Tuesday, January 29, 2013

Maulid Nabi adalah hari kegembiraan

 
TELAH banyak perbicaraan mengenai hukum menyambut Maulid Nabi. Akan tetapi tatkala ramai di kalangan umat Islam yang ingin mengetahui secara khusus mengenai dalil keharusannya, maka eloklah dipaparkan di sini beberapa sandaran yang elok untuk kita jadikan pegangan.

Sesungguhnya berhimpun bagi mendengar sirah baginda, syair puji-pujian yang menyatakan tentang diri baginda, mengadakan jamuan makan adalah satu cara untuk memasukkan perasaan gembira ke dalam hati umat Islam.

Tambahan pula, apabila ia diraikan pada bulan kelahiran Rasulullah SAW, suasananya lebih kuat untuk mengajak umat Islam berhimpun dan gejolak perasaan mereka melimpah-ruah untuk meraikannya disebabkan ikatan waktu yang bertepatan antara satu sama lain.

Perhimpunan itu adalah satu wasilah yang besar bagi usaha dakwah kepada Allah yang juga merupakan peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan.

Bahkan wajib ke atas para pendakwah dan ulama mengingatkan umat tentang segala akhlak, adab dan ibadat Nabi SAW, memberi nasihat dan menunjukkan mereka ke arah kebaikan dan kejayaan serta memberi amaran kepada mereka mengenai bidaah, kejahatan dan fitnah.

Dalil keharusan

Terdapat beberapa dalil mengenai keharusan menyambut Maulid Nabi SAW.

Yang pertama sesungguhnya sambutan Maulid Nabi adalah cara bagi melahirkan rasa gembira dengan kelahiran Rasulullah SAW.
Diriwayatkan dalam Sahih al Bukhari bahawa telah diringankan azab Abu Lahab pada setiap hari Isnin disebabkan dia telah membebaskan hamba perempuannya Thuwaibah yang mengkhabarkan tentang kelahiran Muhammad SAW.

Berkaitan ini, al Hafiz Ibnu Nasiruddin al Dimasyqi telah menyatakan di dalam syairnya yang bermaksud: "Jikalaulah si kafir yang telah didatangkan cercaan ke atasnya di dalam surah al Masad dan dia kekal di dalam neraka Jahim. Sesungguhnya diberikan minuman pada tiap-tiap hari Isnin bagi meringankan azabnya kerana bergembira dengan kelahiran Ahmad. Maka apakah pula sangkaanmu terhadap seorang hamba yang seumur hidupnya bergembira dengan Ahmad, melainkan dia mati dalam keadaan mentauhidkan Allah."

Yang kedua sesungguhnya baginda mengagungkan hari kelahirannya, bersyukur kepada Allah SWT atas curahan nikmat yang sangat besar ke atasnya, melimpahkan kemurahan-Nya dengan kelahiran ini yang memberikan kebahagiaan bagi setiap yang wujud.

Abi Qatadah berkata, Rasulullah SAW ditanya mengenai puasanya pada hari Isnin. Maka Baginda SAW bersabda: "Pada hari Isnin saya dilahirkan dan padanya juga diturunkan ke atas saya al-Quran."

Ini adalah makna sambutan Maulid Nabi. Walaupun gambarannya berbeza akan tetapi maknanya tetap wujud, sama ada meraikannya dengan berpuasa atau menjamu makanan atau perhimpunan zikir atau mengucapkan selawat ke atas Nabi SAW atau mendengar hadis-hadis kesempurnaan baginda yang mulia.

Yang ketiga sesungguhnya bergembira dengan baginda adalah dituntut berdasarkan perintah al Quran daripada firman Allah: Katakanlah (wahai Nabi) dengan kelebihan dan rahmat-Nya, maka dengan yang demikian itu mereka bergembira. (Yunus: 58)
Maka Allah memerintahkan kita agar bergembira dengan rahmat dan Nabi SAW adalah sebesar-besar rahmat. (rujuk al-Anbiya': 107)

Bergembira dengan baginda adalah dituntut pada setiap waktu, pada setiap nikmat serta kelebihan yang diperoleh. Akan tetapi ia lebih dirasai pada setiap hari Isnin dan setiap Rabiulawal disebabkan bertepatan dengan tarikh peristiwa.

Fakta keempat, sesungguhnya Nabi SAW mengaitkan ikatan zaman dengan peristiwa-peristiwa agung dalam agama yang telah berlalu dan berlaku. Apabila tiba waktu yang bertepatan dengan peristiwa tersebut maka menjadi satu peluang untuk mengenangnya dan mengagungkan hari tersebut.

Nabi SAW telah mengasaskan sendiri kaedah ini sebagaimana dijelaskan di dalam hadis sahih.

Tatkala baginda sampai ke Madinah dan melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura lalu dikatakan kepadanya:, "Sesungguhnya mereka berpuasa kerana Allah telah menyelamatkan Nabi mereka dan menenggelamkan musuh mereka. Mereka berpuasa kerana bersyukur kepada Allah atas nikmat ini. Maka Baginda SAW bersabda, Kami lebih utama meraikan kejayaan Musa daripada kalian. Baginda SAW berpuasa dan memerintahkan agar berpuasa."

Yang kelima, sesungguhnya Maulid Nabi menyeru manusia mengucapkan salawat dan salam yang kedua-duanya adalah dituntut. (rujuk al-Ahzab: 56)

Apa jua yang menyeru kepada sesuatu yang dituntut di sisi syarak, maka turut dituntut di sisi syarak. Berapa banyak faedah-faedah Nabawi yang terdapat dalam selawat dan kelebihan-kelebihan yang tidak mampu dicoret oleh pena atau digambarkan dengan lisan.

Keenam, sesungguhnya Maulid Nabi meliputi peringatan terhadap kisah kelahirannya, mukjizat, sirah dan pengenalan mengenai baginda. Tidakkah kita diperintahkan untuk mengenali dan dituntut untuk mengambil petunjuk serta berpegang dengan amalannya, beriman dan membenarkan mukjizat-mukjizat baginda Kitab-kitab maulid memaparkan secara lengkap mengenai makna ini
Komplikasi Jiwa Muslim: Senyum pada kejahatan orang
Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj
29 Januari 2013
Komplikasi Jiwa Muslim oleh Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj
SOALAN:

Dr. Tuah, saya telah menjadi agenda bagi mereka yang sakit hati dengan saya. Pelbagai tuduhan palsu telah dilemparkan. Saya sangat sedih, tetapi apalah yang dapat saya lakukan untuk menafikan semua kata nista itu.

Mohon Dr. berikan saya sedikit kata semangat agar saya bertambah kuat untuk menempuh hari-hari yang men­datang. Terima kasih di atas perhatian yang diberikan.


JAWAPAN:

Bentengi diri dengan peribadi mulia yang akan membuat­kan saudara sentiasa dihormati. Jika saudara tidak dihormati, orang berkenaanlah yang kurang mulia. Berpeganglah pada pendirian ini, insya-ALLAH saudara akan selamat. Usah peduli dengan kata-kata nista itu.

Sebaik manapun saudara, perkataan buruk tetap saudara akan terima sama ada disedari ataupun tidak. Begitulah lumrah kehidupan. Tiada insan yang bebas daripada diperkatakan. Berkemungkinan ia sesuatu yang baik atau buruk.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
 
“Seluruh amal manusia dihadapkan kepada ALLAH dalam sejumaat (seminggu) dua kali iaitu pada hari Isnin dan Khamis. Maka diampuni ALLAH akan dosa setiap hamba-NYA yang mukmin kecuali orang yang bermusuhan. Maka dikatakan, “Tinggalkanlah kedua orang ini sehingga mereka berdamai.” - HR Muslim

Usah terlalu pedulikan dengan keburukan yang di­sebarkan orang. Itu semestinya tidak benar. Jika ada yang benar sekalipun, itu adalah sejarah silam yang saudara telah lupakan. Sebahagian daripada kita memang suka mencungkil keburukan insan lain berbanding kebaikan.

Misalnya, apabila seekor anjing menggigit seorang lelaki, ia bukanlah berita yang sensasi. Tetapi apabila seorang lelaki menggigit seekor anjing, inilah berita yang menjadi rebutan pihak akhbar untuk menyiarkannya.

Mengapa hairan dengan sikap manusia yang suka ber­cerita buruk tentang orang lain? Sememangnya mutakhir ini, ‘wartawan’ tanpa tauliah dan gaji ada di mana-mana sahaja. Tertawalah dengan kejahatan yang mereka lakukan kerana mereka sebenarnya sedang dibayar oleh dosa-dosa sendiri.

Mengapa orang berbuat jahat terhadap saudara? Mereka ingin melihat saudara sedih, menangis, marah, mengamuk dan menunjukkan sikap yang tidak baik. Dengan itu, mereka ada sebab untuk ketawa. Itulah temasya bagi si busuk hati.

Tetapi seandainya saudara boleh senyum sekalipun tidak ketawa, saudara telah menyebabkan mereka jatuh terjelepuk. Mereka akan susah hati dan berasa payah sekali. Nah, mengapa hendak menangis dek perlakuan jahat manusia? Sebaliknya bertenang dan ketawalah. Saudara telah mengembalikan kesakitan kepada mereka.

Benteng pertahanan diri kita adalah percaya pada diri sendiri. Saudara mestilah percaya yang diri tidak sejahat yang disangka dan sememangnya saudara tidak jahat. Itulah benteng yang terbaik sebagai pengubat hati. Apabila ALLAH SWT diletakkan pada tingkatan paling atas dalam kehidupan, tiada apa-apa kejahatan yang mampu memusnahkan lagi.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
 
“Tidak berkumpul di dalam hati seorang manusia antara iman dan dengki.”- HR Ibnu Hibban & Al-Baihaqi
 
Rentetan daripada maksud hadis tersebut dapat di­rumuskan seperti berikut:
 
i.    Hasad dengki seumpama api yang akan memakan segala kebaikan yang dilakukan seseorang seperti api membakar kayu.
 
ii.   Wujudnya perasaan dengki menunjukkan iman se­seorang itu masih belum sempurna. Malah, dengki merupakan sifat yang diwarisi daripada syaitan. Disebabkan dengkilah syaitan menggoda Nabi Adam sehingga terkeluar dari syurga. Juga kerana dengki terjadinya pembunuhan di antara Qabil dan Habil.
 
iii.  Seorang pujangga Arab pernah berkata, “Orang hasad tidak akan senang hidupnya, orang bakhil tidak akan berbudi dan tidak dapat dijadikan kawan, orang yang selalu jemu dan tiada kemanusiaan bagi pendusta. Tidak dapat diterima pendapat orang yang khianat dan tiada budi bagi orang yang tidak berakhlak.”
 
iv.  Dengki yang diharuskan dalam Islam hanyalah dengki yang menjadikan manusia berebut-rebut me­lakukan kebaikan seperti berlumba-lumba me­nuntut ilmu atau beribadat.(Sumber: JAKIM)

Tidak perlu berasa sakit kerana kesakitan pada tubuh badan sudah cukup menyakitkan. Tidak usah ditambah dengan sakitnya jiwa kerana ia adalah kesakitan yang bersangatan. Ia sukar sembuh. Malah, lebih mudah parah jika gagal merawatnya dengan baik.

Dalam hidup ini, usahlah menjangka semua orang menyukai saudara. Ramai juga yang tidak menyukai tanpa ada sebab yang munasabah. Bahkan kadang-kadang saudara tidak kenal pun mereka, tetapi mereka sangat benci dan dengki terhadap saudara. Mengapa?

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
 
“Seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku. Aku bersabar menghadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.” Kemudian baginda menjawab,” Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu, maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada ALLAH selama engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang sedemikian.”- HR Muslim
 
Berdasarkan maksud hadis tersebut, dapatlah kita hurai­kan bahawa:
 
i.    Islam mengajar umatnya supaya banyakkan bersabar dalam semua keadaan sama ada ketika senang ataupun susah. Sabar merupakan pengukur darjat keimanan seseorang muslim.
 
ii.   Islam turut melatih kita supaya tidak membalas keburukan orang, sebaliknya menambahkan lagi ke­baikan terhadap mereka. Mudah-mudahan dengan itu hati mereka akan menjadi lembut dan baik.
 
iii.  ALLAH SWT sentiasa memberi pertolongan kepada orang yang sentiasa sabar dan benar dalam tindakan yang diambil.
 
iv.  Setiap umat Islam wajib menjalinkan silaturrahim dan haram memutuskannya.(Sumber: JAKIM)
 
Usah hairan sangat. Adakala kita sendiri pun tidak gemar dengan lagak sesetengah artis. Bukan setakat tidak berminat, malah berasa hendak muntah apabila mendengar suaranya.

Selain itu, saudara juga mungkin cukup berminat dengan artis lain dan merasakan segala yang ada padanya betul lagi sesuai. Mengapa ada artis yang saudara benci sedangkan ada yang lain sangat minat pula? Apakah sebabnya?

Saudara sendiri tidak dapat menjawabnya, bukan? Kebencian dan rasa minat datang begitu sahaja. Begitulah juga perasaan orang lain terhadap saudara. Bukan semua perkara baik yang saudara lakukan akan menimbulkan rasa sayang. Kadang-kadang tanpa sebab saudara disayang dan dibenci.

Hidup memang terdapat pelbagai dugaan ALLAH SWT. Usah bersedih disebabkan ketidakadilan yang terpaksa saudara hadapi. Ia sentiasa baik jika saudara mengetahui hikmah sabar yang DIA sediakan untuk saudara kelak.

Jangan melawan setiap serangan kerana sebenarnya itulah yang musuh saudara kehendaki. Semakin saudara berlawan, semakin saudara ‘ditelanjangi.’ Pasti perkara tidak baik akan muncul dan ini boleh mengusutkan lagi keadaan. Saudara juga yang akan berasa semakin sakit nanti.

Daripada Anas katanya yang bermaksud:
 
“Aku berjalan bersama-sama Rasulullah. Baginda memakai selendang kasar tepinya buatan Najran. Baginda bertemu dengan seorang Arab Badwi lalu direntapnya selendang baginda dengan rentapan yang kasar sehingga aku melihat kesan di tengkuk baginda akibat rentapan yang kasar itu Kemudian orang Arab itu berkata, “Wahai Muhammad, perintahkanlah supaya diberikan kepadaku daripada harta ALLAH apa yang ada pada kamu.” Maka Rasulullah berpaling kepadanya sambil ketawa. Kemudian baginda memerintahkan supaya diberikan sedekah kepadanya.”- HR Bukhari & Muslim
 
Antara huraian daripada hadis tersebut adalah seperti berikut:
 
i.    Rasulullah SAW seorang pemaaf, tidak suka mem­balas dendam dan tidak mudah marah.
 
ii.   Umat Islam hendaklah mencontohi sifat-sifat mulia tersebut kerana ia mempunyai nilai-nilai kebaikan yang amat tinggi dan mampu menimbulkan kesedaran buat orang lain yang menerimanya.
 
iii.  Islam menggalakkan kita supaya bertindak secara bijaksana apabila berhadapan dengan golongan yang jahil. Juga hendaklah menunjukkan sikap yang lemah lembut agar dapat menarik hati golongan bukan muslim kepada Islam.(Sumber: JAKIM)
 
Terbaik adalah senyum dan ketawalah! Kedua-duanya akan memadam sendiri semuakesulitan yang dihadapi. Sebagaimana Rasulullah SAW tersenyum dengan perbuatan Arab Badwi itu. Dalam melayari kehidupan pasti ada masa saudara akan terasa seperti tidak dihargai.

Bukan sahaja tidak dihargai,  malah umpama dihina. Selain itu, ada ketikanya saudara akan dipuji melangit sama ada pujian itu jujur atau tidak, saudara tidak mengetahuinya. Apa yang jelas, seseorang itu memuji saudara tanpa diketahui puncanya.

Dua situasi sama ada dihina atau dipuji, bagaimana rasanya? Sudah tentu rasa yang jauh berbeza. Mahukah saya tunjukkan cara supaya apabila saudara dihina, saudara tidak akan terlalu sakit? Manakala tatkala saudara dipuji, tidak pula sehingga terlupa diri.

Caranya... anggaplah semua penghinaan sebagai pujian dan pujian pula sekadar kata-kata tanpa tujuan. Bagaimana kita dapat menganggap penghinaan sebagai pujian?

Percaya atau tidak jika saya katakan, orang yang meng­hina sebenarnya didorong oleh rasa cemburu. Mungkin cemburu melihat kekacakan, kebaikan atau kepintaran saudara. Jadi, individu tersebut sengaja meng­hina saudara dengan melemparkan kata-kata dusta misalnya, “Eleh, cantik manalah. Muka macam lotong.”

Bukankah kita dapat membuat perbandingan di antara lotong dengan manusia? Kata-kata melampau itu merupakan perbandingan yang bermaksud sebaliknya. Maka yang sebaliknya itulah yang benar iaitu saudara cantik bukan seperti lotong.

Seandainya ada yang berkata begini pula terhadap saudara, “Dia tu tunjuk baik. Konon dialah yang banyak duit boleh buat kenduri selalu.”

Sebenarnya memang dia telah mengatakan kebaikan saudara yang dia sendiri tidak dapat melakukannya selalu. Buruk yang diperkatakan sebenarnya tersimpan baik di sebaliknya. Maksud yang tersirat itulah yang diterima orang.

“Pandai apa? SPM pun tak lulus. Tiba-tiba jadi datin pulak.”

Individu ini mungkin ingin memberitahu bahawa gelaran datin tidak memerlukan kepandaian untuk memilikinya. Buktinya saudara yang kurang pandai pun tetap menerima gelaran itu. Ia seolah-olah suatu pemberitahuan bahawa pandai tidak semestinya syarat untuk menjadi datin.

Nampakkah saudara bagaimana kita boleh mengubah kata-kata negatif orang terhadap kita kepada sesuatu yang seronok untuk dijadikan bahan ketawa? Lebih-lebih lagi jika saudara telah ada segala-galanya tetapi orang masih ‘berbunyi’ tanpa henti.

Sebenarnya itulah pengiktirafan bahawa saudara memang telah sampai ke tahap yang orang lain sukar menandingi dan menggugat saudara lagi.

Untuk kekal bahagia bukanlah susah sangat jika kita tahu caranya. Yang penting usah terlalu ambil pusing. Usah terlalu mengulang kata-kata orang dalam kepala saudara, kelak jadi sakit pula. Sebaliknya sebutlah apa yang saudara ingin lakukan dan fikirlah apa yang mahu saudara usahakan esok hari.

Kelak akandidapati semakin ramai yang memperkatakan hal-hal tidak enak terhadap saudara, semakin banyak pula penghasilan saudara. Jika saudara melawan pun hanya membuang masa yang akhirnya membuatkan saudara ‘mati.’ Saudara hanya penat berlawan dan tidak dapat menghasilkan apa-apa tetapi yang jelas dosa kian bertambah.

Daripada Abu Hurairah berkata, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud:
 
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya...” - HR Bukhari & Muslim
 
Tidak melawan bukanlah bermakna saudara kalah atau semua yang diperkatakan adalah benar. Orang yang bijak serta tahu menilai akan tetap mengagumi, menghargai dan mendoakan kesejahteraan saudara. Hakikat di dunia ini, lebih ramai orang menyukai daripada membenci kita. Yang membenci sekitar 10%. Mengapa disebabkan 10% ini kita hendak berhenti daripada memajukan diri mendaki puncak kejayaan yang telah diusahakan sekian lama?

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Mukmin yang mencampuri manusia dan bersabar di atas penyeksaan mereka adalah lebih mulia daripada mukmin yang tidak bercampur dengan manusia dan tidak bersabar di atas penyeksaan mereka.” - HR Ahmad
      Beberapa huraian mengenai hadis tersebut:
 
i.    Menjadi fitrah kita untuk menyukai akhlak yang mulia. Oleh itu, seharusnya setiap individu men­jadikan diri sendiri seumpama bunga yang menyenangkan hati semua yang melihat. Biarpun diketahui bahawa lain orang, lain sifat dan berbeza-beza perangai.
 
ii.   Pandai mengambil hati orang lain meskipun emosi sendiri terpaksa dikorbankan. Perkara sebegini menjadi lumrah dalam kehidupan bermasyarakat. Jika setiap orang mempraktikkannya, nescaya tidak akan wujud jurang atau permusuhan di antara satu sama lain. Bahkan kehidupan bermasyarakat akan semakin teguh dengan adanya sikap saling hormat-menghormati, merendah diri dan berkasih sayang.
 
iii.  Orang yang sentiasa bersabar dan tabah dalam menghadapi kerenah kehidupan bermasyarakat sebenarnya lebih mulia di sisi ALLAH SWT berbanding golongan yang memencilkan diri daripada masyarakat.

Ini disebabkan oleh orang yang sabar tidak mementingkan diri sendiri, tetapi sanggup berkorban demi menjamin keamanan dan keharmonian yang diidamkan. Sebagaimana kita tidak mahu menjadi kebencian orang, begitulah orang lain tidak mahu menjadi kebencian kita. Juga umpama kita mahu disayangi, begitulah juga orang lain mahu disayangi. Oleh itu, kehidupan bermasyarakat memerlukan pengor­banan dan ke­sabaran yang tinggi.(Sumber: JAKIM)
Biarpun saudara benar-benar bersalah, hanya keadilan ALLAH SWT sahaja yang berhak menentukannya. Sabarlah menanti pengadilan itu. Seandainya saudara di pihak yang benar, diri saudara pasti terbela jua. Tiada pembelaan yang paling bermakna kecuali pembelaan daripada-NYA.

Monday, January 28, 2013

Keunikan ekonomi Kelantan, satu tinjauan

Analisa Syahir Sulaiman, 26 Jan 2013


“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Al-A’raf: 96)

Corak ekonomi rakyat Kelantan, sepintas lalu

Sebagai anak Kelantan yang membesar di perantauan, pasti banyak keunikan dan keistimewaan di negeri Serambi Mekah yang dapat dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Kedudukan geografi negeri Kelantan yang terletak di timur laut Semenanjung Malaysia, terpisah dengan Banjaran Titiwangsa, berhadapan dengan Laut China Selatan dan bersempadan dengan negara Thailand, banyak mempengaruhi keunikan sosio-budaya dan sosio-ekonomi rakyat Kelantan yang berjumlah hampir dua juta tersebut.

Kaya dengan pelbagai sumber asli, baik di daratan mahupun di lautan, Kelantan yang dianggap sebagai sebuah negeri agrarian (pertanian) menyaksikan aktiviti ekonomi rakyatnya berkait-rapat dengan aktiviti perniagaan, pertanian dan perikanan yang banyak bergantung pada tahap aliran Sungai Kelantan dan alunan ombak di pesisiran pantainya.

Persepsi dari kaca mata pihak luar terhadap tahap ekonomi negeri Kelantan sering dikaitkan dengan kemunduran, kemiskinan, dan pengangguran, namun rakyat Kelantan turut disinonimkan dengan daya berdikari dan sifat bermuafakat, menjadikan mereka mempunyai dayatahan dan kekuatan tersendiri dalam mengharungi kehidupan.

Keunikan ekonomi rakyat Kelantan, satu pemerhatian
Memetik ucapan Belanjawan Negeri Kelantan Tahun 2013 oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Datuk Bentara Setia Hj. Nik Abdul Aziz Bin Hj. Nik Mat:

“KDNK Negeri Kelantan pada tahun 2012 dijangka meningkat kepada RM11.14 bilion dengan kadar pertumbuhan 6.9%, manakala pertumbuhan KDNK Malaysia pada 2012 dijangka pada kadar 4.0% sehingga 5.0%. Sektor Perkhidmatan, Pertanian dan Pembuatan dijangka akan terus menjadi penyumbang utama KDNK Negeri Kelantan bagi tahun 2012 iaitu masing-masing sebanyak 80.4%, 17.9% dan 4.%.

Bagi menyokong hasrat kerajaan, Bajet 2013 turut meliputi penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas bagi menggalakkan aktiviti perniagaan dan keusahawanan.

Kerajaan akan terus menyediakan bantuan ekonomi dan peluang pekerjaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.”

Jika disorot pengalaman negeri Kelantan yang telah ditadbir selama 22 tahun berteraskan dasar Membangun Bersama Islam, selayaknya untuk negeri Kelantan diiktiraf sebagai model mini ke arah pembentukan sebuah Negara Berkebajikan di Malaysia.

Ini terbukti apabila Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan model ekonomi yang mengutamakan pembangunan seiring di antara aspek material dan rohani, meskipun berhadapan dengan kekangan kewangan dan penafian hak oleh pihak kerajaan Persekutuan, termasuklah hak terhadap royalti minyak untuk dinikmati oleh anak jati negeri Kelantan.

Selain peranan pihak Kerajaan Negeri sebagai penggubal dasar dan pengawalselia aktiviti pembangunan dan kebajikan, kerancakan dan dayatahan ekonomi negeri Cik Siti Wan Kembang ini turut disokong oleh kekuatan kuasa beli (purchasing power) dan permintaan tempatan (domestic demand) di kalangan rakyat negeri Kelantan, khususnya dalam aspek perniagaan kecil dan sederhana, ditambah pula dengan budaya sedeqah, zakat dan waqaf yang sinonim dengan rakyat negeri Kelantan.

Kekuatan kuasa beli dan permintaan domestik di negeri Kelantan dapat dilihat daripada beberapa pemerhatian terhadap aspek sosio-ekonomi yang melatari kehidupan harian rakyat Kelantan seperti berikut:

1. Tunai dan Emas – Urusniaga jualbeli dalam bentuk tunai yang tinggi adalah petanda utama dalam mengukur kekuatan ekonomi rakyat Kelantan dan turut menyumbang kepada merancakkan aktiviti perniagaan kecil dan sederhana di Kelantan.

Amalan berhutang di kedai runcit amat jarang diamalkan di Kelantan, apatah lagi transaksi jual-beli menggunakan kad kredit sebagaimana menjadi amalan biasa warga kota yang dihimpit beban sara hidup yang tinggi.

Transaksi tunai yang rancak ini sekaligus menjadi pemangkin kepada budaya berniaga di kalangan rakyat Kelantan apabila permintaan terhadap barangan sentiasa tinggi, samada barangan runcit mahupun makanan.

Di samping itu, budaya pemilikan emas di kalangan wanita Kelantan bukan sekadar untuk tujuan perhiasan dan kecantikan, tetapi turut menjadi perantara nilai ekonomi sesama mereka, khususnya dalam urusniaga pajak-gadai dan pinjaman modal.

Ini dibuktikan dengan prestasi perniagaan pajak-gadai Islam oleh Ar-Rahnu, di samping rekod jualan dinar dan dirham Kelantan yang kian meningkat, malah menjadi pemandangan biasa untuk melihat peraihperaih emas berniaga di pasar-pasar, duduk sebaris dengan penjual kuih-muih dan sayur-sayuran.

2. Tanah dan Rumah – Rakyat Kelantan secara umumnya lebih mengutamakan perbelanjaan untuk pemilikan aset kekal.

Daripada urusniaga pembelian tanah (atau pecah lot) yang amat popular di Kelantan serta aktiviti pembinaan dan pembelian rumah di kawasan bandar mahupun di luar bandar, sehinggalah kepada sekecil-kecil pemilikan aset seperti haiwan ternakan yang biasanya akan dijual untuk menampung perbelanjaan pendidikan anak-anak.

Aset-aset utama seperti rumah banglo dan premis perniagaan menyaksikan lebih 70% pemilikan di tangan anak jati negeri Kelantan, situasi yang jarang berlaku di negeri-negeri lain.

3. Bank dan Tabungan – Kewujudan banyak cawangan bank di daerah kecil seperti Bachok, Kuala Krai dan Gua Musang adalah menarik untuk dikaji dan dibandingkan dengan situasi di daerah kecil yang setaraf di negeri lain.

Ini kerana, bagi daerah sebegini yang aktiviti ekonomi di kalangan penduduknya adalah terhad dan sering disinonimkan sebagai daerah termiskin, kewujudan lebih daripada tiga cawangan bank komersial utama seperti Maybank dan CIMB, mahupun bank berorientasikan masyarakat seperti BSN dan Bank Pertanian di daerah ‘mundur’ sebegini menjadi penanda aras terhadap tahap tabungan dan simpanan modal di kalangan rakyat Kelantan.

Situasi yang lebih rancak pula dapat dilihat di bandar utama seperti Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah yang menyaksikan urusniaga dan transaksi perbankan di kalangan rakyat adalah amat tinggi, di tambah dengan pembukaan cawangan bank yang menawarkan perkhidmatan perbankan Islam, tumbuh bak cendawan selepas hujan.

4. Infaq dan Sedeqah – Tidak perlu dihurai lebih lanjut akan budaya infaq, sedeqah, zakat dan waqaf di kalangan rakyat Kelantan.

Pembinaan surau (balasoh) dan masjid yang banyak di Kelantan semuanya ditampung oleh sumbangan derma dan zakat yang dikumpul sedikit demi sedikit.

Pendidikan merupakan institusi utama yang mendapat manfaat daripada budaya infaq dan sedeqah, baik dari segi pembiayaan pondok, madrasah dan sekolah agama rakyat, sehinggalah kepada pembiayaan pendidikan anak-anak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Hasil bantuan zakat dan sedeqah yang dihulur jiran sekampung dan saudara-mara ini merupakan pelaburan jangka masa panjang yang telah membuahkan hasilnya pada masa sekarang apabila tahap ekonomi warga kampung secara umumnya meningkat selepas anak-anak kampung ini menamatkan pengajian dan mempunyai kerjaya dan pendapatan yang lebih kukuh.

Inilah sebahagian daripada pemerhatian ringkas terhadap aspek sosio-ekonomi yang telah menjadi budaya di kalangan rakyat Kelantan, dan ia merupakan pemangkin utama kepada kekuatan kuasa beli dan dayatahan ekonomi negeri Kelantan.

Rezeki yang diperolehi biarpun nampak sedikit, tetapi ia lebih dari mencukupi untuk menampung kehidupan sehari-hari, buat bekalan di kemudian hari.

Kebaikan dan kebajikan yang bertambah-tambah, itulah barakah, dan inilah kekuatan dan keunikan ekonomi negeri Kelantan Darul Naim.
"Artikel ini dipetik dari majalah Qiadah edisi ke 12 terbitan Perbadanan Menteri Besar Kelantan". Syahir Sulaiman adalah Pengarah Kajian Polisi DPPM. Beliau mendokong agenda Membangun Negara Berkebajikan.
26 Januari 2013
Manfaatkan transformasi Muslim
MUHAMMAD ALI HASHIM

Saya menulis artikel ini sewaktu berada di Makkah, mengerjakan umrah. Sekali pun fokus kepada beramal ibadah, semua pengunjung ke tanah suci Madinah dan Makkah pasti menyaksikan transformasi besar kedua-dua kota agung Islam ini.

Madinah menjadi semakin indah, bersih, menarik dan tersusun, dengan seni bina dan landskap beridentiti Islamik moden lagi canggih. Cuaca dingin menambahkan sifat semula jadi sejuk dan damainya Madinah. Transformasi paling hebat sebenarnya sedang berlaku di Makkah.

Menara Masjid Haram dikelilingi berbelas ‘menara’ sementara kren pembinaan bersama mencakari langit latar, iaitu bukti nyata transformasi lebih besar kota Makkah.

Pembangunan di kedua kota agung Islam ini menyedarkan kita satu transformasi besar sedang berlaku kepada kehidupan masa depan umat Islam, bukan sahaja di Mekah dan Madinah, malah di seluruh dunia Islam. Sewajarnya, kerana seluruh dunia juga sedang berubah pesat.

Jangan ciplak sampai hilang jati diri

Sekalipun kagum dan bangga, pasti ada penziarah yang bimbangkan kesan negatif jangka panjang transformasi ini. Saya yakin ramai juga yang kurang senang dengan Kaabah dikelilingi bangunan pencakar langit, antaranya hotel dan kompleks beli-belah menawarkan produk import berjenama mahal dan kedai makanan segera francais Barat.

Bukan sahaja penziarah. Saya pernah menyaksikan kritik seorang arkitek Arab Saudi dalam satu program tv antarabangsa berbahasa Inggeris yang tegas menyatakan kejanggalan menara jam gergasi serta kompleks perniagaan mendominasi aktiviti berhampiran Kaabah. Kritikan beliau menjadi lebih tajam dalam konteks peranan besar Kaabah sebagai kiblat umat Islam.

Pasti ramai bimbang melihat jenama seperti McDonalds, Star Bucks dan KFC (selain jenama barangan mahal “luxury branded goods”) semakin mewarnai sekitaran tanah suci. Saya teringat kata-kata Ibnu Khaldun, seorang sejarawan agung Islam dalam buku “Muqaddimah”.

Ibnu Khaldun menegaskan satu bangsa (atau umat) sebenarnya telah tewas sekalipun tanpa penaklukan fizikal atau kalah dalam peperangan. Ini berlaku setelah mereka tunduk dan menciplak semua gaya hidup bangsa (atau umat) lain yang dianggap lebih tinggi, superior dan lebih sempurna sehingga hilang jati diri sendiri.

Kaabah, iaitu fokus ibadah setiap Muslim, kini semakin dihampiri falsafah hidup sekular-materialis yang bertentangan dengan nilai Islam, setelah sekitarnya diwarnai jenama bisnes Barat. Kesan jangka panjang fenomena ini terhadap masa depan pembangunan jiwa dan nilai hidup umat Islam tidak boleh dipandang ringan.

Hari ini Barat semakin tertekan kelemahan dan dipercayai tidak lagi berupaya mendominasi dunia, termasuk dunia Islam khasnya, seperti berlaku selama tiga abad sebelum ini. Kini, dua negara Timur, iaitu Republik Rakyat China dan Jepun menjadi kuasa ekonomi kedua dan ketiga terbesar dunia, dengan Korea Selatan mengejar pantas di belakang.

Persoalannya, apakah pembaharuan zaman yang sedang berlaku dalam keadaan umat Islam lemah kedudukan ekonomi akan mengakibatkan kita akan didominasi kuasa besar Timur? Apakah, dalam dekad mendatang kita akan berebut-rebut pula mendewakan jenama korporat dan “brand” milik kuasa ekonomi Timur?

Sekarang ini pun sebahagian besar cenderahati dan barangan yang setiap pengunjung ke Makkah dan Madinah beli, termasuk ”produk budaya Islam” seperti sejadah, jubah, serban, tasbih dan ketayap, diimport dari China.

Sun Tze, seorang pendeta China dalam buku ”Art of War” yang ditulis lebih 2,500 tahun dahulu menegaskan strategi paling penting mengatasi segala strategi peperangan lain ialah menawan dan menewaskan musuh tanpa perlu bertempur bertumpah darah.

Sesungguhnya perang hari ini lebih bersifat peperangan dalam aman, dengan kemenangan diukur berlandaskan sejauh mana sesuatu bangsa berjaya menakluki minda, mempengaruhi jiwa, mendefinisi pemikiran dan mencorak budaya serta mendominasi kehidupan bangsa dan tamadun musuh.

Jelas sekali, satu strategi berkesan dalam peperangan tanpa senjata membunuh ini ialah dengan menguasai bisnes dan mendominasi ekonomi pihak lawan.

Strategi Islamik

Renungkan ancaman besar yang dihadapi bangsa Melayu hari ini. Apakah tidak kita sedang ditewaskan musuh dalam peperangan alaf baru ini?  Setelah lebih 55 tahun merdeka, tidakkah kita seolah-olah dijajah semula setelah kuasa politik di kompromi, ekonomi negara didominasi bukan Muslim, budaya dan pegangan hidup semakin hilang ciri jati diri Melayu dan Islam akibat diresapi budaya dan nilai Barat dan Timur yang semakin mendominasi ekonomi dan kehidupan?

Penjajahan alaf baru bukan lagi diterajui pemerintah atau tentera tetapi oleh syarikat dan korporat menerusi produk dan jenama perkasa, sekali gus mengaut untung menambah nilai harta himpunan mereka.

Lebih-lebih lagi jika kita, sama ada secara sedar atau tidak, terlalu ghairah meniru gaya bisnes dan menciplak sistem serta amalan bisnes asing hingga kadang kala mengkompromi pantang-larang nilai budaya dan halal-haram pegangan hidup Islam.

Akibatnya, falsafah hidup sekular-materialis, individualistik dan nafsu-nafsi semakin mengesani gaya hidup Melayu-Muslim dan juga seluruh umat Islam. Tidak hairan jika dalam kalangan sesama Melayu dan Muslim kita semakin bercanggah fahaman dan berpisah haluan.

Bukan berteras sekular-materialis


Tiba masanya Malaysia sebagai salah satu negara majoriti Muslim paling maju, mendahului membina kekuatan ekonomi dengan mengintegrasikan nilai Islam bertujuan memperkasa dan menyatupadukan semula umat Islam.

Kita bangga dengan kejayaan negara memperkenalkan perbankan dan kewangan Islam.  Tiba masanya kita bina atas kejayaan ini dengan mentransformasikan dan mentakrif semula syarikat dan institusi korporat ciptaan kapitalis Barat, kali ini mengikut acuan Islam.

Ini boleh kita lakukan dengan memanfaatkan institusi warisan Islam seperti wakaf.  Sesungguhnya Malaysia boleh mendahului dengan memperkenalkan institusi Waqaf Korporat dan Bank Waqaf.

Proses transformasi ini wajar kita lakukan secara berperingkat. Fokus paling utama ialah membentengi hak-milik ekonomi Melayu-Muslim dengan mengetepikan Dasar Penswastaan.

Penswastaan merosakkan kerana ia mengutamakan individu swasta mengatasi kepentingan besar rakyat majoriti; langsung membentuk gaya hidup individualistik, materialistik dan nafsu-nafsi selain melebarkan jurang kaya-miskin.

Negara Islam mesti mengimbangi kuasa korporat swasta dengan membina institusi korporat amanah penegak keadilan ekonomi. Inilah peranan GLC Malaysia selama ini yang pernah saya sifatkan sebagai benteng terakhir hak milik Melayu-Muslim.

Beberapa GLC sangat wajar diwakafkan menjadikan mereka badan korporat induk Islamik kekal berpanjangan. Sebenarnya, umat Islam harus optimis terhadap prospek kebangkitan semula memperkasa ekonomi mereka satu hari nanti.

Sejauh ini GLC Malaysia seperti Petronas pernah diiktiraf antara korporat berprestasi tinggi antarabangsa. Demikian juga beberapa syarikat milik Arab Saudi dan Turkey. Paling penting, umat bertindak dengan penuh berhikmah dan strategi.

Sewaktu berumrah ke Makkah saya bangga sekali melihat institusi wakaf semakin dikaitkan dengan usaha bisnes dan korporat Arab Saudi. Di depan kompleks “Zam-zam Tower” tempat beberapa hotel mahal, pusat beli-belah dan jam besar dekat Kaabah jelas terpampang kenyataan: kompleks terbabit adalah harta yang telah diwakafkan Raja Abdul Aziz Saudi Arabia.

Ini membayangkan dengan adanya strategi institusi berkesan, pada akhirnya kita tidak perlu terlalu bimbang jika pada masa ini simbol kuasa korporat Barat seperti McDonald’s dan KFC kelihatan dominan. Kerana saya perhatikan jenama tempatan Arab Saudi seperti ayam goreng “Al Baik” semakin popular dan berupaya menawan cita rasa umat Islam.

Kesimpulannya, Malaysia telah menempa sejarah memperkenalkan strategi institusi seperti Lembaga Tabung Haji dan sistem perbankan Islam. Ini diikuti barisan GLC dinamis seperti PNB, Petronas, Felda, LTAT, JCorp, Bank Islam dan lainnya yang berjaya menginstitusikan amanah menegakkan keadilan ekonomi.

Kita harus berani dan tegas meneruskan penerokaan inovasi institusi menjadikannya strategi utama transformasi jangka panjang.

Inovasi membabitkan Waqaf Korporat sangat wajar dijayakan secara meluas, dilengkapi penubuhan Bank Waqaf. Wakaf sangat penting diintegrasikan ke dalam sistem ekonomi untuk mengelakkan kita cuma mengikut jalan mudah, iaitu menciplak kaedah institusi korporat Barat atau Timur yang merosakkan.

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, DewanPerdagangan Islam Malaysia (DPIM)
Bicaralah Atas Nama Kasih: Sukarkah meraih solehah?
NORASLINA JUSIN & DR. ZAHARUDDIN ABD RAHMAN
 
Muka Depan Buku Bicaralah Atas Nama Kasih oleh Noraslina Jusin & Zaharuddin Abd Rahman
Berusahalah menjadi ‘harta yang bernilai’

kepada seorang suami selepas
mencurah keimanan
dan ketakwaan kepada ILAHI

Sukarnya meraih solehah.” Acap kali keluhan itu keluar dari bibir merahnya. Sesekali pandangannya dilempar jauh. Bagai merenung ke satu dimensi yang tidak dapat dimengerti oleh sesiapa pun.

“Kenapa ni kak? Akak ada masalah ke?” Saya bertanya ramah. Senyuman menguntum agar berkurang gelodak resah.

Kami sering berbual bersama. Berbincang, bertukar pandangan dan mencari titik persamaan tentang pelbagai topik kehidupan. Dan biasanya, tajuk yang menjadi fokus perbincangan kami ialah pendidikan anak-anak, kehidupan suami isteri serta pahit manis alam perkahwinan.

Jarak umur yang berbeza beberapa tahun, menjadikan saya lebih mesra memanggilnya ‘kakak’ sebagai tanda hormat.

“Tak ada apa-apalah... hanya meluah kebimbangan yang sekian lama terpendam. Terutama apabila ketiadaan insan tersayang. Saat-saat berjauhan begini, kakak manfaatkan untuk memuhasabah diri sebagai isteri.” Dia menjawab sambil melempar senyuman manis. Wajah yang tadi muram, mula menampakkan seri.

“Apa yang merisaukan kakak?” soal saya lagi. Sengaja meminta dia bercerita dan berkongsi rasa. Mana tahu jika ada pedoman yang dapat saya ambil manfaat daripadanya. Saya membetulkan duduk mencari posisi selesa agar perbualan nanti berjalan lancar tanpa gangguan.

Mudah

“Sebenarnya... kakak bimbang melihat kadar perceraian suami isteri dalam masyarakat kita hari ini. Keadaan itu menjadi perkara yang terjadi akibat sesuatu punca dan sebab. Kerana itu, kakak selalu mengingatkan diri agar apa yang terjadi pada mereka menjadi pengajaran dan ingatan.” Suaranya bergetar tanda insaf dan sedar.

“Pada kakak, peranan seorang isteri amat penting untuk mengekalkan hubungan yang harmoni. Namun, bukan mudah untuk jadi isteri yang baik dan solehah kepada suami. Andai dibaca sepintas lalu kalam Rasulullah yang mulia, gelaran itu senang diperoleh dan tidaklah serumit yang disangkakan. Ina ingat, tak? Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang sebaik-baik isteri. Lalu baginda menjawab:

Iaitu isteri yang menghadirkan rasa gembira kepadamu apabila memandangnya. Apabila disuruh, dia patuh, menjaga rahsiamu sebaik-nya dan menjaga hartamu.- Hadis Riwayat Ahmad dan lainnya; dianggap ‘hasan’ oleh al-Albani
 
Dan sabda baginda yang lain bermaksud:

Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kehormatan dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang di-kehendaki. - Hadis Riwayat Ahmad

Saya hanya mengiakan apa yang dibicara. Sebagaimana yang ditegaskan oleh baginda s.a.w, antara punca kebahagiaan bagi seseorang anak Adam adalah daripada tiga perkara iaitu; isteri yang solehah, tempat tinggal yang selesa dan kenderaan yang memudahkan perjalanan dan pergerakannya.

Tapi...

“Sayangnya, ramai antara kita yang tidak memahami dan menghadam peringatan Rasul yang mulia itu dengan sempurna.” Dia menambah dengan suara yang bernada resah pada pendengaran saya.

“Maksud kakak?” Saya bertanya padanya kembali.

“Banyak peranan seorang isteri yang perlu kita muhasabah kembali. Lihat sahaja tentang menjaga rahsia suami. Berapa ramai wanita hari ini yang dapat menyimpan rahsia suami dengan erat. Sungguh menyedihkan, masalah rumah tangga sering dijadikan tajuk cerita bersama teman-teman sekerja,” tuturnya kecewa.

“Ya... betul tu kak. Ramai yang beralasan, mereka sekadar ingin meluah rasa dan meminta nasihat.” Saya mengiakan kata-katanya.

“Ya... itu ada benarnya dan berkonsultasi tentang-nya memang dibolehkan dalam agama. Meminta nasihat daripada orang yang boleh dipercayai, baik akhlak dan mampu menjaga rahsia, itu memang dibenarkan.

Tetapi, apa maknanya jika masalah tersebut diketahui bukan seorang dua... tetapi seramai yang berada di tempat kerja? Ada yang boleh ketawa apabila bercerita perihal rumah tangga mereka. Bukankah itu sudah membuka aib suami dan diri sendiri?

Jika seorang isteri menjaja keburukan suami, di mana lagi rasa hormatnya kepada ketua rumah tangga? Mampukah isteri yang begini berada di hadapan suami dalam keadaan ceria dan menceriakan suami yang memandangnya?” Bertalu dia melontarkan persoalan yang membuka lagi kesedaran saya.

“Lebih malang, jika masalah bersama suami didedahkan kepada rakan sekerja lelaki dan me-nyebabkan mereka jatuh dalam perangkap cinta ‘gelap’ tanpa disedari. Kononnya cinta itu lahir dari rasa ‘prihatin’, ‘perhatian’ dan ‘kesudian’ si lelaki mendengar luahan hati.” Saya menambah isi untuk menyokong pandangannya.

Solat dan Puasa

Ini belum lagi menyentuh tentang solat dan puasa. Pada saya, seorang wanita dan isteri belum layak bergelar solehah jika masih bermasalah dalam melaksanakan kedua-dua ibadat ini. Ada segelintir yang melengah-lengahkan solat dengan pelbagai sebab yang tidak sepatutnya dijadikan alasan hingga solat tergadai. Terutamanya kepada kaum perempuan yang waktu kitaran haid mereka yang hampir tiba.

Golongan ini harus lebih peka dan beringat akan masa yang ada kerana ‘waktu’ itu tiba secara tiba-tiba. Maka, ibadat yang wajib seharusnya didahulukan tanpa ditangguhkan hingga ke akhir waktu.

Tidak kurang juga, ada yang terlalu obses dengan kerja hingga solat dilakukan secara tergesa-gesa. ALLAH S.W.T mengingatkan tentang kemurkaan-NYA ke atas mereka yang lalai dalam menjalankan  tanggungjawab ini:

Maka celakalah orang yang solat iaitu orang yang lalai daripada solatnya. - Surah al-Maau’n: 4 dan 5
 
Lalai yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah tiadanya konsentrasi dan kekhusyukan ketika melaksanakan solat. Keadaan ini merupakan suatu kerugian yang besar bagi seorang mukmin. Dan dalam konteks seorang wanita dan isteri pula, ia boleh memberi kesan buruk terhadap pelaksanaan tuntutan agama yang lain.

Demikian juga dengan ibadat puasa Ramadan yang hadirnya hanya sebulan. Atas rahmat dan kasih sayang-NYA, kaum wanita yang didatangi haid atau berada di dalam nifas, gugur ke atas mereka kewajipan untuk berpuasa. Begitu juga dibenarkan kepada wanita-wanita hamil dan menyusukan anak untuk tidak menunaikan puasa.

Namun, ramai yang terleka dengan nikmat kemurahan Ar-Rahman ini apabila mengambil masa yang lama untuk mengqada semula puasa yang ditinggalkan hingga Ramadan kembali semula. Sekali lagi, cuai dan lalai.

Lalu, adakah keadaan sedemikian memungkinkan seseorang wanita untuk meraih gelaran solehah di sisi ILAHI?

Sukarkah Meraih Solehah?

“Tepuk dada, tanya iman. Hakikatnya, pilihan berada di tangan kita. Untuk menjadi solehah, al-Quran dan hadis Rasulullah s.aw menjadi pedoman. Tinggal lagi, sama ada kita mahu atau membiarkan masa dan ruang yang ada terus berlalu.” Dia menambah kata.

“Memang benar. Kesedaran tanpa perubahan, umpama mimpi-mimpi sementara. Tiada makna.” Saya membuat rumusan di samping mengingatkan diri yang juga sering kealpaan.

Akhirnya, marilah bersama muhasabah diri dengan membina azam untuk terus memperbaiki diri. Baik saya, anda dan sesiapa sahaja di luar sana, jadikan gelaran wanita dan isteri solehah sebagai motivasi untuk mempertingkatkan kualiti diri.

Hiasilah peribadi dengan ilmu, amal, keimanan dan keyakinan kepada hari akhirat agar ia mampu menjadi inspirasi muslimah sejati. Berusahalah menjadi ‘harta yang bernilai’ bagi seorang lelaki bernama suami selepas mencurahkan keimanan dan ketakwaan kepada ILAHI.

Berhijrah dan berusahalah... mudah-mudahan kita berjaya meraih gelaran solehah. Amin.

Sesungguhnya dunia ini adalah perhiasan yang indah, dan sebaik-baik perhiasan di dalamnya ialah wanita (isteri) yang solehah. - Hadis riwayat Muslim

Sunday, January 27, 2013


Seorang pelajar bernama Amin terkenal dengan kenakalannya di sekolah. Amin suka memberontak, tidak memberikan penumpuan dalam kelas, keputusannya tidak cemerlang, suka mengacau rakan lain, mempersendakan dan melawan kata-kata cikgunya.

Selepas tamat sesi persekolahan tahun lepas, dan tiba masa untuk mengagihkan pelajar, tiada guru di sekolah yang sudi menerima Amin di dalam kelas mereka.

“Saya tak mahu. Nanti sakit jantung,” kata Puan Halimah.

“Saya tak mahu. Dah serik setahun dengannya,” kata Cikgu Kamala.

“Jangan pandang saya. Kalau saya, saya dah tendang dia keluar,” kata Tuan Kassim.

“Tak apa saya ambil,” jawab Ustaz Ismail Nihat.

Semua menarik nafas lega, tapi sahabat baik Ustaz Ismail, Cikgu Timmy berkata, “Ustaz fikir baik-baik. Kena ada kesabaran tinggi untuk mengajar budak itu. Kalau tak tahan, ustaz tukar dengan saya.”

“Takkan budak ini saya tak dapat kawal hehehhe,” jawab Ustaz Ismail dengan berseloroh.

Malangnya, perbualan guru-guru itu telah didengari Amin. Amin berbisik di hatinya, “Ustaz Ismail nak kawal saya ya? Kita tengok siapa lebih hebat!”

Sesi persekolahan baru pun bermula, Amin memasuki kelas Ustaz Ismail.

Ustaz Ismail mengaturkan Amin duduk di barisan depan kelas.

Amin cuba buat perangai, tapi Ustaz Ismail tetiba bersuara…

“Saya nak cadangkan seorang pelajar untuk jadi Ketua Kelas. Dia ini keputusan tak berapa baik. Akan tetapi, dia pandai bergurau. Jika dia jadi Ketua Kelas, sudah tentu kita dapat senyum tiap-tiap hari,” kata Ustaz Ismail sambil menunjuk kepada Amin.

Para pelajar kelas Ustaz Ismail terus terdiam dan berbisik sesama sendiri.

“Orang macam dia pun, Ustaz pilih jadi Ketua Kelas? Ustaz tahu ke dia terkenal sebagai pelajar ternakal di sekolah.”

Amin yang muka kemerahan kerana segan hendak menolak tawaran, tapi Ustaz Ismail tidak memberi peluang…

“Jadi Ketua Kelas bukan lihat pada keputusan sahaja. Yang paling penting dia boleh jadi contoh kepada pelajar lain. Saya percaya Amin boleh melakukannya dan dia amat berpotensi. Apa kata kita beri dia satu peluang?”

“Baik ustaz,” jawab para pelajar. Kata-kata ini menyebabkan Amin terasa malu dan segan sehingga muka bertambah merah.

Akhirnya, Amin menjadi Ketua Kelas.

Besok harinya, apabila masuk ke kelas, pelajar mendapati Amin sudah berada di tempat duduknya dan tidak mengacau pelajar lain ketika Ustaz Ismail mengajar.

“Amin sudah tak buat perangai dan kacau orang?” tanya seorang pelajar bernama Zul yang selalu dibuli Amin.

“Saya Ketua Kelas. Saya perlu jadi contoh pada orang lain,” jawab Amin.

Apabila melihat Amin menumpukan perhatian di dalam kelas, seorang pelajar lain Jannah bertanya pada Amin, “Mengapa Amin tak perlekehkan ustaz seperti biasa sehingga cikgu menghalau Amin keluar?”

“Saya Ketua Kelas. Saya perlu jadi rajin dan bagus keputusan barulah orang lain boleh terima saya sebagai Ketua Kelas dengan hati terbuka ,” jawab Amin.

Peperiksaan menjelang dan keputusannya, Amin melonjak dari tangga terakhir di sekolah ke tangga ke 15.
“Dia meniru ke ustaz?” tanya Tuan Kassim pada Ustaz Ismail.

“Berdasarkan ketekunan dia, saya rasa keputusan ini benar. Ini memang hasil dia,” jawab Ustaz Ismail.

“Ustaz Ismail memang hebat,” kata Cikgu Timmy.

“Apa yang Ustaz buat kat dia?” tanya Puan Halimah.

“Dia nakal sebab ego nak perhatian. Saya bagilah dia dapat perhatian secukupnya sebagai Ketua Kelas. Kerana egonya, maka dia memaksa dia menjadi baik supaya orang tak kata dia tak layak jadi Ketua Kelas. Sama seperti najis binatang, jika diletakkan pada tempat yang tidak betul, ia busuk dan tidak menyenangkan pandangan. Jika ia terkena tanah dan ditanam, ia bertukar menjadi baja yang menghasilkan banyak pokok yang berbuah,” jawab Ustaz Ismail sambil tersenyum.
Senyum.
Tuan Ibrahim Tuan Man

Penghalang doa

 
Doa adalah talian hayat dalam kehidupan seorang insan bernama hamba dengan Allah SWT. - Gambar hiasan

ANTARA sifat seorang Mukmin sejati ialah sentiasa memohon dan meminta kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan dan bersungguh-sungguh. Doa adalah talian hayat dalam kehidupan seorang insan bernama hamba dengan Allah yang Maha Berkuasa.
Apabila seseorang hamba itu berdoa, dia akan merasakan Allah SWT sentiasa dekat dengannya, mengawal dan memerhatikan segala tindakannya tanpa henti. Apabila seseorang hamba itu berdoa, dia perlu yakin dan percaya bahawa doanya itu akan diperkenankan oleh Allah SWT.

Keyakinan ini berasaskan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina. (al-Mukmin: 60)

Namun begitu, kita perlu berwaspada agar doa yang kita panjatkan kepada Allah SWT terhalang daripada dimakbulkan. Ini adalah kerana, terdapat daripada kalangan orang beriman yang bukan sahaja tidak dimakbulkan, bahkan langsung tidak dipedulikan oleh Allah SWT. Antaranya ialah;

Menggunakan harta haram
Seseorang yang memperoleh pendapatan yang haram. Lalu menggunakannya untuk makan dan minum, membeli pakaian, rumah dan kenderaan. Ia akan menyebabkan doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT terhijab dan tidak diterima.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud: ...Seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. (riwayat Muslim)

Dalam hadis tersebut Rasulullah SAW telah menggambarkan bagaimana doa seseorang itu boleh ditolak disebabkan harta yang haram.

Walaupun dia telah menepati ciri-ciri doa yang makbul seperti bermusafir, tawaduk dan bersungguh-sungguh.

Namun, tetap juga ditolak kerana tidak mempedulikan persoalan hartanya, sama ada daripada sumber yang halal atau yang haram.
Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam menentukan sumber pendapatan yang kita peroleh, sama ada haram secara zat (haram lizatihi) atau haram kerana sebab-sebab yang lain (haram lighairihi).

Haram lizatihi boleh terjadi apabila kita terlibat dalam kegiatan haram yang telah terkandung dalam al-Quran dan hadis secara langsung seperti; perniagaan minuman keras, perjudian dan maksiat. Manakala haram lighairihi pula yang melibatkan keharaman secara tidak langsung seperti riba, gharar dan sebagainya.

Gelojoh dan terburu-buru

Antara golongan yang ditolak doanya ialah mereka yang gelojoh dan terburu-buru ketika berdoa.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Dikabulkan doa seseorang daripada kalian selama ia tidak buru-buru, (di mana) ia berkata: Aku sudah berdoa namun belum dikabulkan doaku. (diriwayatkan oleh Al-Bukhari)

Yang dimaksudkan dengan demikian ialah mereka yang apabila berdoa, dia seolah-olah mendesak dan memaksa Allah SWT supaya memakbulkan doanya secepat mungkin. Justeru, dalam kita berdoa, kena banyakkan bersabar dan bersangka baik kepada Allah SWT.
Mungkin doa kita sudah dimakbulkan, tetapi menunggu masa untuk dijadikan sebagai realiti. Semuanya mengikut keputusan dan perancangan Allah dan ia adalah yang terbaik.

Lihatlah bagaimana Nabi Musa dan Nabi Harun as. berdoa tentang kekejaman Firaun. Doa mereka berdua dimakbulkan oleh Allah SWT. Namun, kerajaan Firaun tidak tumbang dalam masa sehari dua, bahkan memakan masa puluhan tahun selepas itu.

Demikian juga Nabi Yaakub as. yang tidak putus-putus berdoa kepada Allah SWT supaya dikembalikan anak Baginda iaitu Nabi Yusuf as. Doanya dimakbulkan, namun selepas puluhan tahun baru Baginda bertemu semula dengan Nabi Yusuf as.

Tidak bersungguh-sungguh dalam berdoa

Sebagaimana sekiranya kita meminta daripada manusia, kita juga perlu bersungguh-sungguh ketika berdoa dan memohon daripada Allah SWT. Tidak boleh berdoa secara sambil lewa atau acuh tak acuh seperti melepaskan batuk di tangga.

Sabda Nabi SAW: Apabila seseorang daripada kamu berdoa dan memohon kepada Allah SWT, janganlah dia mengucapkan: "Ya Allah, ampunilah dosaku jika Engkau kehendaki, sayangilah aku jika Engkau kehendaki, dan berilah rezeki jika engkau kehendaki". Akan tetapi, dia harus bersungguh-sungguh dalam berdoa. Sesungguhnya Allah berbuat menurut apa yang Dia kehendaki dan tidak ada yang memaksa-Nya. (diriwayatkan oleh Al-Bukhari)

Lalai dan tidak khusyuk

Kita perlu fokus dan betul-betul memberikan perhatian dengan penuh pengharapan. Setiap lafaz perkataan yang diungkapkan daripada mulut perlu keluar daripada hati yang tulus ikhlas. Ini menuntut supaya kita memahami isi kandungan doa yang dikemukakan.

Sabda Nabi SAW: "Berdoalah kepada Allah SWT dan kamu yakin akan dikabulkan. Ketahuilah bahawa Allah tidak akan mengkabulkan doa orang yang hatinya lalai dan tidak khusyuk." (diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Al-Hakim).

Meninggalkan amar makruf dan nahi mungkar

Allah SWT telah menjadikan amar makruf dan nahi mungkar sebagai satu syarat untuk kita menjadi umat yang terbaik. Firman Allah SWT yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (ali-Imran: 110)

Apabila kita meninggalkan kewajipan ini, maka akan berleluasalah maksiat dan penderhakaan di atas muka bumi. Apabila kita hanya melihat sahaja ma ksiat yang berlaku tanpa mengambil tindakan untuk membanterasnya, maka pada ketika itulah Allah SWT akan menurunkan bala dan tidak akan memakbulkan doa kita.

Nabi SAW bersabda: "Demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, hendaklah kalian menyuruh yang makruf dan mencegah kemungkaran atau (kalau tidak kalian lakukan) maka pasti Allah akan menurunkan seksaan kepada kalian, hingga kalian berdoa kepada-Nya, tetapi tidak dikabulkan." (diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Ahmad)

Thursday, January 24, 2013

Selamat menyambut Maulidul Rasul: Mari kita ikut Nabi


PERUTUSAN MAULIDUR-RASUL 1434H

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) - Surah al-Ahzab, ayat 21

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi berpeluang untuk berada di dalam bulan Rabiul Awwal tahun 1434 Hijrah ini.
Sekali lagi kita sama-sama berada dalam suasana menyambut Maulidur-Rasul yang merupakan satu rutin tahunan kepada umat Islam bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah contoh yang terbaik untuk manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Sengaja Allah SWT, melantik rasulNya dari kalangan manusia agar boleh dicontohi dan dijadikan tauladan.


Allah SWT tidak melantik rasulNya dari kalangan malaikat kerana malaikat ialah makhluk yang tidak mempunyai nafsu. Bagaimana manusia yang mempunyai nafsu mahu menjadikan malaikat yang berlainan fitrah sebagai tauladan?

Sesungguhnya, apabila Rasulullah SAW menjadi tauladan, ia bukan sahaja contoh di dalam ibadat tetapi dalam semua apsek kehidupan.
Aspek rumahtangga sebagai contoh, Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang suami yang suka bergurau dengan isterinya.

Gurauan ini tidak pernah melunturkan nilai nubuwwah yang ada pada diri Baginda bahkan ia merupakan penyeri kepada kehidupan berumahtangga yang diperlukan oleh setiap manusia.

Kadang-kadang sudut ini yang dicuaikan oleh sebahagian daripada kita yang menjadikan kehidupan kita kaku dan beku tanpa gurau senda.

Demikian juga dalam aspek muamalat dengan rakyat. Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang yang gemar menuturkan kata-kata manis sehingga menyenangkan pendengar.
Bahkan terdapat juga situasi Rasulullah SAW bergurau dengan gurauan yang benar sehingga menjadikan dirinya lebih dikagumi dan disayangi.

Apa yang lebih penting ialah kejayaan Rasulullah SAW merubah paradigma pemikiran masyarakat jahiliyyah yang tebal dengan tradisi karut dalam tempoh perjuangan baginda selama 23 tahun.

Sekalipun baginda merupakan seorang nabi yang juga kekasih Allah SWT, tetapi tempoh yang diambil oleh baginda untuk menjayakan misi dakwah di Mekah dan Madinah tidak mengambil masa sekelip mata.

Sirah inilah yang mengajar kita bahawa setiap perjuangan memerlukan tempoh masa yang tersendiri. Inilah lumrah dalam perjuangan yang wajib diterima oleh semua pendokong perjuangan Islam hari ini.

Hakikatnya, maulidur-rasul bukan hanya setakat meraikan kelahiran baginda Rasulullah SAW tetapi juga menjunjung tinggi syariat yang dibawa olehnya.

Syariat ini perlu diletakkan di tempat yang tertinggi dalam pelbagai aspek kehidupan. Jika semangat ini dipupuk, insya-allah kita akan melihat suasana sambutan Maulidur-rasul yang benar-benar bermakna akan wujud di negara ini, Insya-Allah.

Sekian.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1434H
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh : 12 Rabiul Awwal 1434H
Cinta ALLAH dan cinta Rasulullah SAW
CIKGU SIDEK BABA
 
Hari ini sering kita saksikan majlis, ceramah, festival yang menggunakan tema cinta ALLAH dan cinta Rasulullah SAW. Apakah maksud tema ini dalam makna yang dangkal dan kenafsian terhadap maksud cinta ALLAH dan cinta Rasulullah SAW.

Manifestasi dari tema ini memberi impak yang besar tidak saja terhadap isu aqidah, ibadah, syariah-feqah dan juga akhlak. Menyebut dengan kalimah aku cinta ALLAH dan Rasulullah SAW tidak memadai. Ruh dari kalimah cinta ALLAH dan cinta
Rasulullah secara rohaniahnya harus diaplikasikan dalam amal.

Cintakan ALLAH membawa maksud cinta akan kebesaranNya. Kebesaran ALLAH membawa kepada ALLAH itu Pencipta, menghasilkan sumber roh untuk manusia hidup, pemberi rahmah dan nikmah untuk kesenangan manusia.

Ia tidak boleh disamakan ibarat cinta sesama manusia dengan segala macam faktor kenafsiannya. Ia tidak sekadar lafaz dan sebutan. Ia harus tercermin pada watak dan peribadi yang mendukung jiwa hamba yang tinggi dan peranan kekhalifahan yang menyumbang.

Jiwa hamba membawa watak rukuk dan sujud sebagai ibadullah dan ibadur rahman yang mendukung resam taat, akur, tunduk dan patuh. Kesombongan yang terjadi, keingkaran yang terdapat, keegoan yang disaksikan bukanlah gambaran orang cintakan ALLAH dan rasul-Nya.

Cintakan ALLAH harus terlihat dalam amal soleh. Amal soleh memperlihatkan bagaimana manusia ini sentiasa memiliki sifat kasih sayang dan belas kasihan terhadap orang lain. Belas kasihannya ALLAH kepada kita, diberinya kita dengan limpahan rezeki yang banyak.

Cintakan Rasulullah SAW terlihat dengan akhlak karimah. Tujuan Rasulullah dihantar kepada kita ialah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Tanpa akhlak kita akan hilang diri dan cenderung kepada amalan haiwani yang bercanggah dengan fitrah.

Cintakan Rasulullah SAW ialah mematuhi sunnahnya dalam semua perkara. Barulah dapat dirasakan kehebatan peribadi Rasulullah SAW dalam diri dan kehidupan kita.

Manusia yang sombong umpamanya selalu merasakan dirinya saja benar dan orang lain semuanya salah. Diri yang angkuh merasakan dirinya hebat dan orang lain kerdil belaka. Diri yang ego sentiasa memandang rendah orang lain, baik dari segi pemikiran dan amalan.

Jiwa besar seorang dai’ (pendakwah) dan murabbi (pendidik) umpamanya sentiasa memiliki sifat belas kasihan terhadap orang lain. Dia menginsafi bahawa tidak semua orang mempunyai peluang dalam biah atau suasana Islami, baik dari sudut kualiti ilmu ayah-ibu mahupun persekitaran yang ada.

Seorang dai’ dan murabbi akan terus mendatangi supaya asbab dari kehadirannya menyebabkan hidayah turun dan petunjuk diberi. Inilah bayangan sebenar cinta ALLAH dan cinta Rasulullah SAW yang terjemahkan dengan amal.

Bayangkan hari ini sesama Islam lahir rasa kebencian yang tinggi, sesama seakidah tergamak lafaz kafir disemarakkan, sesama se syahadah terjadi lafaz taghut dihamburkan. Kalimah-kalimah ini adalah cetusan nafsul amarah yang tidak membawa kejernihan hati, malah jauh sekali menjadi asas landasan ukhuwah sesama Islam yang dituntut agama.

Itu tandanya kita tidak cinta ALLAH dan Rasulullah SAW kerana ALLAH Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sedangkan sesama Islam kita memiliki rasa benci dan dendam yang luar biasa dan tidak bersedia menjadi pemaaf atas kesilapan orang dan bersedia untuk melakukan muzakarah demi maslahah ummah.

Sebab itu lafaz cinta ALLAH dan cinta Rasulullah SAW disebut menerima takbir dan tahmidnya, selawat dan puji-puji terhadapnya harus diterjemahkan dengan sabar dan bijaksana dalam amalan dan perbuatan. Kalau tidak, bagaimana kita ingin mencapai status iman dan takwa sedangkan sesama Islam kita berseteru. Kita tidak memiliki jiwa besar untuk berdamai dan bijak memahami maslahah yang terdapat untuk kepentingan umat dan generasi hari depan.

Oleh itu Cinta ALLAH dan Cinta Rasulullah SAW harus difahami dan dihayati melalui amalan dan contoh teladan. Ia tidak hanya bersifat ritual semata tetapi terlihat pada amal dan perbuatan.

Bila kita berselisih, kembali kepada ALLAH dan Rasulullah SAW iaitu pedoman al-Quran dan hadis. Sebagai dai’ dan murabbi tidak harus ada sifat putus asa untuk melihat perubahan berlaku dan hijrah terjadi.

Melakukan dakwah terbaik mungkin adalah kerja dai’ dan murabbi. Memberi hidayah dan petunjuk adalah kerja ALLAH. Jangan kita mengambil tempat ALLAH seolah-olah hidayah itu datang daripada kita. Rasulullah SAW mendekati bapa saudaranya Abu
Talib dan melakukan dakwah terbaik, memberi hidayah akhirnya adalah kerja ALLAH.