Friday, July 18, 2014

Surat Terbuka kepada yang berjihad

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .



PERKATAAN jihad, menjadi sebutan di kalangan umum umat Islam sejak zaman berzaman, walau pun ramai yang  tidak memahaminya secara hukum feqah. Kini menjadi lumrah disebarkan oleh media dan menjadi sebutan juga di kalangan bukan Islam, lebih menjadi sasaran media apabila ada kalangan yang mengisytiharkan jihad berperang menentang kerajaan yang ditolak dan mengajak seluruh dunia menyertainya.

Jihad adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang wajib diimani dan dihayati oleh penganut Islam dan sepatutnya difahami dengan betul oleh semua pihak mengikut tasawwurnya, supaya tidak mencalarkan ajaran Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Perlu diketahui bahawa setiap ajaran Islam itu ada feqahnya, bukan hanya perkara ibadat sahaja seperti solat, puasa, haji dan zakat. Maka jihad pun ada hukum feqahnya yang tersendiri.

Feqah bererti kefahaman yang betul, bermaksud diketahui secara ilmu yang sahih dan dilaksanakan dengan istiqamah dan faham terhadap setiap ajaran itu secara menyeluruh dan mendalam. Ianya meliputi cara amalan, syarat, rukun, adab, masa  dan matlamatnya yang dinyatakan oleh sumber utama ajaran islam, iaitu al-Quran, serta dihuraikan pelaksanaannya yang betul oleh Rasulullah S.A.W. dan para ulama yang mendalaminya  di sepanjang zaman dengan cara ilmu yang betul melalui bahasa al-Quran, di mana ada perkataannya yang tidak boleh diterjemah dalam bahasa lain dengan satu perkataan sahaja.

Seperti juga urusan ajaran Islam yang lain, hukum jihad itu ada di dalamnya perkara-perkara dasar yang tetap dan teguh, ada pula yang berkait dengan perkembangan kehidupan masyarakat yang berbeza dan berubah yang  semuanya berada dalam ilmu Allah dan kebijaksanaanya yang penuh rahmat dan adil.

Perkataan Jihad daripada  bahasa Arab, perkataan asalnya,  “al-Juhdu” dan “al-Jahdu”, masdar atau nama terbitan daripada perkataan “Jahada”. Al-Jahdu berarti masyaqqah, yakni kesukaran atau payah. Al-Juhdu pula bererti “Thoqah”, yakni tenaga dan kemampuan kekuatan roh dan jasad, harta dan lain-lain daripada segala nikmat yang ada pada diri. Maka ditambah pula dengan makna yang lebih kuat, dipanjangkan huruf jim, menjadi “jaahada” dan melahirkan nama terbitan “jihad” atau “mujahadah”, bermaksud menggemblengkan segala kemampuan daripada nikmat tenaga, diri dan harta dan lain-lain, serta menghadapi segala cabaran, kesulitan, kepayahan dan segala penderitaan dengan sepenuh kesungguhan.

Adapun Jihad mengikut istilah syarak (ajaran Islam) ialah melakukan amalan tersebut di atas bagi menegakkan ajaran Islam yang membawa rahmat dan adil terhadap semua, kerana Allah dengan iman dan ikhlas, sama ada dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Jihad ini dilaksanakan sehingga membuktikan Islam sebenarnya adalah al-Din yang terbaik daripada segala ajaran yang lain, sama ada agama atau segala ideologi, teori dan sebagainya. Temanya ialah firman Allah:

“Dialah (Allah) Tuhan yang telah mengutuskan Rasulnya (Muhammad S.A.W), dengan petunjuk dan Din (agama dan cara hidup) yang sebenarnya , supaya menzahirkannya (dengan kemenangan) mengatasi segala ajaran yang lain walau pun dibenci oleh orang-orang musyrikin)”  (Surah Al Sof: 9-10)

Seterusnya dihuraikan oleh ayat-ayat al-Quran dalam surah yang banyak, melalui hukum syariat dan kisah para rasul dan umat terdahulu, serta pelaksanaan oleh Rasulullah S.A.W. yang mendapat bimbingan wahyu dan tarbiyah secara langsung daripada Allah, untuk menjadi ikutan seluruh umat sehingga hari kiamat.

Al-Quran dan hadis menghuraikan segala pendekatan amalan jihad, merangkumi damai dan berperang. Maka jihad itu tidak hanya berperang semata-mata, seperti mana tafsiran para orientalis musuh Islam dan mereka yang diheret oleh tafsiran yang salah ini, sehingga menjadikan perkataan jihad tidak lengkap kalau diterjemahkan dengan peperangan apatah lagi tersasar jauh kalau diterjemahkan dengan perkataan “Holy War”. Peperangan hanya salah satu daripada lapangan jihad dan perdamaian pula menjadi lapangannya yang lebih luas.

Allah menyebut kisah semua para Rasul a.s. yang memulakan pendekatan jihad secara aman dan damai terlebih dahulu, menyampaikan mesej dengan hujah yang sepatutnya diterima oleh akal yang baik, walaupun memakan masa yang panjang, untuk memberi hujah dan tempoh yang seluas-luasnya supaya menusia menerima Islam.

Para rasul dan pengikutnya yang beriman diperintah bersabar yang menjadi rukun jihad. Hukuman secara keras, sama ada peperangan atau bencana secara langsung daripada Allah, dilakukan setelah batas kesabaran sampai kemuncaknya dan dirasakan segala kezaliman dan penipuan ajaran yang sesat oleh akal yang sempurna terus berlaku. Semua kisah tersebut bukan sekadar cerita, bahkan wajib menjadi petunjuk kepada Rasulullah S.A.W. dan umatnya sehingga hari kiamat.

Rasulullah S.A.W. menunjukkan pendekatan secara amali (praktikal). Baginda berusaha supaya manusia menerima Islam seramai mungkin tanpa paksaan, kerana paksaan itu tidak membawa Islam yang sebenarnya beriman, budiman dan beramal soleh. Atau memberi peluang bebas beragama dan boleh ditunjukkan apa dia Islam tanpa gangguan. Maka tentangan secara jihad juga dilakukan terhadap gangguan berdakwah mengikut kadarnya, walau pun berperang, tetapi wajib dengan syarat dan adab mengikut batas hukum Islam bagi mencegah kezaliman.

Al-Quran dan hadis juga menunjukkan betapa bersabar dengan teguran berani dan membina, menghadapi kerajaan yang zalim ketika berada dalam satu masyarakat bersama, adalah jihad akbar dengan hadis yang sahih. Menunjukkan bahawa pendekatan jihad menghadapi kemungkaran dalaman masyarakat berbeza dengan menghadapi penceroboh yang menyerang.

Kita wajib mengambil iktibar secara perbandingan, mengapa pendekatan Rasulullah S.A.W. dan generasi awal umat Islam yang berdakwah berjaya  menarik sehingga satu bangsa dan kaum semuanya menganut Islam dalam masa yang cepat. Mengapa kita di zaman kini sangat payah untuk menarik seorang sahaja supaya masuk Islam. Mereka yang masuk Islam di masa damai di zaman awal pula lebih besar jumlahnya.

Perbandingan juga perlu difahami, mengapa berperang jihad Rasulullah S.A.W. dan generasi awal berjaya menjatuhkan kuasa besar dunia Parsi dan Rom, walau pun bala tentera Islam terlalu kecil jumlahnya dan musuh pula berlipat ganda jumlahnya dengan senjata yang berlipat ganda kecanggihannya. Tentera Islam disambut oleh penduduk menjadi penyelamat daripada kezaliman, bukannya sebagai penjajah. Selepasnya rakyat menerima agama Islam tanpa paksaan, sehingga masih ada penganut bukan Islam, gereja, biara dan kuil lama sehingga zaman kini di tengah masyarakat Islam.

Di zaman Khalifah Umar bin Al Khattab, apabila Maharaja Parsi (Kisra Yazdajur) yang berundur di perbatasan timur Parsi menulis surat kepada Maharaja China meminta bantuan bagi menyelamatkan takhtanya dan memberi amaran bahawa China juga berdepan dengan bahaya Islam. Maharaja China yang terlebih dahulu bertanyakan utusan Parsi: “Sifat dan cara orang Islam setelah menawan Parsi”. Apabila disebut segala-galanya, Maharaja China membalas bahawa kemaraan Islam dan penganutnya yang  begitu sifatnya tidak boleh dihalang kerana rakyat menerimanya, lalu China mengadakan hubungan damai dengan semua kerajaan Islam dalam sejarahnya.

Bandingkan mengapa amalan jihad secara damai dan perang di zaman awal menjadikan Islam digeruni kerana rahmat dan adilnya, bahkan kedatangan bala tentera bersenjata disambut rakyat menjadi penyelamat bukannya penjajah. Adapun jihad terkini yang diisytiharkan oleh kalangan yang betapa tinggi semangat jihadnya digambarkan dengan wajah yang buruk terhadap Islam oleh kawan dan lebih lagi lawan. Adakah kerana semangat tanpa feqah yang boleh ditembusi oleh bisikan syaitan yang merosakkan amal dan orang yang beramal. Kalau syaitan boleh masuk ke dalam hati dan saf mereka yang sedang solat berjamaah, maka syaitan lebih mudah masuk ke dalam saf mareka yang berjihad tanpa feqahnya.

Contoh yang nyata kepada wajah umat Islam terkini ialah apabila mereka melontar jumrah di musim haji. Umat Islam dahulu melontar mengikut sunnah dengan feqah hajinya, menggunakan batu sebesar hujung jari dengan semangat  melontar syaitan. Kini ada jamaah haji yang melontar kawan sendiri dengan batu besar dan kasut kerana hajinya tidak ada feqah. Maka kalau berjihad tanpa mendalami feqahnya menerima padah amaran Rasulullah S.A.W. yang membunuh dan dibunuh kedua-duanya masuk neraka, bukannya mati syahid.

Percayalah bahawa jihad tetap wajib sehingga hari kiamat, berilmu adalah wajib disertakan dengan feqahnya  bagi mensahihkan amal yang wajib. Benarlah bahawa syaitan lebih mudah menggoda seratus orang lebai yang jahil daripada seorang yang berilmu. Paling bodoh ialah orang merasakan dirinya sudah cukup berilmu segala-galanya.  

PRESIDEN PAS  
14 Julai 2014

Thursday, July 10, 2014

Orang-Orang yang dioakan oleh Malaikat

Allah SWT berfirman, "Sebenarnya (malaikat - malaikat itu) adalah hamba - hamba yang dimuliakan, mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah - perintah-Nya. Allah mengetahui segala sesuatu yang dihadapan mereka dan yang dibelakang mereka, dan mereka tidak memberikan syafa'at melainkan kepada orang - orang yang diridhai Allah, dan mereka selalu berhati - hati karena takut kepada-Nya" (QS Al Anbiyaa' 26-28) 

Inilah orang - orang yang didoakan oleh para malaikat : 

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci. 
Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa 'Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan karena tidur dalam keadaan suci'" (hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/37) 

2. Orang yang duduk menunggu shalat. 
Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Tidaklah salah seorang diantara kalian yang duduk menunggu shalat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia'" (Shahih Muslim no. 469) 

3. Orang - orang yang berada di shaf bagian depan di dalam shalat. 

Imam Abu Dawud (dan Ibnu Khuzaimah) dari Barra' bin 'Azib ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bershalawat kepada (orang - orang) yang berada pada shaf - shaf terdepan" (hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih Sunan Abi Dawud I/130)

4. Orang - orang yang menyambung shaf (tidak membiarkan sebuah kekosongan di dalm shaf). 

Para Imam yaitu Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim meriwayatkan dari Aisyah ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu bershalawat kepada orang - orang yang menyambung shaf - shaf" (hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/272) 

5. Para malaikat mengucapkan 'Amin' ketika seorang Imam selesai membaca Al Fatihah. 

Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Jika seorang Imam membaca 'ghairil maghdhuubi 'alaihim waladh dhaalinn', maka ucapkanlah oleh kalian 'aamiin', karena barangsiapa ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, maka ia akan diampuni dosanya yang masa lalu" (Shahih Bukhari no. 782) 

6. Orang yang duduk di tempat shalatnya setelah melakukan shalat. 

Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah, bahwa Rasulullah SAW bersabda, " Para malaikat akan selalu bershalawat kepada salah satu diantara kalian selama ia ada di dalam tempat shalat dimana ia melakukan shalat, selama ia belum batal wudhunya, (para malaikat) berkata, 'Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia'" (Al Musnad no. 8106, Syaikh Ahmad Syakir menshahihkan hadits ini) 

7. Orang - orang yang melakukan shalat shubuh dan 'ashar secara berjama'ah.
Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, " Para malaikat berkumpul pada saat shalat shubuh lalu para malaikat ( yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga shubuh) naik (ke langit), dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu shalat 'ashar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga shalat 'ashar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal, lalu Allah bertanya kepada mereka, 'Bagaimana kalian meninggalkan hambaku ?', mereka menjawab, 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan shalat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan shalat, maka ampunilah mereka pada hari kiamat'" (Al Musnad no. 9140, hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Ahmad Syakir) 

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa sepengetahuan orang yang didoakan.
Diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Ummud Darda' ra., bahwasannya Rasulullah SAW bersabda, "Doa seorang muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa sepengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, maka malaikat tersebut berkata 'aamiin dan engkaupun mendapatkan apa yang ia dapatkan'" (Shahih Muslim no. 2733) 

9. Orang - orang yang berinfak. 
Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Tidak satu hari pun dimana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali 2 malaikat turun kepadanya, salah satu diantara keduanya berkata, 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak'. Dan lainnya berkata, 'Ya Allah, hancurkanlah harta orang yang pelit'" (Shahih Bukhari no. 1442 dan Shahih Muslim no. 1010)

10. Orang yang makan sahur.

Imam Ibnu Hibban dan Imam Ath Thabrani, meriwayaatkan dari Abdullah bin Umar ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bershalawat kepada orang - orang yang makan sahur" (hadits ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhiib wat Tarhiib I/519) 

11. Orang yang menjenguk orang sakit. 

Imam Ahmad meriwayatkan dari 'Ali bin Abi Thalib ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70.000 malaikat untuknya yang akan bershalawat kepadanya di waktu siang kapan saja hingga sore dan di waktu malam kapan saja hingga shubuh" (Al Musnad no. 754, Syaikh Ahmad Syakir berkomentar, "Sanadnya shahih") 
12. Seseorang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain. 

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dari Abu Umamah Al Bahily ra., bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Keutamaan seorang alim atas seorang ahli ibadah bagaikan keutamaanku atas seorang yang paling rendah diantara kalian. Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubangnya dan bahkan ikan, semuanya bershalawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain" (dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Kitab Shahih At Tirmidzi II/343) 

http://bjue.blogspot.com/ 

Brazil kalah kerana doa orang ini?

MUSLEH SAKIR |

TAHNIAH Jerman, takziah Brazil! Itulah hakikat pahit yang terpaksa diterima Brazil apabila kalah 1 – 7 kepada Jerman dalam perlawan separuh akhir Piala Dunia Fifa.

Sebagai peminat setia Jerman, tentulah saya gembira pasukan kesukaan saya menang. Namun jumlah gol yang diperoleh itu amat memeranjatkan apatah lagi berdepan dengan pasukan hebat seperti Brazil. Saya percaya seluruh dunia juga terkejut dengan kemenangan besar Jerman ini!

Dari suatu sudut yang lain, ingin saya sentuh isu besar yang cuba disorokkan di bawah “karpet” iaitu isu gelandangan dan golongan miskin di Brazil.

Mungkin ada yang tidak tahu, bahawa hampir setiap hari sepanjang berlangsungnya Piala Dunia Fifa ini ada tunjuk perasaan. Penganjuran ini mendapat tentangan sebahagian rakyat Brazil khususnya golongan gelandangan dan miskin. Maklumlah, untuk menjayakan kejohanan ini berapa banyak rumah rakyat miskin dirobohkan dan dihalau ke kawasan lain, dengan alasan tidak mahu mencemarkan imej tuan rumah.

Mereka bukan tidak menyukai pasukan Brazil dan tidak cintakan sukan nombor satu dunia ini, tetapi mahu kerajaan lebih mengutamakan mereka berbanding berhabis dunia menganjurkan kejohanan besar ini.

Benar, kerajaan Brazil mungkin memberi alasan bahawa penganjuran ini akan membawa hasil berbilion ringgit dan duit itu boleh digunakan kembali untuk rakyat. Namun, realiti tidak begitu!

Seperti biasa, akhirnya golongan gelandangan dan miskin ini tetap dengan kemiskinan mereka dan hasil daripada keuntungan kejohanan ini entah ke mana.

Ingatlah, kejohanan Piala Dunia Fifa kali ini berlangsung atas kesedihan, kesusahan dan air mata rakyat yang susah dan miskin. Kemenangan dan keuntungan berbilion ringgit tidak ada maknanya bagi mereka! Adakah akibat doa orang miskin yang teraniaya ini Brazil kalah?

Seorang tua berjalan kaki, tangannya ada plastik

DR AZMAN IBRAHIM | .

KITA tidak perlu menjadi seorang yang kaya raya untuk berbuat kebajikan. Kalau kita nak tunggu nak jadi kaya baru berniat nak berbuat kebajikan, saya yakin, semakin kaya seseorang itu, semakin dia kedekut dengan apa yang ada di tangannya.


Paling mudah, kebajikan bermakna  kita memperuntukkan sebahagian dari rezeki kurnian Allah kepada kita untuk membeli pahala di samping kita membeli makanan, minuman, pakaian dan sebagainya.

Ramai manusia yang tak kedekut untuk memperuntukkan wang yang ada bagi memiliki benda-benda duniawi yang dapat dilihat dan dipegang tetapi amat berkira dalam membelanjakan wang bagi membeli ganjaran Allah yang bernama pahala. Kalaulah pahala itu sesuatu yang dapat dilihat, dipegang dan dihitung, tentu ramai manusia yang berebut-rebut untuk memilikinya. Malangnya kerana pahala tak dapat dilihat dan dirasa walaupun telah dikhabarkan dengan jelas oleh Allah dan Rasul-Nya.

Di antara beberapa persoalan yang akan dihadapi seseorang hamba di pengadilan Allah kelak, manusia akan ditanya tentang hartanya. Setiap orang tak akan lepas dari tanggungjawab berkaitan pemilikan hartanya di dunia dahulu saat diadili di hadapan Allah Rabbul Jalil nanti.

Dalam bab ini, orang fakir dan miskin sedikit beruntung. Apa yang dipertanggungjawabkan kepada orang kaya tak dibebankan ke atas mereka yang miskin dan fakir tetapi mereka yang diberikan kelebihan harta akan ditanya tentang tanggungjawab yang telah dilunaskan kepada saudara kita yang kurang bernasib baik.
Bila heboh cerita hal Menteri Wilayah Persekutuan bercadang nak ambil tindakan kepada peminta dan pemberi sedekah demi keindahan Bandaraya Kuala Lumpur, saya  merasakan bahawa Menteri yang menjadi ahli parlimen di satu kawasan yang mempunyai bilangan pengundi lebih sedikit dari bilangan pengundi di Dun Jabi ini telah kehilangan suatu nilai sivik yang sangat bernilai. Mungkin bila beliau dah terlalu hanyut dengan kemewahan menyebabkan pandangannya tidak lagi ke bawah. Pemimpin yang hanya memandang ke atas sedangkan mereka sedang memijak rumput di bumi tak akan mampu menyelami denyut nadi masyarakat bawahan. Sebagai pemimpin kita bercakap dengan apa yang lahir dari hati dan naluri. Kalau hati kita menyimpan kesombongan maka nada sombonglah yang akan keluar di lidah.
Tinggalkan Pak Menteri yang angkuh ini. Dia menjadi angkuh kerana pengundi yang mengangkatnya menjadi pemimpin. Kalau beliau sudah tak boleh diperbaiki, terpulanglah kepada pengundi Putrajaya bagaimana bentuk didikan mata pelajaran sivik yang perlu diberikan kepada bangsawan yang bergelar Tengku tersebut.
Tanggungjawab kita yang seterusmya, mari kita sama-sama  pakat tengok keliling kita kalau-kalau ada orang miskin, ibu tunggal, orang uzur, anak yatim dan ramai lagi yang perlu disantuni. 

Cubalah usahakan sesuatu untuk menghadirkan keceriaan di wajah mereka di bulan Ramadhan ini walaupun dengan hanya kita menghulur air tebu yang nilainya sekadar RM2 untuk berbuka puasa atau 2 kilo gula yang nilainya hanya RM6.

Bab kebajikan ini kita buat apa yang kita mampu. Cuba kita pergi tanya khabar ke rumah orang yang kerjanya mengambil upah menorah getah di kebun orang, ada tak susu di rumah dia? Kesian melihat anak-anaknya sekadar minum teh O. Hantarlah 2 atau 3 tin susu. 3 tin susu harganya tak sampai pun RM10. Hantarlah satu paket milo yang harganya hanya berbelas ringgit sahaja. Semoga mereka boleh menikmati sedikit dari apa yang kita miliki.

Cuba tengok budak-budak yang mari sembahyang tarawih di masjid, pakai sekadar kopiah buruk yang sudah kusam warnanya. Tak bolehkah kita tolong beli kopiah baru yang harganya RM5 dan bagi sebagai hadiah kepada budak-budak ini?

Saya pernah masuk kampung sekitar pukul 6 petang, tengok ada sorang tua berjalan kaki balik dari kedai runcit. Di tangannya satu plastik. Dalam plastik tersebut terdapat maggie sebungkus dan sebutir telur ayam . Mungkin dia nak balik masak maggie untuk berbuka puasa. Sebab itu bila kita berjalan-jalan, khususnya bulan Ramadhan ini, di dalam bonet kereta perlu standby selalu sedikit barang-barang keperluan harian. Bila terjumpa orang yang memerlukannya, kita boleh bagi.

Kebajikan ini sebenarnya semudah A,B,C... Tetapi kita selalu memikirkan benda yang payah. Sedangkan yang mudah berlambak kita boleh buat. - HARAKAHDAILY 10/7/2014



Saturday, July 5, 2014

Manfaatkan kelebihan Ramadhan, khasiat kurma

DR. BAHRAIN SAMAH
2 Julai 2014


PUASA Ramadan merupakan ibadah yang bermanfaat dari aspek spiritual, fizikal, minda dan psiko-emosi.

Jika dilakukan dengan penuh ikhlas dan berdisiplin maka puasa Ramadan membantu Muslim mendidik diri agar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek tersebut.

Sesungguhnya segala sifat, perbuatan, kata-kata dan perakuan Baginda SAW yang direkodkan dalam bentuk hadis berstatus sahih merupakan sunnah yang berpandukan ilham dan wahyu daripada ALLAH SWT. ALLAH SWT berfirman: “Dan dia tidak berkata-kata daripada hawa nafsu melainkan wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (Surah An Najm: 3-4)

ALLAH SWT memberi ilham agar Rasulullah SAW menyarankan kalangan sahabatnya berbuka dengan kurma sebagai keutamaan (makanan yang harus diutamakan). Kurma itu memiliki kebaikan termasuk dari sudut kesihatan. Sifat kebaikan itu adalah rahmat ALLAH SWT yang Maha Pencipta, Dia Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.

Kaya nutrien

Saintis mendapati kurma mengandungi gula yang membekal tenaga segera dan dilengkapi dengan pelbagai nutrien lain seperti vitamin, mineral, bioflavonoid, asid amino dan lemak. Ia mengandungi serotonin yang juga dikenali sebagai hormon ‘gembira’.

Dalam tubuh haiwan termasuk manusia, serotonin didapati di dalam otak (bertindak sebagai neurotransmitter), trek penghadaman dan platelet.

Fungsi utamanya ialah menyumbang rasa selesa, sihat dan gembira. Ia juga membantu mengawal mood, mengurangkan rasa marah dan meredakan kemurungan.

Ia juga membantu seseorang mudah tidur dan tidur lebih lena. Selain itu ia dikatakan memainkan peranan penting dalam mengawal seksualiti, sifat panas baran dan selera.

Rutab atau kurma masak adalah pilihan terbaik kepada sesiapa yang memilikinya. Pilihan kedua yang juga baik ialah tamar iaitu kurma kering.

Dan jika tiada kedua-duanya pilihan ketiga untuk berbuka ialah air. Daripada Anas bin Malik RA berkata, “Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, Baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, Baginda akan meneguk beberapa teguk air.” (Riwayat At-Tirmizi)

Rutab ialah kurma basah manakala tamar ialah kurma yang telah dikeringkan. Dari segi jumlah lembapan, rutab mengandungi lembapan atau kandungan air yang tinggi berbanding tamar. Dari segi kalori, dengan hidangan yang sama (dari segi berat) rutab memiliki separuh daripada kalori tamar.

Kandungan makronutrien dalam rutab dan tamar adalah berbeza. Makronutrien merupakan nutrien diperlukan tubuh pada kuantiti tinggi seperti karbohidrat, lemak dan protein.

Hanya terdapat sedikit perbezaan dari segi kandungan protein dan lemak apabila dibandingkan rutab dengan tamar. Kandungan karbohidrat pula adalah dua kali ganda pada tamar berbanding rutab. Tamar memiliki kandungan fiber tinggi.

Dari segi mikronutrien, tamar merupakan sumber kalsium dan zat besi lebih baik berbanding rutab.Mikronutrien merupakan nutrien diperlukan tubuh pada kuantiti rendah seperti vitamin dan mineral. Sebaliknya rutab menawarkan sumber vitamin C lebih baik.

Rutab mengandungi 30 miligram vitamin C manakala tamar mungkin tidak mengandunginya. Vitamin C mudah musnah berpunca daripada pendedahan kepada haba dan kaedah penyimpanan.

Vitamin C adalah vitamin larut air. Tiada data untuk vitamin B yang juga larut air. Besar kemungkinan keputusan analisa makmal untuk kandungan vitamin B dalam tamar juga adalah rendah berpunca daripada faktor pendedahan kepada haba dan kaedah penyimpanan.

Proses detoksifikasi

Mempercepatkan berbuka adalah suatu sunnah. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Al-Bukhari).

Bersahur merupakan sunnah dan mengakhiri makan sahur iaitu dengan makan dan minum hingga menjelang waktu subuh. Kedua-dua sunnah ini telah direkodkan dalam bentuk hadis sahih.

Ketika berbuka, makan malam dan bersahur, kaedah paling sesuai diamalkan sebagaimana firman ALLAH: “...dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya ALLAH tidak suka orang yang melampaui batas.” (Surah Al-A’raaf: 31)

Berpandukan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya.

Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak mustahil (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” (Riwayat At-Tirmizi)

Puasa Ramadan sebulan membantu tubuh menjalankan detoksifikasi. Tanda berlakunya detoksifikasi ialah bau mulut yang tidak menyenangkan. Puasa dikatakan mengubah mod tubuh kepada mod pemuliharaan kesihatan dan pencegahan daripada menghidapi penyakit.

Mereka yang makan dan minum secara sederhana ketika tempoh diharuskan makan (berbuka, makan malam dan bersahur) akan mendapat ganjaran iaitu dari segi bentuk dan berat badan yang unggul. Mod pembakaran lemak dikatakan bermula pada 7-10 hari dari tempoh mula mengamalkan puasa.

Untuk membantu tubuh meningkatkan metabolisme dengan membakar lemak secara lebih cekap, makan makanan berlemak tepu ketika makan malam dan bersahur dipercayai amat membantu. Minyak kelapa dara dan santan mengandungi paras lemak tepu yang tinggi.

Begitu juga keju, telur dan ghee (minyak sapi). Sesungguhnya makanan berlemak seperti dinyatakan membantu seseorang rasa kenyang lebih lama ketika berpuasa pada siang hari.  

Menyentuh mengenai amalan sesetengah orang yang mengambil satu jenis makanan sahaja sepanjang puasa Ramadan contohnya dengan maka bijirin tertentu, epal hijau atau jagung sahaja tanpa makan pelbagai makanan lain maka pada pandangan penulis ia dipercayai boleh memudaratkan kesihatan. Amalan tersebut akan menyebabkan nutrien dalam tubuh tidak seimbang

Beberapa Isu hukum semasa berpuasa

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
4 Julai 2014

MENJELANG Ramadan banyak hukum hakam sering dibangkitkan berkaitan puasa. Di sini saya senaraikan sebahagian daripada jawapan terhadap beberapa isu hukum berkaitan puasa.


Pandangan dipilih adalah yang saya yakini lebih mendekati maksud nas dan sifat Islam yang rahmat.

Bila habis waktu sahur?

Ada orang yang bersahur terlalu awal sedang waktu Subuh masih beberapa jam lagi. Ini tidak menepati amalan Nabi Muhammad SAW yang melewatkan bersahur sehingga tinggal baki beberapa minit sebelum masuk waktu Subuh. Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Waktu sahur pula berterusan sehingga masuk waktu Subuh. Selagi tidak masuk waktu Subuh seseorang masih boleh bersahur. Masuknya Subuh adalah waktu imsak (bermula puasa) yang sebenar, bukan beberapa minit sebelum itu.

Ini dijelaskan Nabi Muhammad SAW dalam hadis Baginda SAW. Kata isteri Baginda SAW, Aishah RA: “Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah SAW pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (Subuh).” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dalam hadis Muslim pula, Baginda SAW bersabda: “Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.
Hal ini selaras dengan kenyataan al-Quran: (maksudnya): “Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam”. (Surah al-Baqarah: 187)

Mandi kerana letih puasa

Antaranya, anggapan mandi ataupun basuh kepala apabila terlalu keletihan mengurangkan pahala puasa. Ada pula yang bertegas semasa puasa mandi selepas Asar makruh.

Ini tidak disokong oleh riwayat yang menunjukkan Nabi Muhammad SAW mencurahkan air ke atas kepala Baginda SAW ketika berpuasa kerana terlalu panas ataupun dahaga.

Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: “Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah SAW di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

Korek telinga batal puasa?

Antara anggapan lain ialah menyatakan semasa puasa tidak boleh memasukkan apa-apa benda ke dalam mata, telinga dan mulut, sekalipun bukan makanan dan minuman.

Ini menyebabkan mereka yang gatal telinga ataupun hidung menderita sepanjang hari berpuasa. Ia berlawanan dengan sifat Islam yang mudah. Ada yang melarang bercelak kerana bimbang masuk ke dalam rongga. Pegangan ini asalkan berasas riwayat kenyataan Ibn ‘Abbas: “Membatalkan puasa itu apa yang masuk, bukan apa yang keluar”. (Riwayat Ibn Abi Syaibah, sahih)

Namun, itu adalah ulasan Ibnu ‘Abbas kepada mereka yang berbekam bagi menunjukkan ia tidak membatalkan puasa.

‘Apa yang masuk’ bermaksud makanan ataupun minuman ataupun yang mempunyai fungsi yang sama seperti makanan dan minuman yang masuk ke dalam jasad. Jika sekadar alatan tertentu maka ia tidak termasuk dalam maksud ini.

Jika tidak mereka yang memasukkan berus gigi ataupun kayu sugi ke dalam mulut, ataupun berkumur semasa puasa tentu dianggap batal.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dalam Majmu al-Fatwa, setelah menyebut mengenai khilaf ulama, beliau menjelaskan puasa adalah amalan setiap Muslim.

Jika perbuatan seperti bercelak yang memang diamalkan secara meluas semasa zaman Nabi SAW itu membatalkan puasa, tentu Baginda SAW akan menerangkannya.

Juga tentu golongan sahabat akan bertanya mengenainya. Namun, apabila tiada hadis sahih tentang hal itu, maka menunjukkan memakai celak tidak membatalkan puasa.

Demikian juga tentang mencium wangian, menyapu minyak di badan dan seumpamanya.

Penggunaan eye drops yang sedikit dan tidak menyebabkan ia mengalir ke kerongkong dan seterusnya adalah dibolehkan. Demikian juga memakai minyak rambut dan minyak urut sekalipun sifat minyak itu mudah meresap ke dalam kulit.

Terlewat mandi wajib

Antara lain ialah menganggap tidak sah puasa mereka yang belum mandi junub sedangkan waktu Subuh sudah masuk. Ini berkaitan seseorang yang bersetubuh dengan isterinya, ataupun keluar air mani tetapi belum mandi junub sehingga masuk waktu Subuh iaitu waktu berpuasa. Ertinya ketika dia mandi wajib, waktu Subuh telah masuk.  Sah atau tidak puasa orang seperti ini?

Jawapannya, dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aishah dan Ummu Salamah bahawa Nabi SAW pada waktu pagi (Subuh) dalam keadaan berjunub sedangkan Baginda berpuasa. Baginda berpuasa dan tidak berbuka (disebabkan hal itu).” (Riwayat al-Bukhari)

Maka, sesiapa yang terlewat mandi wajib sehingga masuk waktu Subuh masih sah puasanya pada hari berkenaan.


Muntah ketika berpuasa

Ada yang menyatakan sesiapa yang termuntah maka batal puasa. Sebenarnya, di sana ada perbezaan antara termuntah dan sengaja muntah.
Dalam hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang termuntah tidak wajib qada (ganti puasa). Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah dia qada”. (Riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Jarud & Ibn Hibban)

Maka sesiapa yang termuntah kerana tidak tahan dengan sesuatu bau ataupun mabuk perjalanan tidak wajib qada kerana puasanya sah. Sesiapa yang memaksa diri untuk muntah maka dia wajib menggantikan puasanya.

Berus gigi ketika berpuasa

Islam menggalakkan bersugi (berus gigi) kerana ia mengelakkan bau busuk mulut seseorang. Bahkan, kalaulah tidak menjadi beban kepada umat ini sudah pasti kita diwajibkan bersugi lima kali sehari. Ini seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Apabila berpuasa, bau mulut kita menjadi kuat. Ini sesuatu yang sukar dielakkan. ALLAH tahu hakikat tersebut. ALLAH Maha Tahu bau tersebut terhasil kerana kita tidak makan dan minum sepanjang hari kerana-NYA. Justeru itu, Nabi SAW bersabda: “Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi ALLAH daripada haruman kasturi.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Namun ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk membiarkan orang lain mencium bau busuk mulutnya. Itu akan menyakiti orang lain. Apatah lagi di zaman kini yang mana kita bekerja di tempat awam, ataupun membabitkan ramai orang di sekeliling. Tambahan, jika terdapat mereka yang bukan Muslim, tentu akan menimbulkan rasa yang tidak selesa terhadap Muslim yang berpuasa pada bulan Ramadan ataupun boleh menghilang gambaran keindahan Islam.

Maka pendapat yang menyuruh kita membiarkan bau busuk mulut semasa berpuasa tidak begitu kukuh dari segi sifat semula jadi ataupun neutrality agama ini.

Dengan menghormati perbezaan pendapat, namun realiti kehidupan yang mesra menolak pandangan tersebut. Ini ditambah dengan hadis-hadis yang seakan menggalakkan untuk seseorang yang berpuasa mengekalkan bau mulutnya itu adalah lemah dari segi riwayat.

Tidak kukuh untuk disandarkan kepada Nabi SAW seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi. Maka tidak boleh menjadi hujah.

Apatah lagi bertentang dengan sifat Islam itu sendiri. Hadis yang menggalakkan kebersihan dan juga bersugi adalah umum merangkumi setiap waktu termasuk bulan Ramadan.

Antara hadis yang sangat daif digunakan dalam bab ini ialah dikatakan Nabi SAW bersabda: “Jika kamu berpuasa maka bersugilah pada waktu pagi dan jangan bersugi pada waktu petang”. Ia diriwayatkan oleh al-Bazzar, at-Tabarani dan lain-lain.

Namun ia terlalu daif yang tidak boleh dijadikan hujah. Ada hadis daif lain namun lebih kuat ataupun kurang daif daripadanya iaitu diriwayatkan ‘Amir bin Rabi’ah berkata: “Aku melihat Rasulullah bersugi sedangkan beliau berpuasa” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud dll).

Apa pun galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan dalam hadis yang sahih adalah asas dalam amalan Muslim. Ertinya, bersugi sentiasa digalakkan tanpa mengira sama ada puasa ataupun tidak. Nabi SAW dalam hadis sahih yang lain menyatakan tujuan bersugi dengan menyebut: “Bersugi itu membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan reda” (Riwayat Ahmad, an-Nasai, Ibn Hibban dan lain-lain)

Justeru, jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan pekerti dalam perkataan dan perbuatan yang mengeratkan hubungan baik sesama masyarakat. Jangan jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan orang lain terhadap mereka yang berpuasa. Berpuasa dan bersugilah!