Derhaka Alaf Baru?
Adik beradikku orang yang berpendidikan, beragama, lebih jelas jika
aku nobatkan bahawa mereka orang-orang yang berjaya. Kadang-kadang aku
terfikir, mungkin mereka merasakan apa yang mereka miliki adalah atas
usaha mereka sendiri. Jika benar, mereka amatlah rugi. Walaupun mereka
berjaya, namun kadangkala ada kekurangan dalam kehidupan mereka. Aku
yakin yang itu adalah salah satu akibat pengabaian terhadap ibu dan
bapa.
Dari dulu, bahkan sehingga usiaku menjejak 30 tahun, aku sering
disogokkan dengan cerita yang tidak enak daripada adik-beradikku. Sering
kali mereka meluahkan perasaan dendam terhadap ibu bapa kami. Bila aku
menafikan, mereka sering berkata yang aku beruntung kerana menjadi anak
terakhir dalam keluarga dan tidak sempat merasai apa yang mereka rasa.
Kenapa terjadinya begini? Bagiku, mereka mengangap ibuku bukan ibu
yang terbaik ...Ibu dianggap sebagai penyebab hidup mereka yang mereka
fikirkan sepatutnya lebih berjaya, hancur kerana sikap ibu yang tidak
bertanggunjawab. Mereka selalu mengungkit bahawa ibu tidak pernah
mengajar mereka tentang agama dan sebagainya.
Mungkin penderaan zahir tidak ada, namun ibu seolah-olah tidak wujud
pada pandangan mereka. Ibu tidak pernah diajak berunding. Dia tidak
mendapat hak yang selayaknya sebagai seorang ibu. Diherdik, dimarahi.
Pada saat ibu memerlukan kasih sayang anak-anak dan cucu-cucu, dia
dipinggirkan. Ibu ditolak seperti bola. Ibu sunyi ...sunyi daripada
kasih sayang.
Aku menginterpretasikan bahawa itu adalah penderhakaan terhadap ibu
bapa pada alaf baru. Solat dilakukan, namun kebajikan kepada ibu dan
bapa diabaikan. Ya, ibu tidak pernah dinobatkan sebagai ibu mithali. Ibu
tidak sesempurna seperti yang mereka harapkan. Namun, layakkah kita
sebagai seorang anak yang masih diizinkan oleh ALLAH SWT untuk menyimpan
dendam kepada wanita mulia bergelar ibu walau apa juga keadaannya...?
Jawapannya TIDAK bagi aku. Ibu adalah ratu hatiku. Itu ikrarku dari
dulu sehingga kini. Ikrarku terzahir dek kerana perasaan memberontak ku
dari kecil melihatkan apa yang abang dan kakakku lakukan terhadap kedua
ibu bapa kami. Aku tidak pernah berasa puas hati terhadap apa yang
mereka lakukan dari dulu sehingga kini ke atas ibu bapaku.
Aku pernah menzahirkan mengenai perkara ini. Akhirnya, aku
dipinggirkan. Namun, aku amat bersyukur dikurniakan seorang suami yang
amat menyayangi ibuku. Beliau sering berpesan supaya aku menunjukkan
contoh yang terbaik kepada adik-beradikku yang lain. Katanya, walaupun
hanya aku yang benar-benar berbakti kerana ALLAH SWT kepada ibuku,
mungkin ibuku hilang lapan orang anak, tapi dia akan bahagia, daripada
terus hilang kesembilan orang anak-anaknya.
Suamiku juga berkata, kenapa kita perlu membuat pengharapan agar
orang lain berbuat baik kepada ibu? Sepatutnya, kita mulakanlah dengan
diri sendiri. Tanggujawab menjaga zahir dan batin ibu bapa adalah
tanggungjawab setiap insan bergelar anak. Alhamdulillah, sejak dari itu,
aku mula menjadi pasif mengenai perkara ini. Aku tidak meluah namun aku
hanya bertindak dengan tindakan yang sebaik-baiknya untuk ibu pada usia
emasnya.
Ikrarku juga berinspirasikan tentang kisah teladan mengenai jiran
Nabi Musa di syurga. Dia seorang remaja yang hidupnya berbakti kepada
ibu bapanya walaupun ALLAH SWT telah memurkai mereka sehingga mengubah
wajah mereka menjadi khinzir. ALLAH SWT telah mengangkat martabat remaja
ini kerana ketaatannya. Aku lupa bagaimana kisah ini hadir dalam
hidupku. Tapi aku pasti bila aku mendengarnya; iaitu sewaktu aku di
sekolah rendah. Alhamdulillah, kerana kisah teladan ini menjadi titik
tolak dan panduan kepada diriku untuk berusaha menjadi anak yang solehah
kerana aku percaya keredhaan ALLAH SWT bergantung kepada keredhaan ibu
bapa walau apa jua keadaan mereka.
Pada usia begini aku yakin siapa dan di mana aku berada adalah bukti
kekuasaan ALLAH SWT dan salah satunya adalah kunci kerana patuh kepada
ibu bapa. Aku anak yang paling berjaya dalam keluargaku. Sehingga kini,
aku cuba dan masih berusaha membuktikan kepada adik beradikku bahawa
kebahagiaan dan kejayaan di dunia adalah berkat daripada ALLAH SWT
kerana berbakti kepada ibu dan bapa.
Pada usia emas ibu kini, ibu semakin sensitif, herdik dan marah
anak-anak disimpan di dalam hati. Seringkali air mata ini tidak dapat
tertahan apabila ibu meluahkan kepada aku bahawa dia redha jika ini
takdir ALLAH SWT kepadanya.
Ya ALLAH, berikanlah kesempatan untuk kami adik beradik menghargai
ibu semasa hayatnya masih ada. Bahagiakan dia agar dia merasa berharga.
Ya ALLAH, aku bersyukur kerana masih lagi mempunyai seorang ibu yang bagi aku, adalah seorang insan yang mulia.
Ya ALLAH ampunkan dosa-dosa arwah ayahandaku dan amankanlah dia di sana.
Ya ALLAH ampunkanlah dosa-dosa bondaku, berikanlah dia kesihatan
yang baik dan berikanlah daku kesempatan untuk memeluknya, berbakti dan
menagih kasih sayangnya.
Ya ALLAH , berikanlah ketetapan dalam hatiku untuk menyanjungi ibu bapaku hingga akhir nafasku.
Aku masih dalam peringkat terakhir pengajian sarjanaku. Aku mahu
pulang cepat untuk berjumpa dengan ibu dan aku berdoa agar ALLAH SWT
memberikan kesempatan untuk aku pulang membawa kejayaan menghadiahkannya
kepada ibu.
Coretan ini untuk mengingatkan kepada diri sendiri yang (juga sudah
bergelar ibu) agar menghargai ibu selagi hayat masih ada - dan keyakinan
terhadap walau siapa juga ibu bapa kita, redha ALLAH SWT terletak pada
redha mereka.
Semoga amalan hidup kita tidak sia-sia.
Biodata Penulis
mammz10 merupakan pelajar sarjana tahun akhir di Univeristy of Edinburgh.
No comments:
Post a Comment