
sesiapa yang mereka mahu, memaki sesiapa yang mereka hendak, maka golongan
bangsawan seperti itu sepatutnya dinyahkan dari sesuatu bangsa.
Demikian tulis bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam
facebooknya, semalam.
Menurutnya, sesuatu bangsa akan terus dalam belenggu kebodohan jika golongan
bangsawan seperti itu masih dibiarkan.
Tulisan penuh beliau sebagaimana di bawah.
Bangsawan ialah golongan yang berkedudukan mulia ataupun ‘kononnya mulia’ dari
segi keturunan. Ini seperti mereka yang dari keturunan raja, sultan, khalifah,
presiden, menteri dan seumpamanya. Perkataan mulia itu juga kadang-kala lebih
bersifat persepsi. Betapa ramai dalam sejarah pelbagai bangsa, golongan yang
dianggap mulia hanya disebabkan keluarga mereka menjadi maharaja ataupun raja
ataupun sultan, ataupun mana-mana pembesar padahal asal usul keturunan mereka sebelum
itu mungkin perompak, lanun di laut ataupun penipu besar ataupun pembunuh yang
kejam yang kemudian telah berjaya merebut kuasa dan diwarisi. Bahkan semasa
berada di atas kuasa pun sebahagian golongan yang dianggap bangsawan itu
meneruskan agenda merampok orang lain tetapi mungkin dengan berselindung di
sebalik kuasa, ataupun menjadi ‘perompak berlesen’.
Ramai juga mereka yang bergelar diri bangsawan, ataupun merasa diri telah
menjadi bangsawan itu menjadi sombong dan bongkak sehingga merasakan mereka
boleh berbuat apa sahaja. Mereka memukul, memaki, mencedera, mengambil harta
orang lain dan awam serta pelbagai cara hidup samseng diamalkan dalam gaya
hidup mereka. Mereka sering merasakan mereka mesti menang dalam setiap
persaingan. Mereka fikir mereka tidak boleh dipertikai dan dilihat kalah.
Kehendak mereka ‘by
hook or by crook’
mesti tercapai. Apabila mereka merasa kecewa ataupun marah mereka mula
bertindak zalim ke atas pihak yang lemah. Bangsawan seperti ini kita panggil
bangsawan samseng.
Mengajar Bangsawan Samseng
Dalam Kanz al-‘Umal dan disebut juga dalam Futuh Misr wa Akhbaruha oleh Ibn
‘Abd al-Hakam al-Misri yang menceritakan sejarah pembukaan Mesir, diriwayatkan
daripada Anas bin Malik bahawa seorang lelaki dari Mesir telah datang kepada
Khalifah ‘Umar bin al-Khattab di Madinah. Lelaki itu berkata: “Wahai Amirul
Mukminin! Aku meminta perlindunganmu dari kezaliman”. Kata ‘Umar: Ya!. Kata
lelaki itu: “Aku berlumba dengan anak gabenor Mesir (Muhammad bin ‘Amr bin
al-‘As), lalu aku menang. Maka dia (anak gabenor) memukulku dengan cemeti
sambil berkata: “Aku anak golongan yang mulia”.
Khalifah Umar bin al-Khattab menulis surat perintah kepada gabenor Mesir ‘Amr bin al-‘As meminta dia dan anaknya Muhammad itu hadir ke Madinah. Apabila mereka hadir, Umar memanggil lelaki dari Mesir tersebut. Lelaki itu datang, lalu Umar memberikan kepadanya cemeti dan berkata: “Pukul dia”. Dia pun memukul sambil Umar berkata: “Pukullah anak golongan yang mulia”.
Khalifah Umar bin al-Khattab menulis surat perintah kepada gabenor Mesir ‘Amr bin al-‘As meminta dia dan anaknya Muhammad itu hadir ke Madinah. Apabila mereka hadir, Umar memanggil lelaki dari Mesir tersebut. Lelaki itu datang, lalu Umar memberikan kepadanya cemeti dan berkata: “Pukul dia”. Dia pun memukul sambil Umar berkata: “Pukullah anak golongan yang mulia”.
Kata Anas bin Malik yang menyaksikan kejadian itu: “Dia memukul dan kami suka
dengan pukulannya. Dia tidak berhenti sehingga kami harap dia berhenti”.
Kemudian Umar berkata kepadanya: “Letakkan cemeti itu atas kepala botak bapanya
(kepala ‘Amr bin al-‘As)”. Lelaki itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Hanya anaknya
yang memukulku, aku telah pun membalasnya dan memadai”.
Kemudian Umar berkata kepada ‘Amr bin al-‘As: “Sejak bilakah engkau
memperhambakan manusia sedangkan ibu-ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan
merdeka?!” Jawab ‘Amr bin al-‘As: “Sesungguh aku tidak tahu kes ini”.
Sama Di Sisi Tuhan
Demikian Khalifah ‘Umar mengajar kesombongan golongan bangsawan ini. Padahal
‘Amr bin al-‘As seorang sahabat Nabi s.a.w. Namun keadilan itu tidak mengenal
keturunan dan latar harta. Semua manusia sama di sisi Allah. Kita semua dari
keturunan Adam. Hanya yang lebih kerana nilaian kebaikan jiwa dan ketinggian
budi. Nabi s.a.w menyebut: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa
kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan
arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit
hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan
ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, hadis berstatus hasan).
Jika hendak dikira manusia yang mulia, maka khalifah empat bagi umat ini Abu
Bakr, Umar, Uthman dan ‘Ali merupakan insan-insan mulia yang dipilih memegang
jawatan khalifah atas kemuliaan diri mereka. Bukan kerana keturunan mereka
mendapatkan kuasa ataupun kerana pengaruh harta mereka yang banyak. Sebaliknya
kerana kualiti diri mereka dan kemuliaan mereka yang nyatakan oleh Nabi
Muhammad s.a.w sendiri. Pun begitu mereka tidak pernah menyatakan ‘kami ini
mulia, sahabat sahabat utama Nabi Muhammad maka jangan pertikai perbuatan dan
tindakan kami. Siapa pertikai dianggap derhaka pada negara dan bangsa!’. Sama
sekali mereka tidak pernah berkata demikian.
Sebaliknya Khalifah Abu Bakar al-Siddiq pada hari dia memegang jawatan khilafah
berucap: "Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin
kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah
aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. " (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh,
1/361).
Hanya mereka yang perasan sahaja merasakan diri mereka bangsawan yang tidak
boleh dipertikaikan. Hanya bangsa ataupun individu yang bodoh, dungu dan feudal
ataupun pengampu terlampau sahaja yang menganggap mengkritik golongan bangsawan
istana itu satu kesalahan dan menggesa agar pengkritik diambil tindakan. Mereka
yang seperti itu mempunyai masalah mental dan akidah sehingga seakan menganggap
golongan bangsawan itu bagaikan maksum melebihi para nabi yang diutuskan oleh
Tuhan.
Pupus
Perlu diingat, kesamsengan golongan bangsawan telah menyebabkan kebanyakan
mereka pupus dari tampuk kuasa. Walaupun Parsi, Rome, China, beberapa Negara
Eropah, dan India pernah memiliki empayar dan kekuasaan yang luas, namun ke
mana perginya maharaja-maharaja mereka?! Kesemuanya pupus dibuang oleh kehendak
rakyat apabila mereka dilihat sudah tidak relevan lagi. Mereka lebih banyak
merosakkan dari memberikan manfaat kepada rakyat. Nepal juga telah membuang
institusi raja mereka.
Jika kita lihat istana-istana raja-raja Eropah serta pencapaian mereka, mereka
bagaikan tidak akan tumbang. Maharaja-maharaja China dan Parsi pasti lebih gah
dan hebat dengan tentera dan kemewahan harta dan wanita mereka. Tapi kesemuanya
lenyap. Kesemua ini menjadi pengajaran kepada golongan bangsawan yang masih
berkuasa dalam pelbagai bangsa agar menjaga adab dan ketertiban mereka, jangan samseng
sehingga akhir mereka dicampak oleh rakyat sendiri dan bangsa sendiri.
Salah satu sebab kejayaan bangsa Eropah adalah kerana mereka tidak membiarkan
kezaliman raja-raja berterusan. Pembuangan sistem istana dan agama yang
diperalatkan oleh istana telah membawa bangsa Eropah maju dan bebas dari
cengkaman kezaliman. Inilah yang disebut oleh ‘Amr bin al-‘As ketika mengulas
hadis Nabi s.a.w mengenai kiamat berlaku dalam keadaan Rome paling banyak
rakyatnya. Kata ‘Amr: “Jika kamu sebut demikian, sesungguhnya pada mereka ada
empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing) ketika dalam
bahaya. Kedua; Mereka paling pantas bangkit selepas bencana. Ketiga; Paling
cepat menyerang balas musuh. Keempat; Mereka paling baik untuk anak yatim, orang
miskin dan orang lemah kalangan mereka. Tambahan kelima, satu ciri yang baik
lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja”.
Golongan bangsawan sepatutnya menjadi manusia paling hormati dalam sesebuah
masyarakat. Mereka paling mematuhi peraturan, paling santun kepada rakyat
bawahan dan menjadi teladan kesopanan dan kehalusan budi, bahasa dan akhlak.
Ucapan mereka menjadi ikutan, falsafah mereka menjadi pegangan, bahasa mereka
menjadi ukuran.
Jika bangsawan itu sekadar menunjukkan kesamsengan kepada rakyat, mendapat
pelbagai harta dan tempat atas cengkaman kedudukan padahal ramai lain yang
lebih layak, membazir harta awam, memukul sesuka hati orang biasa, mengambil
apa saja yang mereka suka, mengungut sesiapa yang mereka mahu, memaki sesiapa
yang mereka hendak, maka golongan bangsawan seperti itu sepatutnya dinyahkan
dari sesuatu bangsa. Sesuatu bangsa akan terus dalam belenggu kebodohan jika
golongan bangsawan seperti itu masih dibiarkan. Golongan samseng yang menyakiti
rakyat bukan sahaja patut dibuang, bahkan tidak layak pun untuk ditempat di
muzium sejarah mana-mana bangsa pun melainkan dengan catatan hitam ‘samseng’.
No comments:
Post a Comment