Tuesday, June 24, 2014

Kerajaan Rugi, Kita Tanggung Beban

FARUSH KHAN
18 Jun 2014
HATI menjadi panas setiap kali Ketua Audit Negara membentangkan laporannya.

Setiap kali pendedahan, ada sahaja perkara-perkara yang pelik tetapi benar berlaku.

Yang paling menyakitkan hati ialah apabila berlakunya kerugian akibat ketirisan, pemborosan, penyelewengan, salah guna dan kelemahan, tindakan susulan yang diambil bagaikan tidak berkesan.

Jika anda baca laporan muka hadapan Sinar Harian semalam, anda akan rasa seperti mahu menangis mendapat tahu tahun demi tahun seolah-olah tidak ada cerita lain kecuali rugi, rugi dan rugi!

Dan kerugiannya bukan sedikit; berjuta-juta ringgit. Kenapa perlu menangis? Jawapannya mudah; yang menanggung beban ialah kita.

Mengikut laporan semalam, akibat ketirisan dan kelemahan penjawat awam, 15 peralatan Lembaga Getah Malaysia bernilai RM9.94 juta tidak digunakan; Majlis Perbandaran Tuah Jaya bayar RM123,070 untuk peralatan siaraya bernilai RM58,900; DBKL rugi RM138.35 juta dan RM14.38 juta bayaran interim Kementerian Kerja Raya ditandatangani pegawai yang tiada kuasa.

Bayangkan kita ada lebih 20 kementerian, beratus-ratus jabatan, unit, agensi, pejabat dan lebih sejuta penjawat awam. Syarikat-syarikat milik kerajaan belum kira lagi.

Macam mana dengan kelemahan, ketirisan,  penyelewengan, pemborosan yang tidak mampu dikesan Ketua Audit Negara, polis, kastam, imigresen dan pihak-pihak penguatkuasaan lain? Takut untuk kita buat kira-kira; entah berapa bilion ringgit pergi ke tempat yang tidak patut ia pergi!

Seperti saya selalu katakan dalam cetusan-cetusan lalu berkaitan ketirisan, kelemahan, pemborosan dan penyelewengan, saya percaya kes-kes yang mampu didedahkan oleh Ketua Audit Negara dengan segala kesungguhannya hanyalah the tip of the iceberg (sebahagian kecil daripada yang lebih besar).



Kalau kita rujuk kes-kes yang didedahkan melalui laporan Ketua Audit Negara sejak dahulu, kita akan dapati begitu banyak kes yang tidak masuk akal pun boleh berlaku.

Bayangkan kalau setiap penjawat awam berusaha menjaga harta dan wang kerajaan yang dikutip daripada rakyat dibelanjakan dengan jimat dan berhati-hati; berapa banyak boleh dijimatkan, bahkan berapa banyak boleh dikumpulkan untuk dipulangkan kembali kepada rakyat melalui projek-projek pembangunan, kemudahan dan bantuan. Tidak perlu ada rakyat melarat di negara aman makmur dan kaya-raya ini, sebenarnya.

Kerugian, ketirisan dan kelemahan seperti ini tidak akan berlaku jika tiap-tiap penjawat awam dari peringkat teratas hingga ke bawah, mengendalikan perbelanjaan dan menguruskan harta dan wang yang kerajaan kumpulkan daripada rakyat dengan cara berjimat seperti menguruskan harta dan wang sendiri.

Terlanjur menyebut mengenai kes penyelewengan, saya tertarik membaca tentang usaha polis meletakkan anggotanya yang menyamar sebagai orang awam untuk tumbuk rusuk anggota polis bagi menguji ‘iman’ mereka.

Menurut Timbalan Ketua (Disiplin) Sekretariat Integriti, Ketua Polis Negara, SAC Datuk Hashim Abd Jalil semalam, ini adalah satu daripada banyak usaha terbaharu yang diwujudkan dalam usaha memerangi rasuah dalam pasukan polis itu sendiri.

“Kita perlu bertindak sekarang sebelum keadaan (berhubung kegiatan rasuah) menjadi lebih teruk,” katanya.

Alhamdulillah, pihak atasan polis juga sedar sebahagian pegawai dan anggota polis menerima rasuah dan rasuah adalah  seperti barah dalam pasukan polis.

Syabas datuk. Saya doakan moga usaha murni itu mendapat sokongan, kerjasama dan berjaya dengan cemerlang.

Ada baiknya jika semua pasukan yang ada kaitan dengan penguatkuasaan undang-undang yang melibatkan pendedahan terus pegawai dan anggota penguat kuasa dengan orang awam, kalau belum, dapat mengambil tindakan yang sama untuk uji ‘iman’ pegawai dan anggota penguat kuasa.

Selagi masih ramai tiada kesedaran untuk tidak melakukan dosa dan tiada rasa tanggungjawab, tidak takut amaran dan janji ALLAH, selagi itulah kelemahan, ketirisan, penyelewengan, rasuah dan pemborosan akan berterusan. Jangan sampai jadi budaya.

Akhir kalam, saya lihat beberapa papan amaran ZON LARANGAN MEROKOK terpampang di kantin sebuah jabatan agama Islam di sebuah negeri. Di bawahnya tertera: Merokok adalah haram...

Anda boleh saksikan setiap ketika ada sahaja beberapa orang - barangkali bukan staf - duduk di bawah papan larangan itu merokok, seolah-olah fatwa dan zon larangan merokok itu tidak wujud langsung.

Penswastaan UiTM: Kenapa Umno dan NGO membisu?

NIK NAZMI
19 Jun 2014


PENDEDAHAN Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengenai penswastaan UiTM melalui sistem konsesi yang menguntungkan kroni, dilihat merupakan satu masalah yang akan merugikan rakyat khususnya Bumiputera.

Ini kerana UiTM merupakan salah satu institusi kebanggaan Bumiputera selama ini.

Meskipun kos pembinaan enam kampus UiTM yang telibat di dalam skim ini sekitar RM1.8 bilion, tetapi rakyat menerusi Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar RM8.6 bilion sebagai sewa untuk tempoh 23 tahun.

Mengapakah pimpinan Umno yang kononnya pejuang Melayu menerima konsesi-konsesi mewah dalam pembikinan UiTM?

Ke manakah suara-suara lantang dari NGO-NGO Umno seperti Isma, Jati dan Perkasa yang selama ini mendabik dada dengan bangga mengatakan bahawa mereka adalah pembela hak kaum Melayu apabila pendedahan ini dibuat?

Walhal, sudah terang dan nyata bahawa penswastaan UiTM ini nanti akan membebankan rakyat.

Adakah masing-masing menjadi bisu hanya kerana syarikat-syarikat yang telah dilantik sebagai pemegang konsesi adalah dari kalangan kroni mereka sendiri?

Sejak penubuhan UiTM itu sendiri, mereka sentiasa menyifatkan istitusi itu merupakan sebuah institusi yang ingin membantu bumiputera.

Ini kerana UiTM menawarkan yuran pengajian yang agak rendah berbanding institut pengajian tinggi yang terdapat di negara ini.

Jelas dapat dilihat dengan perjanjian konsesi selama 23 tahun ini nanti, sudah pasti kesannya akan membebankan rakyat.

Adakah kerajaan sendiri lupa akan idea penubuhan UiTM itu sendiri?

Dengan pelaksanaan konsesi UiTM ini nanti, tidak mustahil yuran pengajian mahupun yuran-yuran lain di UiTM ini nanti akan dinaikkan.

Sudah pasti kesan ini akan dirasai oleh pelajar.

Ini jelas sekali bercanggah dengan idea penubuhan UiTM yang ingin membantu Bumiputera.

Tidakkah pembela dan pejuang Melayu ini memandang serius kepada masalah ini?

Adakah kerana ia memberi keuntungan kepada pihak-pihak tertentu, maka mereka membatukan diri?

Jangan kerana keuntungan sebelah pihak, maka mereka menafikan hak pihak rakyat yang ramai.

Bak kata pepatah Melayu, “menang sorak, kampung tergadai”

Apakah Malaysia negara Islam?

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
20 Jun 2014
/ 1 


PADA tahun 2011, bulan Disember, semasa menyampaikan ucapan di Oxford, sempena 400 Bible King James, Perdana Menteri UK David Cameron menyebut: “UK is a Christian country and we should not be afraid to say so”.

Sekali pun dalam penghayatan politik UK, elemen agama Kristian kelihatan amat lemah sehingga David Cameron itu sendiri turut menyokong hak berkahwin golongan gay yang ternyata bercanggah dengan pegangan agama Kristian, namun beliau tetap mengaku inilai agama bagi negara UK.

Polemik beragama

Semasa kecil, saya masih ingat bagaimana kami di sekolah agama sering dibawa berbincang apakah Malaysia sebuah negara Islam ataupun negara kafir sekular? Pada umumnya kami semua difahamkan Malaysia ini sebuah negara sekular. Itulah sifat Malaysia berdasarkan ceramah politik yang kami dengar.

Kepercayaan seperti itu masih dianuti oleh ramai golongan yang dikatakan ‘beragama’ dalam negara ini.

Mereka melabelkan negara ini sebagai negara kafir atau pun sekular. Dulu ia berlegar dalam kalangan mereka yang minat agama Islam.

Hari ini keadaan berubah apabila bukan Islam juga mendakwa hal yang sama, cuma dengan tujuan yang berbeza.

Jika dahulu dakwaan itu bertujuan membangkit semangat agar Islam itu lebih ditekankan pelaksanaannya di Malaysia, kini tujuannya agar elemen Islam itu tidak patut ditekankan dalam pentadbiran Malaysia kerana itu bercanggah dengan sifat negara ini.

Sebelum saya bahaskan tentang sekularisme dalam kerangka kefahaman yang sepatutnya, artikel ringkas kali ini akan bincangkan dulu apakah itu negara Islam?


Penjajahan dunia Islam

Seperti yang pernah saya sebutkan, apabila jatuh khalifah di Turki dan Kuasa Barat menjajah dunia Islam, kesedaran umat Islam tentang tanggungjawab jihad membebaskan tanah air Islam berkembang.

Selepas penjajah dihalau keluar, umat Islam memerintah negara sendiri. Kali ini tiada lagi negara khalifah seperti yang ditulis dalam buku-buku fikah lama.

Apa yang wujud adalah nation state atau negara bangsa yang mempunyai kedaulatan tersendiri.

Dalam proses menstabilkan negara masing-masing inilah munculnya istilah daulah islamiyyah (Islamic state atau negara Islam).

Ini adalah reaksi kepada penjajahan dan selepas penjajahan di dunia Islam. Padahal istilah ini tidak dikenali sebelum ini.

Dahulu yang ada dalam fikah sarjana silam (sebelum penjajahan) hanyalah istilah Dar al-Islam iaitu wilayah Islam. Ini merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam dan zahir syiar Islam.

Sementara Dar al-Harb atau disebut juga Dar al-Kufr merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh bukan Muslim dan bermusuhan dengan Dar al-Islam.

Ketiga, Dar al-Mu’ahadah iaitu negara bukan Muslim yang membuat perjanjian dengan umat Islam. Dalam erti kata lain nilaian terhadap sesebuah wilayah atau negara itu berdasarkan penguasaan umat Islam ke atas wilayah tersebut, dan wujudnya syiar Islam.

Tariq Ramadan dalam To Be A European Muslim menganggap pembahagian ini sebagai old concepts yang tidak berasaskan al-Quran dan al-Sunnah, sebaliknya ia cetusan ulama di zaman tersebut disebabkan persekitaran politik yang wujud pada tiga kurun pertama dalam sejarah Islam (lihat: Tariq Ramadan, To Be A European Muslim, UK: Islamic Foundation 2002,pg 123-131 ).
 
Tariq mungkin terpengaruh kepada apa yang disebut oleh Dr Wahbah al-Zuhaili dalam Aathar al-Harb fi al-Fiqh al-Islami. Manakala Dr Wahbah al-Zuhaili terkesan dengan apa yang disebut oleh al-Syeikh Abu Zahrah dalam Al-‘Alaqah al-Duwliahfil al-Islam.

Sementara Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Jihad mempertahankan pembahagian tersebut dengan menyatakan pembahagian itu berasaskan al-Quran dan al-Sunnah serta sesuatu yang mantiqi (logical). (Lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Jihad, Cairo: Maktabah Wahbah 2009. Ms 882-888).


Ciri Dar  al-Islam

Jadi, jika kita rujuk kepada kitab fikah terdahulu, secara ringkasnya, Dar al-Islam mempunyai tiga ciri utama; pertama; kekuasaan politik berada di tangan kaum Muslimin sekalipun majoriti rakyat bukan Muslim.

Kedua; zahir padanya hukum dan syiar Islam sekalipun tidak sempurna ataupun sebahagian sahaja seperti hukum hakam kekeluargaan Islam.

Zahir syiar seperti azan, Jumaat, jemaah solat, Ramadan dan lain-lain.  Ketiga; kaum Muslimin aman beramal dengan agama mereka sementara ahl-zimmah (rakyat non-muslim) aman berdasarkan perjanjian mereka. (Dr Yusuf Al-Qaradawi, Fiqh al-Jihad, 2/889. Kaherah: Maktabah Wahbah)

Adapun soal sejauh manakah komitmen Islam seseorang pemerintah itu, ia diuruskan umat Islam di bawah tanggung jawab menasihati pemerintah iaitu amar makruf dan nahi mungkar.

Apabila negara-negara membentuk nation state, pemerintah Muslim ramai mewarisi atau meneladani penjajah dalam menguruskan negara, maka istilah daulah Islamiyyah atau pun Islamic state ataupun negara Islam muncul dan dikembangkan.

Namun, istilah ini kelihatan akhirnya agak sukar untuk mendefinisikan. Ini disebabkan negara baharu yang dibentuk selepas penjajahan masih lagi mengikut acuan penjajah namun pemerintahannya berada di tangan umat Islam.

Sebagai bantahan, ada mereka melabelkan negara yang diperintah oleh umat Islam pasca penjajah sebagai ‘negara kafir’.

Ertinya, mereka melabelkan Dar Islam yang diistilah oleh Sarjana Fikah silam sebagai Dar al-Kufr atau Dar al-Harb yang diperangi atau dimusuhi.

Ini disebabkan kecelaruan identiti negara Islam yang baru muncul dan penilaian siasah umat Islam itu sendiri yang masih di peringkat awal.

Dalam kalangan pengkaji dan sarjana seperti Fazlur Rahman menganggap adaptasi ini sebenarnya lebih mirip kepada apa yang dilakukan oleh Khawarij dalam sejarah awal krisis antara umat Islam. (Sila lihat: Fazlur Rahman, Revival And Reform in Islam 33-43, England: Oneworld Publications)


Cari definisi

Mencari definisi yang tersendiri bagi istilah daulah Islamiyyah memang agak sukar disebabkan kitab-kitab fikah lama tidak menggunakan istilah tersebut dan sudah pasti tiada takrifan baginya.

Jika memakai pentafsiran silam dar al-Islam yang memberi maksud wilayah yang dikuasai oleh umat Islam, maka hendaklah diiktiraf negara-negara umat Islam sekarang adalah daulah Islamiyyah.

Maka, ada pula yang enggan pengiktirafan itu dibuat disebabkan zahirnya unsur-unsur yang bercanggahan dengan Islam.

Jika dipakai takrif lain yang dibuat oleh sesetengah sarjana silam iaitu negara yang zahir padanya syiar Islam seperti azan, solat dan amalan-amalan Islam yang lain, sudah pasti kebanyakan negara umat Islam hari ini diiktiraf sebagai daulah Islamiyyah.

Ada yang agak tegas enggan juga mengiktiraf hal itu. Lalu ada yang menyatakan negara Islam atau daulah Islamiyyah itu adalah negara yang sempurna perlaksanaan Islamnya. Jika takrif ini dipakai, sudah pasti tidak ditemui dalam sejarah umat Islam melainkan beberapa khalifah sahaja, selepas al-Khaulafa al-Rasyidin.

Akhirnya, ada yang seakan menetapkan negara Islam adalah negara yang melaksanakan hudud. Lalu wujud dalam kalangan umat Islam yang apabila disebut negara Islam terbayang kepada mereka ‘pencuri dipotong tangan’, penzina disebat atau direjam dengan batu, peminum arak disebat dan seterusnya.

Wajah negara Islam atau negara yang ditegakkan oleh Rasulullah SAW itu terbelenggu dengan gambaran darah, kesakitan, tangisan dan wajah bengis para pemimpinnya.

Hakikatnya, jika menurut takrifan fikah, negara Malaysia adalah dar al-Islam seperti yang ditakrifkan oleh ulama silam. Bahkan berasas fikah ini, Dr Yusuf al-Qaradawi juga menyimpulkan keseluruhan negara umat Islam yang wujud pada hari ini adalah dar al-Islam.

Sementara kesemua negara bukan dar al-Islam yang berada di bawah Bangsa-Bangsa Bersatu adalah dar al-‘Ahd termasuk Amerika. Hanya dikategorikan sebagai dar al-Harb pada masa ini ialah negara zionis Israel disebabkan kerana permusuhan yang zahir dan berterusan dengan umat Islam. (lihat: Al-Qaradawi, Fiqh al-Jihad, ms 888-908. Kaherah: Maktabah Wahbah)


Inti pati terpenting

Apa pun sebenarnya, perbalahan pasal takrif ini kadang-kala lebih banyak membuang masa daripada realiti yang patut kita tangani. Negara seperti Malaysia tidak akan masuk syurga ataupun neraka. Mereka yang akan dihadapkan di mahkamah Masyar di hadapan ALLAH pada hari kiamat ialah mereka yang menguruskan negara atas apa nama sekalipun.

Jika mereka amanah dan adil seperti yang ALLAH perintahkan mereka akan selamat. Jika mereka khianat dan zalim mereka tidak selamat walau apa jenama negara sekalipun. Raja Najasyi Habsyah bernama Ashamah bin Abjar beriman dengan Nabi SAW tetapi beliau mengepalai Kerajaan Kristian Habsyah. Beliau tidak mampu mengubah kerajaannya, tetapi mampu melindungi sahabat yang berhijrah mencari perlindungan di Habsyah dan menegakkan asas keadilan untuk rakyatnya.

Nabi SAW berutus surat dengan Najasyi, tetapi Baginda SAW tidak memerintahkan Najasyi meninggalkan kerajaannya. Nabi SAW memujinya, sekalipun beliau mati di Habsyah ketika mentadbir sebuah kerajaan Kristian. Sabda Nabi SAW: “Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi)”. (Riwayat al-Bukhari)

Nabi Yusuf AS pula pernah menjadi menteri dalam sebuah kerajaan yang pemerintah tidak beriman kepada ALLAH namun Nabi Yusuf mampu menegakkan keadilan.

Tapi, jika mentadbir negara bernama Islam sekalipun namun zalim dan khianat, tempatnya tetap di neraka. Sabda Nabi SAW: “ALLAH tidak lantik seseorang hamba itu menguasai sesuatu rakyat kemudian hamba itu mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, melainkan ALLAH haramkan untuknya syurga” (Riwayat Muslim)

Ertinya, yang penting nilai Islam itu mestilah terus diterapkan oleh pentadbir dalam negara ini untuk mencapai erti amanah dan adil bukan sekadar bergantung kepada takrif negara semata-mata.

Wednesday, June 4, 2014

Masjid Turkey di Perth

Bercuti di rumah anak di Perth untuk kali kedua dan mungkin kali terakhir meninggalkan kesan yang menarik. Waktu siang yang lebih pendek berbanding waktu malam melebihi 14 jam. 
Subuh bermula jam 5.44 pagi manakala maghrib pada jam 5.20 petang. pagi ini saya memberanikan diri untuk ke Masjid Turkey lebih kurang sekilo meter dar rumah anak saya. Penuh satu saf berjemaah. Pada tanggapan saya itu sudah sangat baik jika dibandingkan solat subuh di sebuah masji di Larkin Johor Bharu. Sizenya jauh lebih besar jika dibandingkan dengan Masjig Turkey yang besarnya seumpama sebuah surau di Kuala Ibai.

Pelbagai bangsa bersolat subuh, ada Melayu mungkin saya seorang, ada India dan yang lainnya bangsa Turkey. Imamnya berketurunan Turkey. Fasih dan amat baik bacaanya menepati lidah orang Arab.


Budaya Islam Di Negara Non Muslim

Pelik tapi benar.Itulah tanggapan awal saya setelah duduk hampir 10 hari di Perth. Boleh dikatakan setiap hari kami sekeluarga keluar rumah ke tempat-tempat menarik di Perth. Dan setiap kali meninggalkan rumah anak saya, tingkap dapur tidak bertutup. Tiada grill pun. Hatta pintu dapur jika diketuk cermin nako tanpa grill, orang boleh masuk rumah. Itulah yang menghairankan saya. Pagar ada pintu tetapi tidak bertutup. Kebanyakan rumah di tempat anak saya tinggal tidak berpagar, kalau ada pagar pun tidak bertutup. Ajaib tapi benar.

Kalaulah rumah saya di Kuala Ibai, Kuala Terengganu ditinggalkan tanpa berkunci, agaknya bila balik, tidak mustahil ada orang lain yang masuk. Ini berada di Negeri Darul Iman (Negeri orang-orang beriman), bukan di Perth negeri orang yang tidak ramai beriman!

Di Malaysia, bila nak beli minyak kereta, bayar dahulu kemudian barulah isi minyak. Di Perth isi dulu bayar kemudian, jika selepas isi nak lari mungkin boleh kot, tapi tak selamat.

Cuaca di Perth waktu kami sampai suhunya kurang daripada 18 darjah celcius, sejuk terketar-ketar. Tapi tiada salji. Waktu malam lebih panjang berbanding siang. Masuk waktu subuh jam 5.40 pagi, zohor jam 12.15 tengah hari, asar 3.20 petang, maghrib jam 5.20 petang dan Isyak jam 6.40 petang. Hai seronoknya kalau boleh berpuasa di Perth, kerana waktu siang pendek, malam panjang. Tapi apakan daya kami hanya pendatang sementara dan akan kembali ke Malaysia sebelum 9 Jun 2014.

Pengalaman bersolat zohor atas padang rumput di Kings Park, ambil wuduk di tandas awam, dan basuh kaki di kerusi luar toilet. Kalau basuh kaki dalam sink, tentu kecoh jika dilihat oleh Mat Saleh. Begitu juga solat maghrib di tepi padang Fremanle (Pelabuhan Perth), hampir-hampir diterkam anjing, itulah pengalaman yang sukar dilupakan. Tetapi yakin dan percaya bahawa bumi Allah ini suci dan mampu bersolat di mana-mana. Bukannya mesti dirumah, disurau atau masjid. Anak dan menantu saya sudah biasa dengan keadaan solat di parking kereta atau di padang permainan. Yang pentingnya bersih, tahu arah mana kiblat. Masyarakat Australia sudah biasa melihat orang Islam solat di padang.

Suatu yang menarik hati saya ialah pusat beli belah yang rata dan mesra pelanggan terutama untuk golongan tua dan orang kurang upaya. Kerap kali kami berjumpa orang yang sudah terlalu tua, kalau kita di kampung mereka ini hanya berada di rumah sahaja atau berbaring di katil atau atas tilam. Tetapi di Perth mereka mudah berjalan bersendirian dengan mengguna kerusi yang bertenaga bateri dan dikendalikan sendiri. Orang tua bebas bergerak ke mana-mana tanpa perlu bantuan orang lain.

Pasar-pasaraya dan shoping kompleks ini yang mesra pelanggan terdapat di merata tempat. Tidak tertumpu di bandar Perth sahaja. 20 atau 30 kilometer daripada bandar ada shoping kompleks. Kebanyakan shoping kompleks ini setingkat sahaja, tetapi luas. Berbanding dengan bandar Kuala Terengganu, sejak akhir-akhir ini sudah jadi Hutan Batu (terlalu banyak hotel, pangsapuri yang melebihi sepuluh tingkat) bertumpu dalam bandar yang semakin hari semakin sesak dan padat, seolah-olah Kuala Terengganu sudah tiada tanah lagi.

Di tepi jalan raya di sediakan track (laluan) untuk basikal, kerusi roda, pejalan kaki dan ini jarang terdapat di negara kita. Apa yang saya perhatikan tabiat berjalan kaki sudah menjadi tabiat masyarakat di Perth. Mungkin ini salah satu faktor umur hayat warga Perth panjang. Jiran rumah anak saya Puan Paula, mengikut katanya umur dia sudah menjangkau 100 tahun dan tinggal bersendirian di rumahnya. Dua tiga hari sekali beliau akan berjalan kaki ke pasar yang jaraknya lebih dua kilometer.