Implikasi tauhid terhadap ibadah
CIKGU SIDEK BABA
Seseorang yang bernama Islam, aqidah tauhid merupakan perkara
utama dalam kehidupannya. Ibarat sebatang pokok, kekuatan pokok itu bergantung
kepada akarnya. Akar itu ibarat aqidah tauhid yang menyebabkan pokok itu hidup
subur.
Kesuburan aqidah tauhid terkait rapat dengan isu ibadah kita. Yang
kita sembah, amalkan dalam hidup, yang kita syukuri, yakini adalah ALLAH. ALLAH
sebagai Pencipta satu-satunya bukan dua bukan tiga.
Aqidah tauhid merintis jalur kesatuan dalam ibadah. Apa saja ibadah yang
dilakukan ia terhubung dengan ALLAH Yang Satu. Ibadah itu kita lakukan dalam
satu kesatuan. Baik solat, siyam, fikir dan zikir dalam erti kata yang luas
semuanya terhubung dengan ALLAH. Ia menjadikan manusia taqarrub ilallah atau
dekat dengan ALLAH. Ia tidak boleh terpisah dan bergerak sendiri-sendiri.
Bila ibadah itu terhubung dengan pekerjaan, kerja itu kita lakukan kerana ALLAH
iaitu ikhlas. Apabila sesuatu kerja dan amanah kita lakukan dengan ikhlas,
hikmahnya akan kembali kepada kita juga.
Umpamanya kita berjual beli sebagai sumber ibadah dengan jujur dan ikhlas,
keuntungan yang diterima adalah sumber barakah. Bila ini terjadi sumber rezeki
itu dimanfaatkan kepada keluarga dan keluarga mendapat manfaat dari rezeki yang
halal dan tayyib.
Aqidah tauhid ini juga terhubung dengan syariah. Syariah ialah jalur pedoman
supaya insan Islam berada dalam lingkungan hidup yang terizin dan sentiasa
dalam reda ALLAH.
Faktor syariah ini sangat penting dalam menentukan pola perlakuan, tabiat,
watak dan corak kehidupan manusia. Apabila manusia hidup dalam syariat ALLAH,
dirinya sentiasa berada dalam keadaan maaruf dan sentiasa ingin menyumbang ke
arah kebaikan dan kesejahteraan manusia.
Lebih-lebih lagi apabila maqasid syariah itu bermaksud memelihara kepentingan
Deen atau agama sekali gus menjaga kemaslahatan agama dan kaitan dengan
penganutnya supaya imej Islam perlu teguh dan utuh.
Oleh itu pancaran aqidah tauhid yang terlihat dalam keyakinan dan cara hidup
menjadi asas penting pemeliharaan terhadap agama kerana pada diri orang-orang
Islam terdapat sumber teladan untuk dijadikan ikutan.
Menjaga agama dalam maqasid syariah adalah terlalu penting dijadikan keutamaan
kerana Islam itu agama dakwah. Ia mengajak, memanggil dan menyeru orang lain
tentang tatacara dan tatahidup murni yang boleh dijadikan sumber teladan dan
jalan ikutan.
Rasulullah SAW memiliki kualiti manusiawi yang tinggi. Daripadanya
terdapat qudwah hasanah dan contoh terbaik bagaimana sunnahnya dijadikan
pedoman dan ikutan. Apabila manusia memiliki sumber contoh dan ikutan ia tidak
akan kehilangan arah hidup dan sentiasa dekat dengan ALLAH.
Aqidah tauhid juga amat rapat hubungannya dengan akhlak. Akhlak Rasulullah SAW
dihubungkan sebagai khuluq al-Quran (akhlak al-Quran) di mana ia seolah-olah
al-Quran yang hidup dalam diri, pernyataan dan amalan. ALLAH mengutus
Rasulullah SAW atas maksud untuk menyempurnakan akhlak manusia.
Apabila aqidah tauhid manusia mantap, menjadikan akhlak Rasulullah
SAW sebagai sumber ikutan, manusia memiliki sifat taat. Taat membawa asas kepatuhan
dan ketundukan dan ia mendukung sifat kehambaan yang tinggi. Ia menjadi asas
terbinanya sifat ibadullah dan ibadurrahman.
Sifat ini sangat penting kepada manusia kerana darinya memiliki
kualiti ihsan yang tinggi. Ihsan atau 'God-Conciousness' meletakkan perbezaan
antara Islam dan bukan Islam.
Sifat ihsan seperti disebut Rasulullah SAW menghubungkan amal
manusia dengan Pencipta.
“Meski bila kita melakukan amal baik, kita tidak melihat ALLAH, tetapi ada
keyakinan di hati ALLAH melihat kita”. Inilah asas kekuatan bagi seorang muhsin
yang sentiasa mendamba diri kepada ALLAH SWT dengan rasa kekudusan dan
keikhlasan untuk mendapatkan reda-Nya.
Oleh itu kehebatan aqidah tauhid tidak saja dirasakan kepada
keyakinan diri tetapi mampu diterjemahkan dalam amal.
Sebagai seorang Islam tidak saja produktiviti rohaniah kita tinggi dengan
tahajjud, qiyam dan seumpamanya tetapi juga produktiviti amaliah dapat
dimanifestasikan dalam proses keilmuan, dakwah dan tarbiyyah sehingga cemerlang
dalam pengurusan diri dan juga sistem.
Hakikatnya apa yang kita lakukan ikhlas kerana ALLAH hikmahnya kembali kepada
manusia semula. Kebaikannya adalah berpulang kepada manusia dan mensejahterakan
orang lain.
No comments:
Post a Comment