السلام
عليكم
الحَمْدُ
للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى
الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ
وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ
وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ
وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا
عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ
مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah
sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam
keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita
sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala
suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 49 surah
al-Maidah :
وَأَنِ
احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ
وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّـهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِن
تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّـهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ
ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ
Maksudnya :Dan hendaklah engkau
menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah
dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah
supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh
Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah
itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab
setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia
itu adalah orang-orang yang fasik.
Islam merupakan agama yang menjadi
sistem hidup yang banyak menekankan berkaitan keadilan dalam mengatur kehidupan
sesuai dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri dan juga makhluk sejagat.
Sistem Islam yang sempurna yang meliputi seluruh aspek kehidupan tanpa terhad
kepada ibadat khusus seperti solat, puasa, haji sahaja malah merangkumi aspek
sosial, politik, perundangan, ekonomi dan sebagainya.
Amat beruntung bagi umat Islam yang
mampu melaksanakan tuntutan agama dalam kehidupan seharian. Dalam masa yang
sama amat rugi manusia yang lebih rela bertuhankan hawa nafsu sehingga
mengenepikan perintah dan larangan Allah. Umat yang tunduk patuh kepada panduan
al-Quran dan sunnah pasti Berjaya dunia dan akhirat manakala manusia yang
merasa dirinya lebih hebat daripada Allah dan Rasul pasti hina dan terseksa
dunia akhirat. Hamba Allah sanggup mengorbankan keinginan nafsu demi memenuhi
tuntutan wahyu sedangkan hamba Syaitan sanggup melawan Allah demi memuaskan kehendak
hawa nafsu.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 135 surah
an-Nisa’ :
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّـهِ
وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ ۚ إِن يَكُنْ
غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّـهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا ۖ فَلَا تَتَّبِعُوا
الْهَوَىٰ أَن تَعْدِلُوا ۚ وَإِن تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّـهَ
كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا
Maksudnya :Wahai orang-orang yang
beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan,
lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun
terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang
(yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada
menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa),
kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu
turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu
memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka
sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu
lakukan
Pada hari ini kita banyak bercakap
berkaitan isu Aqidah termasuk masalah murtad dan tidak ketinggalan umat Islam
yang terlibat dengan ajaran sesat seperti rasul Melayu, Tuhan Harun dan
sebagainya. Begitu juga masalah zina di mana bulan lepas Timbalan Menteri Dalam
Negeri melaporkan di Parlimen bagaimana hampir 90 peratus kes jenayah rogol
membabitkan remaja bawah umur 16 tahun dengan majoriti membabitkan orang Melayu
untuk tahun 2012 dan 2013. Itu belum dikira dengan puluhan ribu anak luar nikah
dan sentiasa penuhnya pusat pemulihan. Begitu juga kes pembunuhan, rompakan
bersenjata, ragut dan seribu macam kes jenayah yang berlaku bagaikan tidak mahu
surut.
Umat Islam sentiasa ditekan berkaitan dosa pahala, halal haram, Syurga
Neraka dan kehidupan dunia ini tidak berakhir setakat lubang kubur malah akan
dihisab serta menerima pembalasan di akhirat nanti. Oleh itu dalam menghukumkan
pesalah mestilah mengikut hukuman yang telah ditetapkan oleh agama bukannya
mengikut hawa nafsu kerana kita bukan pencipta manusia sebaliknya kita hanya
manusia yang lemah yang diciptakan oleh Allah yang wajib menguruskan dunia
berdasarkan agama bukannya menguruskan agama mengikut hawa nafsu yang tamakkan
dunia.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 38 surah
al-Maidah :
وَالسَّارِقُ
وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ
اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya : Dan orang lelaki yang
mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan
mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga
sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.
Akhir-akhir ini hampir setiap hari
media massa
melaporkan berkenaan isu hukum Hudud samada menyokong atau menentang. Secara
asasnya, hukuman jenayah Islam terbahagi kepada 3 iaitu hudud, qisas dan
takzir. Hudud berasal daripada perkataan ‘hadd’ yang bererti larangan. Hukuman
hudud ditentukan oleh syarak yang mana ia tidak boleh ditambah mahupun dikurangkan
hukumannya.
Jenayah yang dikenakan hukuman hudud iaitu zina, tuduhan zina,
mencuri, meminum minuman memabukkan, merompak dan murtad. Bagaimanapun, perlu
difahami hukuman tidak dikenakan dengan sewenang-wenangnya kerana pemakaian
hukuman hudud berdasarkan pendakwaan dan pembuktian yang digariskan mengikut
setiap kesalahan jenayah.
Pembuktian hudud sangat ketat dengan mengambil kira
kriteria saksi, bilangan saksi dan aspek lain sehingga boleh membuktikan
sesuatu jenayah itu berlaku. Jika pembuktian berjaya dilakukan tanpa sebarang
keraguan dan setelah disabitkan kesalahan, hukuman hendaklah dilaksanakan.
Namun harus diingat, pembuktian hendaklah melampaui keraguan yang munasabah
bagi mengelakkan sebarang kesilapan dalam menjatuhkan hukuman. Jika ada keraguan,
kemungkinan hukuman yang akan dijatuhkan bukan hudud tetapi hukuman takzir.
Rasulullah SAW telah bersabda bahawa: “Hudud tertolak dengan ada syubhah atau
keraguan.”
Perkara biasa bila orang Islam
menyokong hudud, luar biasa bila orang kafir sokong hudud dan amat luar biasa
bila orang Islam sendiri tolak hudud. Alasan orang kafir banyak berkisar
tentang hudud bercanggah dengan perlembagaan Negara sedangkan orang Islam
sendiri lebih berani tolak Hudud antara alasan terbaru agak tidak adil apabila
pencuri Islam dikerat tangan sedangkan pencuri kafir hanya dipenjara sahaja.
Orang ini sebelum ini pernah
mengeluarkan kenyataan biadap jika mahu makan sup tangan datanglah ke Kelantan.
Malah alasan Perdana Menteri bahawa banyak halangan dari sudut teknikal dan
kefahaman menyebabkan hudud tidak dapat dilaksana sedangkan usaha dalam
mengurang atau menghilangkan halangan itu serta memberi kefahaman kepada rakyat
tidak dijalankan secara serius.
Apa yang lebih malang rakyat disaji dengan perkara yang
membangkitkan nafsu untuk berzina dan sebagainya. Lebih malang lagi sekiranya hudud ditakuti kerana
bimbang cukai arak dan judi yang menjadi antara pendapatan terbesar Negara akan
terjejas. Begitu juga rompakan terhadap wang rakyat akan tersekat dengan
pelaksanaan hudud.
Dengan kata mudah hanya penzina, pencuri, perompak, peminum
arak yang takut kepada hudud. Mengapa kita yang tidak terlibat dengan perkara
jenayah ini perlu takut kepada Hudud. Hanya iman kepada keadilan hukum Allah
yang mampu memberi jawapan samada kita mahu atau tidak kepada Hudud
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 94-95 surah
al-Kahfi :
قَالُوا
يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ
فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا
﴿٩٤﴾ قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ
بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا
Maksudnya : Mereka berkata: “wahai
Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di
bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu
(dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di
antara kami dengan mereka?” (94) Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang
Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu
bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu
dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh
Setiap kali berada pada hari atau
malam Jumaat maka kita disunatkan untuk membaca surah al-Kahfi. Dalam surah ini
banyak dikisahkan tentang beberapa kisah teladan sebagai rujukan dan ikutan
sepanjang zaman.
Antaranya berkenaan penduduk sebuah kampung yang meminta
pertolongan Raja Zulqarnain yang beriman dan adil yang menguasai Timur dan
Barat daripada serangan Yakjuj dan Makjuj. Apabila penduduk ini mahu membayar
kharaj atau cukai bagi membina kota
atau benteng daripada ancaman kaum yang jahat itu namun ditolak oleh Raja
Zulqarnain atas alasan baginda hanya mahu pertolongan dalam bentuk tenaga
manusia sahaja bukannya kewangan kerana telah memiliki kekayaan yang
dianugerahkan oleh Allah.
Inilah antara contoh keadilan
pemimpin Islam yang memberi khidmat dengan saksama sehingga harta kekayaan
Negara bukan setakat berpusing di kalangan orang kaya dan kroni sahaja malah
dirasai oleh seluruh rakyat jelata. Malah pemimpin Islam banyak bergantung
kepada hasil bumi yang dikurniakan oleh Allah seperti pertanian, minyak, emas
dan lain-lain, zakat daripada umat Islam manakala orang bukan Islam dikenakan
jizyah untuk menjaga keselamatan dan kharaj atau cukai yang tidak diwajibkan
mengikut syarak untuk memberi khidmat kepada orang bukan Islam.
Pernah berlaku dalam sejarah apabila
Abu Ubaidah yang dilantik oleh Khalifah Umar al-Khottab sebagai Gabenor
membatalkan kutipan jizyah daripada orang bukan Islam di wilayahnya atas alasan
tidak mampu memberi jaminan keselamatan sehingga orang bukan Islam terkejut
dengan keadilan Islam yang tidak pernah merasai semasa berada di bawah kerajaan
Kristian Rom. Ini membawa kepada ramai yang memeluk Islam bila melihat
keindahan Islam
Oleh itu kita minta agar bebanan
cukai GST yang bakal dilaksanakan tahun hadapan tidak menambah penderitaan yang
sedia ditanggung oleh rakyat miskin dan sederhana. Begitu juga kehadiran
Presiden Amerika Syarikat Barack esok ke Negara ini tidak menjadi suatu tekanan
kepada pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang merupakan
penjajahan baru terhadap Negara.
Penderitaan berganda kepada rakyat
terus bertambah dengan sikap boros dalam belanja seperti cadangan untuk membawa
masuk pasangan Panda dari China yang menelan RM 25 juta dan juga projek pembinaan
Menara Warisan Merdeka yang bernilai RM5 bilion sedangkan keperluan tidak
seberapa dan kesan negatif yang lebih banyak. Ibnu Khaldun dalam al-Muqaddimah
menyatakan antara punca kehancuran sebuah Negara akibat projek mewah yang
membazir yang menyebabkan kadar cukai dinaikkan sehingga membebankan rakyat
bagi memenuhi nafsu serakah pemimpin. Ingat sebelum kena, sekat sebelum
melarat. Jadilah rakyat yang peka bukannya manusia yang boleh ditipu sepanjang
masa. Jadilah rakyat bermaklumat bukan ibarat katak di bawah tempurung
بَارَكَ
اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا
فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ
تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ
العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ
اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ
وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ
المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ