Resipi Kejayaan, Bekerja Dengan Hati Yang Bersih
Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)
Antara penyakit yang amat merbahaya sehingga boleh menyuramkan masa
depan seseorang ialah tekanan perasaan yang berpunca daripada hati yang
sakit. Seorang guru yang tertekan boleh bersikap kejam dan melampau
dalam mendisiplinkan murid-murid atau mungkin membiarkan mereka tanpa
kawalan dan pengajaran. Seorang pegawai yang seharusnya melaksanakan
amanah dengan dedikasi apabila terserang penyakit hati akan berbalik
mengambil kesempatan lari dari tanggungjawab dan menangguhkan kerja yang
menjadi kewajipannya.
Seorang pemimpin di rumah atau di tengah
masyarakat jika tidak bersih hati akan rosaklah apa yang dipimpinnya dan
terabailah amanah. Seorang isteri yang tercemar hatinya suka
menyusahkan suami, mengabaikan anak-anak dan mendedahkan diri kepada
dosa dan maksiat. Seorang yang sembahyang, puasa dan sedekah dengan hati
yang berpaling dari Allah Taala, hatinya akan mati, kotor dan
menyimpan penyakit serta sudah tentu ibadahnya tidak memberi kesan pada
keperibadiannya..
Pertanyaan yang paling mahal dan bernilai bagi seorang mukmin ialah:
“Apakah aku telah kehilangan hati suciku hari ini?” Mengapa? Kerana hati
menjadi asas segala sesuatu yang bernama kehidupan. Hidup ini tidak
akan bermakna tanpa hati yang hidup. Jika hati mati maka semua amalan
akan menjadi tempang, kerja-kerja mengejar dunia akan mengaburi
pandangan ke akhirat dan ibadat pula hilang kemanisannya. Fokus utama
hati hanya akan terarah untuk memenuhi kehendak nafsu, padahal ia
diciptakan untuk sentiasa memandang keagungan Tuhannya, menerima hidayah
dan kemudian mengawal semua gerak kerja seluruh anggota badan
semata-mata untuk keredaan Allah Taala.
Namun demikian, hati juga diciptakan dengan ciri-ciri sensitif
seperti mudah terpengaruh oleh persekitaran, mudah berubah,
berbolak-balik, kadang tersesat dan kadang terpimpin. Adalah menjadi
tugas seorang mukmin menjaga hatinya, merawat dan menghidupkan semangat
iman di dalam hati. Para sahabat Rasulullah SAW pernah menerima teguran
langsung melalui wahyu-Nya, supaya mereka sentiasa mengurus hati dengan
penjagaan yang baik agar ia dapat berfungsi dengan sempurna sebagai agen
penerima hidayah Allah SWT. Menurut pendapat Abdullah ibn Mas’ud, Allah
Taala menegur mereka pada saat mereka baru empat tahun memeluk Islam.
Dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk
hati mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun
(kepada mereka), dan janganlah mereka menjadi seperti orang-orang yang
sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa
yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras dan kebanyakan
di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Surah al-Hadid ayat:
16)
Apabila hati dibiarkan tanpa penjagaan, lama-kelamaan ia menjadi
keras lalu membentuk benteng kukuh yang tidak dapat ditembusi cahaya
hidayah Allah. Terkunci mati dan menjadi sarang kejahilan dan kejahatan.
Jika demikian keadaannya maka yang menjadi raja di dalam hati ialah
iblis dan nafsu syahwat. Hasilnya semua amal dan kerja berorientasi pada
kemahuan keduanya. Kalau keadaan sebegini dibiarkan sepanjang masa,
boleh jadi seseorang akan kehilangan hatinya.
Pernahkan anda melihat manusia yang tidak memiliki hati? Orang yang
langsung tidak mahu mendengar apa kata hatinya akibat nurani bersih
hasil limpahan ilham dari Allah sudah tiada lagi. Kerana dia sendiri
telah meleburkan hatinya bersama kegelapan tanpa mahu menerima cahaya
Ilahi.
Pada hakikatnya, cahaya yang menyinari hati bersumber pada tiga
pancaran, iaitu cahaya Al-Quran, sembahyang dan mengingati mati.
Sebagaimana yang diungkapkan oleh Al-Imam Al-Ghazali, beliau telah
berkata: “Carilah hatimu di tiga tempat. Pertama ketika membaca
Al-Quran, kedua ketika sembahyang dan ketiga ketika engkau mengingati
mati. Jika pada tiga tempat itu kamu tidak menemukan hatimu maka
pohonkanlah kepada Allah agar Ia memberimu hati kerana sesungguhnya kamu
ketika itu tidak memiliki hati.”
Cahaya hati pertama, membaca Al-Quran.
Kejayaan seseorang bergantung pada usahanya mengenal Allah, dan tiada
jalan yang paling dekat untuk mengenal Allah selain mempelajari
Al-Quran. Dunia hanya boleh direbut dengan kekuatan dari Allah, tanpa
bergantung kepada-Nya manusia tidak akan mendapat apa yang diimpikan.
Kesuksesan itu ialah sejauhmana seseorang mengikat dirinya dengan Allah
Taala dengan ikatan yang kuat. Maka Al-Quranlah yang menjadi ikatan
antara hamba dengan Allah Taala. Melaluinya seseorang pandai memilih
yang hak dari yang batil, dia mengetahui jalan yang terang dan mengikuti
petunjuk Al-Quran. Meneroka dunia dan mengurus diri dan masyarakatnya
melalui bimbingan wahyu. Dia lahir menjadi manusia yang jujur, kuat
bekerja dan memiliki misi yang jelas dalam hidupnya kerana diniatkan
segala pekerjaannya itu sebagai ibadah kepada Allah. Kalaupun ada
seseorang yang malas, miskin dan suka menyusahkan orang lain punca
pertama penyakitnya ialah kerana dia jahil, jauh dari bimbingan Al-Quran
dan tidak mengenal Allah. Begitu pula kalau ada orang yang kaya dan
berpangkat tetapi sengsara hatinya punca utama keadaan itu ialah jauhnya
ia dari Allah Taala, merasa asing dengan ayat-ayatnya dan membiarkan
diri terus menerus dalam kekeringan ilmu.
Kejayaan atau kegagalan itu bermula dari usaha mengurus hati, mengenal Allah lewat kalam-Nya yang suci.
Cahaya hati yang kedua, mendirikan sembahyang.
Siapakah yang mahu berjaya dalam perniagaan, yang bercita-cita
kariernya sentiasa naik ke puncak, yang mengimpikan pasangan hidupnya
setia dan jujur, yang berharap anak-anak dan keluarga menjadi penyejuk
matanya, yang mahu sentiasa bergembira dan bahagia? Semua itu hanya
dapat dirasai dengan pertolongan Allah, yang memberi manfaat dan
mudarat, membahagi dan mencabut rezeki bagi manusia, memberi petunjuk
dan menyesatkan, mengatur segala urusan makhluk. Siapa yang bergantung
kepada selain Allah dia tidak akan mendapat faedah dari pergantungannya
itu. Ibnu al-Qayyim Rahimahullah pernah berkata: “Ketika manusia
bergantung kepada dunia, gantungkanlah dirimu hanya kepada Allah. Ketika
manusia bergembira kerana dunia, jadikanlah dirimu bergembira kerana
Allah. Ketika manusia mencari bahagia dengan kekasih-kekasih mereka,
carilah bahagia dengan mencintai Allah dan ketika manusia pergi
menghadap raja-raja dan pembesar-pembesar mereka pergilah menuntut
hajatmu hanya kepada Allah.”
Sesungguhnya ibadah yang menghampirkan manusia kepada Allah
sedekat-dekatnya adalah sujud, permintaan yang tidak akan ditolak adalah
doa yang ikhlas dan proses pembersihan dosa yang dilakukan
terus-menerus adalah sembahyang. Apakah kejayaan seseorang itu
bergantung kepada kualiti sembahyangnya? Mengapa tidak, jika
sembahyangnya itu melahirkan akhlak yang mahmudah. Sembahyang yang
didirikan dengan sempurna syarat, rukun dan khusyuknya layaknya stesen
minyak yang bertugas mengisi kekosongan pada tanki kereta agar dapat
meneruskan perjalanan sampai ke destinasi yang dituju. Sembahyang adalah
energi yang diperlukan untuk menghadapi perjalanan hidup yang mencabar.
Sembahyang yang berkualiti adalah yang boleh melahirkan jiwa yang reda
sekaligus kuat berikhtiar semata-mata mahu berlumba-lumba melakukan amal
saleh dan membina kehidupan di dunia. Namun demikian, dunia tidak akan
memperdayakan orang yang khusyuk hatinya serta menyerahkan diri
sebulat-bulatnya kepada Allah Taala. Sembahyang juga menjaga seseorang
dari ancaman perhiasan dunia yang melekakan, dan menjadi salah satu cara
kita mengingati diri supaya pandai merancang hidup yang selamat di
dunia sampai ke akhirat.
Antara tanda kebijaksanaan orang mukmin ialah pandai merancang masa
depan. Bukan hanya pandai melipatgandakan harta dan membina istana
tetapi jauh pandangannya hingga menembusi alam akhirat. Pernahkah anda
merancang bagaimana menghabiskan masa muda dan melewati masa tua dengan
ketinggian ilmu dan persediaan amal, akhirnya merancang untuk mati
dengan tenang? Mengingati mati boleh menghidupkan hati, menyuntik
semangat untuk beramal lebih baik dari kelmarin, menumbuhkan rasa takut
dan harap kepada Allah seterusnya menggugah hati untuk sentiasa
bertaubat. Jika ramai manusia berlumba-lumba menghadiri pesta-pesta
keriangan, memenuhi pasar-pasar dan mengunjungi tempat-tempat peranginan
yang indah, tidak salah jika kita menjadikan ziarah kubur sebagai
aktiviti rutin yang boleh mengingatkan diri kepada kematian. Sebagaimana
yang dilakukan baginda Rasulullah SAW yang melazimi ziarah kubur dan
mendoakan kaum muslimin tidak kira siang ataupun malam hari.
Dengan membaca Al-Quran, salat dan mengingati mati seorang mukmin
telah melakukan penjagaan yang rapi terhadap hatinya. Bagaimanakah pula
keadaan orang yang tidak memiliki ketiga-tiga cahaya hati ini? Mesti
hidupnya hampa, jika kaya pasti merana, miskin pula tersiksa, jika jahil
tersesat, kalau alim ilmunya pula tidak bermanfaat.
Sumber :- Drjuanda.com
No comments:
Post a Comment