Monday, April 28, 2014

Thursday, April 24, 2014

Belajar dengan keldaiku, serban beliau besar

APR 24, 2014  USTAZ HASRIZAL ABDUL JAMIL


Sejauh Manakah Kita Setia Dengan Kebenaran?

Hari itu, semua yang hadir bersedih.
Ahli keluarga mereka telah meninggal dunia dan menunggu untuk dikebumikan.
Tiba-tiba, penutup keranda ditolak dan ‘si mati’ bangun keluar daripadanya.
“Apa yang kamu cuba lakukan ini? Aku belum mati!” kata ‘si mati’ berkenaan.

Semua yang berada di dalam majlis itu tergamam.
Sepi.
Terkejut.

Tidak lama, salah seorang yang hadir itu berkata, “Sahabat, sesungguhnya Imam dan Doktor sudah pun mengesahkan bahawa engkau mati. Maka engkau adalah si mati yang telah mati!”
Lalu ‘si mati’ itu dikebumikan.
Hidup-hidup!

KECELARUAN KOGNITIF DALAM BERAGAMA

Hari ini, keberagamaan kita sangat rencam.

Andai kerencaman itu dipandang dalam rangka realiti yang lebih besar, kita melihat arus bertentangan yang lebih membimbangkan. Mereka yang mencabar agama, mencabar agama dengan soalan-soalan mereka yang sangat materialistik. Manakala yang membela agama, membela agama dengan jawapan-jawapan mereka yang sangat mistik.

Golongan pertama, mahu mengulang kembali soalan Bani Israel kepada Musa ‘alayhi al-Salam bahawa “...kami tidak akan sekali-kali beriman kepada (seruan)mu sehinggalah kami dapat melihat Allah secara nyata...,” (petikan surah al-Baqarah ayat 55).

Golongan kedua pula, mahu agama Islam ini diimejkan sebagai agama yang berkata, “lembu berkahwin dengan durian, memberanakkan sebuah kereta, dan itu tidak mustahil jika Allah berkehendak. Ia tidak mustahil bagi Allah, Tuhan kami yang Maha Berkuasa!”

Dalam kecelaruan beragama semasa, saya berpendapat ia bukan lagi isu ‘agama’. Ia adalah isu kognitif, psikologi, psikiatri. Soal tingkah laku akal yang semakin OKU. Akal yang diberi oleh Allah untuk meluhurkan interaksi manusia dengan wahyu, sama ada telah digunakan secara berlebihan, atau langsung tidak digunakan kerana ‘lebih mementingkan agama’, atau digunakan secara salah.

Apabila masyarakat beragama dengan trend yang salah, mereka diserang pula dengan idea-idea yang mencarik-carik akal untuk menjustifikasikannya, lalu masyarakat Malaysia dilanda dengan apa yang disebut sebagai Religious Cognitive Dissonance.

Ia bukan sepatutnya bencana ke atas umat Islam.

Agama kita tidak bermusuh dengan akal. Agama kita tidak memisterikan misteri. Agama kita ada penjelasan yang baik untuk perkara yang paling rumit, tanpa menimbulkan tekanan kepada akal yang sejahtera untuk menggarapnya sebagai sebuah kepercayaan.

Namun itulah yang berlaku.

Kebelakangan ini.

Teringat saya kepada penjelasan berikut:

“Sometimes people hold a core belief that is very strong. When they are presented with evidence that works against that belief, the new evidence cannot be accepted. It would create a feeling that is extremely uncomfortable, called cognitive dissonance. And because it is so important to protect the core belief, they will rationalise, ignore and even deny anything that doesn’t fit in with the core belief.”  ― Frantz Fanon, Black Skin, White Masks

Terjemahan:

“Adakalanya masyarakat berpegang dengan sebuah kepercayaan yang bersifat usul, dengan begitu kuat. Apabila mereka dikemukakan dengan bukti yang menunjukkan hakikat yang bertentangan dengan kepercayaan itu, bukti baru itu tidak dapat diterima. Ia mencetuskan satu perasaan yang amat-amat tidak selesa, dan ia dikenali sebagai percanggahan kognitif (cognitive dissonance). Dan disebabkan oleh peri pentingnya kepercayaan yang usul itu dilindungi, mereka cuba merasionalkan, mengabaikan malah menafikan apa sahaja yang tidak sesuai dengan kepercayaan yang usul itu”

Antara kualiti perkataan dan kualiti penyebutnya, mana satu usul, mana satu yang hendak dan boleh dikompromi?

APABILA AGAMAWAN BERLAGA PEDANG

“Bantulah kami yang mahu belajar agama ini”
“Kasihani kami”
“Jangan kelirukan kami”
“Mengapa biarkan kami begini”

Ini menjadi keluhan demi keluhan yang mewarnai status-status Facebook apabila status di atas bertemakan agamawan berlaga pedang.

Untuk menghilangkan kekeliruan itu, kita tanya kembali diri masing-masing, apa yang kelirunya?

Allah ‘Azza wa Jalla telah  menjadikan kita telinga untuk mendengar.
Dengar pula dengar betul-betul.
Bukan dengar 2 saat, merengek 2 jam.
Dua telinga, mulut pula satu.

Ada hikmahnya!

“Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.” [Al-Zumar 39: 18]

Mereka yang beroleh petunjuk bukan mereka yang hanya dengar satu ikut satu. Ia tidak realistik. Kita hidup dalam alam yang tidak begitu. Golongan yang beroleh petunjuk adalah golongan yang mendepani pendapat yang seribu, yang rencam, tetapi mendepaninya dengan proses mendengar yang disebut sebagai YASTAMI’ŪN.

Yastami’un itu di dalam bahasa Arab, termaktub di atas wazan yafta’il atau yafta’ilun yang memberi maksud, melakukannya secara bersungguh-sungguh.
Ertinya, mendengar dengan baik, beri masa yang cukup untuk mendengar dan tidak secara kompulsif baru dengar sedikit sudah mahu berkata-kata.

Dengar pula, dengar apa yang diperkata.

Al-Qawl.

Bukan dengar baju, dengar topi, dengar muka, atau dengar bahasa.
Sebaliknya dengar makna.
Makna di dalam kata.
Dengar hujah!
Sudah dengar, ikutlah yang terbaik.
Jangan terpesona dengan apa sahaja faktor, selain faktor apa yang dikata.

NASRETTIN HOCA DAN NILAI SERBAN

Suatu hari Nasrettin Hoca tiba di sebuah kampung. Seperti biasa, sambil menunggang keldainya.

Penduduk kampung berpusu-pusu hadir menyambut ketibaannya, dengan membawa kitab.

“Kamu mahu apa?” tanya Nasrettin Hoca.

“Kami mahu mengaji dengan tuan!” kata penduduk kampung.
“Kamu tidak kenal aku. Bagaimana kamu tahu aku banyak ilmu atau tidak?” soal Nasrettin Hoca lagi.
“Serban tuan besar!” jawab orang kampung.

Nasrettin Hoca mencabut serbannya dan meletakkan serban itu di atas kepala keldainya.
Beliau berkata, “Nah, belajarlah dengan keldaiku. Serban beliau besar!”

MENGAPA KELIRU DALAM MENILAI?

Serban, jubah, ijazah, universiti, kumpulan, aliran, bahasa, rupa, hatta ‘agama’ sekali pun, tiada yang berkonflik dengan KEBENARAN.

Jika manusia paling kufur kepada Allah, menyebut sesuatu yang BENAR, terimalah ia sebagai BENAR. Kebenaran yang diungkap oleh manusia paling kufur kepada Allah. Kufur kepada Allah satu bab, kebenaran tetap kebenaran.

Jika manusia paling banyak sujud kepada Allah dan menangis kerana-Nya, menyebut sesuatu yang DUSTA, terimalah ia sebagai DUSTA. Pendustaan yang diungkap oleh manusia yang paling banyak sujud kepada Allah dan menangis kerana-Nya. Sujud kepada Allah satu bab, pendustaan tetap pendustaan.

Persoalannya ialah, sejauh manakah kita SETIA DENGAN KEBENARAN?

http://saifulislam.com/

Friday, April 11, 2014

Pengutip Cukai Berada Di Dalam Neraka


Harakah APR 10, 2014
 USTAZ HAMIZUL ABDUL HAMID

MUQADDIMAH

“Isk! Haram! Dalam Islam, mana ada cukai…”

Demikianlah mungkin gambaran kasar mengenai kefahaman umum umat Islam terhadap cukai. Benarkah demikian? Apakah status sebenar cukai di sisi Islam? Apakah dalam Islam memang tiada system cukai yang diaplikasikan? Apakah pada zaman dahulu, khususnya zaman Rasulullah SAW dan khulafak ar-Rasyidin memang tiada perlaksanaan sebarang system percukaian ini?

Hakikatnya, isu ini sering menjadi bahan perdebatan yang agak panas dalam kalangan masyarakat awam, justeru umumnya umat Islam memang menyatakan bahawa Islam memang tidak meraikan cukai untuk dikenakan ke atas orang-orang Islam. Pandangan ini bukanlah sebuah omongan kosong, justeru memang disebutkan di dalam hadis Nabi SAW, misalnya sebuah hadis daripada Imam Ahmad di dalam musnadnya yang menyatakan: “Pengutip cukai berada di dalam neraka.”

Mafhum daripada hadis ini, menurut fuqaha jelas mengindikasi dan menunjukkan bahawa cukai itu adalah HARAM hukumnya di sisi Islam, kerana hanya dengan melakukan perkara yang haram sahajalah maka seseorang itu bisa terjebak ke dalam neraka. Maka, pastilah mengutip dan membayar cukai adalah haram di sisi Islam.

DEFINISI CUKAI

Cukai disebut dalam bahasa arab antaranya dharibah, yang pada asasnya bermakna ‘beban’ atau ‘yang ditimpakan.’ Allah SWT menyatakan kalimah ini pada ayat 61 surah al-Baqarah yang maksudnya: “Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah.”

Dalam definisi yang dikehendaki oleh pemakaian sehari-hari: “Bayaran (bea, sumbangan) yang dikenakan oleh kerajaan terhadap orang perseorangan (perbadanan, syarikat, barang-barang, dll) utk perbelanjaan negara dll.” (Kamus Dewan Edisi 4)

Mudahnya cukai bermaksud: ‘Sejumlah bayaran yang perlu diserahkan kepada pihak kerajaan atas perintah kerajaan untuk kegunaan negara.’

BAGAIMANA APLIKASI CUKAI ZAMAN RASULULLAH SAW DAN SAHABAT?

Hakikatnya, Nabi Muhammad SAW telah pun menerima sistem cukai ini, iaitu jizyah (cukai individu) dan kharaj (cukai tanah) yang berbentuk cukai yang dikenakan kepada golongan bukan Islam yang mendapat perlindungan di dalam negara Islam (disebut kafir zimmi). Namun begitu, zaman dahulu segala cukai ini tidak dikenakan kepada orang-orang Islam, sebaliknya ia hanya dikenakan kepada golongan non-muslim, sama ada mereka termasuk golongan kafir zimmi mahu pun mereka yang tunduk kepada kekuasaan Islam.

Kenapa demikian? Hal ini kerana, bagi orang Islam sudah ada sistem zakat yang bersifat perintah tetap. Zakat dikenakan kepada orang-orang kaya berdasarkan harta-harta tertentu dengan jumlah atau kadar yang tertentu. Manakala bagi non muslim, mereka tidak diwajibkan membayar zakat; namun mereka hakikatnya mendapat pelbagai kebaikan kerana berada di dalam naungan Islam. Maka, mereka diminta menunaikan cukai.

Cukai-cukai ini sebenarnya, menjadi sebahagian daripada mekanisme menambah pendapatan negara demi kebaikan seluruh rakyat. Zaman dahulu, semua sumber harta yang diperoleh oleh kerajaan akan dimasukkan ke dalam Baitul Mal dan kemudiannya akan diagih-agihkan kembali untuk kegunaan negara. Cukai ini hakikatnya seiring dengan zakat yang dikenakan ke atas umat Islam. Kadarnya juga tidak banyak bezanya dengan zakat (namun ia tidak tetap), yakni tidak sampai membebankan.

Di dalam kitab Al-Amwal oleh Abu Ubaid, beliau meriwayatkan daripada az-Zuhri yang mengatakan: “Rasulullah SAW menerima jizyah daripada orang Majusi Bahrain.” Az-Zuhri menambah lagi: “Siapa sahaja di antara mereka yang memeluk Islam, maka keislamannya diterima, dan keselamatan diri dan hartanya akan dilindungi melainkan tanah. Kerana tanah tersebut adalah tanah fai’ (rampasan) bagi kaum muslimin, kerana orang itu tidak menyerah diri sejak awal, sehinggalah dia terlindungi.” Maksudnya sehingga mereka di lindungi oleh kaum Muslimin.

BEBERAPA JENIS CUKAI DALAM KERAJAAN ISLAM

1. JIZYAH
- Bermakna cukai ke atas individu (atau cukai per orang) bagi setiap individu non-muslim yang mendiami negara Islam. Mulai diperkenalkan semasa nabi SAW masih ada. Penduduk Tabuh pernah membayar jizyah satu dinar seorang pada setiap tahun kepada Rasulullah SAW.

2. KHARAJ
- Bermakna cukai ke atas tanah yang dimiliki oleh Negara Islam dan diusahakan oleh non-muslim. Ia juga diperkenalkan semasa Nabi SAW masih ada. Kadarnya sekitar 5 peratus dan boleh berubah mengikut pertimbangan pemerintah.

3. USYUR
- Bermaka cukai ke atas kapal-kapal yang dimiliki oleh pedagang non-muslim yang datang berlabuh dan menjalankan perdagangan di Negara Islam. Ia mulai diperkenalkan pada zaman pemerintah Umar al-Khattab RA. Kadarnya pula 10 peratus bagi negara musuh yang berdagang dan 5 peratus bagi kafir zimmi.

4. DHARIBAH
- Bermakna sejenis cukai yang dikenakan oleh pemerintah Islam kepada umat Islam yang kaya saat negara berada dalam keadaan gawat (darurat) dan pada ketika itu sumber di Baitul Mal juga sudah kering, hukumnya wajib bagi rakyat menunaikannya. Kadarnya pula ditetapkan oleh pihak kerajaan sesuai dengan keperluan.

ADAKAH ZAKAT JUGA SATU BENTUK CUKAI?

Zakat adalah rukun Islam. Ia adalah ketetapan yang mutlak (qatie). Cukai pula perkara baharu, ia mendatang sifatnya dan hanya bersifat ijtihadi. Zaman dahulu, umat Islam hanya diwajibkan menunaikan zakat, tidak diwajibkan membayar cukai. Manakala, orang-orang bukan Islam, mereka tidak diwajibkan membayar zakat; maka mereka dikenakan cukai.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (al-Baqarah: 277)

Oleh itu, interaksi umat Islam dan zakat adalah amat intim perkaitannya. Tidak sempurna keislaman seseorang tanpa menerima adanya zakat. Menolak zakat sebagai elemen syariat, membawa kepada kekufuran di sisi Allah SWT. Orang yang kufur atau murtad, wajib kembali kepada Islam, menerima kefarduan zakat dan tunduk patuh kepada hukum-hakam yang telah ditetapkan Allah SWT.

Di samping itu, tindakan segelintir manusia yang menyamakan zakat sebagai elemen cukai dalam Islam juga merupakan suatu kesalahan. Zaman silam, seperti mana pernah dikupas di dalam kitab tafsir, ada orang Islam yang telah menyamakan zakat sebagai cukai dan akibatnya mereka dimurkai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Maka, keimanan seseorang muslim itu tertakluk kepada keimanannya kepada zakat. Zakat mesti diyakini, difahami dan diamalkan. Tanpa zakat, seluruh keimanannya akan tertolak. Inilah ketinggian zakat di sisi umat Islam.

Atas nama menjaga ketinggian itu jugalah, Abu Bakar as-Siddiq pernah bertegas dalam hal ini saat mendepani sikap segelintir umat Islam yang enggan menyerahkan zakat kepadanya setelah kewafatan Rasulullah. Kata Abu Bakar: “Akan aku perangi orang-orang yang enggan menyerahkan zakatnya kepadaku, sebagaimana dahulunya mereka menyerahkan zakat kepada Rasulullah SAW.”

APAKAH HUKUM MENGAMBIL CUKAI DARIPADA ORANG ISLAM?

Asasnya dalam Islam, mengambil harta mestilah dengan izin, sesuai dengan sabda Nabi SAW di saat haji wada’: “Wahai orang ramai, sesungguhnya orang yang beriman adalah saudara, tidak halal bagi seseorangpun (mengambil) harta saudaranya melainkan dengan kerelaannya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Maka, fuqaha menyatakan tidak boleh mengambil harta umat Islam, melainkan di sana adanya satu keperluan yang mendesak sahaja. Itulah yang disebutkan sebagai dharibah di sisi Islam.

Fuqaha seperti al-Qurtubi, al-Ghazzali dan al-Suaitibi menyatakan, hanya dharibah yang boleh dikenakan kepada orang Islam, selain daripada itu tidak dibenarkan.

BAGAIMANA ZAKAT DAN CUKAI BERINTERAKSI PADA HARI INI?

Mutakhir ini, umat Islam di Malaysia dikenakan kedua-duanya, sama ada zakat mahupun cukai pendapatan; juga zakat perniagaan mahu pun cukai perniagaan. Maka, bijaksanalah dalam meraikan kedua-dua keperluan ini. Misalnya, manfaatkanlah rebat cukai pendapatan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan, dengan menunaikan zakat (sama ada zakat harta mahu pun zakat fitrah) dan selepas itu, cukai pendapatan dapat dikurangkan.

Manakala bagi para peniaga, potongan masih diberikan walaupun hanya sebatas 2.5 peratus atas pendapatan agregat syarikat yang dizakatkan, namun ia masih memberikan sedikit kelegaan. Mudah-mudahan, pihak kerajaan boleh memikirkan untuk meninggikan lagi jumlah rebat zakat perniagaan ke atas cukai perniagaan, kerana kondisinya agak membebankan umat Islam.

Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3): Individu muslim yang menunaikan bayaran yang wajib di sisi agama termasuklah zakat fitrah berhak mendapat rebat ke atas setiap pembayaran berkenaan ke atas cukai pendapatannya, dengan mengemukakan resit yang sah yang dikeluarkan oleh badan agama yang sah di sisi undang-undang pada tahun taksiran semasa.

Pelarasan PCB – SPG (Pekeliling Kerajaan 1 Jan 2001), kaedah-kaedah Cukai Pendapatan juga wajar dijadikan kesempatan yang bermanfaat untuk umat Islam menangani isu cukai.

KESIMPULAN

Rasionalnya, zakat tidak boleh dikenakan kepada golongan bukan Islam kerana mereka tidak mempunyai cukup syarat, iaitu mesti beragama Islam untuk menunaikan zakat. Namun, mereka tetap perlu memberikan sumbangan kepada negara melalui jizyah atau kharaj kepada pemerintah negara. Menurut Mohammad Assad di dalam bukunya ‘Islam at the Crossroads’, konsep zakat dan jizyah ini adalah sama, iaitu sebagai sumbangan kepada negara.

Perkembangan Negara Islam, khususnya pasca kewafatan Rasulullah SAW dan Abu Bakar as-Siddiq, amat memberangsangkan. Umar al-Khattab RA telah berjaya mengembangkan Islam sehingga ke luar perbatasan sempadan tanah Semenanjung Arab, dan menyaksikan banyak juga negara yang menerima ketuanan dan mengiktiraf Islam; tetapi mereka masih enggan memeluk Islam.

Maka, lahirlah beberapa jenis cukai lain dan pemerintah Islam meraikan perkembangan itu. Misalnya, cukai usyur telah diperkenalkan bagi mengutip cukai ke atas kapal-kapal milik pedagang bukan Islam yang menjalankan perniagaan di Negara Islam. Begitu juga dengan cukai kharaj yang dikenakan oleh pemerintah Islam kepada orang-orang bukan Islam yang mengerjakan tanah atau pertanian, ia semakin meluas dilaksanakan.

Sekali imbas, pemerintah Islam yang bersifat adil itu mengenakan segala jenis cukai ini bukanlah dengan maksud untuk menekan golongan bukan Islam; sebaliknya untuk mengiktiraf sumbangan mereka dan pada masa yang sama, agar wujud keadilan di antara orang-orang Islam dan non-Muslim di dalam bernegara.

Cukai jizyah boleh dianggap seperti zakat pendapatan ke atas muslim, cukai usyur pula seperti zakat perniagaan dan cukai kharaj pula seakan-akan zakat pertanian. Mungkin dari aspek kadar yang dikenakan ada sedikit perbezaan; namun ia masih tidak membebankan.

Yang jelas, legasi dan kemampuan zakat ke atas umat Islam dan cukai kepada non-muslim dalam menjana negara dan umat sudah terbukti dalam lipatan sejarah Islam. Ia menjadi alat terpenting di dalam pembinaan sebuah negara, seperti mana kemakmuran Madinah dari zaman Rasulullah SAW sehinggalah ke zaman Turki Uthmaniyyah ribuan tahun lamanya. 

*Artikel ini telah dibentangkan di Persidangan Zakat dan Cukai Kebangsaan, anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), pada 31 Disember 2013, Kuala Lumpur.

http://www.hamizul.com/

JANGAN LELONG MURAH NAMA NABI SAW

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Saya tertarik dengan twitter Imam dan khatib Masjidil Haram al-Syeikh Su’uud al-Syuraim yang menyebut: (terjemahan) “dakwaan bermimpi Nabi s.a.w menyuruh membunuh banyak nyawa adalah satu kejahatan yang nyata”.
Beliau mungkin menjawab satu ucapan seorang tokoh agama di Mesir dalam videonya yang mendakwa bahawa beliau bermimpi berjumpa dan Nabi s.a.w menyuruh membunuh penunjuk perasaan yang membantah kerajaan tentera.
Salahguna
Demikian nama Nabi s.a.w sering digunakan untuk pelbagai kepentingan. Oleh kerana nama baginda begitu laku maka ramai yang cuba mengambil kesempatan untuk pelbagai kepentingan diri dan puak. Mendakwa mimpi berjumpa Nabi, di samping untuk kepentingan tertentu, ia juga bertujuan untuk menunjukkan diri kepada orang ramai bahawa diri yang bermimpi itu sangat istimewa. Inilah yang cuba ditonjolkan oleh sesetengah guru agama dalam membina pengaruhnya dalam masyarakat. Hal ini berbeza dengan golongan salaf terdahulu yang sentiasa merendah diri dalam memperkatakan tentang kedudukan mereka di sisi Allah S.W.T
Imam Ahlus Sunnah wal Jama’ah al-Imam Ahmad bin Hanbal yang merupakan sarjana hadis yang agung ketika seseorang berkata kepadanya:
“Ibu saya telah bermimpi bagi engkau syurga”. Jawab al-Imam Ahmad: “Wahai saudara! Dahulu Sahl bin Salamah telah diberitahu perkara yang sebegini kemudian dia melakukan menumpahkan darah manusia”. Kata Ahmad bin Hanbal lagi: “Mimpi itu mengembirakan orang mukmin, bukan memperdayakannya”. (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 11/227. Beirut: Muassasah ar-Risalah).
Dusta
Namun apabila agama menjadi bahan untuk kepentingan diri, maka mimpi dijadikan hujah, sedangkan nas yang terang diketepikan. Betapa banyak nas yang Nabi s.a.w melarang kezaliman, kesombongan, mengambil kesempatan atas harta orang ramai dengan menggunakan nama agama dan lain-lain penyalahgunaan dan penindasan. Masakan Nabi s.a.w muncul dalam mimpi seseorang yang akhirnya mencetus kesemua hal itu. Masakan Allah mengiktiraf insan tertentu dengan diberikan kurniaan bermimpi Nabi s.a.w sedangkan dia akhirnya membuat perkara yang dilarang oleh Nabi s.a.w.
Sesiapa yang mendakwa bermimpi Nabi s.a.w dengan satu mesej yang menyanggahi ajaran Nabi s.a.w, dia sebenarnya berbohong. Jika pun dia bermimpi, itu sebenarnya syaitan yang menyerupai orang lain, lalu kerana dia tidak kenal Nabi s.a.w maka dia menyangka itu baginda. Syaitan tidak boleh menyerupai Nabi s.a.w tetapi boleh menyerupai orang lain dan yang tidak tahu menyangka itu Nabi s.a.w. Syaitan boleh menipu sesiapa sahaja sekalipun yang berserban besar.
Jumpa Nabi
Hari ini ramai yang membuat pelbagai majlis atas nama Nabi Muhammad s.a.w. Pada asasnya mengingati Nabi s.a.w dalam usaha mengamalkan ajaran baginda memanglah sesuatu yang baik. Bernasyid dan berqasidah untuk hiburan hati juga tidak salah. Memuja dan memuji Nabi s.a.w dalam puisi dan syair juga baik. Namun, jika Nabi s.a.w itu sekadar satu upacara dalam menaikkan golongan tertentu ataupun mengaut keuntungan tertentu maka itu tidak akan membawa masyarakat kepada Nabi s.a.w.
Ada pula yang mendakwa kononnya Nabi s.a.w itu hadir ke dalam majlis mereka secara jaga atau yaqazah. Ada yang melambai kononnya Nabi s.a.w itu hadir. Sekadar lambai suka-suka maka itu sekadar hiburan. Namun apabila melibatkan dakwaan tertentu berkaitan agama maka itu perlukan dalil syarak. Takrif sahabat Nabi s.a.w di sisi Ahli Hadis ialah ‘sesiapa yang berjumpa dengan Nabi s.a.w, beriman dengan baginda dan mati dalam iman’. Soalannya, apakah mereka yang berjumpa Nabi s.a.w dalam majlis-majlis di Malaysia ini telah menjadi sahabat Nabi s.a.w sehingga mereka ini nanti kita sebut selepas nama mereka radiyalLahu ‘anhu. Dakwaan yang seperti ini mempunyai kesan yang bukan mudah. Jika kita masih ingat dahulu Ashaari Muhammad pengasas Pertubuhan al-Arqam yang membawa ajaran sesat yang berasaskan mimpi dan pertemuannya secara yaqazah (jaga) dengan Nabi s.a.w. Akhirnya pelbagai dakwaan pelik dikeluarkannya dengan bersandar kepada dialognya dengan Nabi s.a.w. yang dia dakwa itu.
Para sahabat Nabi s.a.w telah menghadapi pelbagai krisis dan masalah. Mereka tidak pernah menggunakan mimpi berjumpa Nabi s.a.w dalam pertikaian antara mereka. Tidak pernah ‘Ali ataupun ‘Aishah ataupun al-Zubair ataupun Talhah dalam krisis antara mereka yang telah membawa kepada penumpahan darah itu mendakwa bermimpi berjumpa Nabi s.a.w dalam menentu kebenaran. Padahal mereka lebih perlukan dan lebih layak untuk bermimpi berjumpa baginda. Maka, kita kena ingat apa yang Nabi s.a.w ingatkan kita:
“Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar). (Riwayat Muslim).
Cinta
Ramai orang suka menyandarkan diri mereka kepada Nabi s.a.w dengan dakwaan mereka keluarga Nabi s.a.w ataupun pencinta keluarga Nabi s.a.w. Paling hebat dalam hal ini golongan Syiah dan mereka yang mendekati jalan yang diambil oleh Syiah.
Kita tidak boleh nafikan bahawa kita semua dituntut menyayangi keluarga Nabi s.a.w (Ahlul Bait). Saban hari kita bersalawat buat mereka. Namun, bukan semua Ahlul Bait itu mendapat kemuliaan Allah. Hanya Ahlul Bait yang mengikuti jejak langkah Nabi s.a.w sahaja. Iman bukan warisan keturunan. Anak Nabi Nuh a.s. menjadi penderhaka kepada beliau. Maka tidak mustahil ada keturunan Nabi Muhammad s.a.w juga yang tidak mengikuti jalan baginda. Perkataan ‘habib’ dan ‘sayyid’ bukan jaminan seseorang itu berada atas jalan Nabi s.a.w. Nabi s.a.w pernah menegaskan:
“Sesungguhnya binasa mereka yang sebelum kamu kerana mereka itu apabila seorang yang dianggap ‘mulia’ dalam kalangan mereka mencuri dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah mencuri, mereka laksanakan hukuman ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Nafi
Dalam keghairahan mendakwa sebagai pengikut Nabi s.a.w ataupun pencinta Nabi s.a.w, kita janganlah lupa bahawa dalam hadis banyak golongan yang Nabi s.a.w tidak mengaku mereka sebagai pengikut baginda. Mendakwa itu mudah, tetapi untuk mendapat pengiktirafan dari baginda s.a.w memerlukan usaha kita semua agar berada atas panduan baginda.
Antara golongan yang Nabi s.a.w tidak mengaku sebagai pengikut baginda ialah golongan menipu umat Islam terutama dari segi harta benda. Suatu ketika, Rasulullah s.a.w melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan baginda menjadi basah. Baginda pun bersabda:
“Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?. Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah!”. Baginda bersabda: “Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak?! Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku” (Riwayat Muslim).
Pencinta dan keluarga Nabi s.a.w tidak boleh bersama dengan penipuan. Nabi s.a.w tidak mengaku sebagai pengikut baginda. Bahkan pencinta wajar tegas dalam memperkatakan kebenaran. Sesiapa yang menipu hakikat dan menyelewengkan kebenaran maka dia tidak diiktiraf sebagai pengikut Nabi s.a.w. Sabda Nabi:
“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolongan kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)” (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmii. Berstatus sahih.

Moga kita semua sayangkan Nabi s.a.w. Berusaha mengikuti jalan Nabi s.a.w. Menggalakkan orang ramai ke arah cinta Nabi s.a.w dengan pelbagai pendekatan. Namun, jangan murah-murah lelong nama Nabi s.a.w untuk kepentingan yang tidak diiktiraf oleh Nabi s.a.w!!!

Monday, April 7, 2014

Apabila Bacaan Al Quran Dikomersialkan

Utusan Malaysia 06/04/2014

DEWASA ini kelihatan tumbuh bagai cendawan produk-produk perniagaan yang kononya dibacakan ayat al-Quran sama ada sepenuhnya 30 juzuk atau sebahagiannya. Produk ini dijual dengan harga yang tinggi dan lebih mahal daripada biasa. Adakah amalan ini diterima Islam ?

Secara ringkasnya, saya bersetuju dengan pandangan rakan saya, Ustaz Ikmal Zaidi (pengamal perubatan Darul Syifa dan pensyarah KUIS) dalam mengupas topik jualan produk dibaca ayat al-Quran bagi tujuan komersial.

Berikut adalah pandangannya:

1. Ia bertentangan dengan konsep perubatan Islam sebenar sebab ia memerlukan pertemuan antara pesakit dan perawat. Doa yang dibaca didengar dan di amin bersama pesakit, diberi nasihat dan amalan oleh perawat bukannya setakat beli air yang rukyah yang telah sedia ada di kedai.
2. Pesakit akan lebih bergantung kepada bahan-bahan, ubat-ubat atau air yang dirukyah tanpa berusaha memperbaiki akidahnya bahawa Allah yang menyembuhkan bukan bahan dan rukyah itu.

3. Pengkomersialan yang melampau dan ada unsur mempergunakan al-Quran sebagai pelaris barangan seolah-olah menjamin kesembuhan dan keselamatan dalam perjalanan dan sebagainya.

4. Terdedah kepada penipuan contohnya bacaan 30 juzuk al-Quran sepatutnya dibaca langsung ( tetapi menerusi pemain DVD dan sebagainya).

Kesembuhan yang dicari tidak menghalalkan ikhtiar yang dibuat sesuka hati tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada umat Islam yang kurang keimanannya. Cara terbaik adalah dengan mendidik mereka mengenal dan yakin Allah menurunkan penyakit dan mengajar mereka berdoa dan meminta kepada Allah. Ajar juga konsep Qada dan Qadar hakikat kesembuhan dan sebagainya (Ustaz Ikmal Zaidi)

Selain daripada hujah yang dikemukakan di atas, saya ingin menambah lagi hujah seperti berikut:

1. Memang benar menjual minuman dengan jampi hukum asalnya adalah harus dengan syarat pada harga biasa produk yang sama. Contohnya air mineral biasa RM1.50, air mineral jampi juga RM 1.50. Ini kerana dalam hadis yang menyebut sahabat mendapat upah atas jampian apabila terbukti berkesan. Justeru selagi belum berkesan, menaikkan harga makanan tersebut adalah dikira syubhah yang membawa penipuan.

2. Ubat yang diberikan oleh doktor harganya pada fizikal ubat dengan bahan kimia adunan khas itu. Semuanya bersifat adunan fizikal istimewa dan diuji secara sunnatullah (hukum alam). Air mineral atau bahan berjampi juga dibeli fizikal tapi fizikal bercampur 'jampi' tidak dapat diukur dan tidak juga dapat dinilai dengan harga mata wang. Justeru harga barangan dijampi tidak boleh dibezakan dengan harga air yang tidak dijampi.

3. Tindakan ini telah membuka pintu fitnah terhadap al-Quran, khususnya apabila al-Quran bukan dibacakan sahaja pada air minuman, malah minyak wangi, ayam ternakan, makanan suplemen dan mungkin pada minyak petrol, daging ayam, lembu, ikan, sudu, garpu, pinggan, baju, komputer jampi dan entah apa lagi. Dengan alasan ada nilai tambah lalu dinaikkan harganya. Semua ini akan menimbulkan fitnah baharu kepada Islam dan al-Quran sedangkan memperdagangkan bacaan al-Quran dalam bentuk sedemikian bukan fungsi sebenar al-Quran.

4. Ulama menegah bacaan al-Quran dibuat di pasar-pasar jualan, kerana ia menghilangkan fungsi sebenar al-Quran. Ini mendedahkan kepada penghinaan oleh pesaing dan juga mendedahkan al-Quran dikritik oleh pengguna akibat tidak sembuh atau tidak capai manfaat hebat yang dijanjikan penjual.

5. Bacaan al-Quran untuk pengubatan juga memerlukan bacaan terus daripada pembaca berbanding dunia bisnes yang menjadikan kaset sebagai pembacanya.

6. Kesembuhan bacaan al-Quran mesti terus daripada mulut perawat secara langsung agar pemulihan daripada Allah datang daripada keberkatan bacaan langsung dan kesolehan perawat serta doa khusus perawat. Jika sekadar daripada kaset, saya kira suatu hari nanti tauke bukan Islam akan membuat produk sebegini dengan jumlah lebih besar.

Penulis ialah panel penasihat syariah AS-SIDQ. Untuk maklumat lanjut sila layari www.assidq.com.my

Thursday, April 3, 2014

PENDIDIKAN NEGARA : APA YANG TAK KENA ?

DR NAZIL NUHAIRI B ISMAIL
1 April 2014
TERSENTAP seketika membaca komen daripada pakar ekonomi Bank Dunia Dr Frederico Gil Sander di dalam satu majlis anjuran Pemandu di Damansara yang memberitahu mutu pendidikan di Malaysia jatuh merudum berdasarkan Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (Pisa) lebih membimbangkan daripada kejatuhan kewangan.

Tambah beliau, mutu pendidikan di Malaysia lebih teruk daripada Vietnam dengan menduduki tangga ke 52 daripada 65 negara yang terlibat.

Apa yang berlaku kepada pendidikan kita ni? Sehingga dikritik tajam dan pedas oleh masyarakat luar? Adakah ini satu persepsi buruk yang direka ataupun fakta yang nyata? Pelbagai persoalan menerjah kotak fikiran yang menunggu jawapan segera.

Memetik kata-kata Nelson Mandela “Education is the most powerful weapon which you can use to change the world”. Tamadun manusia masa hadapan ditentukan oleh pendidikan harini.

Apa yang kita didik generasi harini akan menentukan generasi masa depan. Sebuah negara perlukan generasi mampan untuk meneruskan kecemerlangan pencapaian kemajuan. Masadepan negara terletak di tangan generasi kini, dan acuan bentuk generasi kini ditentukan oleh warna pendidikan.

Dasar pendidikan di Malaysia bermula selepas tarik kemerdekaan. Bermula dengan laporan Barnes yang mensasarkan pendidikan Malaysia menjadi alat perpaduan kaum dengan mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Selepas itu dasar pendidikan terus mengalami evolusi dan transformasi sejajar dengan kehendak semasa. Pada tahun 1983, antara perubahan penting pendidikan Negara dengan perlaksanaan KBSR bermatlamat perpaduan dan peningkatan penguasaan 3 M (menulis, membaca dan mengira) di kalangan pelajar.

Diikuti dengan dasar KBSM yang menggabungkan antara ilmu dan syahsiah diri pelajar. Di samping pendidikan kemahiran terus diperkasakan. Ini semua untuk memenuhi keperluan semasa perancangan kemajuan negara.

Namun beberapa permasalahan timbul melanda pendidikan negara. Pengenalan Dasar Penswastaan yang tidak terkawal mengakibatkan tumbuhnya kolej dan sekolah pendidikan yang lebih bermatlamatkan keuntungan daripada pembinaan insan.

Sekolah dan universiti tumbuh begitu subur bagaikan cendawan selepas hujan. Sehinggakan graduan lepasan institusi melebihi keperluan dan membuka masalah penganguran di kalangan siswazah.

Seolah-olah pembinaan sekolah ini dibuat tanpa kajian kehendak pasaran, dibina untuk mengaut kekayaan hasil dari yuran pengajian pelajar.Bertambah derita pelajar apabila terpaksa "mengongkong biawak" hutang selepas graduasi. Sudahlah tiada pekerjaan yang diharapkan, dikejar pula oleh pengutip hutang tanpa kasihan.

Betapa ramai graduan pelbagai bidang khususnya para guru menjadi siswazah penganggur. Inilah akibat daripada ketamakan pihak pembuat dasar yang meletakkan keuntungan mengatasi kebajikan rakyat.

Pengenalan pembelajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris merupakan satu lagi malapetaka kepada sistem pendidikan negara. Bahasa Malaysia yang diangkat menjadi instrumen penyatu rakyat negara Malaysia ini seolah diketepikan.

Tanpa sebab yang konkrit, dasar ini ingin diteruskan walaupun mendapat tentangan daripada cendekiawan bahasa, guru dan NGO yang melihat nasib bangsa Malaysia menjadi taruhan disebabkan oleh keras kepala pemerintah dan kedegilan mereka.

Ini telah mengundang demostrasi jalanan yang bersaiz mega menempelak perlaksaann dasar ini. Jutaan wang pembayar cukai dibazirkan untuk persediaan dasar pengajaran bahasa Inggeris ini. Apa hasilnya sekarang? Generasi hari ini terpaksa mencuci kotoran yang ditinggalkan oleh orang terdahulu.

Kini heboh pula program baru Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Sepintas lalu nampak matlamatnya murni, meningkatkan sistem pendidikan Malaysia setaraf dunia.

Penilaian pencapaian murid berdasarkan pemerhatian guru kepada murid tanpa lagi merujuk kepada markah peperiksaan. Lebih melihat bakat dan penguasaan pelajaran pelajar.

Di peringkat perlaksanaan PBS mendapat tentangan yang hebat daripada warga pendidik. Guru dikatakan dibebani oleh kerja-kerja "kepejabatan" sehingga mengabai kerja hakiki guru iaitu mendidik generasi muda.

Sehingga kini, perdebatan perlaksanaan PBS ini panas diforumkan. Sang menteri mengatakan guru tidak terbeban, telah dibuat penambahbaikan sehingga 80 peratus kerja telah dikurangkan. Di kalangan guru, menyuarakan hanya guru sahaja yang memahami beban PBS ini.

Melihat konflik yang melanda pendidikan negara, kita amat khuatir dan bimbang tentang generasi masa hadapan negara.

Masa terus berlalu tanpa menunggu kita. Pencapaian pendidikan yang terus merosot amat merisaukan. Generasi bagaimanakah yang akan menggantikan kepimpinan negara di masa hadapan?

Kita amat mengharapkan golongan pemerintah dan cendiakawan pendidik dapat berbincang dan duduk bersama untuk merangka pelan pendidikan terbaik negara.

Bukannya nak menunjuk kuasa dan ego keras kepala.

Demi kebaikan negara dan anak cucu kita. Sudah- sudahlah bercakaran, ini bukan masa untuk berkata nista. Ini masa untuk bermuhasabah dan mengatur kerja demi negara tercinta.

DR NAZIL NUHAIRI B ISMAIL
Pengerusi Persatuan Profesional Islam (PROMIS)

MARI BERHANANA DAN MARI KITA BERSAMA BERJUANG - Dr. Azman Ibrahim

APR 03, 2014
Semasa program bersama PAS Kawasan Sepang sabtu lepas, antara topik diskusi yang menarik untuk dikongsi bersama adalah fenomena ‘Yaa Hanaanaa’…


Isunya, ada segelintir aktivis perjuangan Islam yang tak lagi menunjukkan komitmen dengan kerja-kerja dakwah, tarbiyah dan siasah kerana leka dan lebih berminat dengan ‘Yaa Hanaanaa…’ 

Kononnya kata mereka, kami rasa lebih tenang, relaks, tak ada orang marah dan tak terkejar-kejar masa ke sana kemari.

Saya akui, ya! Tepat sekali! Bila kita sekadar ‘Ya Hanaanaa’ tak ada siapa pun yang akan marah dan bencikan kita. Kita pun boleh relaks. Duit pun tak habis, ada banyak masa lapang, tak perlu ke sana ke mari dan macam-macam lagi.

‘Ya Hanaanaa’ tak salah. Silakan saja siapa yang berminat. Cuma satu soalan mudah saya nak tanya, apakah Islam boleh tegak dengan hanya kita berhanaanaaa?

Sebab apa tak ada siapa yang marahkan kita? Sebabnya sekadar ‘berhanaanaa’, ia tak menggugat sesiapa. Tak ada kezaliman yang ditegur. Tak ada mungkar yang dicegah, amat malang sekali kalau ke arah makruf pun tak diajak. 

Imam Hassan Al Banna ada menyebut, “Apabila pintu-pintu penjara mula dibuka, tali-tali gantung mula dipersiapkan untuk kita, itulah tandanya perjuangan kita mula menampakkan kejayaan.”

Sekiranya Islam yang kita bawa tak dimusuhi oleh kuasa kebatilan bermakna ada sesuatu yang tak kena dengan apa yang sedang kita perjuangkan. Sunnah Allah menentukan kebenaran dan kebatilan akan sentiasa bertembung. Apabila bertembung tentunya kita dibenci, dimusuhi. Apabila bertembung tentunya kita perlu berkorban demi apa yang kita yakini. Di sinilah wang ringgit, masa, tenaga, buah fikiran malah mungkin darah dan nyawa akan menjadi pertaruhan.

Pada zaman Salafus Soleh, para sufi berada di saf hadapan perjuangan Islam. Bukannya mereka sekadar leka dengan zikir dan tasbih. Di samping air mata mereka yang mengalir saat berzikir kepada Allah, peluh dan darah mereka juga mengalir di medan perjuangan. 

Antara ulama sufi yang terkenal adalah Imam Hassan al-Basri. Saya sempat menziarahi makamnya di Basrah, Iraq. Pada hari kematiannya, Bandar Basrah seakan-akan sunyi sepi kerana hampir keseluruhan penduduknya menziarahi jenazah Hassan al-Basri. Kalau Hassan al-Basri sekadar leka dengan zikir dan Yaa Hanaanaaa, nescaya dia tak akan dikasihi oleh manusia sebegitu rupa. Kenapa dia disayangi dan dikagumi? Kerana beliau adalah seorang ulama sufi, pejuang yang berjasa besar kepada Islam dan umat manusia.

Kepada peminat Yaa Hanaanaa, ajaklah saya sama untuk berhanaanaa kerana saya juga turut berminat. Dalam masa yang sama, saya juga nak mengajak saudara semua untuk kita bersama-sama berjuang demi ketinggian Islam!

5 PERKARA SERING DILUPAKAN - Raja Nurul Ain Raja Yacob

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Rebutlah LIMA PERKARA sebelum datangnya LIMA PERKARA. Pertama: masa sihat sebelum sakit. Kedua: masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin).: masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi). Hadis ini adalah peringatan baginda Rasulullah SAW kepada manusia berhubung putaran hidup yang penuh cabaran dan berisiko tinggi. Kitaran masa yang tidak akan kembali menjengah sesudah singgah dalam kehidupan kita mengikut detik-detik sejarah yang kita lakari setelah dikurniakan 24 jam untuk dikendalikan dengan bijak dan berkesan. 



Allah SWT memberi peringatan bagi menegaskan kepentingan masa yang menjadi hak untuk ditunaikan agar manusia tidak leka, lalai dan mengabaikan diri sendiri. 

Bagaimana kita menerobos dengan kebijaksanaan akal untuk mengenderai LIMA PERKARA sebelum LIMA PERKARA di atas? Kita dijadikan Allah SWT sebagai makhluk manusia yang cemerlang, gemilang dan terbilang dari semua jenis makhluk yang lain hanya kerana manusia (Adam AS) sanggup menempatkan diri sesudah tawaran tersebut ditolak oleh makhluk-makhluk lain iaitu kedudukan yang mulia sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi. 

Berbekalkan akal dan ilmu yang dikurniakan untuk meneroka, menyelidik, menggali dan memproses segala maklumat yang dicambahkan ke dalam naluri dan pemikiran manusia sehingga kekuasaan Allah SWT terserlah bersama kecanggihan wujudnya ketamadunan bangsa, kemajuan negara dan pembangunan teknologi. Nikmat kehidupan yang dikecapi secara kronologi sejarah perkembangan manusia mengikut zaman telah memberi perubahan yang besar untuk manusia menakluki dunia dan mengangkat martabat mereka sebagai makhluk intelek. 

Dalam hal yang lain pula, dinyatakan oleh Rasulullah SAW bahawa pada suatu zaman akhir nanti, akan semakin banyak manusia yang tertambat hatinya kepada kehidupan dunia seperti dalam hadis berikut: 

“Akan datang kepada umatku suatu zaman, iaitu mereka cinta kepada LIMA PERKARA dan lupa kepada LIMA PERKARA yang lain iaitu Cinta kepada Dunia dan Lupa kepada Akhirat. Cinta kepada Harta dan Lupa kepada Perhitungan. Cinta kepada Makhluk dan Lupa kepada Khaliq. Cinta kepada Dosa dan Lupa kepada Taubat dan; Cinta kepada Mahligai dan Lupa kepada Kubur.” 

Semua ini hanya akan dapat dicapai apabila kita rebut LIMA PERKARA sebelum LIMA PERKARA. Selagi nafas berkesempatan menyedut segar udara yang dibekalkan buat seketika, peluang mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat terbentang luas. Berhati-hatilah dalam tiap langkah meniti kehidupan dunia yang sementara ini, sebelum rumah kata pergi, kubur kata mari. 

Setiap fenomena yang berlaku di alam sarwajagat merupakan peringatan bagi kita yang lalai dan lupa tentang betapa pentingnya lima perkara sebelum lima perkara. Rebutlah segala peluang yang ada sebelum kekesalan membungkam diri akibat selalu lalai dan leka dengan apa yang telah dicapai dalam memenuhi kehendak dan keperluan hidup ini. 

Insafilah segala peristiwa yang berlaku di sekeliling kita melalui fenonema yang bukan calang-calang hebatnya seperti sebaran penyakit moden yang luar biasa sifatnya, ribut taufan yang mengoncang bumi, deruan ombak yang menggunung tinggi dan pelbagai mehnah yang mengancam perpaduan manusia dari semasa ke semasa. 

Membolak balikkan dunia adalah sangat mudah bagi Allah SWT. Allah menjadi saksi atas segala sesuatu yang berlaku. Mengapa masih ada dalam kalangan kita (manusia) yang tidak mahu mengambil iktibar daripada setiap kejadian yang disampaikan oleh Allah SWT di sekeliling mereka melalui tanda-tanda kebesaran-Nya? 

“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang Luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) Bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?” (Al-Fushilat: 53) 

Oleh itu, mari kita insaf dan sedar diri bahawa hidup di dunia ini hanya sekali, tiada ulangan lagi, walau kehidupan abadi menanti untuk kehidupan selama-lamanya. Sesiapa yang hidup hatinya pasti akan mengutamakan bekalan jalan ke akhiratnya. Oleh itu, janganlah mensia-siakan waktu hidup di dunia untuk menuju ke alam abadi di akhirat sana. Rebutlah LIMA PERKARA sebelum datang LIMA PERKARA.

MH370 : Indahnya jika kapal selam kita berfungsi - Dr Asri

KUALA LUMPUR: Membaca berita negara-negara yang menghantar kapal selam mereka untuk membantu mencari MH370 terasa alangkah indahnya jika negara kita juga mempunyai kapal selam yang boleh berfungsi.

Demikian tulis bekas Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerusi facebook beliau.

“Isu kapal selam negara telah lama kita dengar. Dalam keadaan seperti ini alangkah cantiknya jika ia dapat memberi sedikit sumbangan sepadan dengan harganya yang mahal,” ujarnya. 

Menurutnya, walaupun ada yang berkata ia tidak sesuai kerana tidak seperti yang dimiliki oleh 'jiran sebelah', tapi jawapan itu tidak memberikan kebanggaan pada negara.

How I wish! because I love my country so much,” tulisnya lagi.