Wednesday, August 28, 2013
Mengapa sambutan kemerdekaan negara tak bermaya? –Mohd Sayuti Omar
Pemimpin atau rakyat yang perlubina semangat patriotisme?
Aspan Alias
‘National Anthem Act’ 1968 akan berkuat kuasa tidak berapa lama
lagi didalam pawagam. Semua penonton mesti bangun dan menghormati ‘Negara Ku’
yang akan dimainkan sebelum tayangan sesebuah filem itu.. Sesiapa yang
melanggarnya boleh di denda tidak lebih dari seratus ringgit atau dipenjara
tidak melebihi satu bulan. Ini adalah
kandungan yang ada di dalam Akta itu yang digubal pada tahun 1968 dahulu.
Tujuannya, kata Menteri yang
bertanggungjawab ialah untuk membina semangat patriotik terhadap negara
dikalangan penonton pawagam itu dan rakyat keseluruhannya. Ramai yang
menghubungi saya untuk memberikan komen tentang undang-undang baru ini. Maka
saya bersetuju untuk memberikan komen pendek tentang undang-undang baru ini.
Selepas ini akan ramailah orang yang
akan masuk penjara sebaik sahaja keluar dari pawagam-pawagam di seluruh negara.
Jangan dipersoalkan niat Kementerian Penerangan itu dan Menterinya sekali. Niat
mereka baik dan jujur untuk melihat pembangunan semangat patriotisma dikalangan
rakyat Jika dengan Akta
baru ini boleh membinanya kita terima dan kita akur dengannya. Lagi pun
sememangnya kita wajib berdiri semasa lagu Negara Ku itu dimainkan. Tetapi kenapa mainkan di dalam
pawagam?
Tetapi persoalannya adakah ini cara
yang baik dan betul untuk membina semangat patriotisma itu? Jika itu cara yang
terbaik adakah terfikir oleh kita apakah elemen-elemen yang akan membantutkan
kempen patriotisma ini? Adakah dengan berdiri menghormati Negara Ku itu secara
paksa seperti ini akan terbina semangat patriotisma yang di kehendaki kerajaan
itu?
Dalam posting saya semalam saya
dengan jelas memberikan pandangan yang membina semangat sayangkan negara tidak
boleh semata-mata ditempelkan sahaja. Ia perlu datang dari keikhlasan dan
kejujuran rakyat dari lubuk hati dan nurani mereka. Cara yang paling baik untuk
membinanya ialah dengan kerajaan bersama dengan pimpinan keseluruhannya
menunjukkan patrotisma itu dengan jelas.
Pemimpin-pemimpin yang mempunyai
patriotisma adalah pemimpin yang komited untuk membina negara dengan jujur dan
tidak melakukan jenayah kepada negara. Pemimpin seperti ini tidak akan
melakukan kerja rasuah serta menggunakan kedudukan mereka untuk mengaut
kepentingan peribadi dan sanggup memecah belahkan rakyat yang dahagakan
perpaduan.
Yang terbaik dan terunggul sekali
ialah pemimpin yang tidak mahu negara berpecah kerana mereka dan sanggup
berkorban dengan meletakkan jawatan yang mereka sandang setelah gagal mentadbir
rakyat dan negara dengan baik. Ini lah ciri patriotisma yang tertinggi
nilainya.
Nilai ini bukan sahaja sepatutnya ada
pada mereka yang sedang berkuasa yang mahu meletakkan jawatan. Ia juga terbabit
dengan pemimpin yang ingin mendapatkan jawatan itu. Apabila seseorang itu telah
terpalit dengan isu moral peribadi mereka juga tidak sepatutnya menawarkan diri
untuk menjadi pemimpin negara.
Mereka yang telah dipersepsikan oleh
rakyat sebagai pemimpin yang tidak bermoral juga sepatutnya berkorban dengan
membatalkan niat untuk menjadi pemimpin utama negara kerana mereka juga akan
membawa negara kepada kehancuran. Justeru pemimpin-pemimpin seperti ini juga
boleh menunjukkan semangat patriotisma mereka dengan membatalkan sahaja niat
untuk mengambil alih kepimpinan negara.
Selama ini pemimpinlah yang lebih
menunjukkan rasa tidak patriotisma mereka dari rakyat. Rakyat sedar jika
pemimpin itu benar-benar seorang yang patriotik, tidak aka nada diantara yang
memegang kuasa menggunakan kuasa dan mandat itu dengan mengambil wang rakyat
yang berbillion ringgit untuk menyelamatkan perniagaan anaknya.
Jika seseorang itu telah menggunakan
pengaruhnya dengan mengambil wang rakyat dalam jumlah yang berbillion untuk
menyelamatkan perniagaan anaknya ini, bolehkah, atau layakkah pemimpin seperti
ini digulungkan kedalam gulungan yang patriotik? Tetapi itulah yang berlaku di
negara kita dan orang yang sama jugalah yang bercakap tentang isu moral
kerajaan yang buruk serta menidakkan semua kerja baik orang lain.
Rakyat melihat dan memerhatikan
tindakan serta kata-kata mereka samada selari atau pun sebaliknya. Rakyat biasa
seperti kita dibawah ini tidak pun mengambil wang berbillion ringgit dari
rakyat untuk kepentingan perniagaan anak-anak mereka. Mereka menanggung
kerugian sendirian dan ramai yang telah bankrap kerana kerugian mereka dalam
perniagaan.
Apa perasaan rakyat yang ramai
dibawah ini apabila melihat pemimpin bercakap besar tentang negara sedangkan
anak-anak mereka bersandar kepada rakyat untuk membayar kerugian perniagaan
mereka dan dalam masa yang sama mendapat keuntungan lagi dalam proses 'bail-out'
yang menggunakan wang rakyat itu.
Justeru perihal patriotisma ini tidak
perlu dididik terhadap rakyat jelata. Yang sepatutnya menunjukkan sifat
patriotisma itu adalah pemimpin-pemimpin sendiri, tidak kira pemimpin kerajaan
atau pembangkang. Pemimpin yang patriotik tidak akan tergamak untuk menaikkan
harga belian kelengkapan ketenteraan misalnya.
Pemimpin yang patriotik tidak akan
tergamak meluluskan pinjaman yang beratus juta ringgit untuk kroni atau
keluarga pemimpin yang tidak pun mahir dalam perniagaan seperti peniagaan lembu
dan sebagainya.
Pemimpin yang benar-benar patriotik
akan mengambil contoh seperti pimpinan masa lalu yang tidak mempunyai apa-apa
semasa persaraannya. Tunku Abdul Rahman tidak mempunyai ‘empire’ perniagaan
untuk anak-anak beliau.
Pemimpin sezaman itu tidak mempunyai
mahligai-mahligai apabila menyentuh kuasa. Pemimpin yang mempunyai nilai
patriotik tidak akan berbelanja ratusan juta ringgit untuk lawatan keluar
negara.
Justeru tidak usahlah pemimpin hari
ini berkempen untuk membina semangat patriotisma itu sedangkan mereka sendiri
adalah penjenayah tegar kepada negara yang dicintai rakyat ini.
Kalau rakyat tidak memberontak
didalam hati mereka tidak ada sebab kenapa rakyat tidak mengibarkan bendera
yang harganya hanya setakat sepuluh dua puluh ringgit itu. Rakyat telah
membayar hutang anak pemimpin yang kerugian dalam perniagaan mereka dalam
jumlah yang berbillion ringgit sebelum ini.
Tetapi kenapa rakyat berkira dengan
harga satu bendera itu? Jawapannya mudah. Ia di sebabkan pemimpin tidak mengira
perasaan rakyat yang rata-rata marhaen di bawah ini. Rakyat sedar dalam kemarhaenan, mereka
terpaksa membayar hutang besar yang dilonggokkan oleh pemimpin kepada mereka.
Buat masa ini elok kita meminta
pemimpin yang bercakap tentang patriotisma itu hentikan kempen ini. Rakyat lebih
arif tentang isu patriotisma itu. Yang sepatutnya membina sifat patriotisma itu
adalah barisan pemimpin yang sedang memimpin kita sekarang ini.
Pemimpin-pemimpin yang tidak dapat membezakan diantara hartasendiri dengan
harta rakyat jangan sekali-kali bercakap tentang patriotisma kerana barisan
pimpinan yang rakus itu sendiri adalah bertentangan dengan patriotisma itu
Tuesday, August 27, 2013
Sayangkan negara perlu terbit dari dalam diri bukan setakat tempelan
Aspan Alias
Saya
terbaca berita yang kempen mengibarkan Jalur Gemilang kurang mendapat sambutan.
Menteri yang bertanggungjawab berkata kerajaan akan melakukan cara dan kaedah
yang sesuai bagaimana hendak membuatkan keseluruhan rakyat mengibarkan Jalur
Gemilang itu dengan penuh semangat semasa parayaan ulang tahun kemerdekaan
negara kita.
Pengibaran
Jalur Gemilang ini sudah tidak berapa mendapat perhatian orang ramai sejak
empat tahun dahulu, tetapi keengganan rakyat memberi perhatian pengibaran Jalur
Gemilang itu lebih nyata lagi pada tahun ini. Tidak tahulah samada pengibaran
itu akan dilakukan dengan paksaan atau dengan cara apa. Tetapi pengibaran Jalur
Gemilang itu sememangnya salah satu cara menzahirkan rasa sayang dan cintakan
negara.
Kenapa
kempen pengibaran Jalur Gemilang sejak beberapa tahun dahulu sudah pudar
kemeriahannya? Segala-gala yang berlaku itu tentu ada sebabnya. Kerajaan,
khususnya Menteri yang bertanggungjawab itu semestinya memahami apakah
elemen-elemen yang membuatkan sambutan kempen itu mandapat sambutan atau
sebaliknya.
Dalam
sesuatu masalah perkara yang paling penting kita mesti selami ialah memahami
masalah ‘up to specific’. Apabila masalah itu dikenal pasti secara ‘detailed’
barulah boleh mencari jalan untuk mencari penyelesaiannya dan menjayakan kempen
itu. Apabila disebut tentang pengibaran Jalur Gemilang ini ia tidak boleh lari
dari keriangan kita semua untuk menzahirkan rasa cintakan negara. Ia akan hanya
boleh berlaku jika dengan sejujur-jujurnya rakyat merasakan cintakan negara
itu.
Jika
rakyat ramai benar-benar berpuas hati dan rasa cintakan negara itu benar-benar
wujud, tidak perlu diadakan kempen besar-besaran. Rakyat akan dengan sendirinya
mengambil kesempatan menyambut hari kemerdekaan negara itu sebagai peluang
untuk menunjukkan semangat sayangkan negara itu. Kempen itu akan dengan mudah
mendapat sambutan tanpa perlu tekanan dan desakan untuk mengibarkan bendera
negara itu.
Rakyat
tidak mahu melakukan perkara yang mereka tidak begitu ghairah untuk
melakukannya. Rakyat tidak berpuas hati kerana rasa tidak menentu politik
negara. Rakyat begitu keliru untuk mendapatkan yang mana satu yang betul dan
benar. Semuanya mempunyai persoalan sendiri samada mereka yang sedang berkuasa
dan mereka yang membangkangnya.
Secara
psikologinya rakyat tidak berminat untuk menyertai apa-apa kempen, apatah lagi
kempen yang dijalankan oleh pihak kerajaan. Mereka tidak mahu di kelirukan
dengan kempen yang kerajaan lakukan kerana mereka tidak mahu dijadikan alat
serta perkakas politik pihak yang tidak jujur. Mereka tahu yang kempen yang
dilakukan oleh kerajaan untuk mengibarkan Jalur Gemilang itu telah tertempel
unsur politik selain dari
menebalkan rasa kasih dan sayang kepada negara.
Sesungguhnya
kejayaan kempen ini bergantung kepada pihak mana yang menganjurkannya. Jika ia
masih dilakukan oleh kerajaan tunjangan UMNO, ia tetap sarat dengan unsur
politik dan tidak ada kena mengena dengan sayangkan negara.
Rakyat
tidak mahu menerima usaha UMNO yang sayangkan negara itu hanya akan boleh
berjaya jika ia anjuran UMNO. Bagi pimpinan UMNO jika sayangkan negara rakyat
perlu sayangkan UMNO. Jika ia dilakukan oleh pihak yang lain sedalam mana pun
kasih dan cintakan negara itu tidak akan diterima. Ia dianggap sebagi
penderhaka kepada negara. Menyokong pihak pembangkang itu adalah penderhakaan
kepada negara.
Tetapi
sebenarnya usaha setengah pihak untuk melakukan tentangan terhadap apa yang
dibuat oleh kerajaan UMNO pada hari ini ialah kerana sayangkan negara. Mereka
tidak mahu lagi melihat UMNO dan setengah pihak dalam pembangkang sekali pun,
menjahannamkan negara. Mereka mahukan perubahan yang sejati bukannya memenangi
satu pihak keatas satu pihak yang lain.
Kalau
UMNO itu sudah busuk sebagai mana yang diakui oleh Dr Mahathir itu, ada
pemimpin yang sedang bertenggek keatas parti pembangkang itu tidak boleh
dijadikan pilihan untuk menjadi Perdana Menteri kerana mempunyai masalah yang
tidak boleh diterima jika kita serius mahukan pimpinan yang bermoral dan akur
kepada kehendak syariat agama kita. Maksud saya kita mahukan mereka yang
bermoral dan kita terpaksa mencarinya kerana kita bukanlah orang yang boleh
menjadi gantian kepada yang ada pada hari ini.
Mereka
lebih cintakan negara dari mereka yang mengibarkan bendera kerana tuntutan
politik peribadi atau kepartian mereka. Malahan mereka yang tidak mengibarkan
bendera itu lebih sayangkan negara kerana mereka tidak menempelkan dan
menunjuk-nunjuk sayangkan negara. Kasih dan sayang mereka sudah terpahat
dilubuk hati dan sanubari mereka dan tidak berpura-pura sayangkan negara dengan
mengibarkan bendera dipagar rumah atau dipejabat atau melekatkan bendera kepada
kenderaan yang kita pandu.
Seperti
orang yang kasih dan mengtauhidkan Tuhan, mereka bukan semata-mata menegakkan
solat yang wajib (disyariatkan) itu tetapi mereka sentiasa berzikir dan
bertahmid di dalam hati mereka mengesakan Tuhan dan membersihkan diri kita yang
sebenar-benar diri itu. Zikir itu tidak diketahui oleh orang awam atau mereka
yang semata-mata mentarbiah syariat tetapi tauhid mereka lebih suci dari apa
yang kita lihat dalam kerja tubuh kita (Syariat).
Begitu
juga mereka yang setia kepada negara. Mereka yang menunjuk-nunjuk sayang dan
cintakan negara itu tidak sesuci mereka yang telah meletakkan negara sampai ke
naluri mereka. Mereka ini sebenarnya tidak memerlukan lakonan mengibarkan
bendera-bendera ini kerana apa yang ada di dalam dirinya itu lebih lagi kuat
dari mereka yang hanya menempelkan rasa sayang kepada negara diluaran
semata-mata.
Untuk
menunjukkan setia kepada negara secara luaran itu maka keadaan luaran itu juga
perlu memberi minat kepada mereka untuk memberikan sokongan dengan mengibarkan
Jalur Gemilang itu.
Tetapi
keadaan luaran politik tanah air itu tidak memberikan mereka semangat untuk mengibarkan
Jalur Gemilang itu lah yang menyebabkan kegagalan pihak penganjur, iaitu
kerajaan untuk menyemarakkan kempen mengibarkan bendera negara yang berdaulat
ini.
Mereka
yang menganjurkan kempen itu pun masih dipersoalkan kesetiaan mereka kepada
negara, bagaimana rakyat ramai hendak mengikutnya? Ada dikalangan mereka yang
menganjurkan itu adalah mereka yang mendustakan negara dengan perlakuan rasuah
dan salah guna yang tidak sepatutnya berlaku sebagai sebuah kerajaan yang
mengaku sebagai kerajaan yang berwibawa.
Bagaimana seorang atau kumpulan yang rasuah itu berkempen untuk kita menyayangi negara sedangkan perlakuan dan tindakan mereka itu selalu bertentangan dan yang di benci negara?
Bagaimana seorang atau kumpulan yang rasuah itu berkempen untuk kita menyayangi negara sedangkan perlakuan dan tindakan mereka itu selalu bertentangan dan yang di benci negara?
Masaalah Jenayah Masalah Hati
Majdan Dagang27 Ogs 2013
Kita biasa mendengar dalam kuliah agama di masjid, surau,
atau televisyen – hadis Rasulallah SAW yang maksudnya, "Sesungguhnya
dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah
seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka
kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah
hati."
Daging atau hati yang saya faham dari hadis ini merujuk kepada jiwa manusia. Jika
sekadar daging atau hati organ manusia yang sakit, eloklah berjumpa doktor dan
makan ubat. Tetapi jika jiwa yang sakit, memang banyak masalah yang bakal
timbul.
Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ini sering diulas oleh para
agamawan mahupun pakar motivasi dalam pelbagai majlis dan program. Namun, sejauh
manakah kita sebagai pendengar memahami intipati hadis ini khususnya yang
terkait isu jenayah yang makin berleluasa pada hari ini?
Ya, semua orang akur bahawa penjenayah yang melakukan jenayah itu hatinya
“rosak dan kotor”. Jika berdasarkan statistik dan laporan kejadian jenayah yang
disiarkan di media massa, kita dengan mudah membuat kesimpulan bahawa kadar
jenayah semakin meningkat.
Perlu diingat jenayah bukan sekadar merompak dan mencuri – bahkan membuli,
buang bayi, memukul isteri, menipu dan pelbagai macam.
Apakah penyelesaiannya?
Kosong! Tiada jawapan! Kerajaan pusat bercadang menambah bilangan anggota polis
demi menyeimbangkan nisabah antara polis dan penduduk. Kerajaan negeri Selangor
pula memohon mewujudkan pasukan polis tambahan.
Kerajaan juga melalui pelbagai agensinya bersiapkan untuk menambahkan lagi
Closed-circuit television (CCTV). Selain itu, pelbagai kempen diadakan sama ada
kerajaan mahupun swasta demi mencegah berlakunya jenayah.
Semua tindakan dan cadangan itu bagus dan saya sokong. Namun, pada masa yang
sama, sehingga kini tiada tanda-tanda kejadian jenayah akan menurun. Di manakah
kelemahan tindakan tersebut?
Jawapannya ialah kembali kepada agama dan fahami dengan jelas hadis di atas
tadi. Barangkali ada sesuatu yang kita terlepas faham.
Yang pertamanya, sebagai orang Islam kita mesti yakin bahawa hanya melalui
Islam sahajalah segala permasalahan ini dapat diselesaikan. Tetapi bagaimana?
Orang boleh berhujah bahawa di Kelantan yang dipimpin oleh seorang ulama pun
masih kerap berlaku kejadian jenayah berat, sama seperti negeri-negeri lain.
Ya, betul hujah itu. Namun, kita perlu melihat bahawa kuasa yang ada pada
Menteri Besar Kelantan begitu terhad. Pihak keselamatan tidak berada di bawah
bidang kuasanya. Sejauh mana yang beliau mampu buat?
Jika kita melihat kembali sejarah silam, Umar Abdul Aziz pernah menjadi gabenor
(sekarang kira-kira setara Menter Besar), banyak manakah yang beliau mampu buat
untuk membetulkan kerajaan Bani Umaiyah. Hakikatnya, Umar Abdul Aziz bukan calang-calang
tokoh dalam kerajaan. Beliau merupakan menantu Perdana Menteri/Khalifah.
Selepas bapa mertuanya meninggal dunia, iparnya pula menjadi Perdana
Menteri/Khalifah. Sebagai gabenor, kuasanya terhad seperti Menteri Besar
Kelantan juga.
Hanya setelah beliau dilantik menjadi Perdana Menteri/Khalifah barulah keadilan
Islam dapat dikembalikan danditegakkan dalam pemerintahan.
Jadi, permasalahan ini hanya dapat diselesaikan hanya apabila Islam memerintah
bukan diperintah! Islam bukan sekadar memberi nasihat tetapi mengeluarkan
arahan! Mari betulkan minda kita bahawa para ulama tugasnya bukan hanya memberi
nasihat kepada umara tetapi ulama mesti menjadi umara. Ulama mesti memimpin,
bukan hanya sekadar makan gaji! Dan Umar Abdul Aziz adalah contoh seorang individu
berstatus ulama dan umara sekali gus.
Tetapi jangan salah faham, Perdana Menteri tidak semestinya ulama! Ramai
kalangan umara yang berjaya seperti Harun al-Rasyid, Sultan Saifudin Qutuz,
Salahudin al-Ayubi, dan Muhamad al-Fateh. Mereka berjaya menegakan keadilan
Islam apabila tunduk dan hormat kepada ulama (ulama tersebut tidak makan gaji
dengan mereka) – segala teguran dan nasihat ulama tersebut dipatuhi!
Yang kedua, hadis tersebut menyatakan hati yang “rosak dan kotor” – biasanya
kita lebih nampak kaitannya dengan orang yang melakukan jenayah seperti
merompak bank, meragut beg tangan dan sebagainya sahaja.
Namun, hadis tersebut menyentuh manusia secara umum, yakni hati yang rosak
dan kotor tidak mengira darjat dan kedudukan. Kita jangan hanya berfikir hati
penjenayah kecil-kecilan sahaja yang rosak.
Kita juga sewajarnya jangan lupa bahawa hati yang rosak dan kotor itu
boleh terpalit kepada para penguasa, perdana menteri, wakil rakyat, ketua
jabatan, ketua kampung dan yang seumpamanya. Jika golongan ini rosak dan kotor
hatinya kesannya lebih buruk berbanding penjenayah biasa. Pemimpin yang hatinya
yang rosak dan kotor juga akan melakukan jenayah atau merompak. Cuma mereka
tidak bawa pistol dan serbu kedai emas atau sebagainya.
Mereka mungkin merompak hak rakyat atas nama projek pembangunan, rasuah,
salah guna kuasa dan bermacam lagi. Ya, sudah tentu kesannya lebih besar
daripada perompak biasa. Jika pemimpin sudah rosak dan kotor hatinya, tidak
mustahil rakyat akan turut rosak dan kotor hatinya. Maka, terhidanglah
pelbagai kisah jenayah setiap hari di media massa.
Jadi, pada pandangan saya, untuk mengatasi masalah jenayah yang berlaku
wajarlah hati pemimpin yang rosak dan kotor itu dibersihkan dahulu. Jika ini
berjaya dilakukan, maka secara beransur-ansur jenayah “orang kecil” menurun ke
paras minimun, jika tidak dapat dihapuskan terus.
Solat Pembentuk Peribadi Muslim
WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Ogos 2013
SOALAN:
SOLAT itu mencegah daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar. Namun jenayah
masih lagi berlaku dalam kalangan masyarakat Islam hari ini. Mengapa hal ini
berlaku?
JAWAPAN:
SOLAT adalah identiti umat Islam. Ibadah ini dilakukan di rumah, surau
(musalla) atau masjid. Saya pernah melihat di suatu kawasan pinggir bandar,
semua pekedai akan menutup kedai pada tengah hari Jumaat kerana hendak pergi
solat. Kedai hanya dibuka semula pada jam 3 petang.
Persoalannya, mengapa budaya umat Islam tidak sama ketika dalam solat dan di
luar solat? Dalam solat, kita boleh merendahkan hati dan merendahkan diri di
hadapan Pencipta. Tetapi di luar solat, mengapa kita tidak mampu menjaga hati
dan diri sebaik dalam solat?
Solat itu pendidik peribadi dan bukan sekadar rutin semata-mata yang ditunaikan
sebaik azan berkumandang.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad,
engkau dan umat mu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu
yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal kebajikan
(terutama solat) itu menghapuskan kejahatan. Perintah ALLAH sedemikian adalah
menjadi peringatan bagi orang yang mahu beringat.” (Surah Al-Hud: 114)
Ini bermakna, solat mendisiplinkan kita untuk menguruskan masa dan menghapus
kejahatan. Jika seseorang itu menghayati solatnya, terutama dari segi bacaan
dan perbuatan, maka tubuh zahir dan jiwa raganya akan dipenuhi dengan pelajaran
yang berguna untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Contohnya, kita sujud dua kali pada setiap rakaat. Solat yang empat rakaat
mengandungi lapan kali sujud. Sujud
pula merupakan kedudukan paling rendah antara hamba dengan Tuhannya. Mengapa
kita lebih banyak sujud daripada berdiri tegak?
Pelajarannya ialah kita ini hamba. Walau setinggi mana pun pangkat kedudukan
kita dalam kalangan manusia, kita tetap rendah di sisi Ilahi.
Dalam solat, kita wajib menutup aurat. Itulah penanda aras kesopanan yang
diajar solat. Kita berasa selamat dalam pakaian tersebut, dan berbangga dengan
identiti agama kita ketika melakukan ibadat solat.
Bagaimanapun, saya hairan mengapa selepas selesai solat, ada wanita menayangkan
auratnya kepada lelaki ajnabi. Kenapa dalam solat boleh menutup aurat tetapi
tidak di luar solat? Adakah kehidupan orang Islam ini berbeza ketika solat dan
di luar solat?
Pendinding penyakit
Hakikatnya, solatlah kehidupan kita. Apa yang kita buat dalam solat, itulah
yang diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Solat sepatutnya membentuk
keperibadian mulia, terutama sekali penjagaan hati dan lidah. Sesungguhnya hati
dan lidahlah yang menjadi penyebab goyangnya akidah, permusuhan, pergaduhan dan
pecah belah.
Jika ada insan suka sangat mengumpat, mengutuk, menghina atau mengadu domba
walaupun solat awal waktu, walaupun tidak pernah meninggalkan solat berjemaah,
terbuktilah solatnya masih belum berjaya membentuk keperibadian diri.
Kita perlukan ilmu dan usaha untuk khusyuk dalam solat. Solat itu kehidupan
kita, maka wajiblah menunaikannya sebaik mungkin. Daripada 50 waktu, ALLAH
meringankannya ke lima waktu sahaja. Itulah bukti kasihnya ALLAH SWT kepada
umat Nabi Muhammad SAW.
Tidak adil jika kita masih berkira atau malas menunaikan solat sedangkan kita
boleh duduk menghadap komputer berjam-jam lamanya. Sedarlah... solat tidak
lama, sekadar lima minit sahaja.
Antara sifat orang munafik ialah mereka melakukan solat dalam keadaan malas. Antara
sifat orang fasik ialah mereka kekal melakukan dosa (tidak mahu solat). Antara
sifat orang mukmin pula ialah mereka melakukan sesuatu perkara dengan tekun. Jadi,
mana satu pilihan anda?
Kajian saintifik membuktikan solat sangat bermanfaat dari segi kesihatan. Kebanyakan
orang bersolat, tidak nyanyuk atau menderita penyakit sendi atau otot ketika
tua. Solat boleh menyihatkan tubuh badan, menjadi pendinding penyakit fizikal
dan mental.
Solat ditetapkan mengikut waktu tertentu. Perantaraan waktu bagi setiap solat
ada hikmah yang tertentu. Perubahan waktu dari pagi hingga ke malam memberikan
kita tenaga yang berbeza melalui spektrum warna cahaya.
Jika orang Islam sendiri tidak suka solat, orang bukan Islam bertepuk tangan. Kata
mereka, apabila orang Islam meninggalkan solat sebagai ibadat paling penting,
maka mudahlah untuk menjatuhkan dan menghina mereka.
Dalam solat ketika duduk antara dua sujud, terdapat doa ringkas tetapi penuh
pengharapan dan pergantungan terhadap Ilahi. Doa tersebut bermaksud "Tuhan
ampunilah aku, sayangilah aku, cukupilah kekurangan ku, Tinggikanlah darjat ku,
berikanlah aku rezeki, berikanlah aku petunjuk, sihatkanlah aku, maafkanlah
aku."
Jiwa lebih tenteram
Solat Jumaat diwajibkan kepada golongan lelaki. Lelaki adalah ketua kepada
wanita, ketua keluarga, ketua syarikat dan ketua jabatan. Tujuan khutbah Jumaat
pula untuk memberikan peringatan kepada lelaki mengenai tanggungjawab mereka
memakmurkan institusi rumah tangga dan syarikat masing-masing.
Solat dan khutbah Jumaat perlu diniatkan untuk mendapatkan ilmu dan menambahkan
iman. Maklumlah, yang datang ke masjid itu ketua pegawai eksekutif, pengurus
dan orang berjawatan penting dalam syarikat. Gaji pula mahal.
Sedangkan khatib yang membaca khutbah bukanlah sesiapa... tiada pangkat, gaji
pun rendah sahaja. Jadi, apa kelas pegawai atasan mendengar nasihat daripada
khatib berstatus jaguh kampung, bukan?
Alangkah bagusnya kumpulkan semua inti pati khutbah Jumaat yang didengar itu
untuk dijadikan rujukan dan penambahbaikan amal ibadat. Bayangkan jika ada 52
minggu setahun, maka 52 khutbah kita dengar. Jika semua lelaki Islam
memanfaatkan khutbah Jumaat sebagaimana yang diajar oleh agama, tentulah indeks
jenayah akan susut.
Pihak lelaki mendengar khutbah untuk dirinya, kemudian balik ke rumah dan
mengulanginya semula kepada anak dan isteri. Inilah antara bentuk bimbingan
suami kepada isteri, juga bapa kepada anak.
Dengan cara ini, dakwah berjalan. Dengan cara ini institusi kekeluargaan boleh
dikukuhkan. Dengan cara ini jenayah, maksiat dan gejala sosial boleh dibendung
bermula dari dalam rumah lagi.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia itu dijadikan
bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ditimpa kesusahan dia
sangat resah gelisah. Dan apabila beroleh kesenangan, dia sangat bakhil
kedekut." (Surah Al-Maarij: 19-21)
Oleh itulah Islam datang sebagai pengantara untuk menyeimbangkan diri manusia
antara resah dan bakhil. Penyelesaiannya ialah bersikap sederhana. Tidak sampai
ke tahap fakir ataupun terlalu kaya yang bakhil. Dengan kesederhanaan, hati
lebih tenang dan jiwa lebih tenteram.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Kecuali orang yang melaksanakan
solat, mereka yang tetap setia melaksanakan solat." (Surah Al-Maarij:
22-23).
Ayat ini merupakan sambungan daripada ayat 19-21 yang menyatakan bahawa orang
yang mengerjakan solat merupakan orang yang boleh menghindari tabiat resah
gelisah dan bakhil kedekut.
Jika hati resah, ambillah wuduk kemudian lakukan solat dengan khusyuk. Selepas
solat, insya-ALLAH rasa resah gelisah itu akan hilang dan rasa tenang pula
datang sebagai pengganti.
Jika kita merasakan sukar untuk menderma kerana bimbang harta akan berkurangan,
ambillah wuduk kemudian lakukanlah solat tahajud, solat hajat atau solat
tasbih.
Melalui solat tersebut, hati akan berasa sayu lalu mengakui tiada yang lebih
hebat, tiada yang lebih berkuasa, tiada yang lebih kaya melainkan ALLAH SWT.
Apa yang kita miliki tentang harta keduniaan, tidak sedikit pun sebanding
dengan apa yang ALLAH SWT miliki di langit dan bumi. Malah, tubuh badan kita
pun dicipta oleh-Nya. Sekaya mana pun kita, jika jatuh sakit tetap memerlukan
pertolongan-Nya jua.
Oleh itu, janganlah kita bersolat sebagai rutin atau meneruskan tradisi
keluarga semata-mata. Galilah dan manfaatkanlah apa yang ada di dalam solat
itu. Mudah-mudahan hidup kita lebih bermakna, berkat solat yang kita tunaikan
sepanjang usia.
Friday, August 23, 2013
ANJING DAN ISU MASYARAKAT MALAYSIA
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Dalam masyarakat yang rencam agama dan budaya, pelbagai perkara
sensitif mudah timbul. Di zaman teknologi maklumat, bermacam sudut pandang akan
muncul. Sememang inilah reality masyarakat ‘era baru’ kini yang mempunyai
pelbagai dimensi dan perspektif baru yang tidak dimiliki oleh generasi yang
hidup dalam era yang lepas.
Umpamanya apabila isu video anjing yang dikaitkan dengan umat
Islam menyambut hariraya timbul, pelbagai reaksi lahir. Ada yang kata anjing binatang yang dimusuhi
oleh Islam. Ada
yang kata video itu hina umat Islam. Ada
yang kata perbuatan memegang anjing diharamkan oleh Islam. Ada pula yang kata apa salahnya kita membela
anjing macam orang lain. Macam-macam lagi yang ditimbulkan. Ada yang berdasar fakta, ada berdasar emosi.
Ramai yang meminta saya mencoretkan sesuatu tentang anjing pada
pandangan muslim. Dalam ruang yang terbatas ini, saya ingin sebutkan secara
ringkas isu-isu berikut;
Samakan Dengan Anjing
Walaupun
manusia mempunyai pelbagai latar budaya dan agama, namun secara umumnya kesemua
masyarakat menganggap menyamakan mana-mana individu dan pihak dengan anjing
merupakan satu penghinaan. Sekalipun masyarakat Barat ramai yang menganggap ‘a dog is a man’s best friend’ namun jika kita berkata ‘you are like a dog’ ia merupakan satu penghinaan. Jika pun
ada yang memahami dengan maksud kesetiaan ataupun loyalty namun ia bermaksud kesetiaan
yang membuta tuli.
Al-Quran
juga menjadikan anjing sebagai satu perumpamaan yang buruk bagi golongan ulama
penjilat dunia yang menjual prinsip kebenaran demi kepentingan diri. Firman
Allah: (maksudnya)
“Dan
bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri
kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan
dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia
dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat
kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati
cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah
seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika
Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan
orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu
supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).
Jadi, jika
masyarakat muslim sensitif apabila mereka ataupun amalan mereka dibandingkan
dengan anjing, maka itu memang sepatutnya. Mereka yang membuat apa-apa
provokasi dalam hal yang seperti itu memang membuat onar dan ingin menimbul
permusuhan dengan masyarakat muslim tanpa sebab. Perbuatan itu merosakkan
keharmonian masyarakat di negara ini.
Islam Benci Anjing?
Dalam
al-Quran Allah menceritakan tentang anjing yang mengiring para pemuda al-Kahfi
dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman
mereka. Firman Allah: (maksudnya)
“dan
engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan
mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing
mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat
mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah
engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 18).
Anjing
tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran.
Anjing itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir’.
Sementara dalam hadis pula, Nabi
s.a.w bersabda:
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor
anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir
kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat
kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia
diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).
Betapa seorang pelacur yang buruk
sekalipun diampuni dosanya oleh Allah kerana dengan ikhlas memberikan minum
kepada seekor anjing. Bagaimana mungkin untuk kita menganggap bahawa Islam
tidak menilai sebagai satu perbuatan yang baik jika muslim memberi makan dan
minum kepada anjing?!! Jika ada orang muslim yang memberi makan kepada anjing
patutlah dipuji.
Bolehkah
muslim memiliki anjing?
Dalam al-Quran, Allah menyebut: (maksudnya)
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): “Apakah
(makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” bagi menjawabnya: “Dihalalkan bagi kamu
(memakan) yang baik-baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang
pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih
binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu)
sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu, oleh itu makanlah dari apa
yang mereka (binatang-binatang buruan) itu tangkap untuk kamu dan sebutlah nama
Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada
Allah. Sesungguhnya Allah Maha cepat hitungan hisabNya” (Surah al-Maidah, ayat
4)
Binatang pemburu yang biasa digunakan ialah anjing. Kitab-kitab
tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir dan selainnya akan menyebut anjing sebagai
pemburu utama. Juga perkataan mukallibin dalam ayat ini boleh bermaksud
tuan-tuan empunya anjing seperti yang disenarai oleh al-Imam Ibn al-Jauzi
(meninggal 597H) dalam Zad al-Masir.
Ertinya,
muslim memiliki anjing buruan. Demikian dia boleh memiliki anjing yang
menemaninya berjalan atau menjaga keselamatan rumah seperti anjing Ashab
al-Kahfi yang disebutkan tadi.
Bolehkah Muslim Memegang Anjing?
Najis boleh disentuh tetapi hendaklah dibasuh apabila
kita hendak beribadat ataupun berurusan dengan masyarakat. Menyentuh anjing
yang kering sepakat ulama tidak najis. Menyentuh anjing basah khilaf pendapat
dalam kalangan sarjana. Mazhab Syafie agak tegas dalam hal ini. Namun,
pendapat-pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah. Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis anjing
itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut dalam hadis :
“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka
basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat
al-Bukhari).
Memelihara Anjing Dalam Rumah
Adapun
memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam.
Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa
yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga
ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud)”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan
hadis ini, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang
disebutkan berada pada hukum makruh. Ada
ulama yang mengharamkan. Namun hadis di atas tidak menyebut dosa, tetapi
pengurang pahala sahaja. Maka, hukum makruh dipilih oleh sebahagian fuqaha. Hikmahnya, mungkin atas
beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakat.
Islam menyuruh kita mengalukan tetamu. Bukan semua orang
suka dengan anjing. Baunya dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah
orang. Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki
kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat
bertahan. Salakan anjing dan bulu-bulu di sana-sini bagaikan tidak
mengalu-alukan tetamu. Sedangkan Islam agama kemasyarakatan dan hubungan baik
antara jiran, saudara-mara dan sahabat handai.
Dari segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai
kemerbahayaannya. Gigitan anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Banyak
kajian yang telah dibuat tentang hal ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya
anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat
demikian, bukan itu bererti penindasan terhadap anjing. Betapa banyak binatang
yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana kemerbahayaannya. Itu semua
bukan bererti penindasan atau kekejaman!
Dalam hadis tadi, Nabi s.a.w:
“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah
sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).
Untuk mengelakkan jilatan anjing yang sentiasa menjelir
lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan juga bahaya dari segi saintifik
maka Islam melarang untuk kita memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan
yang diizinkan.
Maka ini ringkasan yang sempat saya
coretkan petang ini berhubung dengan sisi pandangan nas-nas Islam berkaitan
dengan anjing.
Sumber : http://drmaza.com/home/?p=2449
Wednesday, August 21, 2013
Kebenaran Itu Milik Allah
DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
SAYA tidak terkejut apabila bekas Presiden Mesir, Hosni
Mubarak dibebaskan daripada penjara oleh Mahkamah Mesir. Inilah
tujuan sebenar rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera.
Tidak perlu berlindung di sebalik alasan ekonomi dan sebagainya.Padahal kezaliman Hosni Mubarak selama 30 tahun menduduki takhta presiden satu
fakta yang tidak boleh dinafikan sama sekali.
Barangkali, Sheikh Al-Azhar yang kuat menyokong rampasan kuasa tentera pun
sudah berpuas hati dengan pembebasan Hosni Mubarak.
Saya menghormati keilmuan yang ada pada Sheikh Al-Azhar, namun pendirian beliau
dalam hal ini jelas salah seterang cahaya matahari di siang hari.
Pada saya, inilah ujian berat yang sedang dihadapi oleh gerakan Islam khususnya
di Mesir iaitu di saat para pemimpin mereka disumbat ke dalam penjara manakala
penjenayah besar dilepas bebas.
Berpuas hatilah kerajaan Arab Saudi yang kuat menyokong rampasan kuasa tentera. Benarlah kenyataan bahawa kebenaran itu milik ALLAH, tidak di Barat dan tidak
Timur.
Sekalipun penjaga dua tanah suci dimuliakan ALLAH SWT dengan tugas ini, namun
belum tentu mereka memegang anak kunci kebenaran. Di samping menjaga dua tanah Suci, Arab Saudi jugalah yang menjaga telaga
minyak yang menghilangkan haus Amerika Syarikat (AS) sekian lama.
Inilah satu-satunya negara yang dinamakan sempena nama pemerintahnya iaitu Bani
Saud. Justeru, janganlah Arab Saudi menyangka dengan sokongan mereka kepada tentera
Mesir, mereka boleh mempengaruhi seluruh umat Islam di dunia.
Jika darah Abdullah bin Zubair RA pernah tertumpah akibat diperangi oleh Hajjaj
bin Yusuf di Tanah Mekah, apa peliknya darah umat Islam di negara lain
tertumpah angkara pemerintah Saudi hari ini?
Jika kabilah Arab Jahiliyyah pun pernah bertugas untuk menjaga Tanah Suci
sebelum kedatangan Islam, apakah jaminan penjaga Tanah Suci hari ini bebas dari
melakukan kesilapan?
Barangkali sedikit kasar kiasan saya, tetapi ia belum apa-apa jika dibandingkan
dengan sokongan Arab Saudi terhadap tindakan tentera Mesir yang telah membunuh
ribuan rakyat yang tidak berdosa.
Saya menyeru kepada jiwa-jiwa yang telah dimuliakan ALLAH SWT dengan ilmu
agama, janganlah sesekali cenderung kepada kezaliman agar tidak disambar oleh
api neraka.
Hari ini Mesir ditinggalkan 'saudara-saudara'nya, bagaikan Nabi Yusuf yang
pernah dibuang oleh saudara-saudaranya di dalam telaga ribuan tahun yang
lampau.
Tetapi Baginda akhirnya diselamatkan dan menjadi penguasa Mesir. Saya yakin
Insya-ALLAH, Mesir akan keluar dari telaga kezaliman para tentera dan akan
bangkit semula sebagai sebuah bumi yang subur dengan gerakan Islam.
Pesan saya kepada para hakim yang membebaskan Mubarak sebagaimana pesan ahli
sihir yang beriman kepada Firaun :
فَاقْضِ مَا أَنْتَ قَاضٍ
إِنَّمَا تَقْضِي هَذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا
yang bermaksud : Berhukumlah kamu selagi mana kamu boleh berhukum, sesungguhnya
kamu hanya mampu berhukum di dalam kehidupan dunia ini sahaja... - Surah Toha,
ayat 72
Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul
Am Pas
Firaun moden ulangan sejarah Firaun zaman
Nabi Musa
Dato’ Tuan
Ibrahim Tuan Man
Tindakan ganas oleh regim pemimpin
diktator General Abdel Fatah el-Sisi di Mesir dilakukan dengan nada sunyi yang
memekakkan dari Amerika dan Israel lahir daripada kebimbangan mereka terhadap
kebangkitan Gerakan Islam di Mesir dan kemunculan semula sistem khilafah yang
telah berjaya dihapuskan pada tahun 1923 di Turki.
Ketakutan mereka ini mengingatkan kita kepada tindakan ganas dan kejam di era
pemerintahan Firaun. Oleh sebab takut dan yakin akan munculnya seorang anak
lelaki yang bakal menjatuhkan kerajaan mereka, lalu Firaun telah bertindak
ganas terhadap mana-mana anak lelaki yang lahir dan terus mereka dibunuh.
Namun pembunuhan tersebut gagal menghalang lahir dan kemunculan Nabi Musa
sehingga akhirnya Firaun dijatuhkan. Kini di dalam era moden ini, ketakutan
itu muncul kembali.
Kalau Firaun dahulu hanya membunuh kanak- kanak lelaki, kini semua peringkat
umur dibunuh kerana semua pihak menjadi penyumbang kepada kesedaran rakyat bagi
mempertahankan pemimpin yang dipilih.
Nyata firaun moden lebih zalim dari firaun di era Nabi Musa. Firaun el-Sisi
langsung tidak mengambil pengajaran dari apa yang telah berlaku. Halangan dan
tindakan ganas akan pasti gagal seperti usaha menahan kemunculan 'Nabi Musa' di
zaman dulu.
Tindakan ganas Firaun moden menghalang kemarahan rakyat dan kebencian akan
diterjemahkan dengan kerelaan mereka untuk terus berjuang sehingga pimpinan
pilihan rakyat Dr Mohamad Mursi kembali semula ke tampuk pemerintahan.
Kemunculan Nabi Musa telah mengubah landskap politik di sekitar Mesir, Jordan,
Syria (Wilayah Syam). Kegilaan Firaun moden ini dijangka akan menyebabkan
berlakunya satu perubahan besar senario politik Timur Tengah. Kebangkitan
semula Islam inilah yang sangat ditakuti oleh rejim Firaun moden kini khususnya
ketakutan oleh Amerika dan Israel.
Senyum
Subscribe to:
Posts (Atom)