Wednesday, August 8, 2012

GENERASI AL-QURAN...ibu bapa perlu memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga dengan memastikan selepas waktu solat luangkan masa bersama anak mentadabbur al-Quran.
GENERASI AL-QURAN...ibu bapa perlu memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga dengan memastikan selepas waktu solat luangkan masa bersama anak mentadabbur al-Quran.


Usah jadikan al-Quran perhiasan di rumah

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my


RAMADAN turut disebut sebagai Syahrul Quran kerana padanya diturunkan al-Quran yang menjadi mukjizat terbesar kepada Rasulullah s.a.w.
Ia berbeza dengan mukjizat Rasulullah yang lain kerana al-Quran tetap kekal dan boleh dilihat ke hari ini. Antara mukjizat al-Quran ialah bahasanya indah dan tinggi, susunan bahasa yang baik, ilmu pengetahuan yang membimbing manusia ke arah kebenaran serta panduan lengkap ke arah kemaslahatan dan kemakmuran alam semesta.
    BADAH ISTIMEWA...sesiapa yang membaca al-Quran dikira akan dianugerahkan pahala berlipat ganda pada setiap huruf yang dibaca.

  • Foto PENUH PENGHAYATAN...membudayakan al-Quran adalah kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan kerana ia mempunyai hubung kait dengan kehidupan manusia.

    • Foto I
    Tiada seorang manusia yang mampu mencipta walaupun satu ayat setanding al-Quran. Bagi mereka yang mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian pasti akan rasa bahagia.

    Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia (al-Quran) akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim).


    Umat Islam perlu berusaha mendalami al-Quran dan jangan sampai mereka menjadi ‘buta’ al-Quran.


    Tidak hairanlah, generasi sahabat menjadi ahli Quran apabila kalam suci itu mengubah kehidupan umat Arab daripada masyarakat jahiliah kepada umat bertamadun.

    Terdapat ramai tokoh hebat pada awalnya menolak Islam, tetapi akhirnya mereka beriman kepada Allah selepas mendengar, membaca dan mengkaji al-Quran.

    Keajaiban al-Quran dapat dilihat dalam sejarah Umar bin Khattab sehingga beliau memeluk Islam. Sebelum Islam, Umar seorang lelaki bengis dan kejam dan pernah berniat membunuh Nabi Muhammad. Detik perubahan Umar berlaku selepas beliau menghayati beberapa ayat daripada Surah Taha ketika pergi ke rumah adiknya, Fatimah yang ketika itu sedang mempelajari al-Quran.

    Agak pelik, kenapa kita begitu sukar untuk membaca al-Quran walaupun hanya sepotong ayat? Sedangkan bahan bacaan santai lain termasuk novel remaja malah karya agung penulis Barat boleh dibaca dan dihabiskan dalam tempoh singkat?

    Al-Quran bukan untuk dijadikan perhiasan di dalam rak kaca di rumah semata-mata tetapi wajib menjadi perhiasan diri setiap Muslim. Jangan hanya tunggu ketika ditimpa penyakit atau ada yang meninggal dunia, baru hendak buka dan baca al-Quran.

    Kepentingan mempelajari dan membudayakan al-Quran adalah kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan lagi kerana al-Quran mempunyai hubung kait dengan kehidupan manusia.

    Kebenaran yang tidak dapat disangkal, mereka yang membaca al-Quran pastinya terhindar daripada dibelenggu keresahan, kesempitan malah mereka dapat sumber kekuatan dan ketenangan daripadanya.

    Semakin banyak membaca dan mendengar al-Quran, jiwa pasti terpikat dan seronok. Rasulullah sendiri menggesa umatnya membaca, memahami serta mengamalkan isi kandungan al-Quran secara keseluruhannya.

    Golongan yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama pada setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah. Sejarah membuktikan sahabat seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud dan Ubay bin ka’ab sentiasa membaca al-Quran dan khatam pada setiap Jumaat.

    Umat Islam mesti yakin al-Quran mampu menjadi penawar kepada segala jenis penyakit rohani dan jasmani yang melanda masyarakat Islam hari masa kini. Sempena Ramadan ini, penuhkan waktu yang kosong dengan membaca al-Quran atau belajar daripada mereka yang mahir supaya jiwa tidak kosong.

    Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, al-Quran adalah kalamullah (titah perintah Allah) yang diturunkan kepada Rasulullah secara berperingkat selama 23 tahun.

    “Wahyu al-Quran pertama yang diturunkan kepada Rasulullah adalah ayat 1-5 surah al-’Alaq. Majoriti ulama berpendapat, penurunan wahyu pertama pada 17 Ramadan, dan tarikh itulah yang dikenali sebagai Nuzul al-Quran (Penurunan al-Quran).

    Firman Allah yang bermaksud: “Bulan Ramadan diturunkan padanya al-Quran sebagai huda (petunjuk) bagi manusia dan bayyinah (penjelasan) daripada petunjuk dan furqan (pemisah).” (Surah al-Baqarah, ayat 185).

    “Apabila tiba tarikh 17 Ramadan, kita bukan sekadar digalakkan memperingati sirah Rasulullah, sebaliknya perlu menghitung diri kerana masih mempunyai tugas besar berkaitan al-Quran,” katanya.

    Beliau berkata, terdapat ramai kalangan anak muda yang tidak tahu membaca al-Quran.

    “Bagi yang kenal huruf dan tahu membaca pula, mereka masih lagi di tahap peringkat merangkak serta tidak lancar bacaannya. Maka menjadi tanggungjawab semua untuk membimbing generasi akan datang supaya tidak terus digelar generasi ‘buta al-Quran’.

    “Al-Quran amat istimewa. Membaca al-Quran juga dikira sebagai ibadah yang pahalanya amat istimewa.

    “Sesiapa yang membaca al-Quran, akan dianugerahkan pahala berlipat ganda pada setiap huruf yang dibaca seperti yang dijelaskan Rasulullah dalam hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka dia akan mendapat satu kebaikan, dan satu kebaikan itu nilainya sepuluh kali ganda seumpamanya. Aku tidak berkata bahawa, Alif Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Hadis riwayat al-Tirmizi).

    “Remaja khasnya, perlu diisi dengan ‘santapan rohani’ supaya hati sentiasa kuat dan tidak mudah goyah dengan cabaran dan fitnah semasa,” katanya.

    Katanya, apabila banyak mengingati Allah dan membaca al-Quran, hati akan sentiasa tenang, malah dapat membina jati diri yang kental.

    “Apabila dapat dilaksanakan, pasti akan mewujudkan masyarakat terbaik. Allah berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah, tenang tenteram hati manusia. Orang beriman dan beramal soleh beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Ra’d , ayat 28-29).

    “Saya berpendapat, usaha membendung masalah buta al-Quran di kalangan remaja perlu bermula dari rumah. Ibu bapa memainkan peranan untuk memastikan anak mereka diberi didikan agama seawal usia muda,” katanya.

    “Ibu bapa perlu menetapkan masa untuk mengajar anak mengaji al-Quran. Amalan ini perlu diadakan setiap hari atau setidak-tidaknya tiga kali dalam seminggu.

    “Masa paling sesuai ialah apabila selesai menunaikan solat fardu Maghrib secara berjemaah di rumah. Bagi ibu bapa yang tidak berkesempatan, elok hantar anak mereka belajar al-Quran dengan guru.

    “Rasulullah berpesan, rumah perlu dihiasi dengan bacaan al-Quran supaya mengundang rahmat, keberkatan dan perlindungan daripada Allah buat seisi keluarga.

    Diriwayatkan daripada Anas, dinyatakan Rasulullah bersabda yang bermaksud:
    “Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumah tangga kamu dengan sembahyang dan dengan membaca al-Quran.” (Hadis riwayat al-Baihaqi).

    “Selain itu, ibu bapa perlu menggalakkan anak mereka menonton rancangan televisyen yang mempunyai unsur mendidik dan pengajian al-Quran seperti Qari Junior, Adik dan al-Quran, Tanyalah Ustaz, Pesan Atok, Iqra’.

    “Media massa turut memainkan peranan besar dalam usaha membasmi masalah buta al-Quran,” katanya.

    Beliau berkata, usaha kerajaan menganjurkan program berkaitan jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain (j-QAF) yang diajar di sekolah rendah wajar dimanfaatkan semua pihak.

    “Matlamat yang digariskan dalam program j-QAF adalah untuk melatih anak dan remaja membaca al-Quran dengan sempurna, memberi kefahaman mengenai isi kandungan al-Quran, melatih menghafaz ayat al-Quran serta mendalami al-Quran dalam kehidupan seharian.

    “Usaha memperkasa tulisan jawi di kalangan pelajar mampu memberi impak besar dalam proses celik al-Quran. Di sebalik tanggungjawab itu, kita ditawarkan ganjaran besar sama ada bagi yang menjadi pengajar atau pelajar al-Quran,” katanya.

    Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baiknya kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya” (Hadis riwayat al-Bukhari).

    “Seseorang pastinya tidak mampu memahami isi kandungan al-Quran jika mereka tidak boleh membacanya. Membaca al-Quran bukan perkara remeh, ia menggambarkan betapa kita yakin dan beriman dengan kitab suci ini,” katanya.

    Firman Allah yang bermaksud: “Orang yang telah Kami berikan al-Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. Dan sesiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang yang rugi.” (Surah al-Baqarah, ayat 121)

    No comments:

    Post a Comment