Biarkan cinta itu mewangi
Ada sesetengan individu menyalahkan cinta dan mengatakan bercinta itu salah, sedangkan dia yang tersilap menilai cinta itu.
Biarkan cinta itu mewangi
Berpasanganlah dengan si dia yang sah menjadi milik anda kerana bahagia yang diredaiNya ada di situ. - Gambar hiasan
BICARA cinta menurut Hamka: “Cinta bukan mengajar kita lemah tetapi membangkitkan kekuatan, cinta bukan mengajar kita menghinakan diri tetapi menghembus kegagahan, cinta bukan melemahkan semangat tetapi membangkitkan semangat dan cinta ini mampu menggugat keimanan malah meningkatkan keimanan,”.

Forum Bicara Cinta Anak Muda malam Sabtu (2 Februari) lalu anjuran Majalah i membawakan tajuk ‘Cinta Fitrah, Cinta Fitnah’ dengan menggandingkan panel tersohor seperti Dr Rubiah K Hamzah, Ustaz Syed Mohd Norhisyam al-Idrus Tuan Padang, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin dan Catriona Ross Bahrin Ross melalui perantara Amin Idris bertempat di Kumpulan Media Karangkraf.

Cinta itu fitrah

Ramai antara kita mempunyai takrif berbeza mengenai cinta. Tanyalah sesiapa sahaja pasti terucap di bibir cinta itu indah, Namun bagi pelakon yang terkenal menerusi drama Sephia, Catriona Ross, cinta memberikan individu itu inspirasi menjadi yang terbaik daripada sebelum ini, benar kadang kala cinta jika dicampuri dengan nafsu ia merosakkan.

“Erti cinta pada saya ialah sesuatu yang boleh menggetarkan jiwa ada kalanya sewaktu berjalan menapak di bumi terasa di awang-awangan, memberikan impak yang tinggi sampai kita merasakan tidak ada haus dahaga, tidak lapar dan tidak rasa sakit.

“Kekuatan cinta pada ALLAH SWT yang membawa saya mengenal siapa diri ini. Saya pernah terlibat dalam satu tragedi yang seakan meragut nyawa sekitar tahun 2007 yang lepas. Tetapi kesan daripada itu  membuatkan hati saya ingin mengenal ALLAH secara mendalam dan akhirnya saya menemui ketenangan.

Menurutnya, dalam satu seminar, penceramah itu membacakan satu ayat dalam surah ar-Rahman menyebabkan hati dan tangannya bergetar serta berkecamuk tetapi terasa ada damai. Berbekalkan situasi itulah Catriona menjadi siapa dia hari ini.

Perlu atau tidak bercinta?

Novelis islamik popular, Fatimah Syarha menjelaskan usah berteka-teki  perlu atau tidak bercinta kerana cinta akan menyapa setiap hati dan ia wujud, persoalannya sekarang bagaimana untuk urus cinta bagi mendapat reda ALLAH.

“Kita mempunyai dua pilihan bagaimana untuk menguruskan cinta yang wujud di hati, pilihan pertama kita biarkan sahaja perasaan sayang di ingatan asyik menekan selepas itu membiarkan hati berkarat, berani bagi tangan berjabat, terjebak dengan maksiat dan akhirnya perut kempis menjadi bulat. Cuba kita lihat impaknya ialah kita telah mencipta satu kenangan yang tidak takut pada ALLAH sehingga mendera diri sepanjang hayat dengan pelbagai persoalan seperti waswas dan sebagainya.

“Pilihan kedua: kita bermujahadah. Sekarang ini di usia remaja kita mempunyai fokus, capai dahulu apa yang diri dan keluarga impikan. Tiba masanya barulah mempraktikkan amalan bercinta tuntutan Islam dan impaknya, kita bernikah atas dasar takwa yang akan memberikan wangian firdausi dalam perhubungan diredai ALLAH,” jelas pengkarya novel cinta berunsur Islam ini.

Menurutnya, pilihan ada di tangan individu itu, jika dikatakan berpasangan itu salah, bagaimana pula dengan orang yang sudah berkahwin. Adakah salah berpasangan dengan suami atau isteri sendiri. Couple itu salah jika membawa diri menghampiri zina.

Apa pula yang al-Quran dan hadis sebut mengenai cinta. Kitab ALLAH mengatakan cinta itu secara fitrah dan Nabi menyebut cinta itu secara negatif berdasarkan hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad: “Cinta kamu pada sesuatu boleh menyebabkan kamu buta dan tuli dari mendengar nasihat.” Cinta itu tidak salah tetapi ia boleh menjadi negatif atau positif  bergantung kepada cara kita menguruskannya sama ada menghampiri zina atau keredaan ALLAH.

Cinta itu perjuangan Rasulullah  

Sementara itu, Ustaz Syed Mohd Norhisham berkata, orang-orang muda hari ini apabila melihat sahaja ada program agama yang memerihalkan mengenai cinta terus mereka fikir ustaz atau ustazah tidak bagi bercinta, kata haram ibarat kata semua tak boleh seolah-olahnya begitu. Tetapi apabila menonton filem Bollywood dan Hollywood ia berlainan dan meninggalkan keseronokan.

“Cinta ini sebenarnya adalah perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah ke atas sekalian alam ini termasuk manusia, tumbuhan dan haiwan. Rasulullah telah diutus untuk membawa rahmat kerana rahmat itu adalah kasih sayang.

Seperti kita menyembelih binatang. Kasih sayang kita kepada binatang  yang hendak disembelih adalah mempercepatkan kematiannya.

“Pernah Rasulullah melihat ada dua sahabat naik unta dan seronok bersembang di atasnya, Rasulullah menegur. Baginda berkata, “Tidak boleh kamu berdua berbuat begini, kamu naik unta sebagai kenderaan bukan tempat untuk duduk bersembang.” Begitulah juga rahmat  Rasulullah kepada orang bukan Islam.

“Semasa menguruskan tahanan perang sekalipun, Rasulullah tidak menyeksa tawanan sebaliknya menjaga musuh dengan adab-adab yang khusus. Pada zaman sekarang pun, ramainya tahanan perang di Afghanistan dan Palestin memeluk agama Islam sebaik keluar dari penjara kerana melihat bagusnya layanan tentera Islam terhadap mereka,” katanya lagi.

Menurut Ustaz Mohd Norhisham lagi, inilah kasih sayang yang dibawa Rasulullah, Baginda membawa contoh yang hebat dalam proses bercinta bukan sahaja secara teori malah praktikalnya.

Anak remaja kita hari ini mencari cinta untuk keseronokan sehingga terlupa kaedah yang diamalkan Baginda. Ingatlah cinta nafsu ini seronoknya sekejap sahaja, hanya cinta kerana ALLAH kekal hakiki. Cinta itu langsung tidak salah, tetapi pengurus cinta itu yang silap mengemudinya.   

Jangan negatif dengan cinta

Memandangkan kita langsung tidak diajar mengenai cinta dalam mana-mana mata pelajaran tidak di kampus mahu pun sekolah. Kesan daripada inilah  kita mentafsirkan pengertian cinta berdasarkan apa yang orang bukan Islam ketengahkan.

Pakar motivasi dan kaunseling keluarga, Dr Rubiah menjelaskan, ramai antara kita membina cinta berasaskan filem yang dibuat oleh Barat contohnya, mengenali cinta berasaskan medium bukan acuan Islam. Ini yang dikatakan kalau mak tidak membimbing anak, mak akan susah hati.

“Ertinya konsep cinta yang kita ada  jika ikut tradisi orang Melayu menjelaskan bahawa cinta itu tidak sesuai. Tetapi oleh kerana pengaruh dari luar yang banyak mewarnai budaya kita sehingga kadang-kadang adat menjadi ibadat, tetapi ibadat tinggal adat.

“Maka kita katakan  adat bercinta orang muda ertinya semua orang yang merasakan cinta ini membuatnya panjang umur dan berjuang tidak pernah jemu,” kata penulis buku Pujuklah Rasa ini.

Menurutnya, orang yang bercinta ialah orang yang sudah membersihkan dirinya daripada perkara yang tidak penting, orang yang mempunyai matlamat, inilah orang yang layak untuk menjadi calon isteri, ertinya sebelum dia jumpa orang yang dia cinta dia sudah ada visi dan misi yang tersendiri.

Sebab itu wahai ibu dan ayah ajarlah semuanya mengenai cinta, usah cuba selindung-selindung dan malu untuk menerangkan mengenai fitrah manusia itu dengan anak. Secara psikologinya, cinta ada kaitan dengan fikiran kerana cinta  tidak akan bertapak jika tidak memikirkannya.