Sunday, March 31, 2013


بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

8 surah ibu hamil .
Firman Allah SWT:
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertimpa-timpa dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman 31: Ayat 14)
.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.
sign s

Thursday, March 28, 2013

Apa terjadi pada tubuh kita di alam kubur?

Blog myBabah

SESUNGGUHNYA mayat di dalam kubur, akan melalui beberapa fasa perubahan, dan inilah fasa-fasa mulai pada malam pertama masuk ke alam kubur sehingga 25 tahun setelahnya.

Malam pertama di kubur tubuh badan mula membusuk dan ia dimulai daripada perut dan kemaluan. Subhanallah, perut dan kemaluan adalah dua hal terpenting yang dijagai oleh anak cucu Adam di dunia. Dua hajat, yang kerananya Allah azza wa jalla membuat manusia rugi di dunia akan membusuk pada malam pertamanya di kubur. Setelah itu, mulailah jasad berubah warna menjadi hijau kehitaman. Setelah pelbagai solekan, dan alat-alat kecantikan membuatnya memiliki ragam pesona, rupa-rupanya tubuh manusia hanya akan memiliki satu warna saja.

Malam kedua di kubur, mulailah anggota-anggota tubuh lain membusuk seperti: limpa, hati, paru-paru dan rusuk.

Malam ketiga di kubur, mulailah anggota-anggota tubuh itu mengeluarkan bau busuk yang melampau.

Seminggu selepas itu, wajah mulai tampak membengkak, begitu juga dua mata, kedua bibir dan pipi.

Selepas 2 minggu, rambut mulai gugur.

Selepas 15 hari, lalat hijau mulai dapat mencium bau busuk dari jarak 5 km, dan ulat-ulat pun mulai menutupi seluruh tubuh.

Selepas 6 bulan yang tinggal hanya rangka tulang saja.

Selepas 25 tahun, rangka tubuh ini akan berubah menjadi semacam biji, dan di dalam biji tersebut, kita akan menemukan satu tulang yang sangat kecil yang disebut ‘ajbudz dzanab (tulang ekor). Daripada tulang inilah kita akan dibangkitkan oleh Allah azza wa jalla pada hari kiamat. Inilah tubuh yang selama ini kita jaga. Inilah tubuh yang kita berbuat maksiat kepada Allah. Oleh sebab itulah, jangan gunakan jasad ini secara sia-sia, kerana dia akan mendapatkan apa yang telah disebutkan.


(AR/Dr.Zuhair Rabih (Anggota Haiah I’jazul Ilmi, Makkah al-Mukarromah)/
Sumber: Majalah Qiblati Edisi 06, Tahun V, 03-1431H/03-2010M, Hal.46-47]





Sumber: mybabah.blogspot.com 

Saka keturunan

bersama Haji Lokman Abdul Hamid
www.alhidayah-medic.com


SALAM Tuan Haji Lokman. Nama saya Zulkarnian Zamzuri dari Balek Pulau, Pulau Pinang berusia 30 tahun empat beradik dan saya anak yang kedua.Di sini saya hendak bertanya adakah saya terkena gangguan sihir atau gangguan saka. Sejak ayah saya meninggal dunia 3 tahun lepas, kesihatan saya selalu terganggu.

Kadang-kadang saya tidak boleh tidur malam, mimpi menakutkan, sakit di sendi terutama di bahagian pinggang dan tengkuk dan fikiran saya kebingungan.

Susah untuk saya hendak fokus dan membuat sesuatu kerja. Prestasi kerja saya merosot dan kadang-kadang saya merasa diri saya kosong dan tidak bersemangat.

Saya sudah pergi berjumpa beberapa doktor pakar dan semua mengatakan saya sihat dan tidak ada apa-apa penyakit fizikal dan ada daripada mereka berpendapat saya menghadapi penyakit kemurungan.

Saya pernah berjumpa dengan seorang Ustaz di kampung saya dan dia memberitahu saya ada gangguan saka dari keturunan saya. Saya minta penjelasan dari Tuan Haji.

Jawapan

Gangguan makhluk halus, penyakit yang boleh dikira sebagai dominan dalam masyarakat Melayu kita, sejak dari dulu, hingga ke era moden seperti hari ini.

Setiap hari perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah pasti bertemu dengan pesakit yang mengalami masalah gangguan makhluk halus. Antara gangguan yang sangat popular dan selalu dikenal pasti adalah gangguan saka.

Pesakit tersebut kadang-kala tidak terfikir bahawa sakit yang dialami oleh mereka bertahun-tahun lamanya dan tidak sembuh walaupun sudah mendapat rawatan moden disebabkan oleh gangguan saka.

Banyak kali pesakit datang ke klinik kami untuk berubat sakit sendi atau urat saraf, tetapi apabila dikenal pasti penyakit yang dialami sebenarnya adalah gangguan saka. Untuk pengetahuan pembaca, gangguan saka adalah merupakan jin-jin yang diwarisi daripada seorang manusia kepada manusia lain sama ada secara disedari atau tidak disedari dan biasanya melibatkan keturunan iaitu mempunyai pertalian darah yang sama.

Melalui pengalaman saya mengeluarkan saka dari badan pesakit, kebanyakan daripada saka adalah dari keturunan sebelah keluarga bapa pesakit dan jarang sekali kami berjumpa saka yang berasal dari sebelah keluarga ibu.

Kenapa ini berlaku adalah kerana pertalian darah dari bapa kepada anak-anak lebih kuat dari pertalian darah dari ibu kepada anak-anak.

Manakala gangguan sihir pula, adalah gangguan jin dan iblis yang dihantar kepada sesaorang daripada seseorang yang mempunyai niat jahat melalui pengamal sihir. Selalunya pengamal-pengamal sihir ini menggunakan jin dan iblis untuk menganiayai seorang yang disasarkan oleh pelanggan mereka.

Apa pun jenis jenama sihir yang ada sekarang di zaman moden seperti santau, susuk, ilmu kebal, ilmu pemisah dan pengasih, semuanya berlaku melalui campur tangan jin dan iblis ini yang berdamping dengan pengamal-pengamal sihir tersebut.

Bukan semua anak-anak dalam keluarga itu boleh mewarisi saka keturunan dari keluarga. Jin-jin saka ini boleh memilih (pick and choose) anak-anak tuan mereka, untuk didampingi oleh mereka.

Sukar untuk saya memberi penjelasan apakah kriteria atau ciri-ciri yang ada pada anak-anak yang boleh membuat tubuh badan mereka ini senang didampingi oleh makhluk-makhluk halus ini.

Tidak ada satu formula yang boleh kita guna pakai untuk meramal siapa antara ahli keluarga itu didampingi oleh jin-jin saka ini.

Tidak semestinya anak yang sulung dalam keluarga itu atau hanya anak-anak lelaki sahaja yang selalu didampingi oleh jin-jin saka ini. Sehingga hari ini, kita masih belum memahami dengan jelas, bagaimana kaedah dan kriteria pemilihan ahli keluarga itu didampingi oleh jin-jin saka ini.
Mungkin faktor-faktor seperti lemah semangat, kekuatan iman, kepercayaan kepada benda-benda khurafat seperti menyimpan senjata-senjata lama yang diwarisi dari keturunan mereka dan sebagainya.

Masyarakat Melayu pada zaman dahulu suka memelihara dan berdamping dengan jin-jin kerana mempercayai makhluk yang didampingi tersebut boleh menjadi pembantu mereka dalam kerja-kerja seharian.

Sebagai contoh, terdapat kisah orang-orang tua dahulu yang berpesan kepada anak isteri mereka bahawa akan ada makhluk halus yang menjaga rumah mereka sepanjang tempoh si suami atau ayah tersebut keluar ke laut atau hutan untuk mencari rezeki.

Kadang-kala, mereka ini menuntut apa-apa ilmu yang disangka sebagai ilmu dunia ghaib tanpa mengetahui bahawa untuk menguasai ilmu tersebut, mereka akan didampingi oleh jin-jin yang dianugerahkan oleh tok guru mereka tanpa mereka sedari.

Ilmu-ilmu tersebut seringkali melibatkan ilmu-ilmu seperti ilmu pendinding, amalan kebatinan, ilmu kecantikan seperti susuk, ilmu pelaris untuk memajukan perniagaan, ilmu untuk menundukkan kuasa seseorang, ilmu sihir pemisah atau sihir pengasih dan sebagainya.

APA ITU JIN?

Pada zaman moden sekarang ramai di kalangan umat Islam yang hampir tidak dapat mempercayai wujudnya golongan jin-jin atau makhluk halus ini.

Namun, golongan jin merupakan makhluk halus yang harus diyakini akan kewujudan mereka walaupun mata kasar manusia tidak dapat melihat jin-jin tersebut.

Allah swt telah menyebut mengenai kewujudan jin-jin berulang kali di dalam Al-Quran dan salah satu daripada surah dalam AL-Quran sendiri dinamakan sebagai surah Al-Jinn.

Contoh dalil akan kewujudan jin adalah seperti di dalam firman Allah swt di dalam surah az-Zariyat ayat ke 56: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."

Sebab utama kenapa golongan jin tidak dapat dilihat oleh manusia kerana jin merupakan makhluk halus yang berasal daripada unsur-unsur kejadian yang berlainan dan berbeza daripada manusia, iaitu api.

Dalilnya, firman Allah Ta'ala di dalam surah Ar-Rahman, ayat 15 menyatakan:

“Dan Dia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang."
Selain itu di dalam surah Al-Hijr, ayat 27 Allah swt turut berfirman bahawa;

“Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma."

Ramai pesakit yang dirasuki atau diganggu oleh jin mengadu tubuh badan mereka selalu rasa panas.

Perkara ini dapat dijelaskan seperti yang disebut dalam ayat-ayat Al-Quran seperti diatas iaitu kejadian jin itu adalah daripada api.

Banyak rencana yang ditulis oleh pemikir-pemikir Barat berkenaan “energy" yang dikeluarkan oleh benda-benda halus ini. “Energy" yang selalu dimaksudkan ini ialah bahang api dari unsur-unsur jin-jin tersebut .

Jin tidak mempunyai jasad seperti manusia sebab itu mereka dipanggil makhluk halus. Tidak mempunyai jasad bermakna mereka tidak ada darah, daging, tulang dan kulit seperti manusia.

Oleh kerana mereka tidak ada jasad, mereka lebih fleksibel daripada manusia, iaitu boleh mengecilkan bentuk asal mereka sehingga boleh memasuki tubuh manusia melalui saluran-saluran darah dan boleh hidup dalam badan manusia bertahun-tahun lamanya.

(Bersambung ke minggu hadapan}

Berbakti kepada al-Quran

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

PENGKAJIAN terhadap sejarah kehidupan ulama dalam bidang al-Quran dan penghayatan mereka terhadap al-Quran menginsafkan diri sendiri betapa jauhnya diri dengan al-Quran. Mereka menghabiskan banyak masa dengan al-Quran sama ada dalam pengajaran atau penulisan.

Syeikh Amir Sayyid Uthman umpamanya merupakan tokoh yang amat disegani dalam ilmu al-Quran pada zaman beliau. Diceritakan bahawa di mana sahaja kamu berjumpa dengan Syeikh Amir pasti kamu akan dapati ada seseorang di sampingnya sedang membaca al-Quran bertalaqqi daripadanya. Walaupun ketika beliau sedang menunggu teksi atau dalam kapal terbang pasti ada seorang murid membaca al-Quran di sisi beliau.

Ulama silam menghabiskan masa dengan menjadi khadam kepada al-Quran. Mulut mereka selalu membaca al-Quran walau di mana sahaja berada. Perkara ini amat berlainan dengan adat masyarakat kita yang selalu membaca al-Quran dalam program tertentu sahaja. Bahkan pada hari Jumaat, al-Quran tersimpan dengan rapi di rak-rak dalam ruangan masjid tanpa disentuh. Orang yang membacanya akan dipandang dengan pandangan yang pelik.

Berlainan pula pemandangan dengan masjid-masjid di Tanah Arab, terutamanya di Masjid Nabi dan Masjidil Haram Mekah. Satu jam sebelum khutbah semua rak-rak al-Quran kosong kerana al-Quran berada di tangan pembacanya. Orang yang datang lewat akan membawa al-Quran sendiri yang bersaiz poket. Dan orang yang tidak membaca al-Quran akan merasa aib dan malu kerana tidak membaca al-Quran lantaran semua orang membaca al-Quran.

Pada awal 80-an seorang tokoh ulama bernama Syeikh Abdul Fattah al-Mirsafi pergi ke Madinah al-Munawwarah sebagai pensyarah di Kuliah al-Quran, Universiti Islam Madinah. Beliau amat alim dalam bidang Qiraat dan al-Quran menghasilkan karang yang menjadi rujukan dalam ilmu tajwid iaitu Hidayah al-Qari Ila Tajwid Kalam al-Bari.

Syeikh al-Mirsafi menjadi tumpuan pelajar untuk talaqi al-Quran dan qiraat. Selepas sesi pengajaran di universiti, ramai pelajar berkunjung ke rumahnya untuk bertalaqqi al-Quran. Sehingga dikatakan rumahnya sesak dengan pelajar dan mereka membaca seorang demi seorang sehingga lewat malam. Malah ketika beliau menjamah makanan ada pelajar yang membaca di sisi Syeikh al-Mirsafi.

Sudah menjadi ketentuan Ilahi akan menghabiskan riwayat seseorang mengikut amalannya. Ibarat seorang guru yang berpesan kepada muridnya jika lori yang membawa sayur kemalangan maka bertaburanlah sayur di atas jalan dan jika lori yang membawa najis kemalangan maka bertaburanlah najis di jalan dan mustahil berlaku sebaliknya.

Syeikh al-Mirsafi yang menghabiskan masa harian beliau dengan mengajar al-Quran telah meninggal dunia ketika beliau mendengar al-Quran daripada bacaan seorang pelajarnya yang bernama Syeikh Bilal. Ketika Syeikh Bilal khusyuk membaca surah al-Mulk juzuk 29 pada ayat 12 yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang takut dengan Tuhan mereka tanpa melihatnya bagi mereka keampunan dan ganjaran yang besar. Syeikh Mirsafi rebah dan meninggal dunia.

Lantaran itu, marilah sama-sama kita berbakti kepada al-Quran yang merupakan kitab Allah panduan kepada seluruh manusia. Membacanya membawa kepada rahmat dan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

Peluang mendapat rahmat Allah SWT terbentang luas di hadapan kita, tepuk dada tanyalah iman. Semoga amalan yang kita lakukan itu memungkinkan kita termasuk dalam kalangan ahli al-Quran sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Kenapa saya kata Umno hina Islam dan Melayu?

Mohamed Hanipa Maidin,
 Harakah 28 Mac 2013

Yang dihormati Pengacara Majlis, Ketua Kampung Pulau Meranti, Ketua Cawangan PAS, Sahabat saya YB Abdullah Sani, Ahli Parlimen PKR Kuala Langat dan para pimpinan Pakatan Rakyat dan Tuan Puan yang saya kasihi sekelian.

Alhamdulillah dapat saya bertemu dengan penduduk di sini di malam yang bertuah ini. Ini kali pertama saya sampai di sini.

Saya percaya mungkin saudara saudari yang masih belum menyokong Pakatan Rakyat  (PR) di kampung ini merasa sangsi dengan PR.

Tuan Puan mungkin sangsi adakah hak dan kepentingan Islam akan terbela jika PR berkuasa?

Tuan Puan mungkin sangsi adakah hak dan kepentingan Melayu akan terus dipelihara jika PR berkuasa di Putrajaya?

Kesangsian ini adalah suatu yang normal kerana sejak Merdeka, Kerajaan Pusat tidak pernah diperintah selain dari Barisan Nasional ( BN ). Manusia secara fitrinya susah nak terima benda baru.

Inilah yang dihadapi oleh para anbiya a.s dan para Rasul a.s apabila mereka mengajak kaum mereka untuk buat perubahan.. kaum para Nabi selalu memberi dalih kami lebih selesa dengan yang lama ..ajaran tok nenek oyang mereka..  meskipun tradisi lama itu tradisi yang tidak baik dan menyimpang dari ajaran Tuhan ..mereka tetap kata inilah pilihan kami dulu kini dan selamanya..

Kesangsian ini juga diwujudkan oleh BN melalui tuduhan tuduhan yang tidak berasas dan juga fitnah yang jahat ke atas perjuangan PR.

Asas kesangsian mereka yang belum menyokong PR ini adalah dalam Pakatan ada DAP iaitu parti yang bermajoriti orang Cina maka dibuat satu anggapan bahawa DAP akan menjadi penghalang kepada pembangunan Islam dan Melayu.

Tidak ada masalah untuk sangsi. Yang menjadi masalah adalah kita tidak mahu mencari jawapan kepada kesangsian itu. Untuk mendapat jawapan bagi menghilangkan kesangsian tersebut tuan puan tidak boleh mendapatkan jawapannya daripada Umno dan jentera penerangan mereka. Ini kerana Umno dan jentera penerangan mereka menjadi  pihak yang mewujudkan kesangsian itu. Jawapan bagi kesangsian itu hendaklah didapati dari PR, dari media PR seperti Harakah, akhbar Suara Keadilan atau akhbar Roket atau media media alternatif dan juga ceramah- ceramah anjuran PR seperti malam ini.

Saya ingin ulas dulu tentang kesangsian tuan puan tentang isu Islam tadi. Bagi saya kesangsian tentang sama ada Islam akan terbela jika PR memerintah menunjukkan tuan puan mengambil berat tentang Islam. Ini satu perkara yang baik.

Kami ingin nyatakan seperti mana tuan puan kami khususnya PAS juga mahukan Islam terbela. Sebab itu sejak awal lagi PAS ditubuhkan. PAS ditubuhkan antara lain untuk membangunkan Islam dalam semua aspek kehidupan. Islam sebagai al -Deen. PAS ditubuhkan antara lain kerana ulama tidak bersetuju tindakan Umno menghalalkan judi yang Allah haramkan. Jika PAS tidak ambil berat Islam sudah tentu ulama PAS hanya berdiam diri apabila Umno benarkan judi di negara ini.

Apabila Umno mencanangkan Islam tidak akan terbela jika PR perintah Putrajaya, kita juga berhak bertanya adakah Umno benar-benar membela Islam sepertimana yang Islam kehendaki atau ajar? Adakah selama berpuluh tahun Umno memerintah negara ini Islam benar benar terbela?

Saya boleh bagi banyak contoh tentang jenayah Umno terhadap Islam.. lulus lesen judi, tipu dan rasuah dalam pilihanraya seperti didedahkan dalam RCI iaitu projek beri kad pengenalan kepada bukan warganegara atau dikenali projek Dr M di Sabah.  Hatta dalam pemilihan parti dia sendiri pun Umno rasuah seperti kes Tan Sri Isa samad yang disabitkan bersalah oleh Badan Disiplin Umno terbabit dengan politik wang .. nama lain bagi rasuah.

Yang lebih peliknya tuan puan Isa Samad yang Umno kata dia rasuah dipilih pula untuk jaga Felda.. lubuk wang ringgit negara ini. Macam mana wang negara tidak habis..Umno lantik orang rasuah jaga wang ..bukankah ini seperti kata pepatah Arab ibarat kita minta serigala jaga kambing sedangkan tujuan jagaan itu untuk lindungi kambing dari dimakan serigala!!

Umno juga banyak melakukan kezaliman sedangkan di dalam Al Quran nyatakan " Janganlah kamu cenderung kepada kezaliman nanti kamu akan disentuh api neraka." Tangkap orang tanpa bicara tak zalim kah?

Macam mana Umno kata dia bela Islam sedangkan dia rompak wang royalti rakyat Kelantan dan Terengganu. Umno tidak hormat perjanjian.. dalam surah al-Maidah ayat 1 Allah memerintahkan orang-orang beriman untuk tunaikan janji. Adakah Umno patuhi tuntutan ayat Allah ini?

Isu salah guna kuasa seperti isu lembu Sharizat, isu pembelian kapal selam,  isu pembaziran wang rakyat seperti kes panggil artis Korea Psy yang dikatakan telan belanja RM2 juta untuk persembahan beberapa minit.. isu pemimpin Umno hina hukum Islam.. seperti ucapan Mahathir, Najib dan lain lain. Pokoknya Umno lah yang gagal membela Islam malahan menghina Islam  pula.

Mari kita lihat apakah yang dilakukan oleh Umno (sebagai pihak yang mendakwa Pakatan tidak akan jaga Melayu) terhadap kepentingan melayu?

Apa dia kepentingan Melayu..? Dari segi Perlembagaan Persekutuan, kepentingan Melayu adalah Bahasa Melayu ..iaitu Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Siapakah yang persetankan kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembgaaan melalui PPSMI...Dap atau Umno?

Hak istimewa orang Melayu seperti tanah rezab Melayu ..Perkara 153 Perlembagaan.  Biasiswa untuk orang melayu.. adakah masih terjamin.. apa yang ada PTPTN yang rakyat kena bayar dan jika tidak bayar akan disekat pergerakan .. tak boleh ke luar Negara.

Kepentingan orang Melayu termasuk isntitusi Raja Raja Melayu.. siapakah yang menjatuhkan imej Raja Raja Melayu dan siapakah yang menyerang institusi Raja Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.. Siapa larikan anak Raja Melayu, siapakah yang nak lantik Raja Melayu baru ganti Sultan Kelantan, siapakah yang menyebabkan website kesultanan Perak diserang dalam isu Perak dulu. Siapakah yang galakkah pembaziran dengan membina Istana Baru dalam keadaaan istana lama masih cantik dan masih boleh digunakan?

Siapakah yang menyebabkan kepentingan ekuiti orang Melayu makin tiris ? Siapakah yang menyebabkan dasar DEB gagal.. adakah DEB menolong Melayu atau Bumiputra yang benar benar perlu ditolong atau DEB menolong Umnoputra atau kelompok kelas melayu tertentu yang dapat projek hasil amalan kronisme dan nepotisme . Tidakkah kita ingat isu bailout MAS yang rugi yang diterajui oleh Tajuddin Ramli kroni pemimpin Umno. Umno selamatkan Tajuddin Ramli seorang melayu kaya dengan salah guna wang rakyat termasuk wang orang-orang melayu yang miskin seperti kita semua tuan puan.

Jika Umno benar benar ingin jaga Melayu kenapakah Kelantan tidak ditolong seperti isu royalti, isu pembinaaan lebuh raya. Kenapakah semasa Umno ada dua pertiga kuasa di Parlimen tidak ditambah kerusi Parlimen dan Dun-Dun di Kelantan, Trengganu dan Kedah.. tidakkah 3 negeri ini majoritinya Melayu yang jika ditambah kerusi Parlimen dan Dun di tiga negeri tersebut nescaya akan bertambah kerusi Melayu/Islam di sana. Kerana bencikan PAS, Umno tidak mahu tambah kerusi di tiga tiga negeri tersebut ketika mereka ada kerusi dua pertiga di Parlimen.

Apa yang Umno buat bagi jaga akhlaq remaja/belia Melayu/ Islam. Semasa Umno buat Hari Belia Negara 2012 anjuran Kementerian Belia Dan Sukan yang Menterinya Melayu dan Islam , apa yang mereka buat?

Tahukah kita melalui surat bertarikh 21 Mei 2012 dari Stadium First Sdn Bhd kepada Ketua Setiausaha Kementerian Belia Dan Sukan, Dato Mohid Mohamed, syarikat tersebut tuntut belanja sebanyak RM15 juta bagi kos program tersebut. Secara tepatnya kosnya RM5,155, 175.60 untuk belanja kos program laghah tersebut. Dari perincian kos itu tuan puan, RM2.040.56 juta adalah kos memanggil artis wanita Korea yang dikenali sebagai K -Pop.

Bayangkan tuan puan Kerajaaan Umno sanggup hidangkan belia dan beliawanis kita dengan artis wanita luar negara yang berpakaian seksi dan sanggup pula belanja RM2.04 juta .. inikah cara Umno jaga akhlak dan moral remaja Melayu/ Islam? Yang lebih hebat PM yang tuduh PAS berdosa 7 dosa besar boleh berdiri sepentas dengan artis wanita Korea K Pop yang hanya berpakaian seluar pendek .. tak berdosa pula Sahibus Samahah Al fadhil Ustaz Najib !

Tak cukup K-Pop , dipanggil pula artis Korea PSY di Penang.. berapa lama persembahan PSY? 10 minit ... berapa dibayar ..RM2 juta tuan puan.. lepas tu Najib minta pula orang sokong BN..

Sekarang kita lihat adakah tuduhan BN bahawa DAP anti Islam dan Melayu betul atau tidak? Kita lihat negeri Pulau Pinang yang Ketua Menterinya dari DAP. Kita lihat apa yang Lim Guan Eng ( LGE ) buat di sana? Contohnya tentang isu pendidikan agama. Adakah tuan puan ahli Umno tahu bahawa Lim Guan Eng belanja lebih banyak untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dari SRJK (T) dan SRJK (C). SAR diberi bantuan per kapita sebulan puratanya RM97, 000 sedangkan sekolah Tamil hanya dapat RM 63 ribu sebulan manakala Sekolah Cina hanya dapat RM60 ribu sebulan. Macam mana Umno kata LGE anti Islam?

Umno bukan sahaja tarik balik bantuan per kapita SAR malahan fitnah pula SAR dengan tuduh SAR tidak ajar agama sebaliknya ajar pelajar jadi pengganas ..sebab itu Umno tarik balik bantuan per kapita SAR...

LGE juga sediakan tanah untuk bina SAR. LGE juga mahukan lebih ramai huffaz , penghafaz Al Quran di Pulau Pinang dengan memberi bantuan dan hadiah. LGE nak tiru cara pemerintahan Umar Abd Aziz r.a dan itu pun Umno marah! Kita pun pelik Umno marah ..tak kan nak suruh LGE tiru pemimpin Umno .. adakah pemimpin Umno yang LGE boleh tiru

Sebab itu saya katakana tuan puan yang hina Islam dan Melayu ni Umno dan BN bukannya PAS dan Pakatan Rakyat.

(Transkrip ucapan ceramah Mohamed Hanipa Maidin di Pulau Meranti, Sepang pada 27/3/2013.)

Agenda umat adalah paling utama
CIKGU SIDEK BABA - Sinar Harian 28.3.2013

Sejak merdeka agenda membangun umat berjalan seperti direncana. Ada menempa kejayaan dan ada bermasalah. Di samping dasar negara yang perlu diperkukuhkan, pelaksanaan mengambil kira kepentingan rakyat dan ketirisan yang terjadi, ternyata Malaysia adalah di antara negara yang maju ke hadapan dibandingkan negara umat Islam lain.

Dr Ghazi Ahmad Hamad, Timbalan Menteri Luar Hamas sewaktu melawat Malaysia baru-baru ini menyatakan, “Malaysia berada di landasan betul mengisi keperluan rakyat justeru tuntutan kononnya kerajaan sedia ada perlu dijatuhkan demi perubahan adalah tidak sesuai sama sekali”.

Pandangan Dr Ghazi pejuang intifadah itu amat menarik untuk direnung. Dengan melihat Malaysia yang maju, aman dan berdaya saing dalam ekonomi, tentu beliau melihat Malaysia salah sebuah negara Islam yang boleh membantu kebangunan Palestin secara berkesan.

Keutamaan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk memerlukan dasar-dasar seimbang. Agenda Islam yang sedang berjalan mengambil kira faktor masyarakat bukan Islam supaya bahasa mereka tidak terpinggir dan bebas nyatakan pandangan selagi tidak bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan.

Bank Rakyat yang operasinya patuh-syariah umpamanya amat diminati oleh pelabur dan peminjam bukan Islam. Asasnya ialah wujud kestabilan dan keuntungan. Produk halal umpamanya disertai majoriti peniaga bukan Islam. Asas ini kalau dapat dikembangkan dengan berhemah dan bijaksana jangka panjangnya boleh hasilkan sistem ekonomi Islam.

Hal sama juga berlaku dalam dunia pendidikan. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mula menerima pelajar bukan Islam untuk mengikuti kursus yang ada. Penubuhan Kolej Universiti Al-Quran Malaysia yang diumumkan kerajaan baru-baru ini adalah suatu testimoni untuk melaksanakan pendidikan Islam secara komprehensif.

Apabila ekonomi berkembang secara Islami dan pendidikan berjalan secara sepadu, ia bakal menghasilkan sumber daya atau modal insan yang mampu masuk dalam sistem. Sistem dan dasar akan menjadi lebih baik kerana dikendalikan orang lebih berwibawa.

Allahyarham Tan Sri Prof Ahmad Ibrahim tidak pernah putus asa untuk menyusun kembali sistem perundangan dan syariah Islam dalam sistem kita. Pendekatan menyantuni umara dengan program-program bijaksana ternyata memberi kesan baik kepada pelaksanaan syariah di Malaysia.

Bayangkan sistem pendidikan kita mampu menghasilkan pelajar yang menekuni bidang syariah dan memahami bidang konvensional - bakal menyumbang ke arah memperkasa sistem perundangan dan syariah di Malaysia.

Agenda ini terjadi kerana kita ada sebuah kerajaan yang mengambil kira agenda umat. Umat Islam ketinggalan dan lemah dalam banyak perkara. Kalaulah kuasa hilang daripada umat dan menjadi dominasi pihak yang ingin memperkenalkan konsep sama rata dan sama rasa, di samping faham sosialis demokratik yang tidak mengambil kira kepentingan Islam, ditambah pula dengan faham liberal dan pluralisme agama yang songsang, sudah tentu agenda utama umat akan menghadapi masalah.

Asas agenda umat yang telah terbina memerlukan penerusan - hanya boleh berlaku sekiranya kuasa politik berada di tangan umat Islam. Sekiranya umat Islam pecah, dominasi pihak ketiga akan terjadi. Umat Islam adalah teras di samping bekerjasama dengan pihak lain dan keadilan diberikan kepada mereka.

Jika ini terjadi mendapatkannya kembali adalah suatu hal yang payah. Jangan biarkan kata pepatah, “Nasi menjadi bubur” atau “Terhantuk baru tengadah” kerana kesannya amat tidak baik bagi umat Islam.

Ambil pendekatan, “Berhati-hati bila meniti, berhemat bila memanjat. Sekali tergelincir padahnya buruk, sekali terjatuh payah untuk bangun”.

Agenda umat masih belum selesai. Generasi muda Islam mempunyai peluang luas dalam bidang pendidikan. Usahawan bidang tijarah atau bisnes terus diperkasakan. Faktor daya saing di kalangan warga umat harus diperkasakan.

Binaan mentaliti subsidi dan rasa selesa dengan apa yang ada harus diatasi. Umat Islam harus menjadikan agenda mandiri sebagai suatu matlamat dan cita-cita. Kemampuan untuk bersaing dengan kekuatan sendiri harus menjadi agenda utama.

Globalisasi dan kebangkitan China sebagai suatu kuasa besar memerlukan Malaysia berdaya maju agar model Islam dapat diketengahkan untuk mengatasi kemelut kemanusiaan yang menjadikan materalisme segala-gala. Malaysia boleh berperanan ke arah cita-cita ini.

Tuesday, March 26, 2013


Tujuan penciptaan akal


Allah SWT telah mengurniakan akal kepada setiap manusia untuk menggunakan nikmat pemberian itu dengan sebaik-baiknya dalam meniti kehidupan. Akal manusia mampu mentadbir alam ini dengan sempurna supaya kehidupan dilalui dalam keadaan yang harmoni dan teratur. 

Namun, ada kala pemberian Allah SWT ini disalahgunakan tanpa rasa berdosa kepada penciptanya. Sesungguhnya akal pemberian Allah kepada manusia perlu digunakan dengan sebaik-baiknya. Allah menceritakan mengenai hamba-Nya yang digelar ‘Ulul al-Bab’ yang beriman dan menggunakan akal pemikiran dengan sebaik-baiknya dalam mentaati segala perintah-Nya. 


Firman Allah SWT: “Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, pertukaran waktu malam dan juga siang adalah tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berfikir. Mereka ialah manusia yang sentiasa mengingati Allah ketika berdiri, duduk mahupun berbaring. Mereka memikirkan pada penciptaan langit dan bumi (lalu berkata): Wahai Tuhan kami sesungguhnya Kamu tidak menciptakan semua ini secara sia-sia, maha suci Engkau maka jauhilah kami daripada azab api neraka.” (Surah Ali-Imran, ayat 190-191) 

Tujuan utama penciptaan akal 

Ayat ini jelas menunjukkan tujuan utama penciptaan akal adalah untuk melihat kebesaran Allah SWT melalui penciptaan alam, seterusnya tunduk dan patuh kepada segala perintah-Nya. Antara kegunaan akal adalah untuk memahami syariat Islam yang diturunkan Allah SWT melalui kalam-Nya al-Quran. 

Malah akal yang diberikan Allah SWT adalah penentu dalam meletakkan hukum bagi setiap manusia yang mukalaf. 

Sabda Nabi SAW: “Diangkatkan penulisan (dosa) daripada tiga golongan: orang yang tidur sehinggalah dia bangun, kanak-kanak sehinggalah dia bermimpi (baligh) dan orang gila sehinggalah dia waras.” (Direkodkan oleh Imam Abu Daud) Tujuan dikecualikan dosa bagi tiga golongan ini disebabkan keterbatasan dalam penggunaan akal fikiran yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka.  Selain itu akal adalah kurniaan Allah yang cukup besar untuk manusia mengenalpasti dan menganalisis hukum dalam syariat Islam. 

Dibenarkan berijtihad 

Buktinya kita dibenarkan berijtihad bagi sesuatu hukum yang baru apabila terdapat nas jelas bagi permasalahan itu. Oleh itu, akal digunakan untuk berijtihad dalam permasalahan berkenaan melalui dalil berbentuk umum. 

Namun ijtihad tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya tetapi mestilah melalui individu yang diiktiraf ketinggian ilmu mereka dalam selok-belok agama. Akal digunakan dalam permasalahan qiyas iaitu meletakkan hukum bagi permasalahan baru berdasarkan hukum sedia ada melalui persamaan illah (sebab). Contohnya, pengharaman menagih dadah yang diqiyaskan kepada pengharaman arak melalui sebabnya iaitu menghilangkan kewarasan akal manusia. 

Walaupun dibenarkan untuk kita menggunakan akal dalam perbahasan berkaitan syariat Islam namun perlu diketahui bahawa akal manusia tidak boleh melangkau serta melepasi batasan nas al-Quran dan al-Sunnah. Sebaliknya akal manusia perlulah mengikut sesuatu yang telah diterangkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Allah SWT berfirman: “Wahai orang yang beriman janganlah kamu mendahului urusan Allah dan Rasul-Nya; dan bertakwalah kamu kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Hujurat, ayat 1). 

Akal yang waras perlu mengikut ketetapan hukum daripada al-Quran dan al-Sunnah. Sesungguhnya setiap yang dinyatakan oleh Allah SWT adalah perkara terbaik bagi sekalian manusia dalam segala aspek kehidupan mereka. Maka sesiapa yang meminggirkan al-Quran dan al-Sunnah secara sengaja bermakna mereka telah mendahului urusan Allah SWT dan Rasul-Nya. 

Akal yang diberikan Allah SWT perlu diselarikan dengan pemahaman dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Dalam Islam, akal digunakan untuk menghuraikan ayat al-Quran dan sunnah Nabi SAW mengikut disiplin yang tertentu. 

Akal bukan sumber hukum 

Kita dilarang sama sekali untuk meletakkan akal sebagai sumber hukum dan menjadikan nas al-Quran dan al-Sunnah sebagai penghurainya. Ini adalah kaedah yang salah kerana mendahulukan akal daripada dalilal-Quran dan al-Sunnah. Memahami ayat al-Quran memerlukan kita melihat huraian ulama tafsir yang muktabar kerana ulama menggunakan dua kaedah utama iaitu al-Tafsir bi al-Ma’thur dan al-Tafsir bi al-Ra’y. 

Maksud al-Tafsir bi al-Ma’thur adalah menghuraikan ayat al-Quran berpandukan ayat al-Quran yang lain. Di samping itu kaedah tafsir ini juga menghuraikan ayat al-Quran menggunakan hadis Nabi SAW dan athar sahabat. Kaedah al-Tafsir bi al-Ra’y ialah huraian ayat al-Quran dengan mengetengahkan pendapat peribadi mahupun pandangan sarjana Islam lain. Daripada huraian itu maka terserlah hikmah daripada ayat al-Quran yang kadangkala tidak mampu dilihat oleh mata-mata manusia. 

Antara karya tafsir yang menggunakan pendekatan ini ialah kitab Fi Zilal al-Quran karangan Ustaz Sayyid Qutb. Walaupun begitu, kaedah al-Tafsir bi al-Ma’thur perlulah diutamakan dalam perbahasan ayat al-Quran dan seterusnya diselitkan hikmah serta pandangan yang mampu memberi manfaat kepada pembaca dengan menggunakan kaedah al-Tafsir bi al-Ra’y. 

Untuk memahami hadis Nabi SAW, akal memainkan peranan utama. Terdapat dua kajian utama iaitu kajian sanad (jalur periwayatan) dan kajian matan (teks hadis). Kajian terhadap sanad sebelum ia sampai kepada Nabi SAW manakala kajian matan meliputi pemahaman dan pengeluaran hukum daripada hadis. 

Akal memainkan peranan penting dalam memahami syariat Islam. Adanya akal yang waras segala hukum mampu difahami oleh umat Islam. Namun, akal yang dikurniakan itu perlulah selari dengan tuntutan al-Quran dan al-Sunnah tanpa sebarang pertikaian

Berselawat setiap nama Rasulullah disebut

Daripada Jubair bin Muth’in, katanya: “Aku mempunyai lima nama. Aku Muhammad (dipuji), aku Ahmad (amat terpuji), aku Mahi (penghapus) yang Tuhan menghapuskan kekafiran dengan usahaku, aku Hasyir (pengumpul) di mana dikumpulkan manusia di belakangku dan aku ‘Aqib (penghabisan).” (Riwayat Bukhari) 

Siapa yang tidak kenal nama Muhammad? Jika pertanyaan: Siapakah Muhammad itu ditujukan kepada seorang Muslim, tentu mereka sangat mengenalinya. Muhammad adalah purnama. Cahayanya di atas cahaya. Begitu syair pujian untuk dirinya. Seperti disebutkan dalam hadis, terdapat banyak nama-nama yang diberikan kepada Rasulullah dan sebagai seorang Islam kita wajib berselawat pada tiap-tiap kali menyebut, menulis atau mendengar nama Nabi Muhammad SAW atau ganti namanya, pangkat kenabian juga pangkat kerasulannya. 

Sebakhil-bakhil manusia 

Pendapat ini ialah pendapat sebahagian besar penyokong Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi, Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali, mereka berpendapat sesiapa yang tidak berselawat pada masa itu telah melakukan dosa besar. 

Banyak hadis menjelaskan bahawa Rasulullah SAW telah memberi amaran menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berselawat kepada Baginda SAW pada masa disebutkan nama atau ganti nama baginda, maka dialah sebakhil-bakhil manusia. 

Dialah mendapat kehinaan yang memalukan dan memuramkan mukanya, dialah yang beroleh kepayahan dan kesusahan, dialah yang jauh dari rahmat Allah dan dialah yang akan masuk ke dalam neraka jika tidak diampunkan dosanya meninggalkan berselawat itu. 
(Hadis Abu Zar al-Ghifari, yang diriwayatkan oleh Ibn Abu Asim; hadis Abu Hurairah riwayat Tirmizi dan al-Hakim; riwayat at-Tabari dan Bukhari pada al-Adab al-Mufrad; hadis Abu Hurairah riwayat Ibn Hibban dan al-Bukhari pada al-Adab al-Mufrad dan hadis Abdullah bin Jarad riwayat ad-Dailami) 

Monday, March 25, 2013


Politik baru lepas PRU ke-13
 
Saya teringatkan keadaan Saidina ‘Ali bin Abi Talib RA yang menjadi khalifah selepas krisis paling besar dalam sejarah umat Islam iaitu peristiwa pembunuhan khalifah ketiga, Saidina ‘Uthman bin ‘Affan. 

Umat Islam terpinga-pinga dengan keadaan politik baru ketika itu. Suatu pengalaman yang cukup baru, khalifah dibunuh dan pemberontak menguasai negara. 

Dalam celahan itu, dengan desakan pemberontak dan umat Islam juga sebahagiannya bersetuju maka terlantiknya ‘Ali bin Abi Talib memegang jawatan khalifah.


Gawat

Suasana prasangka memenuhi dunia Islam ketika itu. Ini persis kata-kata Abu al-Hassan ‘Ali al-Nadwi: 

"Pelantikan Saidina ‘Ali sebagai khalifah dibuat dalam keadaan yang paling gawat dan penuh dengan ujian getir dalam sejarah. Ini kerana apabila ‘Ali dilantik sebagai pimpinan kerajaan dan masyarakat atau dibai'ah sebagai khalifah dalam keadaan peristiwa syahidnya Khalifah al-Muslimin ‘Uthman ibn ‘Affan RA baharu sahaja berlaku dengan cara yang paling keji, kejam dan ganas. 

"Pada zaman itu terkumpul faktor-faktor negatif seperti ketidakpuasan hati, sentuhan perasaan dan jiwa. Banyak pula khabar angin, persoalan dan salah faham yang timbul. Perasaan ingin tahu dan meminta penjelasan semakin melonjak-lonjak. Berita syahidnya ‘Uthman menjadi tajuk perbualan di mana-mana. 

"Suara orang ramai kedengaran di sana-sini meminta pelaksanaan hukuman bunuh balas terhadap pembunuh ‘Uthman. Begitulah keadaan masyarakat manusia pada setiap masa dan zaman apabila berlakunya kejadian yang asing bagi mereka. Maka hilanglah ketenteraman dan ketenangan". (Al-Nadwi, Al-Murtadha, ms 141. Dar al-Qalam: Damsyik)

'Ali menerima jawatan tersebut dalam keadaan yang demikian. Hasilnya, berlakulah pergolakan politik yang dahsyat. Perpecahan rakyat, kemunculan pelbagai aliran mazhab, pertumpahan darah dan seumpamanya. 

Saya tertarik dengan jawapan Abdullah bin ‘Abbas apabila ‘Ali bertanya pandangannya tentang keadaan polisi-polisi yang ‘Ali ambil pada masa tersebut. 

Antaranya, Abdullah bin ‘Abbas berpendapat sepatutnya semasa pembunuhan ‘Uthman, ‘Ali keluar ke Mekah dan tinggal di sana. Apabila orang ramai tidak dapat mencari pengganti khalifah mereka akan mencari ‘Ali dan menjemputnya ke Madinah lalu melantiknya sebagai khalifah. 

Ini tentu tidak akan menimbulkan sebarang sangkaan buruk Bani Umayyah. Namun apa yang berlaku sekarang ialah ‘Ali menggantikan jawatan khalifah yang dibunuh ketika beliau sendiri berada di Madinah. Sudah tentu ada pihak yang menganggap ‘Ali perlu dipertanggungjawabkan (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/438-439. Rawa‘i al-Turath al-Islami: Beirut).


Tempoh perubahan

Pandangan Ibn ‘Abbas itu ada benarnya. Ketika negara dalam krisis kepimpinan, pemimpin yang selamat ialah pemimpin yang berkemampuan yang digesa oleh rakyat untuk memimpin mereka. 

Ini lebih baik dari pemimpin yang mengambil kedudukan dalam keadaan rakyat masih terpinga-pinga. Ya, walaupun pemimpin penyelamat semasa gawat juga diperlukan, namun sangat terdedah kepada pelbagai fitnah dan ketidakpuasan hati rakyat. Hal yang sama kita lihat berlaku kepada Presiden Morsi di Mesir sekarang. 

Oleh kerana banyak dan tingginya ‘expectation' rakyat, di samping kekangan pelaksanaan yang ada disebabkan saki baki regim yang lepas dan pengalaman yang belum cukup baik, maka ia merupakan saat yang paling mencabar dan mudah disalahfahami. 

Dr Morsi akhirnya dilihat terpaksa bertindak dengan gaya yang sedikit sebanyak ada persamaan dengan regim Mubarak yang lepas. Di samping al-Ikhwan al-Muslimin yang berpecah dan mempunyai beberapa pendekatan yang kontraversi dalam politik perubahan.

Keadaan ini kadang-kala menunjukkan ada baiknya tokoh-tokoh gerakan Islam dan ilmuwan dalam masa transisi politik berjalan hendaklah bersabar dengan memberi laluan kepada pihak lain terlebih dahulu. 

Apa yang penting hendaklah dipastikan pihak lain tersebut mendokong hasrat perubahan kepada yang lebih baik. Selepas tempoh yang rumit dan mood rakyat hendakkan perubahan yang seterusnya, maka di situ mungkin peranan tokoh-tokoh yang berwibawa akan lebih berkesan. 

Mungkin laluan terpaksa diberikan kepada orang yang kurang kualiti tetapi mampu menjayakan perubahan yang seterusnya. 

Nabi menyatakan kadang-kala orang yang jahat secara tidak langsung dapat membantu agama. 

Sabda Nabi SAW: "Tidak akan masuk syurga melainkan orang yang beriman, dan sesungguhnya Allah (kadang-kala) menolong agama ini dengan lelaki jahat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Cabaran

Keadaan dalam masa transisi mungkin banyak perkara tidak dapat dilaksanakan. Suasana yang tidak kondusif akan menggagalkan banyak idea-idea yang baik. Hal ini dirasai oleh Khalifah ‘Ali bin Abi Talib apabila dia dipersoalkan tentang kegagalan melaksanakan undang-undang ke atas pembunuh khalifah ‘Uthman bin ‘Affan. 

Para sahabat Nabi SAW termasuk Talhah dan al-Zubayr telah menemui ‘Ali meminta kepadanya: 

"Wahai ‘Ali! Kami mengisyaratkan agar engkau menegakkan hukum bunuh balas. Mereka adalah kaum yang terlibat dalam konspirasi pembunuhan ‘Uthman dan menghalalkannya.

Jawab ‘Ali: "Wahai saudaraku! Sesungguhnya aku bukannya jahil tentang apa yang kamu semua tahu. Namun apa yang boleh aku lakukakn terhadap suatu kaum yang menguasai kita dan kita tidak mampu menguasai mereka. 

"Hamba kamu dan golongan badawi yang ada telah menyertai mereka. Hamba kamu dan golongan badawi yang ada telah menyertai mereka. Mereka berada di tengah-tengah kamu dan bertindak apa sahaja yang mereka suka. Apakah kkamu melihat adanya kemampuan terhadap apa yang kamu mahu?" (Al-Tabari,Tarikh al-Tabari, 4/ 437). 

Akhirnya, Ali yang diheret ke dalam kancah perbalahan sesama sahabah Nabi SAW yang padahal kesemua mereka mempunyai hasrat baik yang sama.

Proses perubahan yang paling mencabar ialah setelah sesuatu regim ataupun kuasa yang dinyahkan rakyat itu tumbang.

Seringkali mengisi kemenangan jauh lebih sukar dan mencabar dibandingkan merebahkan sesuatu kuasa. Saki-baki kesan kuasa yang lepas, mentaliti rakyat, mentaliti dan sikap pendokong perubahan itu sendiri setelah mencapai kemenangan, kemampuan idealisme dan kewibawaan kepimpinan menjadi cabaran bagi sesebuah kerajaan baru. 

Congakan politik hendaklah kemas kepada sesiapa yang membuat keputusan yang menjadi pemimpin utama sebaik sahaja mana-mana regim ataupun kuasa ditukar. Al-Rabi' al-‘Arabi (Arab Spring) memberi banyak pengajaran kepada pejuang perubahan.


Pasca PRU-13

Kita inginkan landskap baru politik bagi negara ini setelah nanti berlangsungnya ibu segala pilihan raya bagi negara ini iaitu PRU-13. Kita ingin melihat tamatnya krisis politik warisan kepada kemunculan urus tadbir yang sangat baik sebuah kerajaan (good governance).

Bermula dari kita tidak ingin lagi mendengar kisah pertarungan politik Mahathir-Anwar yang tidak habis-habis dan memakan korban pelbagai pihak, kepada tamatnya monopoli kerajaan terhadap harga diri rakyat, kronisme, rasuah, penyalah gunaan kuasa seperti di Sarawak dan seumpamanya. 

Kita tidak ingin lagi memilih pemimpin yang kurang buruk secara perbandingan, tetapi ingin memilih pemimpin yang terbaik antara yang terbaik. Era dan warisan krisis politik Mahathir-Anwar mestilah diakhirkan kepada nafas politik baru yang lebih segar.


Kita mesti pencenkan dinasour-dinasour politik yang sedia ada samada di pihak BN ataupun Pakatam. Di samping semua mereka ada sumbangan tersendiri dan kita menghargainya, tetapi mereka telah membawa dendam warisan, politik era lama yang tidak sesuai lagi bagi generasi yang mahu ke hadapan. 

Kita mahu politik yang lebih segar bukan politik selak kain, tetapi politik telus dan idea yang bernas.

Ini harapan kita. Masih banyak kerja yang perlu dibuat selepas PRU-13. Masih banyak ruang untuk diisi dan perjuangan yang mesti dilangsungkan. 

Kita ingin melihat Malaysia baru yang segar dan bebas dari mimpi-mimpi buruk semalam. Namun kita sedar semua itu tidak boleh berlaku melainkan PRU13 mesti mencetus satu perubahan besar yang memberi ruang dan peluang untuk perubahan seterusnya dapat dilakukan.


PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinnya menggambarlan pendirian rasmi Malaysiakini.