MENJANGKAU PASCA RAMADAN
07
Ogos
Oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Walaupun Ramadan belum berakhir,
tetapi tidak salah kalau kita muhasabah ke hadapan. Maksudnya, kita
gerakkan hati dan fikiran kita untuk melihat apa yang akan kita ’dapat’
atau siapa kita akan ‘jadi’ pasca Ramadan ini. Supaya dengan itu, kita
belajar menghargai detik Ramadan yang masih berbaki. Jangan sampai bila
ia berlalu, kita menepuk dahi… kesal kenapa kita tidak mendapat apa-apa
atau diri masih di takuk lama.
Bukankah Rasulullah SAW sendiri
mengingatkan dalam sebuah hadisnya, betapa ada muslim yang berpuasa
tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga dan tidak mendapat
apa-apa daripada Qiamullailnya melainkan letih dan kepenatan berjaga
malam semata-mata.
Apakah hasil yang kita harapkan selepas
berpuasa di bulan Ramadan? Apakah bentuk manusia yang kita akan jadi
selepas keluar dari ‘kem latihan’ Ramadan ini? Ya, mari bermula dengan
satu pengakiran – menjangka hasil akhir ketika memulakan. Supaya dengan
ini, puasa yang berbaki beberapa hari sahaja lagi ini akan kita
laksanakan penuh keikhlasan dan pengharapan. InsyaAllah agar segala dosa
terampun, dan kita meningkat menjadi insan yang lebih baik berbanding
bulan-bulan sebelumnya.
Ingatlah, bahawa tujuan berpuasa adalah
untuk melahirkan taqwa. Orang yang bertaqwa itu sangat berhati-hati
menjaga hukum Allah. Dia juga akan mencegah dirinya daripada berbuat
sesuatu yang diharamkan Allah. Begitulahlah erti taqwa – sentiasa
berhati-hati dan sentiasa mencegah diri daripada segala yang dimurkai
Allah. Persis seperti yang digambarkan oleh Ubai bin Kaab, apabila
ditanya oleh Sayidina Umar tentang taqwa. Kata Ubai, “seperti seorang
yang sedang melalui jalan yang penuh duri.” Maksudnya, sangat
berhati-hati agar tercegah daripada memijak duri!
Dan sudah sewajarnya keluar sahaja
daripada madrasah Ramadan, umat Islam sudah mencapai taqwa. Dia akan
berhati-hati apabila hendak bercakap, belajar, makan, bertindak,
berfikir dan bertindak agar sentiasa berada dalam keredaan Allah. Dia
tidak sembarangan lagi berbuat sesuka hati melainkan terlebih dahulu
merujuk kepada hukum Allah yang lima – halal, haram, sunat, makruh dan
harus. Daripada persoalan sekecil-kecilnya, seperti masuk ke dalam
tandas sehingga mengatur dan memimpin urusan negara.
Taqwa itu berada di dalam diri.
Rasulullah SAW menunjukkan ke dadanya, apabila memberi penjelasan
tentang taqwa. Namun, yang di dalam hati itu akan memberi kesan kepada
luaran, justeru hati itulah yang mengawal segala perlakuan. Walaupun
taqwa itu nilai seseorang di sisi Allah, namun kesannya begitu besar
kepada hubungannya sesama manusia. Manusia bertaqwa, akan berakhlak
dengan manusia. Tegasnya, siapa yang paling akrab dengan Allah,
seharusnya dia juga paling intim dengan manusia. Habluminallah dan
habluminannas saling berkaitan.
Seorang wanita yang rajin bangun malam
(qiamullail) dan berpuasa sunat pada malam hari, masih menjadi ahli
neraka kerana mulutnya sering menyakiti hati jirannya. Demikian, seperti
yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Seorang lelaki yang ibadahnya
‘biasa-biasa’ sahaja mengikut ukuran para Sahabat, sampai tiga kali
diisytiharkan sebagai ahli syurga oleh Rasulullah SAW sendiri kerana
tidak memiliki sifat hasad. Fikirkan, betapa taqwa itu pasti menjana
pembentukan akhlak.
Tidak hanya setakat itu, taqwa itu juga
akan memberi kesan kepada pekerjaan atau peranan seseorang. Selain
akhlak, buah taqwa itu adalah itqan. Apa itu itqan? Ia adalah satu sikap
yang sangat iltizam (komited) dengan memperelokkan kerja. Orang
bertaqwa akan membuat segala kerja yang dimanahkan kepadanya dengan
itqan. Ia menjadi orang yang sangat efektif, efIisen dan berpegang
kepada nilai etika yang tinggi dalam pekerjaannya.
Allah suka kepada seseorang yang apabila
dia melaksanakan kerja, dia memperelokkan kerjanya (Itqan). Itqan di
dalam kerja dicapai apabila kerja itu dilakukan dengan ilmu dan
kemahiran yang tinggi. Sistematik dan terancang, mengambil amanat
daripada Sayidina Ali, “yang hak tetapi tidak tersusun akan dikalahkan
oleh kebatilan yang tersusun.” Umat yang bertaqwa sentiasa melaksanakan
kerja yang betul (berkesan) dengan betul-betul (cekap).
Jika taqwa itu darjat manusia di sisi
Allah, akhlak itu nilai di sisi manusia, itqan pula ialah ukuran
kecemerlangan dalam perkerjaan. Dengan taqwa dan akhlak, tercapai
kesempurnaan tugasan sebagai hamba Allah. Manakala dengan itqan tercapai
kesempurnaan peranan sebagai khalifah. Sebagai hamba Allah, kita
menjadi manusia yang baik (soleh), sebagai khalifah kita mampu memberi
kebaikan (musleh) kepada orang lain dan alam sekitar. Dengan akhlak,
kita membina tamadun rohani. Dengan itqan kita membangun tamadun
material . Ertinya, orang bertaqwa itu akan berjaya di dunia dan di
akhirat. Umat yang bertaqwa bukan sahaja selamat, malah mampu
menyelamatkan.
Lalu, mariah kita bermuhasabah – dengan
fikir yang lurus, dengan zikir yang tulus, apakah tujuan berpuasa sudah
tercapai? Apakah taqwa yang menjadi ‘target’ sudah kesampaian? Untuk
menjawabnya, mudah… lihat pada akhlak dan itqan. Apakah akhlak sudah
terbina? Apakah kita sudah mampu melakukan perbuatan baik dengan mudah,
secara spontan dan tanpa perlu difikir-fikirkan lagi (seperti takrifan
akhlak oleh Imam Ghazali)? Jika kita jujur, jawapannya ialah belum!
Lihat sahaja perbuatan jenayah,
penyalahgunaan dadah, seks bebas dan pelbagai keruntuhan akhlak. Akhlak
umat Islam masih jauh daripada piawaian yang ditetapkan oleh Allah dan
RasulNya dalam Al Quran dan As Sunah. Kata mengata, fitnah memfitnah,
umpat mengumpat, terus berleluasa melibatkan seluruh peringkat
masyarakat, terpapar dalam media masa cetak dan eletronik. Mana nilai
kita di sisi manusia?
Di dalam pekerjaan, tahap kecekapan dan
keberkesanan pekerja-pekerja Islam masih jauh ketinggalan. Bukan sahaja
kita berdepan dengan masalah, ponteng, curi tulang, curi masa dan
sebagainya tetapi tahap kemahiran dan ilmu masih tertinggal berbanding
pekerja bukan Islam di negara-negara maju. Bidang penyelidikan dan
pembangunan kita masih jauh ketinggalan. Al hasil, kualiti dan
produktiviti produk dan perkhidmatan negara-negara umat Islam masih
belum mampu menandingi negara bukan Islam.
Mana taqwa yang kita lahirkan menerusi
madrasah Ramadan? Mengapa akhlak dan itqan kita masih di pinggiran?
Tamadun rohani dan tamadun material kita masih rendah dan terkebawah.
Puasa kita umpama pohon yang tidak berbuah. Menanam sudah selalu, tetapi
pokoknya tidak berbuah. Jangankan untuk membangunkan umat yang mampu
menyelamatkan… bahkan kita sendiri pun masih tidak selamat? Puaskah kita
dengan puasa yang tidak membina taqwa ini? Ayuh fikirkan!
Jika belum, mari kita bermula semula.
Tidak ada istilah terlambat untuk melakukan suatu yang baik. Pertama,
jaga niat agar ikhlas berpuasa kerana Allah. Semata-mata kerana Allah,
bukan kerana adat kebiasaan, bukan didorong semata-mata oleh fadilat
atau mengharapkan hikmah di sebalik pengamalannya. Bulat tekad kita
kerana Alah. Nafsu yang menjadi hijab antara kita dengan Allah selama
ini kita henyak dengan lapar dan dahaga… kita tutup semua pancaindera
daripada menyalurkan ‘tenaga’ kejahatan kepada nafsu. Mulut, telinga,
hidung dan segala pancaindera kita kawal… jangan sekali-kali terlibat
dengan dosa.
Jadilah insan yang bisu, tuli, buta,
lumpuh daripada bercakap, mendengar, mencium dan menghampiri maksiat.
Mujahadahlah.. walaupun sukar kerana kesukaran itulah nilai puasa kita
di sisi Allah. Cinta kita jangan diserahkan kepada yang lain, maksudnya
seluruh pancaindera kita itu kita ‘serahkan’ hanya kepada Allah. Jika
‘terbuat’ dosa secara tidak sengaja… segeralah beristighafar dan
bertaubat. Bersihkan hati kita ketika berhubung dengan semua manusia
agar suci hubungan kita dengan Allah
No comments:
Post a Comment