Wednesday, August 29, 2012

Jenayah ragut jadi budaya hidup di negara ini

Saya telah diminta oleh seorang pengunjung blog saya melalui e-mailnya meminta saya memberikan komen tentang jenayah ragut yang agak berluas-luasa di negara ini. Insan yang menghantar email itu menyatakan yang beliau mahukan saya menulis tentang jenayah ragut yang telah berlaku kepada isterinya beberapa tahun dahulu yang menyebabkan isterinya tercedera dan telah menhadapi rasa fobia apabila berjalan di bandar untuk membeli-belah atau ke pasar.

Pengadu ini mempersoalkan samada apa yang dibangga-banggakan negara ini sebagai negara yang aman dan selamat itu adalah benar atau sebaliknya. Sesungguhnya jenayah ragut memang banyak berlaku dan saya sendiri pernah menyaksikan peristiwa ragut belaku di hadapan mata saya sendiri. Dua orang yang menaiki motosikal telah lalu di sebelah wanita yang membimbing bag tangan dan terus sahaja meragut wanita itu dan mereka (peragut) terus memecut laju meninggalkan wanita tadi terbaring di tepi jalan dan mengalami sedikit kecederaan di tangannya.

Peristiwa seperti ini selalu berlaku dan sekali gus ia menafikan yang negara kita adalah sebuah negara yang aman damai seperti yang di antara kita bangga-banggakan. Ini tidak termasuk kes rogol, bunuh dan pecah rumah yang menjadi bahan berita yang lumrah melalui saluran-saluran TV kita serta media cetak. Ada sahaja yang cedera dan mati akibat jenayah ini.

Banyak pihak bertanya kenapa perkara ini selalu sangat berlaku di negara kita? Ada yang bertanya bagaimanakah keadaaan sebuah negara yang aman itu?  Pihak penguasa polis dan penguatkuasa undang-undang yang lain boleh kita lihat di mana-mana terutamanya di kotaraya-kotaraya di dalam negara kita tetapi jenayah tetap berkembang dengan cepat dan deras. Malahan ramai di antara bekas anggota dan pegawai tertinggi polis menulis dan membuat kenyataan yang mengakui jenayah di negara kita meningkat dengan begitu ketara.

Selalunya apabila sesebuah negara yang sering berlaku samun dan rompak serta jenayah ragut ini berlaku dengan pesatnya ia merupakan petanda dan dalil yang rakyat miskin adalah ramai dan mengambil tindakan mencuri dan merompak harta benda orang lain untuk hidup.

Di negara-negara Scandinavia misalnya tidak ada kes-kes rompak dan samun yang ketara seperti yang berlaku di negara kita. Negara-negara dalam gugusan Scandinavia ini merupakan negara yang rakyatnya berpendapatan tinggi malah ia melebihi pendapatan per kapita negara-negara G8. Kalau kita melawat negara-negara ini kita tidak akan nampak anggota polis berkeliaran seperti di negara kita. Di negara-negara yang saya sebutkan ini keamanan dan keselamatan diri individu rakyat seperti terjamin. Inilah contoh-contoh sebuah negara yang aman.

Sebaliknya di negara kita, kita melihat anggota polis dan penguatkuasa yang lain berkeliaran tetapi insiden seperti yang ditulis oleh pengadu kepada saya itu berlaku dengan meluas. Ragut di sana dan ragut di sini dan  dengan jelas kes ragut harta orang lain ini sememangnya menjadi perkara yang lumrah di negara kita ini.

Pemimpin-pemimpin kita yang mempunyai kuasa di tangan mereka pun melakukan ragut-meragut harta orang lain seperti harta rakyat seperti yang kita selalu dengar melalui pendedahan pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keadaan ini. Jumlah harta dan wang ringgit rakyat yang diragut oleh pemimpin-pemimpin kita melibatkan jumlah yang puluhan billion ringgit. Rakyat sentiasa diragut wang ringgit mereka oleh mereka dan pemimpin yang mereka (rakyat) amanahkan untuk menjaganya.

Jenayah ragut ini sememangnya sudah tidak dapat dihentikan lagi selagi mereka ini masih berkuasa. Jumlah yang terilbat dalam ragut oleh penunggang dan pembonceng motosikal adalah kecil. Yang penting rakyat fahami dan cuba untuk menghentikannya ialah kes-kes ragut yang berbillion ringgit yang dilakukan oleh pimpinan yang sedang berkuasa. Jenayah ragut yang mereka lakukan itu melibatkan harta wang ringgit seluruh rakyat yang mengisi kantung perbendaharaan negara kita melalui berbagai bentuk cukai yang mereka bayar setiap hari.

Penjenayah ragut yang dilakukan oleh penunggang motosikal itu mudah untuk diselesaikan kerana sudah ramai yang tertangkap dan dipenjarakan. Tetapi masalah yang terbesar sekarang ini ialah untuk menyelesaikan kes ragut kolar putih yang sedang dilakukan oleh pimpinan besar kita serta penjawat-penjawat awam negara yang melibatkan ratusan berbillion ringgit itu.

Peragut-peragut jenis inilah yang amat susah untuk diselesaikan. Malahan yang mendedahkan kes ragut itu pula yang kena tuduh di mahkamah kerana ada undang-undang yang melindungi penjenayah ragut yang berkolar putih ini. Rafizi Ramli telah dituduh di Mahkamah kerana mendedahkan kes ragut wang rakyat yang berbillion ringgit oleh keluarga yang mempunyai pengaruh dalam kabinet negara yang di dalamnya mempunyai penjenayah ragut yang besar-besar.

Sekarang rakyat yang sedar dan insaf telah mendapat formula yang jelas untuk menyelesaikan kes-kes ragut yang besar-besar ini. Caranya ialah dengan mengenepikan mereka dari kuasa yang ada pada mereka.

Waktu untuk mengenepikan mereka akan sampai tidak lama lagi. Masanya itu ditentukan oleh Najib, Perdana Menteri kita. Rakyat sekarang sedang memberikan tumpuan untuk menolak mereka yang sudah ketagih dengan kegiatan ragut meragut ini. Rakyat sudah kerugian begitu banyak oleh kegiatan ragut yang dilakukan oleh mereka yang sedang berkuasa itu.

Jika semua rakyat bekerjasama dalam PRU ini, isu penjenayah ragut ini akan dapat diselesaikan dengan cepat. Maka harta benda rakyat akan dapat diselamatkan dari diragut oleh pihak yang sudah sebati dengan kes ragut meragut in
 

No comments:

Post a Comment