Kerajaan adil, negara stabil
Nik Muhammad Nasri , | 08 Feb 2013 |
Allah berfirman di dalam al-Quran, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (Surah an-Nisa : ayat 58)
Penulis berasal dari Kampung Gong Limau, Cukai, Kemaman, Terengganu dan merupakan penceramah bebas
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (Surah an-Nisa : ayat 58)
Sebab turun ayat
Ayat di atas turun ketika Nabi Muhammad SAW membuka Makkah dalam peristiwa Fath Makkah. Nabi memanggil Uthman bin Talhah yang memegang kunci Kaabah. Nabi bersabda: “Unjukkan aku anak kunci Kaabah.” Uthman membawa anak kunci tersebut. Apabila Nabi membuka tangannya untuk menerima kunci, Al-Abbas bangun lalu berkata: “Aku bersumpah dengan bapa dan emakku. Berikan kunci itu supaya aku himpunkan dengan tugas memberi minum jemaah Haji.” Uthman menahan tangannya. Nabi bersabda: “Berikan kunci itu wahai Uthman!” Uthman berkata: “Nah! Ambillah dengan amanah dari Allah.”
Nabi bangun dan membuka pintu Kaabah. Baginda keluar dari Kaabah lalu bertawaf. Jibril turun kepada Nabi memberitahunya supaya mengembalikan anak kunci tersebut. Nabi memanggil Uthman lalu diberikan kembali anak kunci tersebut. Kemudian Nabi membaca ayat Surah an-Nisa. ayat 58 ini.
Maksud dan huraian ayat
Jelas kepada kita dari sebab turunnya ayat di atas pentingnya sifat amanah dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman dan dalam semua keadaan. Sifat amanah, berhukum dengan adil adalah di antara ciri-ciri istimewa agama Islam. Ia mesti ada kepada mereka yang diberikan amanah dan tanggungjawab menghukum di antara manusia.
Sifat amanah dan adil banyak disebut di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW. Di antaranya firman Allah, Maksudnya:
“Sesungguhnya Kami (Allah) kemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang (untuk memikulnya). Semuanya enggan memikul amanah itu dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya. Dan manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia itu suka melakukan kezaliman dan sangat jahil.” (Surah al-Ahzab : ayat 72)
Ibn Abbas berkata: ‘Amanah yang dimaksudkan ialah perkara ketaatan dan yang diwajibkan. Dibentangkan amanah itu kepada langit, bumi dan gunung-ganang sebelum dikemukakan kepada Adam. Mereka tidak mampu memikulnya.’ Itulah firman Allah: Maksudnya: “Dan manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia itu suka melakukan kezaliman dan sangat jahil.”
Al-Hakim at-Tirmizi meriwayatkan daripada Ibn Abbas, katanya: Nabi SAW bersabda, maksudnya:
“Allah berfirman kepada Nabi Adam: “Wahai Adam! Aku kemukakan amanah itu kepada langit dan bumi tetapi mereka tidak mampu memikulnya. Adakah engkau bersedia memikulnya dengan semua perkara yang ada di dalamnya? Adam bertanya: “Wahai Tuhan! Apa yang ada di dalamnya? Allah berfirman: “Jika kamu buat baik, kamu dibalas dengan kebaikan. Jika kamu sia-siakan, kamu akan disiksa.” Adam menerima dan bersedia memikulnya. Adam tidak lama tinggal di dalam syurga melainkan sekadar waktu di antara solat pertama dan waktu Asar sehingga akhirnya syaitan menyebabkan dia terkeluar darinya.
Amanah merangkumi perkara taat kepada Allah dan perkara yang diwajibkan yang ada kaitan dengan pahala dan dosa. Ini termasuk amanah harta seperti simpanan dan amanah yang ada pada tubuh badan sendiri seperti pancaindera. Bahkan dalam setiap ibadat yang dilakukan ada ciri amanah yang mesti disempurnakan.
Dalam konteks sebuah kerajaan moden ia meliputi wang negara, wang rakyat, agensi kerajaan, jabatan, peruntukan, pelbagai tabung dan lain-lain. Mengkhianati amanah awam ini sangat besar dosanya kerana melibatkan banyak wang dan banyak pihak disebabkan sifat tidak amanah seorang dua atau beberapa orang yang fasik. Inilah yang kita dengar dari Laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai skandal melibatkan pemimpin besar dalam negara yang berkaitan dengan harta awam ini. Mereka tidak ada sifat amanah dan mereka sebenarnya tidak layak memikul amanah itu.
Firman Allah dalam ayat yang lain, maksudnya:
“Dan orang yang memelihara amanah (yang dipikulnya) dan janji-janjinya.” (Surah al-Mukminun : ayat 8)
Serta firman-Nya, maksudnya:
“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (Surah al-Anfal : ayat 27).
Ayat-ayat al-Quran di atas menekankan kepentingan dan kelebihan sifat amanah, menunaikan janji dan amaran supaya tidak mengkhianati amanah dalam pelbagai aspeknya.
Begitu juga hadis-hadis Nabi SAW yang menyebutkan tentang sifat amanah dan adil. Di antaranya, maksudnya:
“Tidak sempurna iman bagi orang yang tiada sifat amanah. Tidak sempurna agama bagi mereka yang tidak menunaikan janji.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban daripada Anas bin Malik).
Menunaikan amanah adalah kewajipan. Apabila disia-siakan amanah maka tunggulah saat kehancurannya. Justeru, melantik pemimpin yang memimpin sebuah kerajaan yang penuh amanah adalah satu nikmat yang besar dari Allah. Di situlah turunnya rahmat, datangnya berkat, selesanya hidup rakyat tanpa ada perasaan takut diganggu-gugat.
Selepas sifat amanah ditunaikan datang pula giliran berhukum dengan adil antara manusia. Justeru, sifat amanah dan adil menjadi dua asas penting hukum Islam. Sama ada berkait dengan ibadat, muamalat, munakahat, jinayat, politik, ekonomi, sosial dan seluruh sistem kehidupan.
Konsep Adil Dalam Islam
Perkataan adil mempunyai makna yang luas dan sangat bererti. Menurut Ibn Atiyyah: ‘Adil ialah melaksanakan setiap perkara fardhu yang terdiri dari akidah, syarak dan hubungan dengan manusia dalam menunaikan segala amanah, meninggalkan kezaliman, prihatin dan memberikan hak. (al-Bahr alMuhit j 5/ms 529)
Menurut Al-Baidhawi: ‘Adil ialah pertengahan dalam urusan aqidah, amalan dan akhlak.’
Adil ialah memberikan hak kepada empunyanya tanpa kurang dan meletakkan sesuatu pada tempat yang layak dengannya. Adil menjadi topik perjuangan para Nabi dan rasul sepanjang zaman. Ia menjadi prinsip utama yang diperjuangkan oleh para pemimpin yang benar. Adil adalah asas kepada sebuah pemerintahan. Ia menjadi ciri penting mengukur sebuah tamadun untuk membangun, maju atau sebaliknya. Apabila keadilan ditegakkan, kehidupan mereka akan sejahtera. Ia membangkitkan nilai positif lain sehingga menjadikan masyarakat itu benar-benar hidup dalam sebuah sistem yang boleh melindungi mereka.
Akal yang waras sentiasa mahukan keadilan ditegakkan. Bagi sebuah masyarakat, keadilan mesti ditegakkan sehingga orang yang lemah dapat mengambil balik haknya. Orang yang kuat tidak akan melampaui batas kepada mereka yang lemah. Keamanan akan tercapai dan sistem akan tersusun dengan baik.
Keadilan adalah prinsip kemanusiaan sejagat. Sebuah bangsa terhormat ingin mencapai nilai keadilan ini, sekalipun agak berbeza dari segi pendekatan dan metodnya bagi mencapai keadilan yang diimpikan itu.
Berdasarkan hakikat pentingnya sifat adil ini, maka perintah supaya berlaku adil sangat banyak di dalam al-Quran. Di antaranya ialah firman Allah, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Surah an-Nahl : ayat 90)
Menurut Abdullah bin Mas’ud, ayat al-Quran ini merupakan ayat terbaik yang menghimpunkan kebaikan dan kejahatan.
Ibn Abi Hatim meriwayatkan daripada Muhammad bin Kaab al-Qurazi, katanya: Umar bin Abdul Aziz memanggilnya lalu berkata: ‘Beritahu saya sifat adil’ Saya (iaitu Muhammad) berkata: ‘Bakhin (iaitu satu perkataan yang menunjukkan besarnya pertanyaan itu). Engkau bertanya mengenai satu perkara yang sangat besar. Jadilah bapa kepada manusia yang kecil, anak kepada manusia yang lebih dewasa, saudara kepada mereka yang sebaya, begitu juga bagi perempuan. Balaslah manusia menurut kadar dosa/kesalahan mereka dan kadar tubuh mereka. Jangan kamu pukul seseorang satu rotan kerana ikutkan emosi, kelak kamu dianggap melampaui batas.’
Ibn al-Arabi membahagikan keadilan kepada tiga bahagian:
1. Adil dengan Allah iaitu mengutamakan hak Allah mengatasi kehendak peribadi, mencari redha Allah daripada menuruti hawa nafsu sendiri, menjauhi larangan dan menjunjung perintah Ilahi.
2. Adil dengan dirinya sendiri iaitu menegah diri daripada melakukan sesuatu yang menyebabkan dirinya binasa, menahan sifat tamak kerana menurut kehendak syarak, membiasakan diri dengan sifat memadai dan mencukupi pada setiap masa dan keadaan.
3. Adil dengan manusia lain iaitu bersedia berkorban, tidak khianat dalam perkara kecil atau besar, merasai denyut nadi kesusahan orang lain, tidak menyakiti orang lain dengan perkataan dan perbuatan, sabar menghadapi ujian disebabkan manusia lain.
Jika dilihat kupasan Ibn al-Arabi mengenai keadilan ini dalam konteks sebuah kerajaan yang adil, maka perlaksanaan sifat adil itu yang mengambilkira ketiga-tiga aspek di atas tentu sekali menjadikan urus tadbir kerajaan tersebut yang merangkumi semua agensi di bawahnya sebagai sesuatu yang tiada tolok banding dari segi kehebatannya.
Al-Quran juga menyebut mengenai keadilan dalam berucap sekalipun terhadap kaum keluarga dan ketika bercerita mengenai harta anak yatim dan melakukan aktiviti ekonomi. Ini terdapat dalam surah Al-An’am ayat ke 152.
Allah berfirman, maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan jangan sekali-kali kebencianmu kepada sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (surah al-Maidah : ayat 8).
Prinsip keadilan sejagat sangat jelas dari ayat di atas. Allah mengingatkan orang mukmin yang dilantik menjadi pemerintah agar berlaku adil sekalipun terhadap musuh atau mereka yang tidak sebulu dengan pemerintah. Berlaku adil adalah manifestasi dari takwa dalam diri.
Hadis-hadis Nabi SAW juga banyak mengungkapkan mengenai keadilan ini. Di antaranya hadis yang bermaksud: ‘Umat ini sentiasa berada dalam kebaikan selama mana ia benar dalam percakapan, adil dalam menjatuhkan hukuman, mempunyai sifat belas kasihan apabila diminta supaya belas kasihan.’
Dalam satu riwayat daripada Ali bin Abi Talib, katanya: ‘Menjadi tanggungjawab pemerintah berhukum dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila ia melakukan demikian wajiblah ke atas orang Islam mentaatinya kerana Allah memerintahkan kita supaya menunaikan amanah dan berlaku adil, kemudian memerintahkan supaya mentaatinya.’
Apabila kita bercakap mengenai adil, maka lawannya ialah zalim. Sebagaimana Allah menyanjung sifat adil, maka begitu juga Allah memberi amaran kepada mereka yang zalim dalam firman-Nya, yang bermaksud:
“Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang yang zalim. Sesungguhnya Allah menangguhkan kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) akan terbelalak.” (Surah Ibrahim : ayat 42).
Ayat di atas mengingatkan kepada si zalim, termasuk kerajaan yang tidak berlaku adil kepada rakyatnya supaya jangan merasa selesa, aman, tenteram dan tidak ada apa-apa balasan dari perbuatan zalim mereka terhadap rakyat kerana Allah tetap akan membalasnya di akhirat nanti.
Di antara bentuk kezaliman yang besar ialah berhukum dengan hukuman yang lain dari apa yang diturunkan oleh Allah dan kezaliman pemerintah itu sendiri. Hal ini kerana kezaliman pemerintah berkait dengan rakyat. Implikasi dari zalim atau adilnya pemerintah akan memberi kesan langsung kepada rakyat itu sendiri.
Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah berfirman yang menerangkan Allah telah mengharamkan kezaliman ke atas zat-Nya Yang Maha Mulia dan mengharamkan kezaliman sesama manusia.
Nabi SAW Tegakkan Keadilan
Rasulullah SAW menegakkan keadilan dalam seluruh aspek hidup, sama ada secara peribadi, dalam keluarga, dalam kalangan sahabat dan dalam pemerintahan. Contohnya, Nabi SAW menyelesaikan pertikaian antara kabilah Arab meletakkan Hajar al-Aswad di dalam peristiwa Kaabah dibina semula selepas runtuh disebabkan banjir dengan cara tersendiri yang memuaskan semua kabilah. Nabi SAW berlaku adil dalam kalangan para isterinya walaupun bilangan mereka ramai. Baginda mengiktiraf Perjanjian Fudhul yang dimeterai ketika zaman jahiliah oleh kabilah Arab bagi memerangi kezaliman. Nabi SAW melaksanakan hukuman qisas iaitu balasan setimpal kepada seorang Yahudi yang melukakan kepala seorang hamba perempuan.
Kesimpulan
Pemerintah yang adil mendapat naungan Arasy Allah di akhirat. Mereka yang berjuang menegakkan kerajaan yang adil mendapat pahala yang besar. Rahmat dan berkat turun kepada pemerintahan yang adil.
Penulis berasal dari Kampung Gong Limau, Cukai, Kemaman, Terengganu dan merupakan penceramah bebas
No comments:
Post a Comment