Monday, February 4, 2013

Komplikasi Jiwa Muslim: Sengsaranya bergelar isteri kedua
Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj
4 Februari 2013
SOALAN:
Komplikasi Jiwa Muslim oleh Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj
Komplikasi Jiwa Muslim oleh Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj
Pada suatu hari ketika fikiran suami saya runsing, dia telah berkata, “Kalau tahu macam ni, tak ingin kahwin lagi.”

Kata-kata itu sangat melukakan hati saya. Sampai hati suami berkata begitu sedangkan saya telah berkorban untuk berkahwin dengannya. Saya bekerja dan memiliki kebahagiaan serta kemewahan.

Tetapi apabila saya merelakan diri berkahwin dengannya, saya telah dicerca dengan kata-kata begitu. Tidak sedarkah dia dalam ramai lelaki yang inginkan saya sebelum ini, saya hanya memilih dia? Saya korbankan perasaan semata-mata untuk menerimanya sebagai suami walaupun tahu dia sudah pun beristeri.

Sekarang saya merasakan hidup mula musnah. Suami bukan sahaja gagal memberikan kasih sayangnya tetapi juga mengambil alih syarikat saya. Tiba-tiba saya menjadi suri rumah walhal sebelum ini sayalah bos. Licik sungguh suami memainkan peranannya hinggakan saya tidak sedar telah menyerahkan segala-gala kepadanya
.

Saya memang dalam dilema. Pernikahan kami dilakukan di sempadan Siam tanpa pengetahuan isteri pertamanya. Apabila dia mula menunjukkan sikapnya yang sebenar, saya tidak tahu hendak mengadu pada siapa lagi. Ini kerana keluarga saya juga tidak tahu perkahwinan kami. Begitu juga dengan isteri pertamanya yang sehingga kini masih tidak tahu akan hal ini.

Saya sangat kecewa dengan hal sebegini. Jika saya memilih lelaki lain dahulu, tentu saya tidak bermadu dan masih memiliki syarikat itu. Apakah yang mesti saya lakukan Dr.?

JAWAPAN:

Ketika soalan saudari diterima, saya baru sahaja mendapat panggilan daripada seorang wanita yang ceritanya hampir sama dengan saudari. Sebaik sahaja saya angkat gagang telefon, saya terus mendengar suara orang menangis.

Saya tahu keadaan ini agak parah. Lalu saya biarkan dahulu tangisan itu reda. Kemudian apa yang diceritakan kepada saya hampir sama seperti apa yang saudari soalkan.

Sepanjang dia bercerita, suaranya asyik tersekat-sekat dan banyak kali berhenti akibat kehilangan suara kerana menangis. Jujur saya katakan, ada ketika saya rasa seperti hendak ketawa pula. Maklumlah isu yang diadukan dan punca terjadinya masalah sebegini adalah sesuatu yang biasa terjadi dalam perkahwinan yang sembunyi.

Saya mohon agar dia tidak menangis sebab menangis semata-mata kerana suami adalah sesuatu yang rugi. Se­dang­kan menangis yang terbaik adalah menangis kerana bertaubat dan takutkan ALLAH SWT. Mengapa dibazirkan air mata pada masalah yang kita sendiri membuatnya?

Kalaulah satu-satu perkahwinan itu terpaksa dirahsiakan, dilaksanakan pula di sempadan, tanpa keizinan ibu bapa ataupun bakal madu, bukankah itu mukadimah kepada masalah? Perkahwinan seperti ini pasti akan membangkit­kan masalah. Tidakkah saudari dapat meramal?

Untuk pengetahuan saudari, suami wanita ini memang mampu dari segi harta benda tetapi dari sudut keadilan, ternyata dia culas. Menurut cerita isterinya itu, dek per­kahwinan keduanya masih rahsia, dia lebih banyak me­numpukan perhatian pada isteri pertama.

“Nampaknya saya terpaksa berkorban perasaan demi kebahagiaan madu saya, sedangkan madu langsung tidak tahu kewujudan saya. Apa nak jadi dengan saya ni, Dr.? Alangkah bodohnya saya menjadi alat pada kebahagiaan dan keseronokan suami bersama isteri pertamanya itu.”

Di sinilah kadang-kadang saya berasa kelakar. Me­ngapakah dia tidak pernah berasa bodoh ketika hendak me­nikah dahulu? Apabila terpaksa sembunyi-sembunyi untuk membuat perkara baik yang dibenarkan Islam, tidakkah itu boleh dijangka masalah pasti akan timbul nanti?

Sehinggakan terkeluarlah kata-kata begini dari mulut saya, “Alangkah baiknya jika saudari menghubungi saya sebelum berkahwin dahulu, bukannya setelah berkahwin. Lelaki yang tidak pernah solat takkan faham makna keadilan dan boleh saudari harapkan.

Kalau dia sanggup curang di belakang isterinya, tidak mustahil dia akan mencurangi saudari kelak pada suatu masa nanti. Ketika itu, apakah yang saudari akan rasa? Bolehkah saudari terima jika suami saudari akan berkahwin lagi sedangkan soal solat pun tidak selesai?”

Daripada Abdullah katanya, Rasulullah SAW telah ber­sabda yang bermaksud:
 
“Wahai para pemuda, sesiapa di antara kamu yang sanggup memikul tanggungjawab berumah tangga, maka berkahwinlah. Kerana perkahwinan itu dapat me­nunduk­kan mata dan kemaluan (daripada dosa). Siapa yang belum sanggup, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat menundukkan nafsu berahi.” - HR Muslim
 
Sememangnya saya banyak mencecer terhadapnya. Tetapi dengan tujuan supaya dia sedar masalah yang terjadi hasil buatan sendiri. Dengan itu, saya harap dia akan kurang menyalahkan suami sebaliknya terus mengekalkan keanggunan sebagai isteri solehah.

“Gitu gini saudari sudah pun berkahwin, gitu gini saudari adalah isteri pada seorang suami. Selagi bergelar isteri, saudari wajib taat terhadapnya sebab syurga saudari di bawah tapak kakinya. Tidak kira siapa suami, apakah dia seorang kaki solat atau penjenayah, soal ketaatan dan mentaati kepada yang tidak haram merupakan kewajipan seorang isteri. Kembalikanlah kewarasan diri saudari dan jadilah isteri yang tidak memeningkan kepala suami.

Saya percaya timbul kata-kata suami seperti itu berpunca daripada kelakuan, layanan dan kata-kata saudari juga kepadanya. Seorang lelaki apabila mula pening dengan pasangan, dia akan terus meluahkannya. Tidak seperti wanita yang akan berselindung di sebalik perasaannya sehingga ia meledak apabila sudah tidak tertanggung lagi.”

Daripada Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
 
“Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya.” - HR Tirmizi, Ibnu Hibban, al-Baihaqi & al-Wahidi
 
Tanyalah hati kecil, apakah saudari ikhlas berkahwin kerana ALLAH SWT? Adakah ini niat asal ketika mula-mula berkahwin dahulu? Atau adakah saudari langsung tidak perasan persoalan begitu harus ditanyakan pada diri sendiri dalam apa juga tindakan yang ingin dilakukan?

Niat yang betul kerana-NYA akan menjadikan sesuatu perbuatan itu indah dan berpahala. Namun, niat selain daripada itu pula akan menyebabkan kita mudah menyesal apabila timbul masalah kelak.
 
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
 
“Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, ber­gantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah semata-mata taat kerana ALLAH dan rasul-NYA, maka hijrahnya itu diterima oleh ALLAH dan rasul-NYA. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu terhenti pada apa yang diniatkan hijrah kepadanya.” - HR Bukhari & Muslim
 
Sekiranya niat itu rasanya tidak wujud, belumlah ter­lambat untuk memulakannya. Apabila bernikah kerana ALLAH SWT, semua masalah akan menjadi kecil. Redhalah jodoh saudari adalah dengan suami orang. Jadi, tidak usahlah terlalu membanding kerana memang antara kerja syaitan ialah menggelodak hati saudari supaya mempertikaikan suami dan madu dalam aspek keadilan. Itulah yang sangat perlu dijaga oleh setiap pasangan yang berpoligami.

Jika tidak sanggup hadapi krisis perasaan seperti ini, tidak usahlah berkahwin dengan suami orang. Andainya suami orang itu bukanlah seorang yang bijak, berilmu dan baik pengamalan agamanya, bersedialah untuk berdepan dengan pelbagai kemelut hati yang dilakukan.

Sebenarnya, berpoligami itu bukanlah sesuatu yang negatif kerana Rasulullah SAW juga berpoligami. Justeru perkahwinan saudari dengan suami orang itu juga bukanlah sesuatu yang buruk kerana Siti Aisyah pun bermadu dengan para isteri Rasulullah SAW yang lain.

Kiranya status saudari lebih tinggi berbanding wanita yang tidak perlu berkongsi suami. Andainya seorang suri rumah sangat bahagia dan disayangi suaminya, dia belumlah terlalu hebat kerana yang perlu dijaga hanyalah seorang lelaki berbanding saudari. Jika boleh bersabar dalam segala hal, saudari jauh lebih hebat berbanding wanita lain.

Pada hemat saya, sudah tiba masanya saudari berterus terang dengan keluarga tentang status saudari sekarang. Sampai bila saudari hendak menyembunyikannya lagi? Meskipun mungkin berisiko, namun siapa tahu ia juga tidak mendatangkan sebarang risiko. Dengan bergantung pada ahli keluarga, suami tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak mengikut kata hatinya sahaja.

Umpamanya dalam soal syarikat yang telah berpindah milik kepadanya. Dikhuatiri akan banyak lagi masalah berbangkit sekiranya terus menyembunyikannya. Bayangkan jika suami saudari meninggal dunia, apa akan terjadi nanti dengan saudari?

Setelah keluarga mengetahui, minta bantuan mereka menjadi orang tengah di antara saudari dengan madu pula. Biasanya apabila orang tua di tengah-tengah, bagaimana mendidihnya seseorang itu ia tetap dapat disejukkan juga. Fikirkan sahaja apa akan terjadi andai saudari hamil dalam waktu terdekat ini?

Bukankah akan timbul pelbagai masalah yang tidak diingini? Ketika itu barangkali agak terlambat untuk berterus-terang lagi kerana keluarga pasti akan menaruh syak wasangka. Dalam kes-kes begini apabila dua keluarga boleh berada di meja bulat, banyak masalah akan dapat diselesaikan secara bijaksana. Bayangkan keluarga saudari dan keluarga suami bertemu dalam suasana penuh muhibah, bukankah dapat merungkai semua kekusutan?

Daripada Anas bin Malik berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
 
“Di dalam syurga terdapat sebuah pasar yang didatangi penduduk syurga setiap hari Jumaat. Angin bertiup dari sebelah kanan menyentuh muka dan pakaian mereka menyebabkan muka dan pakaian bertambah cantik, tampan dan indah. Ketika mereka pulang ke rumah didapati isteri mereka bertambah cantik dan indah. Kata mereka kepada isteri, “Engkau bertambah cantik dan pakaianmu bertambah indah sepeninggalanku.” Jawab isterinya, “Engkau demi ALLAH, sungguh bertambah tampan dan pakaianmu semakin indah pula sekembalimu.” - HR Muslim

No comments:

Post a Comment