Tuesday, December 16, 2014

RUmah Kontena alternatif kepada Rumah Mampu Milik

Posted on Tuesday, December 16 @ 05:45:26 MYT 

" 
14 Dis 2014 - RUMAH kontena dilihat boleh menjadi alternatif kepada pemilikan rumah lebih murah, praktikal dan efisien. Pada usia 25 tahun, Muhamad Azree Abdul Rahim boleh berbangga dengan diri sendiri kerana mempunyai tanah dan rumah sendiri. Terletak di Kampung Sijang­kang, Hulu Langat, Selangor, rumah itu mempunyai ruang tamu yang bercantum dengan bilik tidur, dapur serta tandas yang dilengkapi dengan pancuran mandian.

Uniknya, rumah Muhamad Azree bukanlah dibina daripada batu-bata atau papan, sebaliknya jejaka yang berasal dari Kluang, Johor itu berfikir di luar kotak dengan memilih kontena sebagai kediamannya.

“Sebelum ini, saya menyewa sebuah bilik di sebuah rumah teres di Seksyen 35, Shah Alam dengan kadar sewa sebanyak RM300 sebulan. Bagaimanapun, selepas enam bulan menduduki rumah tersebut, saya rasa tidak berbaloi.
“Berdasarkan pengiraan yang dibuat, saya terpaksa membelanjakan RM18,000 untuk sewa bilik itu selama lima tahun. Ia dilihat tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada saya.
“Dari situ, saya terfikir untuk mencari jalan alternatif bagi menyelesaikan permasalahan tersebut dan menyedari ia mampu direalisasikan menerusi rumah daripada kontena,” katanya yang berkhidmat sebagai jurutera perisian di sebuah syarikat farmasi di Shah Alam.
Bagi menjayakan impiannya untuk memiliki rumah sendiri, Azree membuat pinjaman peribadi sebanyak RM50,000 dengan tempoh bayaran balik kepada bank dalam masa lima tahun.
Melalui peruntukan itu, dia memulakan projek berkenaan sekitar November lalu dengan membeli sebidang tanah lot berkeluasan 2,400 meter persegi di Kampung Sijangkang pada harga RM35,900.
Anak kelima daripada enam adik-beradik itu kemudiannya membeli sebuah kontena kargo bersaiz 14.8 meter persegi.
Tambah pemegang Diploma Teknologi Maklumat Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur itu, dia turut membelanjakan kira-kira RM5,000 untuk kerja-kerja pengubahsuaian antaranya mengecat, pemasangan panel pintu dan tingkap, pemasangan paip serta pendawaian elektrik.
Biarpun belum 100 peratus siap, Azree berpendapat projek rumah kontena itu bukan sekadar perniagaan, malah satu pergerakan untuk orang ramai khususnya golongan muda memiliki rumah sendiri dan keluar daripada belenggu hutang.


Komen :
Dalam suasana kenaikan harga barang yang tidak terkawal, harga rumah yang sama mahal sebagaimana di UK dan US, maka ini satu idea yang boleh diterima pakai. Cuma kenalah cari tanah dulu.

Wednesday, December 10, 2014

Cakap benarlah mengenai ekonomi

Kadir Jasin: Cakap benar mengenai ekonomi
KADIR JASIN
7 Disember 2014

DALAM siri isu kepemimpinan kali ini, marilah kita berbincang sedikit mengenai ekonomi semasa. Tajuk ini mungkin berat tetapi sangat afdal kepada kelangsungan (survival) negara kita.

Saya tidak menyalahkan pemerintah dan media massa kawalannya kerana menghebahkan berita baik dan menguar-uarkan prestasi ekonomi yang dikatakan baik sehingga mendapat pujian pemimpin dunia.

Saya akui bahawa angka kasar menunjukkan ekonomi kita sihat. Pertumbuhannya jika diukur daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK/GDP) adalah memuaskan.

Tetapi angka kasar boleh memesongkan. Misalnya, banyak rumah, kedai dan ruang pejabat didirikan. Pembinaan rumah, kedai dan pejabat yang banyak itu menyumbang kepada pertumbuhan KDNK.

Tauke simen, pasir dan keluli buat duit. Perunding dalam dan luar negara buat duit. Pekerja binaan Indonesia, Bangladesh, India dan Myanmar buat duit. Penjaja nasi lemak Melayu di bahu jalan pun buat duit.

Tetapi kita juga tahu dan lihat banyak rumah, kedai dan pejabat tidak dijual atau disewakan, tidak didiami dan digunakan. Ada yang ditenggelami lalang, ditumbuhi pokok jejawi atau roboh terus. Iklan untuk dijual dan disewa menyakitkan mata.

Inilah yang ahli ekonomi sebut sebagai pertumbuhan yang tidak berkualiti atau penyalahuntukan sumber (misallocation of resources). Bila rumah, kedai dan ruang pejabat tidak digunakan maka tidak berlakulah penokokan nilai (value added) dan kesan serapan (trickle down effect).

Kalau rumah dijual dan didiami, kedai disewa dan perniagaan dijalankan, pejabat dibuka dan kakitangan diambil barulah berlaku penokokan nilai dan kesan serapan.

Tidak salah Menteri Kewangan Kedua, Ahmad Husni Hazadlah, menyatakan keyakinan yang matlamat mengurangkan defisit belanjawan 2014 kepada 3.5% KDNK masih boleh dicapai walaupun harga minyak jatuh teruk. Begitu jugalah kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Tengku Zafrul Aziz bahawa asas ekonomi (economic fundamentals) negara terus kukuh dan Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakariah Abdul Rashid melihat prospeks ekonomi sebagai bercampur (mixed).

Malangnya, bukan harga minyak mentah saja jatuh. Harga minyak kelapa sawit dan getah sudah lama merudum. Permintaan ke atas komponen elektronik masih kukuh. Tetapi dengan ekonomi dunia diramalkan beku tahun hadapan, permintaan mungkin tidak kekal.

Petronas telah pun mengurangkan perbelanjaan modal (capex) dan memberi amaran mungkin tidak boleh membayar dividen yang tinggi kepada kerajaan. Tetapi kalau dipaksa, Petronas akan tambah dividen dan  kurangkan lagi capex.

Kredibiliti Maklumat Rasmi

Soalnya, bolehkah kita percaya kepada dakwaan bahawa fundamental ekonomi kita kukuh apabila bukan saja harga komoditi utama kita jatuh malah kadar tukaran mata wang kita pun jatuh juga?

Sangat mengelirukan apabila Gabenor Bank Negara, Zeti Aktar Aziz, berkata bagus apabila nilai ringgit naik dan bagus juga apabila ia jatuh.

Harga saham dan jumlah dagangan di Bursa Malaysia semakin menurun. Prestasi syarikat-syarikat yang disenaraikan dengannya lebih banyak yang negatif daripada positif. Boleh kata majoriti melaporkan penurunan keuntungan.

Pada 1 Disember, kadar tukaran ringgit jatuh paling banyak dalam sehari sejak Krisis Kewangan Asia 1997-98 kepada RM3.4320 bagi satu dolar Amerika.

Pada 3 Disember, akhbar The Star (milik MCA dan mewakili sentimen masyarakat perniagaan Cina) menyiarkan analisis pendapatan suku ketiga tahun ini (Julai-September) bagi syarikat-syarikat Bursa Malaysia.

Ia mendapati hanya dua daripada lima sektor utama ekonomi meningkat. Automotif naik 18.2% dan perbankan 1.6%, tetapi perkhidmatan jatuh 58.5%, komoditi jatuh 37.7% dan minyak&Gas jatuh 29.3%. Perkhidmatan menyumbang lebih daripada 50% kepada kegiatan ekonomi negara.

Pada 4 Disember, akhbar yang sama menyiarkan analisis prestasi mata wang ringgit. Ia mendapati ringgit jatuh berbanding kebanyakan mata wang rakan perdagangan utama kita.

Ringgit jatuh 5.61% berbanding dolar Amerika, 5.58% berbanding dolar Hong Kong, 3.93% berbanding Baht, 2.93% berbanding Rupee, 2.44% berbanding dolar Taiwan dan 0.95% berbanding dolar Singapura. Duit kita naik berbanding Yen (9.40%), Euro (5.91%), dolar Australia (4.32%), pound Inggeris (2.31%) dan Rupiah (0.73%).

The Star juga meramalkan yang kelembapan eksport mungkin mengakibatkan Malaysia mengalami defisit kembar (twin deficit), iaitu defisit akaun semasa dan defisit perdagangan. Ia memetik ketua ahli ekonomi AllianceDBS (bank), Manokaran Mottain.

Lebih Baik Terus Terang

Banyak lagi fakta dan ramalan ekonomi yang menjurus ke arah keadaan yang sukar dan mencabar bagi ekonomi negara tahun ini dan tahun hadapan. Ekonomi Eropah diramalkan menguncup tahun hadapan. Ekonomi Australia sudah mula menurun. Hatta ekonomi China yang perkasa itu pun sudah mula dingin.

Jadi, bukankah lebih elok bagi kerajaan mengakui realiti semasa dan berterus terang kepada rakyat jelata. Lebih baik membuatkan mereka kurang gembira dengan menyatakan kebenaran daripada membuatkan mereka marah apabila malapetaka ekonomi melanda mereka.

Sama ada ekonomi kita akan mengalami krisis atau tidak tahun hadapan, satu hal. Itulah yang sedang diramalkan oleh pembangkang pusat.

Yang utama sekarang adalah berkongsi maklumat secara rasional dan terbuka dengan rakyat jelata. Bukan berdolak-dalik dengan mereka apatah lagi memesongkan mereka dengan berita-berita baik yang sengaja diada-adakan.

Rakyat tidak “bangang”. Mereka tahu “practical economy.” Mereka sudah rasa kenaikan harga akibat pemansuhan subsidi. Mereka tahu harga petrol turun, tapi harga diesel naik. Mereka rasa pelik. GST belum dilaksanakan, tetapi sudah ada barang yang naik harga kononnya kerana cukai baru itu.

Mereka tahu harga getah dan kelapa sawit merudum kerana mereka yang mengeluarkannya. Mereka tahu ringgit Malaysia tidak bernilai seperti dulu lagi kerana hari-hari mereka beli-belah sendiri. Jangan tunggu mereka marah. Terus teranglah dengan mereka. Jangan sekali-kali anggap mereka bangang, bodoh, dungu, tongong dan bahlul.
 


* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.