Tangani stres
Hj Lokman Abd Hamid
Jawapan
Apa itu stres? Stres adalah tekanan perasaan iaitu gangguan emosi kesan
tindak balas sesuatu di luar kebiasaan atau kemampuan seseorang atau disebabkan
sesuatu beban yang menimpa seseorang. Apabila berlaku stres, badan menghasilkan
hormon adrenalin dan cortison yang menyebabkan jantung berdegup lebih laju,
pernafasan lebih kencang dan tekanan darah meningkat.
Punca stres
Terdapat
pelbagai faktor yang boleh menyebabkan stres. Punca stres berkait rapat dengan
persekitaran seseorang seperti masalah keluarga, kewangan, rakan, tempat kerja
dengan majikan atau rakan sekerja, masalah kesihatan seperti penyakit kanser,
masalah kesuburan, kematian atau perpisahan, kesesakan lalu lintas dan
terlampau banyak kerja. Stres juga berpunca daripada sikap atau sifat semula
jadi seseorang seperti kurang keyakinan diri, cepat putus asa, bersifat
perfectionist, mengalami masalah berkomunikasi dengan baik atau berterus
terang dan cepat marah.
Punca yang saya senaraikan
bersumberkan persekitaran dan individu sendiri, selain itu, stres juga boleh
berlaku akibat gangguan sihir, melalui jin dan iblis. Tekanan perasaan yang
berpunca daripada gangguan sihir sukar dikesan oleh perubatan moden. Bagaimanapun,
ramai pesakit yang berkunjung ke Pusat Rawatan Islam Al Hidayah untuk mengubati
stres, setelah dikenal pasti (diagnos) oleh pihak kami, punca sebenar penyakit
stres mereka disebabkan oleh gangguan sihir atau saka.
Simptom stresTanda
stres boleh dikategorikan kepada empat bahagian:
Fizikal - Badan letih, sakit
kepala, susah tidur, sakit badan terutamanya di bahagian bahu dan tulang belakang,
degupan jantung kuat, tekak loya, ketar badan, tangan berpeluh dan rasa sejuk.
Mental - Mudah lupa, hilang
tumpuan, susah buat keputusan, fikiran celaru, serabut.
Emosi - Kerisauan, kebimbangan,
fikiran negatif, membuat andaian tidak betul, sugul dan muram, mudah kecewa,
sentiasa takut, sensitif, panas baran dan mudah hilang sabar.
Sikap - Suka mengeluh, makan
banyak, merokok, minum arak berlebihan, agresif, maki hamun dan suka salahkan
orang lain.
Kesan stresKesan
positif stres ialah, ia dapat meningkatkan tenaga dan motivasi seseorang. Namun
begitu, stres boleh menyebabkan banyak kesan negatif dan mudarat kepada
kesihatan. Misalnya pening kepala, degupan jantung laju, sakit di bahagian bahu
dan leher, masalah susah tidur, sakit belakang, selalu berpeluh dan masalah
sembelit atau cirit-birit. Pesakit yang gagal mengawal stres akan menyebabkan
kesan jangka panjang, seperti gangguan sistem imunisasi, kemurungan, tekanan
darah tinggi, strok, sakit jantung, masalah kesuburan, kencing manis, gastrik
dan ulser, asma dan masalah kulit seperti alahan kulit, jerawat dan psoriasis. Stres
mampu melemahkan sistem imunisasi badan dan memudahkan kuman dan virus
menyerang badan kita dan senang untuk seseorang dijangkiti penyakit seperti
demam, selsema, batuk dan penyakit lain.
Kaedah mengawal stres.
Mengamalkan cara hidup sihat
seperti menjaga pemakanan, waktu tidur dan rehat yang cukup, kurangkan
pengambilan kafein dan aktif melakukan senaman.
Pengurusan masa lebih efektif dan
menjadi seorang produktif dapat mengurangkan stres lalu lambakan tugas harian
dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Belajar berkomunikasi dengan
lebih efisyen dan berterus-terang supaya perkara yang menyebabkan stres dapat
diselesaikan dan tidak disimpan di dalam hati
Belajar teknik cara pernafasan
yang betul dapat membantu menenangkan.
Bercakap dengan seseorang yang
boleh dipercayai tentang masalah atau stres yang dihadapi seperti kaunselor
yang dapat memberikan nasihat terbaik.
Menangani stres dari
perspektif IslamApabila stres seseorang perlu mengambil wuduk dan
mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan solat lima waktu, solat sunat
dan tahajud dan banyakkan membaca al-Quran dan berzikir setiap masa,
insya-Allah hati akan tenang dan stres berkurangan. Hal ini bertepatan dengan
firman Allah yang bermaksud:" Bukankah dengan mengingati Allah itu,
hati-hati akan menjadi tenang.." (Surah Ar'Ra'd, 28)
Ayat al-Quran sebagai terapi
stres
Reda dengan ketentuan Ilahi dan
setiap masalah atau stres adalah ujian Allah supaya hamba-Nya menjadi lebih tabah
dan matang dalam kehidupan. Pasti terdapat hikmah atas setiap ujian yang
menimpa kita. Firman Allah ;
"Sesungguhnya sesudah
kesulitan itu terdapat kesenangan, setelah kesulitan ada kemudahan.." (surah
Al Insyirah, ayat 5-6)
Berdoa dan memohon kepada Allah
dengan bersungguh-sungguh setiap masa, terutama selepas waktu solat dan berdoa
di waktu susah dan senang supaya Allah permudahkan masalah dan stres yang
dialami oleh hamba-Nya
Sentiasa bersyukur dengan segala
nikmat yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya seperti nikmat ibu bapa, anak-anak
dan keluarga, nikmat kesihatan, pekerjaan, masa lapang, makanan dan sebagainya.
Firman Allah di dalam al-Quran :
"Patutkah manusia menyangka
bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman",
sedang mereka tidak diuji? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji
orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian),
nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman,
dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta." (Al-Ankabut:2-3)
"Allah tidak memberi
kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya"
(Al-Baqarah: 286)
Rawat stres dengan ayat al-Quran
Di Pusat Rawatan Islam
Al-Hidayah, pesakit stres akan diberi ayat berikut untuk diamalkan dan disertai
dengan doa kepada Allah SWT untuk memohon penyembuhan. Ayat yang perlu diamal
adalah:
Surah Muhammad, ayat 21 hingga 32
Surah Tohaa, ayat 120 hingga 135
Cara amalannya ialah pesakit
hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Muhammad tiga kali pada waktu malam
dan surah kedua iaitu surah Tohaa tiga kali pada siang. Pembacaan hendaklah
diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga
kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan.
Proses mengenal pasti (diagnosis)
adalah sangat penting dalam rawatan kami. Kalau punca stres disebabkan masalah
persekitaran atau individu, cara rawatan adalah seperti biasa. Sekiranya stres
berpunca daripada gangguan sihir atau jin, sebaik-baiknya pesakit terlebih
dahulu datang berjumpa perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah supaya dapat kami
membuang sihir tersebut dan mengeluarkan jin yang terdapat di dalam tubuh
terlebih dahulu sebelum pesakit mengamalkan bacaan surah yang diberikan. Bagi
stres disebabkan gangguan sihir dan jin, sukar bagi perubatan moden untuk
menyembuhkan kerana jin dan iblis hanya boleh diubati melalui ayat al-Quran.
Terapi penyembuhan melalui ayat
al-Quran memerlukan masa, keyakinan disiplin dan kesabaran. Pesakit tidak boleh
menjangkakan dengan membaca surah pada hari ini, penyakit akan sembuh pada
esoknya. Kesabaran dan keyakinan sangat penting dalam proses rawatan. Pesakit
mesti yakin akan mukjizat ayat Al-Quran dan yang paling utama doa kepada Allah
SWT memohon penyembuhan, keberkatan dan rahmat-Nya.
Ramai bertanya, mengapakah ayat
al-Quran yang diberikan, terjemahannya tidak ada kena-mengena dengan penyakit
yang menimpa pesakit atau perkataan penawar atau penyakit yang dirawat. Sebenarnya,
semua ayat al-Quran yang diturunkan oleh Allah bersifat penawar dan ini tidak
boleh dijelaskan mengikut logik akal. Tiap gugusan ayat yang diberikan
mempunyai sifat aura tersendiri untuk menyembuhkan penyakit. Terjemahan
bukanlah ukuran bahawa sesuatu ayat al-Quran itu ada kena-mengena dengan fungsi
dan sifat penyembuhan atau simpton penyakit. Misalnya surah Al Waqiah
diriwayatkan mampu memberi kemurahan rezeki kepada sesiapa yang istiqamah
membacanya, namun terjemahan surah Al Waqiah bukan mengenai rezeki dan
kekayaan, sebaliknya mengenai suasana kiamat, syurga dan neraka. Justeru, perkara ini tidak dapat
dijelaskan dengan logik akal manusia. Selama 13 tahun saya menggunakan ayat ini
untuk dibacakan oleh pesakit dan hasilnya Alhamdulillah dengan keizinan Allah,
pesakit sembuh, ini menjadi bukti bahawa ayat yang diberi bersifat syifa' atau
penawar.
Nasihat saya kepada mereka yang mengalami gejala stres agar tidak menjadikan
tekanan sebagai penghalang kejayaan hidup dan menjadi seorang yang berputus
asa. Rasulullah SAW pernah bersabda sewaktu ditanya oleh sahabat,
"Siapakah orang yang paling banyak sekali terkena ujian?" jawab
baginda, "Nabi-nabi dan seterusnya orang yang seumpama mereka. Maka
barangsiapa yang tebal imannya nescaya banyaklah ujian yang akan menimpanya dan
barangsiapa yang lemah imannya, sedikit pula ujiannya." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Setiap yang bermula pasti akan berakhir, Tiap masalah ada penyelesaiannya
dan tiap penyakit ada penawarnya. Yakinlah pada Allah SWT, nescaya Dia pasti
membantu kita. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment