MENCARI PENAWAR DUKA, PENGUBAT SENGSARA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)
Apabila insan terjatuh dalam ujian hidup; kesusahan,
keperitan, kezaliman, keresahan, kesedihan dan segala rupa paras
penderitaan, insan akan bertanya, apakah penawarnya? Di manakah jalan
keluar dari segala kegelapan ini? Bagaimana mungkin dapat aku buang
derita yang bersarang dalam jiwa dan peristiwa? Dapatkah aku keluar dari
kemelut ini?
Sebahagian ujian itu, jika diukur dengan
akal insani, seakan tiada lagi baginya jalan keluar. Warna kegelapan
kadang-kala merangkumi segala penjuru, hanya Allah sahaja yang mampu
mengeluarkan insan dari keadaan yang sedemikian. Kadang-kala pula insan
terpaksa berhadapan dengan realiti yang amat pahit, tidak mampu ditolak
oleh dirinya yang kerdil. Namun, insan yang beriman yakin bahawa Allah
Yang Maha Berkuasa boleh menukar segala keadaan. Menggantikannya dengan
lebih baik yang tidak disangka. Memindahkan duka kepada bahagia dalam
pelbagai rupa dan warna.
Persoalannya, bagaimanakah caranya agar Allah Yang Agung melimpahkan
rahmatNya lalu menurunkan pertolonganNya. Ya, memang insan disuruh
berdoa dan merintih kepadaNya. Namun apakah caranya agar mustajab lalu
Allah membawanya keluar dari daerah duka kepada daerah sejahtera atau
bahagia? Apakah ungkapan yang meredhakan Tuhan al-Rahman yang
menjadikanNya dengan pantas mendengar rintihan insan?
Insan perlu sedar, antara penghalang rahmat Tuhan kepadanya adalah
dosa dan kesalahannya. Dan, setiap insan pula tidak terlepas dari salah
dan dosa. Sehebat mana pun, sealim mana pun dia, insan tetap insan,
terdedah kepada dosa. Jika tidak anggotanya, mungkin dosa jiwa atau hati
nurani yang sombong dan bongkak, atau hasad atau sangka buruk dan
pelbagai lagi. Percikan dosa sentiasa ada. Ia penghalang cahaya indah
syahdu antara nurani insan mendampingi Allah untuk menjadi kekasihNya.
Maka, doa sentiasa diganggu oleh dosa. Apakah penawar yang menerangi
jalan agar doa itu sampai kepada insan dengan pantas dan
mustajab?Jawapannya ialah taubat dan ‘istighfar’ iaitu
kembalikan kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya. Dengan jujur,
dengan luhur, dengan kusyuk. Itulah penawar yang akan membuka kebahagian
hidup. Itulah janjiNya: (maksudnya)
“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubat kepadaNya supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia)…” (Surah Hud: 3)
Janji Yang Pasti
Setiap kita pernah melalui duka dan sengsara. Kita mencuba perbagai
ungkapan dan doa agar Allah mendengar rintihan kita. Ya, doa itu
senjata. Namun, di sana ada satu pemohonan yang jika dibuat oleh insan
dengan keikhlasan jiwa, pengharapan dari lubuk jantung hatinya maka
Allah akan mendatang pelbagai kebaikan lain kepadanya. Dikeluarkan dari
kesempitan hidup, diberi kurnia rezeki dan anak, kebahagiaan jiwa dan
ditambah kekuatan dan pertolongan.
Inilah janjiNya dalam al-Quran. Bukan janji yang diadakan oleh
sesetengah buku doa, atau bicara tokoh-tokoh agama yang kadang-kala
mengada-adakan pelbagai doa ‘sendirian berhad’ mereka yang
entah dari mana dikutipnya. Tidak! Ini adalah jaminan langsung dari
Allah dalam kitabNya. Apakah pemohonan itu? Pemohonan ialah doa agar
Allah S.W.T mengampuni dosa. Apabila ia dilafazkan dengan ikhlas dan
jujur. Sebanyak-banyaknya. Dengan kekerdilan diri, tunduk dan insaf,
maka keajaiban pertolongan Allah pun akan datang dalam pelbagai rupa dan
cara. Inilah janji dalam banyak ayat dalam al-Quran.
Firman Allah menceritakan nasihat Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya: (maksudnya)
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (sekiranya kamu berbuat demikian) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah (hujan) kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; Dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai” (Surah Nuh: 9-12).
Pelbagai Kurnia
Inilah janji Allah kepada yang berikan kepada sesiapa yang
beristighfar dengan ikhlas. Atas lisan Nabi Nuh a.s. Allah berjanji
untuk menurunkan hujan rahmatNya, dibanyak rezeki dan anak, diberikan
harta yang berharga dan subur. Maka, yang beristighfar dengan penuh
ikhlas sebanyaknya, akan menikmati peruntukan ini. Kekurangan hujan,
harta, anak, kesuburan dan segalanya penawarnya ialah ‘istighfar’.
Dalam Miskat al-Masabih ketika membahaskan hadis istighfar,
diriwayatkan seseorang datang kepada al-Imam Hasan al-Basri r.a mengadu
tanahnya tidak subur, lalu jawab Hasan al-Basri: Beristighfarlah. Datang
yang lain mengadu kemiskinan, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang
yang lain minta doa agar direzekikan seorang anak, jawab beliau:
Beristighfarlah. Datang pula yang lain mengadu kebunnya kekeringan,
jawab beliau: Beristighfarlah. Lalu ditanya Hasan al-Basri mengapa
jawapannya semua sama bagi soalan yang berbeza. Katanya “Ini bukan pendapatku, inilah yang Nabi Nuh a.s sebut” –lalu beliau membaca ayat di atas.
Mengelakkan Bala
Allah juga menjamin bahawa Dia tidak akan mengazabkan insan di dunia
ataupun di akhirat kita insan itu benar-benar beristighfar kepadaNya.
Hambatan dan ketakutan terhadap dosa dapat dibentengi oleh istighfar
yang ikhlas. Inilah janji Allah. Dia Maha Benar janiNya. Firman Allah:
(maksudnya)
“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau (wahai Muhammad) ada antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar” (Surah al-Anfal: 33).
Inilah janji Allah. Dalam ayat ini; kewujudan Nabi s.a.w dan
kewujudan istighfar menghalang azab Allah. Adapun Nabi s.a.w baginda
sudah tiada dalam kalangan kita, namun istighfar terus ada jika kita
mengamalkannya. Wahai jiwa yang dihambat dosa! Beristighfarlah
sebanyak-banyaknya nescaya diselamat dari bala dosa. Wahai yang takut
ditimpa bala! beristighfarlah.
Ditambah Kekuatan
Gelora hidup kadang-kala amat menakutkan. Ia memukul insan dari sudut
yang diduga dan tidak diduga. Jika hanya bergantung kepada kekuatan
diri semata, insan akan terkorban dan tidak akan berdaya. Ganasnya
lautan hidup hanya dapat dihadapi dengan kekuatan kurniaan Allah. Firman
Allah: (maksudnya)
“(Kata Nabi Hud) dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian taubatlah kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu (yang sedia ada)”. (Surah Hud: 52).
Dengan tambahan kekuatan dari Allah dan bantuanNya insan merasai kekuatan dalam menelusuri permusafiran di dunia yang fana ini.
Maka membanyakkan istighfar adalah penawar hidup. Betapa banyak kisah
insan-insan yang Allah berikan pelbagai kurnia disebabkan mereka
membanyakkan istighfar. Betapa banyak hamba-hamba Allah yang
diselamatkan dari pelbagai kesusahan, diberikan ketenteraman jiwa dan
pelbagai pertolongan berkat keikhlasan istighfar mereka. Setiap insan
yang beristighfar dengan ikhlas sebanyak-banyaknya pada sesuatu hari
akan merasai kesyahduan ruhnya. Allah akan membuka ufuk akalnya. Dia
akan alami kekudusan jiwa, kesegaran minda dan merasai perdampingan
dengan Allah.
Tapi syaratnya, hendaklah istighfar yang ikhlas. Bukan yang hanya ‘berlagu’ dimulut
tapi kontang jiwanya dalam mengharapkan keampunan Allah. Syeikh
al-Islam Ibn Taimiyyah (w. 728H) menceritakan bahawa bagaimana beliau
apabila menghadapi masalah, beliau akan beristighfar sehingga seribu
kali atau lebih, di mana sahaja beliau berada; di masjid, di pasar, di
pusat pengajian sehinggalah beliau dapati Allah lapangkan dadanya dan
tunaikan hajatnya. (lihat: Ibn ‘Abd al-Hadi, al-‘Uqud al-Durriyah, 21.
Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).
Marilah kita banyakkan istighfar, ia adalah penawar. Istighfar adalah
penyembuh derita jiwa seorang hamba. Ia membawa kurnia Allah yang
disangka dan tidak disangka. Maka datanglah rezeki, kebahagiaan dan
pertolongan. Hiasilah kepahitan hidup dengan istighfar, nescaya kita
akan merasai kemanisan dan kelazatan berada di persada alam yang
sementara ini.
No comments:
Post a Comment