Monday, October 20, 2014
Salah Without Understanding - Guilty? - Mufti Menk
Ada orang
dah solat berpuluh tahun, tapi still tak tahu maksud atau makna bacaan dalam solat yang diorang buat (ramai sebenarnya).
Tak hairan la kalau tak kusyuk dalam sembahyang. Oleh itu, marilah kita
renung-renungkan dan paham-pahamkan setiap rangkap yang kita sebut sewaktu kita solat.
Takbiratul-Ihram / Takbir
Allah Maha Besar.
Doa Iftitah
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan
banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi
Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan
aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku,
matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan
kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan
orang Islam.
Al-Fatihah
Dengan nama
Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha
mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah
dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang
lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka,
bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.
Bacaan ketika rukuk
Maha Suci
TuhanKu Yang Maha Besar dan dengan segala puji-pujiannya.
Bacaan ketika bangun dari rukuk
Allah mendengar
pujian orang yang memujinya.
Bacaan ketika iktidal
Wahai Tuhan kami
bagi Engkaulah segala pujian.
Bacaan ketika sujud
Maha suci
TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.
Bacaan ketika duduk di antara dua sujud
Ya Allah,
ampunilah dosaku dan rahmatilah daku, lindungilah daku, angkatlah darjatku,
rezekikan daku, berilah aku petunjuk, selamatkanlah daku dan maafkanlah akan
daku.
Bacaan ketika Tahiyat Awal
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah
untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta
keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas
hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah
dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan
kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.
Bacaan ketika Tahiyat Akhir
Segala
penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas
engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami
dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan
melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh
Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas
keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga
Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau
berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya
Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.
Doa Qunut
Ya Allah,
berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah
aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku
sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku
apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala
kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang
menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain
daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu.
Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya
Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam
puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan
bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan
sejahtera keatas keluarganya dan sahabatsahabatnya. Salam
Sejahtera ke atas kamu berserta rahmat Allah.
Sunday, October 19, 2014
Nyahkan bangsawan samseng - Dr Asri
HARAKAHDAILY | .
KUALA
LUMPUR: Jika bangsawan itu sekadar
menunjukkan kesamsengan kepada rakyat, mendapat pelbagai harta dan tempat atas
cengkaman kedudukan padahal ramai lain yang lebih layak, membazir harta awam,
memukul sesuka hati orang biasa, mengambil apa saja yang mereka suka, mengungut
sesiapa yang mereka mahu, memaki sesiapa yang mereka hendak, maka golongan
bangsawan seperti itu sepatutnya dinyahkan dari sesuatu bangsa.
Demikian tulis bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam
facebooknya, semalam.
Menurutnya, sesuatu bangsa akan terus dalam belenggu kebodohan jika golongan
bangsawan seperti itu masih dibiarkan.
Tulisan penuh beliau sebagaimana di bawah.
Bangsawan ialah golongan yang berkedudukan mulia ataupun ‘kononnya mulia’ dari
segi keturunan. Ini seperti mereka yang dari keturunan raja, sultan, khalifah,
presiden, menteri dan seumpamanya. Perkataan mulia itu juga kadang-kala lebih
bersifat persepsi. Betapa ramai dalam sejarah pelbagai bangsa, golongan yang
dianggap mulia hanya disebabkan keluarga mereka menjadi maharaja ataupun raja
ataupun sultan, ataupun mana-mana pembesar padahal asal usul keturunan mereka sebelum
itu mungkin perompak, lanun di laut ataupun penipu besar ataupun pembunuh yang
kejam yang kemudian telah berjaya merebut kuasa dan diwarisi. Bahkan semasa
berada di atas kuasa pun sebahagian golongan yang dianggap bangsawan itu
meneruskan agenda merampok orang lain tetapi mungkin dengan berselindung di
sebalik kuasa, ataupun menjadi ‘perompak berlesen’.
Ramai juga mereka yang bergelar diri bangsawan, ataupun merasa diri telah
menjadi bangsawan itu menjadi sombong dan bongkak sehingga merasakan mereka
boleh berbuat apa sahaja. Mereka memukul, memaki, mencedera, mengambil harta
orang lain dan awam serta pelbagai cara hidup samseng diamalkan dalam gaya
hidup mereka. Mereka sering merasakan mereka mesti menang dalam setiap
persaingan. Mereka fikir mereka tidak boleh dipertikai dan dilihat kalah.
Kehendak mereka ‘by
hook or by crook’
mesti tercapai. Apabila mereka merasa kecewa ataupun marah mereka mula
bertindak zalim ke atas pihak yang lemah. Bangsawan seperti ini kita panggil
bangsawan samseng.
Mengajar Bangsawan Samseng
Dalam Kanz al-‘Umal dan disebut juga dalam Futuh Misr wa Akhbaruha oleh Ibn
‘Abd al-Hakam al-Misri yang menceritakan sejarah pembukaan Mesir, diriwayatkan
daripada Anas bin Malik bahawa seorang lelaki dari Mesir telah datang kepada
Khalifah ‘Umar bin al-Khattab di Madinah. Lelaki itu berkata: “Wahai Amirul
Mukminin! Aku meminta perlindunganmu dari kezaliman”. Kata ‘Umar: Ya!. Kata
lelaki itu: “Aku berlumba dengan anak gabenor Mesir (Muhammad bin ‘Amr bin
al-‘As), lalu aku menang. Maka dia (anak gabenor) memukulku dengan cemeti
sambil berkata: “Aku anak golongan yang mulia”.
Khalifah Umar bin al-Khattab menulis surat perintah kepada gabenor Mesir ‘Amr bin al-‘As meminta dia dan anaknya Muhammad itu hadir ke Madinah. Apabila mereka hadir, Umar memanggil lelaki dari Mesir tersebut. Lelaki itu datang, lalu Umar memberikan kepadanya cemeti dan berkata: “Pukul dia”. Dia pun memukul sambil Umar berkata: “Pukullah anak golongan yang mulia”.
Khalifah Umar bin al-Khattab menulis surat perintah kepada gabenor Mesir ‘Amr bin al-‘As meminta dia dan anaknya Muhammad itu hadir ke Madinah. Apabila mereka hadir, Umar memanggil lelaki dari Mesir tersebut. Lelaki itu datang, lalu Umar memberikan kepadanya cemeti dan berkata: “Pukul dia”. Dia pun memukul sambil Umar berkata: “Pukullah anak golongan yang mulia”.
Kata Anas bin Malik yang menyaksikan kejadian itu: “Dia memukul dan kami suka
dengan pukulannya. Dia tidak berhenti sehingga kami harap dia berhenti”.
Kemudian Umar berkata kepadanya: “Letakkan cemeti itu atas kepala botak bapanya
(kepala ‘Amr bin al-‘As)”. Lelaki itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Hanya anaknya
yang memukulku, aku telah pun membalasnya dan memadai”.
Kemudian Umar berkata kepada ‘Amr bin al-‘As: “Sejak bilakah engkau
memperhambakan manusia sedangkan ibu-ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan
merdeka?!” Jawab ‘Amr bin al-‘As: “Sesungguh aku tidak tahu kes ini”.
Sama Di Sisi Tuhan
Demikian Khalifah ‘Umar mengajar kesombongan golongan bangsawan ini. Padahal
‘Amr bin al-‘As seorang sahabat Nabi s.a.w. Namun keadilan itu tidak mengenal
keturunan dan latar harta. Semua manusia sama di sisi Allah. Kita semua dari
keturunan Adam. Hanya yang lebih kerana nilaian kebaikan jiwa dan ketinggian
budi. Nabi s.a.w menyebut: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa
kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan
arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit
hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan
ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, hadis berstatus hasan).
Jika hendak dikira manusia yang mulia, maka khalifah empat bagi umat ini Abu
Bakr, Umar, Uthman dan ‘Ali merupakan insan-insan mulia yang dipilih memegang
jawatan khalifah atas kemuliaan diri mereka. Bukan kerana keturunan mereka
mendapatkan kuasa ataupun kerana pengaruh harta mereka yang banyak. Sebaliknya
kerana kualiti diri mereka dan kemuliaan mereka yang nyatakan oleh Nabi
Muhammad s.a.w sendiri. Pun begitu mereka tidak pernah menyatakan ‘kami ini
mulia, sahabat sahabat utama Nabi Muhammad maka jangan pertikai perbuatan dan
tindakan kami. Siapa pertikai dianggap derhaka pada negara dan bangsa!’. Sama
sekali mereka tidak pernah berkata demikian.
Sebaliknya Khalifah Abu Bakar al-Siddiq pada hari dia memegang jawatan khilafah
berucap: "Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin
kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah
aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. " (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh,
1/361).
Hanya mereka yang perasan sahaja merasakan diri mereka bangsawan yang tidak
boleh dipertikaikan. Hanya bangsa ataupun individu yang bodoh, dungu dan feudal
ataupun pengampu terlampau sahaja yang menganggap mengkritik golongan bangsawan
istana itu satu kesalahan dan menggesa agar pengkritik diambil tindakan. Mereka
yang seperti itu mempunyai masalah mental dan akidah sehingga seakan menganggap
golongan bangsawan itu bagaikan maksum melebihi para nabi yang diutuskan oleh
Tuhan.
Pupus
Perlu diingat, kesamsengan golongan bangsawan telah menyebabkan kebanyakan
mereka pupus dari tampuk kuasa. Walaupun Parsi, Rome, China, beberapa Negara
Eropah, dan India pernah memiliki empayar dan kekuasaan yang luas, namun ke
mana perginya maharaja-maharaja mereka?! Kesemuanya pupus dibuang oleh kehendak
rakyat apabila mereka dilihat sudah tidak relevan lagi. Mereka lebih banyak
merosakkan dari memberikan manfaat kepada rakyat. Nepal juga telah membuang
institusi raja mereka.
Jika kita lihat istana-istana raja-raja Eropah serta pencapaian mereka, mereka
bagaikan tidak akan tumbang. Maharaja-maharaja China dan Parsi pasti lebih gah
dan hebat dengan tentera dan kemewahan harta dan wanita mereka. Tapi kesemuanya
lenyap. Kesemua ini menjadi pengajaran kepada golongan bangsawan yang masih
berkuasa dalam pelbagai bangsa agar menjaga adab dan ketertiban mereka, jangan samseng
sehingga akhir mereka dicampak oleh rakyat sendiri dan bangsa sendiri.
Salah satu sebab kejayaan bangsa Eropah adalah kerana mereka tidak membiarkan
kezaliman raja-raja berterusan. Pembuangan sistem istana dan agama yang
diperalatkan oleh istana telah membawa bangsa Eropah maju dan bebas dari
cengkaman kezaliman. Inilah yang disebut oleh ‘Amr bin al-‘As ketika mengulas
hadis Nabi s.a.w mengenai kiamat berlaku dalam keadaan Rome paling banyak
rakyatnya. Kata ‘Amr: “Jika kamu sebut demikian, sesungguhnya pada mereka ada
empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing) ketika dalam
bahaya. Kedua; Mereka paling pantas bangkit selepas bencana. Ketiga; Paling
cepat menyerang balas musuh. Keempat; Mereka paling baik untuk anak yatim, orang
miskin dan orang lemah kalangan mereka. Tambahan kelima, satu ciri yang baik
lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja”.
Golongan bangsawan sepatutnya menjadi manusia paling hormati dalam sesebuah
masyarakat. Mereka paling mematuhi peraturan, paling santun kepada rakyat
bawahan dan menjadi teladan kesopanan dan kehalusan budi, bahasa dan akhlak.
Ucapan mereka menjadi ikutan, falsafah mereka menjadi pegangan, bahasa mereka
menjadi ukuran.
Jika bangsawan itu sekadar menunjukkan kesamsengan kepada rakyat, mendapat
pelbagai harta dan tempat atas cengkaman kedudukan padahal ramai lain yang
lebih layak, membazir harta awam, memukul sesuka hati orang biasa, mengambil
apa saja yang mereka suka, mengungut sesiapa yang mereka mahu, memaki sesiapa
yang mereka hendak, maka golongan bangsawan seperti itu sepatutnya dinyahkan
dari sesuatu bangsa. Sesuatu bangsa akan terus dalam belenggu kebodohan jika
golongan bangsawan seperti itu masih dibiarkan. Golongan samseng yang menyakiti
rakyat bukan sahaja patut dibuang, bahkan tidak layak pun untuk ditempat di
muzium sejarah mana-mana bangsa pun melainkan dengan catatan hitam ‘samseng’.
Saturday, October 18, 2014
Wuduk Gabungan Islam & Sains
SITI ZURAIDAH
ISMAIL
17 Oktober 2014
ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang yang beriman! Apabila kamu
hendak melaksanakan solat, basuhlah wajahmu dan tanganmu sampai ke siku dan
sapulah kepalamu dan kedua kakimu sampai kedua buku lali. Jika kamu berjunub
mandilah. Dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali kepada tempat
berhadas atau menyentuh perempuan, maka jika kamu tidak mendapat air, maka
bertayamumlah dengan debu yang baik (suci); usaplah wajahmu dan tanganmu dengan
(debu) itu. ALLAH tidak ingin menyukarkanmu, tetapi Dia hendak membersihkanmu
dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, agar kamu bersyukur. (Surah
Al-Maidah: 6)
ALLAH SWT mensyariatkan berwuduk bagi Muslimin ketika hendak melakukan solat
bagi membersihkan. Di samping menjaga kesihatan melalui kebersihan secara
lahiriah yang dilakukan paling tidak lima kali dalam sehari, wuduk juga
membersihkan dari dosa dan kesalahan yang dilakukan anggota badan.
Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Apabila Mukmin
berwuduk, kemudian dia membasuh wajahnya keluarlah daripada wajahnya bersama
titisan air yang terakhir kesalahan dilakukan dengan pandangan kedua matanya. Apabila
dia membasuh kedua tangannya keluarlah dari kedua tangannya bersama titisan air
yang terakhir segala kesalahan yang dia lakukan dengan kedua tangannya. Dan
apabila dia membasuh kedua kakinya maka akan keluar bersama titisan air yang
terakhir segala kesalahan yang dia lakukan dengan kedua kakinya, sampai
akhirnya dia akan keluar dalam keadaan bersih dari dosa." (Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW menjelaskan bekas berwuduk pun menjadi saksi bagi orang
yang melakukannya dengan bersinarnya anggota badan yang dibasuh dan dicuci
ketika berwuduk.
Daripada Abu Hurairah RA dia berkata: "Saya mendengar Nabi SAW
bersabda: "Sesungguhnya umatku akan dipanggil di hari kiamat dalam keadaan
wajah, tangan dan kaki yang bercahaya karana bekas-bekas air wuduk mereka. Maka,
barang siapa di antara kalian yang dapat menambahkan cahayanya maka hendaklah
dia lakukan.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Inilah yang seharusnya menjadi tujuan kita ketika berwuduk agar kita
mendapatkan keampunan dan reda ALLAH sebagaimana yang diharapkan dalam setiap
amal ibadah dilakukan.
Tetapi, itu tidak menutup hikmah dan manfaat lain daripada wuduk
sebagaimana ditegaskan dalam ayat di atas. ALLAH menyucikan dan membersihkan
orang berwuduk secara lahiriah iaitu daripada aspek kesihatan.
Segala kegiatan dilakukan seorang yang berwuduk mulai dari membasuh kedua
telapak tangan sehingga membasuh kaki bermanfaat bagi kesihatan badan.
Wuduk adalah ibadah yang sederhana, murah dan mudah, bahkan terkadang dianggap
ringan, namun ia mengandungi hikmah luar biasa.
Wuduk menyimpan manfaat yang sangat besar. Ilmu pengetahuan moden khususnya
dalam bidang kedoktoran mengkaji mengenainya lantas menemukan banyaknya
manfaat kesihatan yang diperoleh seorang yang sentiasa berwuduk.
Berkumur-kumur antara sunnah berwuduk. Ia membersihkan mulut daripada kuman
yang ada dalam air liur, gigi, lidah dan semua bahagian mulut sehingga
dapat mencegah daripada penyakit gusi dan gigi. Juga dapat menguatkan otot
mulut dan wajah serta mencegah terjadinya radang saluran pernafasan.
Memasukkan air ke dalam hidung lalu mengeluarkannya juga membersihkan hidung
dari kuman yang ada dalamnya dan itu dapat mencegah daripada penyakit hidung dan
alat pernafasan.
Membasuh muka dan tangan dapat memberikan
kesegaran terhadap wajah dan kedua tangan dan membersihkannya daripada kuman
dan debu.
Membasuh muka dan kedua tangan ini juga dapat menghilang peluh dari permukaan
kulit dan membuka pori-pori kulit, juga dapat menghilangkan lemak dan minyak
yang ada pada kulit wajah dan tangan disebabkan kelenjar dalam kulit.
Semuanya itu memberikan pengaruh yang besar terhadap kesegaran dan kesihatan
tubuh seseorang. Begitu juga dengan membasuh kedua kaki.
Dengan membasuh muka, kedua tangan dan kedua kaki ini juga melancarkan
peredaran darah di sekitar anggota tubuh itu sehingga sangat berpengaruh kepada
keadaan jiwa seorang mukmin yang menjadi lebih tenang dan jauh daripada reaksi
dan emosi yang negatif.
Fakta perubatan menunjukkan peredaran darah di hujung kedua tangan dan kaki
lebih lemah dibandingkan dengan bahagian tubuh lainnya kerana tempat yang jauh
dari jantung.
Penelitian membuktikan membasuh dan mengurut kedua tangan dan kaki itu secara
teratur memperkuat dan melancarkan peredaran darah sehingga menjadikan badan
lebih semangat dan segar serta menguatkan pertahanan tubuh terhadap kuman
penyakit.
Itulah hikmahnya kenapa ALLAH memerintahkan umat Islam untuk sentiasa bersuci
kerana perbuatan berkenaan akan menyucikan mereka dan menyempurnakan nikmat-Nya
dan bukan untuk menyusahkan atau menyulitkan mereka.
Firman-Nya: "ALLAH tidak ingin menyukarkanmu, tetapi Dia hendak
membersihkanmu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, agar
kamu bersyukur." (Surah Al-Maidah 6).
Apa Jawapan Kalian Di Akhirat Wahai Pemimpin!
ABD RAZAK MUTH
ALIB, PERUNDING LATIHAN DAN MOTIVASI DI AITC.
17 Oktober 2014
MERENUNG kisah
Khalifah Umar bin Abd al-Aziz selepas beliau dilantik menjadi khalifah, amat
meruntun jiwa dan perasaan. Pembesar yang menunggu kehadiran Umar bin Abd
al-Aziz hairan kenapa beliau tidak muncul di khalayak ramai.
Lalu mereka bertanya kepada anaknya. Kata anaknya: “Ayahku sejak dilantik,
beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya,
air matanya bercucuran hingga ke janggutnya.
Apabila ditanya, dia berkata: “Wahai Fatimah! Aku dikalungkan urusan umat
Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir perihal orang yang fakir,
yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi
lagi dipaksa, tawanan perang yang di jauh, orang tua yang uzur, orang mempunyai
keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada
di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu Tuhanku akan bertanya aku
mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh
untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis.” (Lihat: Mahmud al-Baji, Muthul ‘Ulya
min Qada al-Islam, 144)
menangis ingat akhirat
Masih ada lagikah pemimpin umat seperti ini? Menangis kerana takutkan saat
bertemu Tuhan bagi menjawab segala amanah yang dipertanggungjawabkan. Apabila
dilantik menjadi pemimpin, fikirannya kepada kebajikan rakyat, kerana ada yang
susah dan melarat, lalu timbul rasa resah apakah jawapannya di akhirat.
Alangkah bahagianya jika kita berada di bawah pemerintahan pemimpin seperti
ini. Nasib rakyat benar-benar terjaga. Jauh sekali terasa dianiaya. Suara
penderitaan rakyat didengar dan dibela. Adil dan saksama. Kesusahan dan
kesenangan dirasai bersama. Jawatan dan pangkat tidak disalah guna untuk
kemewahan diri dan sanak keluarga.
Menjadi pemimpin bukanlah suatu yang mudah dan ringan bagi mereka yang sentiasa
ingat bahawa akan ada hari perhitungan di hadapan Tuhan. Semakin tinggi jawatan, semakin berat amanahnya. Semakin berat amanah,
semakin banyak soal bicaranya. Jika di dunia seorang pemimpin mampu bercakap
keluarkan alasan itu dan ini bagi menghalalkan pengkhianatan amanah yang
dilakukan, jangan harap untuk ulanginya di akhirat.
ALLAH SWT mengingatkan: “Pada waktu itu Kami meterai mulut mereka (sejurus);
dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan
masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka
telah usahakan”. (Surah Yaasin: 65)
Hanya sifat keadilan dan ketakwaan mampu menjamin nasib seorang pemimpin di
akhirat kelak. Sebab itulah di dalam hadis yang diriwayatkan al-Bukhari dan
Muslim, Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW menyenaraikan satu
daripada tujuh golongan yang akan mendapat naungan ALLAH SWT di akhirat ialah
pemimpin yang adil.
Rakyat
pilih pemimpin adil
Justeru menjadi tanggungjawab rakyat juga apabila ingin melantik pemimpin,
kriteria yang dinilai ialah tokoh yang berwibawa, bijak, amanah dan mampu
memerintah dengan adil.
ALLAH SWT berfirman:memerintahkan kita: "Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu
supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak
menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (ALLAH
menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya ALLAH dengan (suruhan-Nya)
itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya ALLAH
sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat." (Surah Al-Nisa’: 58)
Rakyat perlu mengangkat pemimpin yang bijak, amanah dan adil. Malanglah bagi
sebuah masyarakat jika yang dinilai layak menjadi pemimpin ialah mereka yang
hartanya melimpah ruah, rumah tersergam indah, pakaian dan kereta serba mewah,
tetapi amanah dan keadilannya punah ranah.
Tidak
salah pemimpin kaya
Tidak salah untuk pemimpin menjadi kaya raya, asalkan kekayaan itu adalah hasil
titik peluhnya secara halal. Mudah-mudahan kekayaannya itu dapat membantu
menyempurnakan lagi tanggungjawabnya kepada rakyat jelata. Jika pemimpin yang
diangkat hanya memikirkan kekayaan dirinya, maka akan terjadilah rakyat disuruh
berjimat cermat, tidak membeli barangan yang mewah, sambil itu dia mengangkat
telefon bimbit terbarunya dengan megah.
Ini satu musibah!
Islam tidak menghalang pemimpin mahupun rakyat untuk menjadi kaya. Tetapi
biarlah ia diperolehi dan dinikmati secara halal, adil dan saksama. Kekayaan
itu pula dimanfaatkan untuk meningkatkan kekuatan umat. Bukan untuk memuaskan
nafsu tamak individu. Jika pemimpin kita kaya raya, tetapi rakyat masih ada
yang merana, apakah patut kita berasa bangga?
Pemimpin
yang dicari
Kita mencari pemimpin yang memperjuangkan kebenaran dan menegakkan keadilan
berdasarkan syariat Islam. Said bin Suwaid di dalam khutbahnya pernah berkata:
“Wahai manusia, sesungguhnya Islam mempunyai dinding yang kuat dan pintu yang
utuh. Dinding Islam ialah kebenaran dan pintunya ialah keadilan. Islam akan sentiasa
kuat selagi mana pemerintahnya bersifat tegas. Ketegasan pemerintah bukanlah
membunuh dengan pedang atau memukul dengan cemeti tetapi dengan menegakkan
perkara yang benar dan memerintah dengan adil.” (Ibn Abd Rabbihi, al-‘Aqd
al-Farid, 1/33)
Pemimpin yang menjadikan akhirat sebagai matlamat, tidak akan tergamak untuk
khianat kepada amanah rakyat. Rakyat akan dipimpin agar taat kepada ALLAH dan
Rasul supaya dapat menuju akhirat dengan selamat.
Hayati ucapan khalifah pertama, Abu Bakr al-Siddiq semasa diberikan amanah
pemerintahan: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin
kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah
aku.
“Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah
khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku
mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku
sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya),
insya-ALLAH.
“Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad,
melainkan ALLAH timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan
ALLAH dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan ALLAH dan Rasul-Nya, maka tiada
ketaatan untukku.” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361)
Wahai pemimpin, kami dambakan keadilan, kejujuran dan keprihatinan kalian di
dunia ini. Kami akan mati, kalian juga akan
mati. Apa jawapan kita di akhirat nanti?
Friday, October 17, 2014
INILAH PETA KEHIDUPAN
Hidup mesti dilihat mengikut ketetapan Penciptanya. Hanya dengan itu kejayaan dan kebahagiaan yang hakiki dan abadi dapat dimiliki. What you get is what you see – apa yang kita dapat, bergantung kepada apa yang dilihat. Dan tidak ada penglihatan yang paling tepat dan jelas melainkan dirujuk kepada pandangan Allah.
Mereka yang dapat mengikut ketetapan Allah itulah yang
dikatakan celik mata hati – melihat hidup dengan penuh kesedaran. Untuk jadi
sedar (celik mata hati) kita perlu memahami skrip kehidupan seperti yang telah
ditentukan oleh Allah s.w.t. Kita tidak minta untuk dihidupkan tetapi hidup ini
adalah kurniaan daripada Allah.
Untuk hidup selamat, tenang, dan bahagia, hiduplah
mengikut “skrip” Pencipta. Jadilah hamba yang sebenar kerana itu menentukan
bagaimana kita melihat hidup ini. Who you are determines how you see – siapa
anda menentukan bagaimana anda melihat (memandang). Jadi, apabila kita
merasakan diri kita hamba Allah, maka kita akan melihat hidup ini dari kaca
mata Penciptanya (Allah)!
Skrip Kehidupan
Skrip
kehidupan inilah jika dilalui dengan penuh iltizam dan istiqamah, akan
menghasilkan kemenangan yang bersepadu antara diri dan masyarakat, material dan
spiritual, dunia, dan akhirat. Kita akan mendapat apa yang sepatutnya dan
sewajarnya yang kita dapat. Sebaliknya, jika apa yang kita lihat tersalah
ataupun tersasar, maka apa yang kita dapat juga akan tersasar. Kita akan
menyesal di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kerana kita dapat apa yang
sepatutnya “tidak kita dapat”. Terasa benarlah hidup di dunia hanya sia-sia.
Inilah yang digambarkan oleh firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya (dengan keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada
kamu mengenai azab yang dekat masa datangnya – iaitu hari seseorang melihat apa
yang diusahakannya, dan (pada hari itu) orang yang kafir akan berkata:
“Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk
dihitung amalku dan menerima balasan).” (Surah al-Naba’ 78: 40).
Apakah hanya apabila kita berada di dalam kubur, barulah
kita akan tersentak (tersedar) dalam memahami apa sebenarnya hakikat hidup ini?
Pada waktu itu baru kita faham dan akur tentang apa tujuan kita dihidupkan di
dunia. Dan di situ jualah baru kita sedar apa yang paling bernilai dan apa yang
tidak bernilai dalam hidup. Pendek kata
sewaktu itulah pandangan kita tentang hidup (worldview) akan tepat dan jelas.
Namun sayang sekali, di sana segala-gala yang tepat dan jelas itu
sudah tidak berguna lagi.
Kata hukama: “Beramallah ketika berada di tempat yang
tidak ada ganjaran tetapi ada peluang beramal (dunia), sebelum kita berpindah
ke tempat yang hanya ada ganjaran tetapi sudah tidak ada peluang beramal
(akhirat).”
Oleh itu adalah lebih baik kita terlebih dahulu sedar
ketika hidup di dunia (kerana kita masih ada peluang untuk memperbaiki diri dan
membetulkan kesilapan), daripada kita tersedar ketika berada di alam kubur,
yang pada ketika itu segala-galanya sudah tidak berguna lagi.
Umar Ibn Abd. Aziz pernah berkata, manusia diciptakan
untuk selamanya. Mengapa Umar berkata begitu? Maksudnya, bermula manusia
diciptakan buat kali pertama, diri manusia akan terus hidup dan mengembara dari
satu alam ke satu alam. Kembara ini hanya akan berakhir sama ada di syurga atau
di neraka. Di perhentian terakhir itulah manusia akan hidup berkekalan, sama
ada dengan limpahan nikmat, atau mendapat azab buat selama-lamanya. Sebelum
tiba di titik pengakhiran itu, manusia akan terus mengembara.
Takah
Hidup Insan
Kembara manusia bermula dari alam roh. Di sana manusia tidak mempunyai jasad. Tidak ada jantina, lelaki ataupun perempuan. Bagaimana
keadaan kita pada waktu itu? Sangat sedikit yang kita ketahui tentang alam itu.
Firman Allah: “Jika kamu bertanya tentang roh, katakan yang roh itu urusan
Tuhanmu. Dan tidaklah kamu mengetahui daripada ilmu Allah melainkan sedikit
sekali.” (Surah al-Israk 17: 85)
Alam Roh
Tetapi apa yang
pasti di alam itu manusia sangat rapat dengan Tuhan. Sehingga pengakuan ini
dicatat dalam al-Quran:
“Bukankah Aku
ini Tuhanmu? Roh menjawab, ya kami menjadi saksi (kewujudan-Mu).” (Surah
al-A’raf 7: 172)
Pada ketika itu,
roh sangat kenal dan mengakui keesaan Allah sebagai Rabb (Penciptanya). Pada
ketika itu juga roh berjanji untuk menjadi hamba Allah yang patuh. Perjanjian
ini termeterai antara manusia dengan Allah sehingga dengan itu manusia sanggup
memikul amanah sebagai khalifah di muka bumi. Walaupun semua makhluk lain
menolak amanah ini, manusia sebaliknya, telah menyatakan kesanggupannya.
Dan kesediaan ini menyebabkan manusia menjadi pelakar
sejarah dalam kehidupan di muka bumi dan memberi impak yang besar kesannya
kepada kehidupannya sendiri. Firman Allah: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan
tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk
memikulnya), maka mereka enggan memikulnya kerana bimbang tidak dapat
menyempurnakannya dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya)
sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah
suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut
dikerjakan.” (Surah al-Ahzab 33: 72).
Tidak diketahui berapa lama tempoh manusia berada di alam
roh. Namun yang pastinya setiap manusia mengambil gilirannya untuk “diturunkan”
ke alam dunia. Kita pun datang ke bumi generasi demi generasi. Sayangnya,
pengakuan, perjanjian, kesanggupan dan segala yang berlaku di alam roh
seolah-olah sudah dilupakan oleh manusia. Mengapa kita boleh lupa? Memang logik
kita lupa kerana alam itu telah begitu lama kita tinggalkan. Sedangkan hal yang
berlaku seminggu yang lalu pun kita boleh ‘terlupa’, inikan pula entah berapa
ratus ribu tahun sudah kita membuat perjanjian itu?
Alam Rahim
Sebelum dilahirkan ke alam dunia, manusia terlebih dahulu
“transit” di alam rahim. Alam rahim terletak di dalam perut ibu. Indah sekali
namanya; Rahim (nama Allah Al-Rahim). Sekali gus melambangkan kasih sayang
seorang ibu terhadap anaknya, yang hakikatnya berasal daripada kasih sayang
Allah. Di sini janin dilindungi untuk menjadi seorang bayi.
Bayi akan tinggal di alam yang kukuh dan penuh kasih
sayang ini selama lebih kurang 9 bulan 10 hari (mengikut kebiasaannya). Dalam
tempoh tersebut ada beberapa proses biologi dan rohani berlaku. Daripada sari
pati tanah, menjadi nutfah, kemudian menjadi alaqah dan diikuti pembentukan
mudghah. Kemudian menjadi tulang dan selepas itu mula diliputi dengan daging,
dan dibungkus dengan kulit. Akhirnya terbentuklah bayi yang lengkap sifatnya.
Di alam rahim
ada beberapa perkara telah ditentukan. Antaranya rezeki, tempoh kehidupan,
celaka atau bahagianya.
Hadis daripada Abdullah bin Mas’ud r.a dia berkata,
Rasulullah s.a.w. seorang yang benar serta dipercayai pernah bersabda:
“Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama empat puluh
hari. Sebaik sahaja genap empat puluh hari kali kedua terbentuklah segumpal
darah beku. Manakala genap empat puluh hari kali ketiga bertukar menjadi
seketul daging. Kemudian Allah s.w.t. mengutus malaikat untuk meniupkan roh
serta memerintah supaya menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh
kematian, amalan serta nasibnya sama ada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan.
Maha suci Allah s.w.t. di mana tiada tuhan selain-Nya, seandainya seseorang itu
melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni syurga sehinggalah
kehidupannya hanya tinggal sehasta dari tempoh kematiannya, tetapi disebabkan
ketentuan takdir, nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana
yang dilakukan oleh penghuni neraka sehingga dia memasukinya. Begitu juga
dengan mereka yang melakukan amalan ahli neraka, tetapi disebabkan oleh
ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana
yang dilakukan oleh penghuni syurga sehinggalah dia memasukinya.”
Tegasnya, segala persediaan dan kelengkapan untuk menuju
alam dunia telah dipersiapkan di sini. Jasadnya mula dilengkapi oleh komponen
pancaindera (pendengaran, penglihatan, sentuhan, rasa dan lain-lain).
Sepertimana penyelam yang perlu memakai pakaian khas untuk menyelam, lengkap
dengan bekalan oksigennya, maka begitulah manusia yang berpindah ke alam dunia,
pakaian khasnya ialah jasad dan kelengkapannya ialah pancaindera.
Alam Dunia
Tiba masanya,
butang hidup pun di“on”kan. Manusia pun lahir ke alam dunia dengan diiringi
tangisan. Tangisan ini ada maknanya yang tersendiri. Dalam kalangan ahli kerohanian
ada yang mentafsirkan tangisan ini sebagai tanda protes bayi tersebut terhadap
syaitan yang sejak lahir sahaja manusia ke dunia sudah diajak kepada kejahatan.
Begitulah erti tangisan itu.
Manakala ahli
perubatan pula menjelaskan bahawa tangisan itu diperlukan untuk si bayi mula
mengepam oksigen ke paru-parunya yang baru berfungsi.
Apa pun makna
dan tafsirannya, hidup memang dimulakan dengan tangisan, di celah-celah
kehidupan ada tangisan dan diakhiri dengan tangisan. Tidak ada manusia yang
lahir dengan ketawa!
Di alam dunia
inilah bermulanya ujian kerana memang manusia hidup untuk diuji. Firman Allah
yang bermaksud: “Dijadikan mati dan hidup bagi kamu untuk menguji siapakah
antara kamu yang terbaik amalannya.” (Surah al-Mulk 67:2)
Lazimnya hidup manusia
ini sekitar 60 hingga 70 tahun, namun perlu diingat, hidup di dunia inilah yang
paling kritikal, kerana ia menentukan sama ada kita bahagia atau derita
selama-lamanya. Dunia ini penuh dengan ujian. Dunia umpama “dewan peperiksaan”.
Manusia mesti menjawab beberapa “soalan peperiksaan” yang sebenarnya telah pun
“bocor”. Saya katakan demikian kerana soalan-soalan yang akan ditanyakan di
alam kubur dan alam Mahsyar itu telah pun dimaklumkan kepada manusia di dunia
lagi. Berikut adalah soalan-soalan itu:
Soalan
Dalam kubur:
Siapa Tuhan
kamu?
Siapa Imam kamu?
Siapa saudara
kamu?
Apakah kiblat
kamu?
Soalan di Alam
Mahsyar:
Ke mana hartamu
kamu belanjakan?
Ke mana ilmumu
kamu gunakan?
Ke mana umurmu
kamu sia-siakan?
Bagaimana umur
muda kamu habiskan?
Namun, harus
diingat soalan-soalan itu bukan dijawab secara lisan berdasarkan pemikiran. Tetapi
perbuatan dan amalan kita di alam dunia itulah yang membantu memberi ‘jawapan’
kepada soalan-soalan itu. Jika kita melakukan sesuatu yang selaras dengan
kehendak Allah, maka itu jawapan kepada soalan “Siapa Tuhan kamu?”. Jika kita
benar-benar mengikut panduan sunnah Rasulullah, maka itulah jawapan kepada
soalan “Siapa imam kamu?”
Alam
Barzakh (Alam Kubur)
Hidup di dunia
akan berakhir melalui proses kematian. Jika kelahiran adalah proses yang
membawa kita pindah dari alam rahim ke alam dunia, maka mati pula adalah proses
yang membawa kita pindah dari alam dunia ke alam barzakh. Hakikatnya, kelahiran
dan kematian adalah sama – satu proses yang mesti dilalui sebelum berpindah ke
alam selepas dari alam sebelumnya. Sayangnya, ramai manusia yang hanya membuat
persediaan untuk menghadapi kelahiran berbanding kematian. Kain
lampin lebih popular daripada kain kapan!
Alam barzakh
(ertinya pemisah) ialah sempadan antara dunia dan akhirat. Di sana manusia ibarat dalam tahanan reman, sementara
menunggu saat perbicaraan. Tetapi di alam barzakh ini sudah ada
petunjuk-petunjuk awal sama ada kembara seterusnya akan berjalan dengan baik
atau sebaliknya. Di sini sudah mula soal siasat terhadap
segala perlakuan di dunia. Dua malaikat, Munkar dan Nakir, sudah menjalankan
tugas awalnya. Mukadimah nikmat (bagi yang soleh) dan mukadimah azab (bagi yang
toleh) sudah ketara dan dirasai. Di sini manusia
akan menunggu saat perbicaraan sama ada dalam keadaan selesa atau seksa. Perbicaraan
dan keputusan muktamadnya adalah di Padang Mahsyar.
Alam
Mahsyar
Dua tiupan (bumi
dilipatkan semula dengan sistem aturannya diterbalikkan. Dan berlakulah letupan
kuat). Sangkakala dikumandangkan oleh Israfil – kali pertama untuk mematikan
mereka yang masih hidup di saat itu dan kali kedua untuk menghidupkan semula
semua yang sudah mati. Manusia pun dibangkitkan semula dari alam kubur menuju
Mahsyar. Pelbagai rupa dan cara manusia ke sana ditentukan oleh amalan
masing-masing. Visualnya, digambarkan dengan jelas dalam peristiwa Israk
Mikraj.
Di sanalah
keadilan yang mutlak dan muktamad ditegakkan. Jika di dunia yang benar tidak
selalu dimenangkan, dan yang salah tidak selalu dikalahkan, tetapi di akhirat
yang benar pasti menang, yang salah pasti kalah. Allah Maha Adil dalam
menentukan sesuatu hukuman.
Walaupun Dia Hakim yang Maha Mengetahui, namun Dia masih
mahu pengadilan itu dibuktikan oleh para saksi. Sedangkan apa perlunya saksi
jika segala-galanya sudah diketahui? Ketika itu anggota badan kitalah yang
menjadi saksi – segalanya dibenarkan bersuara malah mendakwa.
Alam Syurga atau Neraka
Setelah menerima catatan amal (lengkap dengan fakta dan
data yang terperinci), yang bukan hanya mencatat setiap langkahan kaki tetapi
juga lintasan hati, maka “keputusan” peperiksaan itu melayakkan manusia ke alam
syurga jika berjaya dan ke alam neraka jika gagal. Di sanalah kembara yang
panjang itu berakhir. Ada
yang “happy ending”. Ada pula yang
berakhir dengan sengsara. Sampai bila? Sampai bila-bila. Tidak ada kembara lagi
selepas itu! Itulah hidup yang hakiki dan di sanalah perhentian yang abadi.
Sehingga di sini
istirahatkan minda anda kerana lelah juga menyusuri perjalanan hidup kita. Itu
baru menerusi perantaraan minda atau pemikiran. Perjalanan sebenarnya tentu
menuntut kelelahan yang berganda. Kembara ini penuh liku, cabaran dan kesusahan.
Jika kembara di satu alam (dunia) ini pun kita boleh tersesat dan melarat,
apatah lagi kembara yang melalui di lima alam yang serba unik itu.
Dan yang paling
penting ialah bagaimana hendak menjalani kehidupan yang sebaik-baiknya di alam
dunia – alam yang sedang kita hidup sekarang. Masa lalu tidak dapat diputar
kembali. Kita tidak boleh merayu untuk tidak dijadikan, menerima amanah dan
dihantar ke dunia.
Manakala masa
depan, tidak boleh dijangkau. Apa yang penting ialah kita boleh menentukan masa
depan (di Alam Barzakh, Mahsyar, Syurga atau Neraka) dengan bekerja kuat pada
hari ini (di dunia) dengan input dan peringatan yang kita dapat daripada masa
lampau (di alam roh). Insya-Allah.
Dari Blog Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Wednesday, October 15, 2014
Hidup Tenang Jika Reda Hadapi Ujian
Oleh Maslina Alias
Setiap manusia akan menghadapi mati, sama ada bersedia atau tidak, kita akan dipanggil menghadap Ilahi apabila tiba waktunya. Apa yang didambakan setiap manusia ialah apabila tiba ajalnya nanti, Allah SWT memanggilnya dengan panggilan 'wahai jiwa yang tenang'.
Manusia terlalu inginkan ketenangan sehinggakan sanggup memburu kekayaan dan kemasyhuran yang disangkakan boleh memberi ketenangan. Ketenangan tidak boleh dianggap sebagai aksesori persekitaran, justeru, kekayaan bukanlah kayu pengukur kepada ketenangan.
Malah, seseorang itu mungkin tidak memiliki kekayaan, tetapi beliau memiliki ketenangan yang luar biasa. Begitulah permulaan bicara topik 'Radhiah, Mardhiah' oleh Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali, dalam program Usrah Nurani yang bersiaran jam 1.15 petang Jumaat di IKIMfm.
Kunci ketenangan
Zul Ramli memetik kata-kata Imam Ghazali, manusia akan mati mengikut cara bagaimana dia hidup. Oleh itu katanya, jika kita mahukan saat mati itu mendapat ketenangan, maka kehidupan kita di dunia juga perlu mendapat ketenangan.
Setiap manusia perlu memasang niat dan berazam memulakan kehidupan yang baru dan bangkit menjalani kehidupan dengan penuh ketenangan dan anak kunci ketenangan ialah firman Allah SWT yang bermaksud: "Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan engkau reda kepada Allah dan Allah reda kepadamu." (Surah al-Fajr, ayat 28)
Menjawab persoalan Helmi mengenai seorang ibu yang pernah mengatakan bahawa kelahiran anak boleh menyebabkannya jatuh bankrap dan berputus asa dengan kehidupannya, Zul Ramli berkata, manusia dikurniakan keupayaan untuk memilih menerima atau menolak kesusahan yang datang.
Menerima bermaksud kita reda dengan apa yang telah berlaku kepada diri dan menolak bermaksud tidak reda serta menyalahkan takdir yang ditentukan kepada kita. Perkara pertama yang perlu diterima oleh setiap orang Islam ialah kita adalah hamba Allah SWT, kepada-Nya kita menyembah dan memohon pertolongan.
Helmi mengaitkan reda dengan tanggungjawab sebagai hamba kepada Pencipta dan memuliakan Nabi SAW serta tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa. Sesungguhnya reda Allah SWT itu terletak kepada reda kedua-dua ibu bapa.
Selain itu, sebagai manusia kita juga bertanggungjawab untuk menyumbang terhadap agama dan masyarakat. Hamka pernah mengatakan, 'Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan pun hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja'.
Apabila kita mula menyoal diri mengenai tanggungjawab kita, Allah SWT akan mencampakkan ketenangan dalam diri kita.
Kupasan mengenai reda, meredai
Dr Nik Roskiman mengupas lanjut mengenai dua komponen penting iaitu reda dan meredai dengan memetik kata-kata Hasan Al Basri, 'Sekiranya kita ingin mengetahui kedudukan kita di sisi Allah SWT, maka lihatlah kedudukan Allah SWT di sisi kita.'
Katanya, bagaimana kita meletakkan Allah SWT dalam kehidupan seharian, sama ada kita mengutamakan Allah SWT dalam setiap perkara yang dilakukan ataupun tidak. Itulah petanda kita dekat atau jauh daripada reda Allah SWT.
Dalam konteks yang sama, Dr Nik Roskiman mengatakan reda itu bagaimana kita menerima qada dan qadar yang ditentukan Allah SWT kepada hambanya. Nabi SAW sentiasa memanjatkan syukur kepada Allah SWT sama ada dikurniakan kebaikan, kebahagiaan atau ditimpa musibah dan ujian.
Kita perlu yakin apa sahaja yang Allah SWT timpakan sama ada baik atau buruk adalah untuk kebaikan kita.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah, ayat 216)
Saat ujian datang, mungkin susah bagi kita untuk menghadapinya, menjadi seorang yang reda iaitu tenang menerima ujian. Apabila ujian datang kepada seseorang yang tidak mempunyai latihan, sudah pasti ia akan memusnahkan dirinya.
Zul Ramli mengajak ahli usrah dan pendengar bersama melatih diri menghadapi ujian. Beliau mengambil contoh pemain bola yang akan bertanding hanya selama 90 minit yang tidak pernah berhenti membuat latihan.
Tidak boleh elak ujian
Manusia tidak boleh lari daripada ujian. Setiap orang inginkan kebahagiaan, namun tidak semua dapat mengecapinya. Tidak ada seorang manusia yang inginkan ujian, tetapi setiap orang akan mendapat ujian.
Zul Ramli merujuk reda sebagai buah dan manusia sudah pasti tidak dapat membaiki buah, tetapi manusia boleh membaiki akarnya. Untuk mendapatkan buah yang manis kita tidak boleh menyuntik gula padanya, tetapi perlu membajai akarnya.
Reda dalam Islam adalah akhlak dan kita perlu kembali kepada perkara utama iaitu mengenal Allah SWT dan persoalan akhirat. Manusia boleh menerima ujian apabila kenal dengan Allah SWT dan membawa akhirat ke dalam diri. Itulah yang dikatakan sebagai latihan untuk menghadapi ujian.
* Penulis ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
Tuesday, October 14, 2014
IPT perlu wujudkan iklim ilmu seperti sebuah taman - Raja Nazrin
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa kepada Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar semasa Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-53 di Kuala Lumpur, semalam.
Sultan Perak, Sultan Nazrin
Muizzuddin Shah bertitah, dalam usaha melahirkan graduan berminda terbuka,
pentadbiran universiti perlu mencerminkan karakter sebuah taman yang di
dalamnya terkandung kepelbagaian flora dan fauna baik dari segi bentuk, saiz,
bau mahu pun rupa.
Titah baginda, minda terbuka
adalah aset kerana dengan pemikiran tersebut lahirnya persefahaman,
keharmonian, berupaya memerdekakan jiwa individu daripada sikap prejudis,
menyuburkan sifat toleransi, melahirkan idea baharu dan membantu mengukuhkan
amalan demokrasi.
"Universiti jangan sama sekali memiliki identiti ladang. Ladang
menumpukan tanaman yang terbatas, serupa dan sama, disusun menurut kontur dan
barisan yang tegar. Dituai hasilnya secara bermusim, diracun dan dibunuh
tumbuhan lain yang cuba menjalar di persekitaran ladang.
"Universiti hendaklah memiliki identiti sebuah taman yang mengandungi
kekayaan pelbagai flora dan fauna, hidup subur dan segar dari pepohon besar
kepada tumbuhan renek, merimbun lagi melata dengan pelbagai bentuk, saiz, warna
dan bauan," titah baginda di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah demikian semasa Istiadat Konvokesyen Universiti
Malaya (UM) Ke-53 yang diadakan serentak bersempena pemasyhuran baginda
sebagai Canselor UM keempat bagi menggantikan ayahandanya, Almarhum Sultan
Azlan Muhibbuddin Shah yang mangkat Mei lalu.
Pada majlis istiadat tersebut juga, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan
Sri Ramli Ngah Talib turut dimasyhurkan sebagai Pro Canselor UM sebagai
pengiktirafan terhadap pengetahuan dan pengalaman beliau dalam bidang ilmu yang
diyakini dapat memanfaatkan UM.
Pada konvokesyen kali ini, seramai 5,257 graduan akan menerima diploma dan
ijazah masing-masing dengan dua tokoh, Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar dianugerahkan
Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa manakala Datuk Rasammah Noami
(Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan).
Selain itu, dua graduan yang memperoleh keputusan cemerlang sepanjang
pengajian mereka pula akan menerima Anugerah Pelajaran Diraja iaitu Izhar
Mustaqin Madisa, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Seni Bina serta Lim Dwem
Wei, graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi.
Dalam pada itu Sultan Nazrin bertitah, para pensyarah juga hendaklah
memiliki prinsip dan hikmah bagi menyuburkan sesebuah taman ilmu dengan
memiliki karakter penjaga taman iaitu tidak menebang dahan atau mencabut akar
sebaliknya hanya memotong ranting yang reput.
"Universiti adalah gedung terkumpulnya khazanah ilmu dan modal
intelek. Khazanah intelek perlu diurus tadbir dengan minda terbuka, inovatif
lagi kritikal manakala modal intelek pula harus dilaburkan melalui budaya yang
berupaya memerdekakan idea baharu," titah baginda.
Monday, October 13, 2014
Melayu lemah, salah siapa?
MUHAMMAD ALI HASHIM
13 Oktober 2014
SEMUA Melayu
yang cintakan bangsanya pasti berasakan kedudukan Melayu hari ini paling
tertekan dan terancam, iaitu situasi genting yang belum pernah berlaku dalam
sejarah kehidupan bangsa. Hari ini semakin ramai melihat ancaman terhadap
Melayu satu isu hidup-mati bangsa atau existential threat, kerana Melayu
dihujani ancaman serentak dari semua sudut kehidupan.
Bukan sahaja ekonomi layu dan politik tergugat sejak beberapa lama. Kali ini
semua hak Melayu dipersoal, termasuk status dan hak di sisi undang-undang dan
perlembagaan. Demikian juga keutuhan sosial dan budaya Melayu digoncang hingga
ke akar-umbi, langsung mencabar kedudukan agama dan nilai hidup serta tamadun
Melayu sekali pun. Prospek generasi depan Melayu semakin tidak menjanjikan
kepastian, seolah-olah semua yang dimiliki dan dicapai selama ini semakin
beransur terlepas daripada genggaman dan kawalan bangsa.
Tambahan pula, sumber ancaman bukan sahaja berciri domestik atau dalam negara.
Badai dan gelora global kelihatan lebih kencang menggugat dan melanda semua.
Kedudukan Melayu sebagai Muslim turut tercabar hebat setelah negara dan umat
Islam seluruh dunia semakin tergugat, terjejas konflik dan keganasan
berpanjangan, mengakibatkan kesucian dan kebesaran agama Islam dan status
tamadun umat terbaik atau “khaira ummah” dicabar dan dipersoal.
Bukan masa
menuding jari
Ancaman kepada Melayu dan masa depan mereka menjadi lebih genting dan
membimbangkan apabila barisan kepimpinan dan elit Melayu di puncak masyarakat
kelihatan semakin rancak menuding jari sesama sendiri. Harapan bangsa Melayu
kepada pemimpin di segala peringkat dan lapisan sebenarnya sangat tinggi;
mengharapkan kuasa, kedudukan, sumber dan pengaruh yang ada pada mereka
digunakan untuk menunjukkan jalan keluar mendapatkan penyelesaian terbaik.
Sebaliknya ramai pemimpin Melayu semakin mengecewakan kerana tidak kelihatan
dapat bertindak dengan hikmah dan bijaksana meyakinkan semua membulatkan
bangsa. Ada yang kelihatan berminat merebut kerusi dan kuasa, tetapi
kemudiannya menggunakan semuanya untuk menegakkan perjuangan sempit parti atau
agenda politik dan kedudukan peribadi. Terlalu ramai pemimpin politik Melayu
kelihatan lebih mengutamakan memenangi PRU akan datang, langsung sanggup
mengetepikan kepentingan lebih besar bangsa, agama dan negara.
Lebih buruk, apabila ada pemimpin politik lebih gemar menuding jari menuduh dan
menyalahkan sesama sendiri, termasuk menonjolkan kelemahan pemimpin lama yang
diganti, sekali pun semua terbabit bersama parti. Malang sekali bagi bangsa
Melayu jika kecenderungan menuding jari ini sebenarnya mencerminkan kebankrapan
idea dan ketandusan daya fikir berstrategi; juga kehilangan hikmah dan
kebijaksanaan pemimpin dan golongan elit Melayu serta merosotnya kebesaran jiwa
barisan pemimpin Melayu.
Tuduh-menuduh
mengecewakan
Justeru, pasti ramai Melayu kecewa apabila tokoh hebat Melayu, iaitu pemimpin
politik seperti Tun Mahathir Mohamed dan pembesar agama seperti Tan Sri
Harussani Zakaria, Mufti Perak, kedua-dua sangat disanjung tinggi, dihormati
dan disegani oleh bangsa Melayu, dilaporkan telah bertikam lidah secara terbuka
di media mengenai kontroversi punca ramainya remaja Melayu mengangkat senjata
berjihad ke Syria. (Lihat Malay Mail Online, 2 Oktober, 2014).
Tidak kena pada tempatnya jika pejuang besar politik menuding jari menyalahkan
pemimpin agama atas berlakunya peristiwa ini. Lebih-lebih lagi, selagi
kemiskinan dan kesempitan hidup, juga rasuah dan korupsi, penyelewengan,
ketidakadilan dan kezaliman ekonomi serta keangkuhan dan penyalahgunaan kuasa di
negara sendiri tidak tegas diatasi dan tidak berkesan dibasmi oleh pejuang
politik.
Demikian juga sebaliknya, apabila pemimpin agama menuduh pejuang politik dan
kelemahan dasar kerajaan sebagai sebab utama remaja Melayu berjihad menyertai
Negara Islam (IS) di Syria, dikatakan kerana kegagalan kerajaan menyeimbangkan
ekonomi dan melindungi hak milik harta Melayu dan umat Islam. Apakah wajar kita
hentikan pembangunan perindustrian dan perlahankan pertumbuhan ekonomi cuma
kerana takutkan Melayu terpinggir dan ketinggalan?
Justeru, tidak ada manfaatnya bangsa Melayu diheret ke dalam kancah
tuduh-menuduh seperti ini. Dalam sistem demokrasi, perdebatan, perbalahan dan
lontaran idea serta pandangan pro-kontra suatu proses digalakkan untuk mencari
titik pertemuan rumusan terbaik dijadikan teras persepakatan dan kebulatan maju
ke depan.
Malangnya, dalam sistem demokrasi separa matang seperti di Malaysia, masyarakat
masih terlampau terpengaruh oleh kesetiaan kepada peribadi seseorang pemimpin
dan lebih menilai baik-buruk atau salah-benar sesuatu isu berlandaskan siapa
yang menutur atau memperkatakannya dan tidak menilai secara objektif makna,
pengertian atau kesan dan impak sebenar terhadap kepentingan bangsa dan agama
daripada apa yang diperkatakan.
Yang membimbangkan ialah apabila perbezaan pendapat dan pandangan tidak dilihat
sebagai satu proses mencapai keputusan dan mencari penyelesaian menuju
persepakatan dan kebulatan. Lebih merosakkan apabila masyarakat Melayu amnya
dengan penuh emosi, turut terjun terbabit sama dalam kancah tuding-menuding dan
tuduh-menuduh, taksub pula berpuak dan berpihak menyokong pemimpin kesukaan
masing-masing sehingga melupakan kepentingan besar bangsa, agama dan negara.
Jihad
sebagai jalan keluar
Inilah bahayanya apabila Melayu tidak memandang serius dan tidak memahami
dengan mendalam cabaran dan ancaman hidup-mati yang sedang dihadapi bangsa.
Seolah-olah bangsa Melayu telah menjadikan berpolitik satu sukan baru,
dijadikan acara tontonan dan hiburan meraih minat tepuk-sorak bangsa.
Apabila politik menjadi acara sukan, pasti ada golongan yang akan taksub dengan
wira dan menjulang juara masing-masing, setia kepada warna dan simbol pilihan
tanpa mempedulikan makna dan pengertian sebenar perjuangan. Juga, apabila
persoalan hidup-mati bangsa dan agama dijadikan satu acara sukan, misalnya
membabitkan pertandingan antara puak politik dan puak agama, fokus atlet
politik bangsa dan jaguh agama akan terpesong kepada hanya untuk menjadi juara,
merebut piala dan mendapat tepukan dan sorakan gemuruh sementara daripada
kalangan penyokong masing-masing.
Akhirnya keseronokan sementara ini akan hanya merobek perpaduan bangsa yang
sedia rapuh dan getas, bukan menyimpul kukuh mendapatkan semula punca untuk
mengikat-kuatkan kembali jalinan kesepaduan.
Sesungguhnya ramai Melayu pasti kecewa dengan peristiwa tuduh-menuduh dan
tuding-menuding jari antara pemimpin politik dan agama, sehingga mungkin ada
juga yang terkilan, terjejas semangat juang olehnya. Namun saya yakin semuanya
kembali terubat dan mendapat suntikan semangat baru apabila membaca titah
ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah disampaikan pada majlis
sempena ulang tahun penubuhan BPR/SPRM seperti dilaporkan media pada 2 Oktober,
2014.
Titah Sultan Perak dengan tajuk “Rasuah: Senario dan Cabaran” wajar mendapat
sambutan seluruh bangsa Melayu, terutama apabila baginda Sultan dengan tegas
dan berani menyeru bangsa Melayu bangkit berjihad memerangi rasuah.
Baginda Sultan menganjurkan jihad memerangi rasuah berlandaskan hakikat rasuah
berpunca daripada dua kategori utama. Pertama, golongan miskin dan terdesak,
yang terpaksa melakukannya kerana kesempitan hidup; dan kedua, kalangan yang
bersifat tamak-haloba, “…secara umumnya daripada kumpulan atasan, berjawatan
penting, bernafsu tinggi, mengamalkan gaya hidup mewah.”
Kesimpulannya, dalam menghadapi cabaran serta ancaman hidup-mati, pemimpin
Melayu di segala bidang, peringkat dan lapisan tiada pilihan selain serius
mencari penyelesaian berani, berimpak besar membawa pembaharuan bermakna yang
kekal berpanjangan. Justeru, langkah besar dan berani berjihad memerangi
rasuah, berjihad membersihkan politik, juga berjihad menerusi bisnes (Jihad
Bisnes) memerangi kemiskinan dan ketidakadilan ekonomi memperkasa ekonomi
Melayu wajar dijadikan agenda besar bangsa dan negara, sekali gus
diintegrasikan sepenuhnya ke dalam RMK 11 serta semua program perancangan
transformasi negara.
* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) ali.bizjihad@yahoo.com
Subscribe to:
Posts (Atom)