SOALAN:
Saya sebenarnya ingin minta pendapat Dr. Tuah bagaimana hendak mengatasi sikap panas baran yang ada dalam diri saya? Sikap ini semakin menjadi-jadi sejak melahirkan anak kedua.
Walaupun ketika saya berdepan dengan sesuatu hal, saya mampu bersabar pada mulanya tetapi akhirnya saya tewas juga. Kesabaran saya hanya dapat bertahan sekejap saja. Sungguhpun saya ada juga beristighfar, tetapi yang menjadi mangsa adalah anak sulung.
Saya kesal kerana tidak mampu menjadi seorang emak yang penuh dengan kelembutan dan kasih sayang. Kasihan juga melihat apa yang telah saya lakukan kepada anak sulung.

Disebabkan hanya kesilapan kecil, saya sering memarahi, menempelak dan menjerit sekuat hati dengan harapan dia faham tentang kesilapan itu. Pernah terjadi apabila marah tidak terkawal, tangan saya hinggap di tubuhnya sedangkan umurnya baru 2 tahun 9 bulan.

Jauh di sudut hati, saya kasihan melihatnya kesunyian. Di kawasan perumahan tempat tinggal saya, dia tiada kawan untuk bermain. Sebelum saya melahirkan anak kedua, sayalah kawannya untuk dia bermain dan meluangkan masa bersama. Sebaliknya berlaku selepas kelahiran kedua.

Saya tertekan kerana tidak mahu anak sulung rasa diabaikan, kesunyian atau melebihkan adiknya yang baru lahir. Malah saya cuba memenuhi masa dengan kedua-dua anak sekaligus. Saya berharap Dr. dapat memberi panduan untuk saya lebih tenang dan dapat mengawal emosi marah dengan lebih baik.

JAWAPAN:

Daripada Abu Hurairah bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Berwasiatlah kepadaku.” Lalu baginda menjawab, “Jangan­lah engkau menjadi seorang yang pemarah.” Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, baginda menjawab, “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”- HR Bukhari
Berdasarkan hadis tersebut, dapatlah difahami bahawa:
 i.  Umat Islam dituntut supaya meminta nasihat dari­pada orang yang alim untuk membentuk peribadi­nya.
 ii. Islam juga menghendaki seseorang itu berusaha memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa agar iman dan ketakwaannya semakin meningkat.
 iii. Hakikat marah menurut Islam adalah marah yang terpuji dan marah yang tercela. Kemarahan yang ditujukan untuk mempertahankan diri, agama, ke­hormatan, hak atau menolong orang yang dizalimi merupakan marah yang dituntut. Sebaliknya yang selain daripada itu adalah marah yang datang daripada sifat-sifat syaitan. Oleh itu, umat Islam hendaklah menjauhinya kerana ia sangat dikeji.
 iv.Sesuatu persoalan atau wasiat yang memerlukan jawapan daripada seseorang, janganlah diminta secara mendesak dengan menunjukkan kemarahan. Tetapi hendaklah menggunakan tutur kata yang baik, bersopan dan bersabar.(Sumber: JAKIM)
Hasan al-Basri pernah berkata, “Empat perkara jika sesiapa memilikinya maka ALLAH akan memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkan ke atasnya api neraka. (iaitu) Sesiapa yang mampu mengawal dirinya ketika dalam keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan.”

Sesungguhnya kemarahan akan mengumpulkan segala keburukan. Reaksi seorang yang sedang marah dapat dilihat pada wajah dan anggota badannya seperti muka kemerah-merahan, urat-urat leher menegang, tubuh seakan-akan menggigil kerana geram, suara menjadi nyaring manakala lidah mula mengeluarkan perkataan yang buruk sama ada mengutuk atau mengeji. Ada kemungkinan perkataan itu berupa penghinaan atau seumpama dengannya yang haram diucapkan termasuklah menuduh orang lain sebagai kafir.

Selain itu, seseorang juga akan melakukan perbuatan di luar kawalan seperti memukul, menumbuk atau mem­bunuh.Semua ini mendorong kepada perbuatan yang menyakitkan orang lain dan akhirnya mewujudkan per­musuhan serta kebencian.

Walaupun sifat marah adalah sifat semula jadi kita, namun sebagai seorang Muslim hendaklah berusaha untuk menjauhkan diri daripada segala perkara yang boleh menyebabkan kemarahan.

Saya ingin mencadangkan supaya puan mengamalkan tiga langkah kebijaksanaan atau tiga kaedah mengawal emosi supaya stabil. Kemarahan selalunya berpunca dari­pada kegagalan puan mengawal emosi. Pelbagai dugaan hidup akan melahirkan pelbagai emosi dalam diri kita yang kadang-kadang membuatkan emosi tidak menentu.

Tiga langkah bertenang adalah yang pertama; banyakkan minum air kosong. Jika pakar kesihatan menyarankan kita supaya minum lapan gelas sehari, seboleh mungkin capailah angka ini. Mengapa? Kerana air memang akan melegakan, menenangkan dan menyejukkan.

Syaitan dijadikan dari­pada api, maka siramlah api yang berada dalam badan puan dengan air. Jangan lupa baca bismillahirrahmanirrahim setiap kali hendak minum air. Mohon kepada ALLAH SWT agar api yang sedang menyala di dalam diri menjadi kecil dan akhirnya terpadam.

Kedua; amalkan memakai pewangi setiap masa. Wangikan tubuh badan puan dan kawasan persekitaran. Kewangian akan membawa emosi puan kembali stabil manakala bau yang busuk pula boleh  menyebabkan puan cepat marah. Tanpa sebarang wangian memanglah tiada apa-apa, tetapi jika wangi pasti dapat merangsang diri untuk lebih tenang dan bijaksana.

Ketiga; amalkan pernafasan 3E. Kaedahnya ada di dalam buku yang bertajuk ‘Fikir-fikirlah’ terbitan Alaf21. Ingin lebih berkesan, amalkan pula Senaman Terapi 3E.

Senaman ini adalah terapi. Apakah maksud terapi? Terapi merupakan pengubatan tanpa mengunakan ubat. Cubalah puan lakukan tiga langkah tersebut apabila terasa hendak memarahi anak. Dalam amalan harian pula, silalah puan amalkan zikir al-Mathurat dengan menghayati maknanya setiap kali baca pagi dan petang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada keberanian yang paling disukai oleh ALLAH selain daripada keberanian hamba menahan kemarahan. Tidaklah seorang hamba itu menahan kemarahannya me­lainkan ALLAH akan mengisi dadanya dengan keimanan.”- HR Ibn Abi Dunya

Pengajaran yang dapat difahami daripada hadis tersebut adalah seperti berikut:
 i.          Menahan perasaan marah, memaafkan kesalahan orang lain dan berlaku ihsan adalah antara sifat yang mesti dipupuk dalam diri kita kerana ia boleh menambahkan keimanan.

ii.         Marah umumnya menunjukkan sifat seorang yang lemah kerana gagal mengawal emosinya sendiri. Ia merupakan tabiat yang sukar dihapuskan. Apabila marah, kedua mata menjadi merah dan urat leher pula kelihatan timbul. Oleh itu baginda mengatakan bahawa kemarahan itu bara api di dalam hati anak Adam. Ia berpunca daripada syaitan yang dijadikan daripada api dan hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka baginda menasihatkan umatnya apabila marah, hendaklah seseorang itu berwuduk.
iii.        Imam al-Ghazali pula berkata, “Kemarahan manusia itu bermacam-macam. Sesetengahnya cepat marah tetapi cepat tenang. Sesetengahnya pula lambat marah dan lambat pula tenang dan sesetengah yang lain pula, lambat marah tetapi cepat tenang. Maka yang ketiga inilah yang paling terpuji.”
iv.        Tidak semua kemarahan itu dilarang oleh Islam. Marah perlu ada terhadap perkara yang tidak di­sukai yang menyalahi kebenaran. Ini sebagaimana yang diajarkan atau dilarang oleh agama seperti kita dilarang mendiamkan diri jika kehormatan peribadi dan agama dihina.

Semoga ALLAH SWT jadikan kita insan yang sangat tenang dan damai sepanjang usia yang masih berbaki. Tingkat­kan amal ibadat dan basahkan bibir dengan zikrullah agar hati kita menjadi lebih lembut lagi tenang.(Sumber: JAKIM)