Monday, February 18, 2013

Ikhtiar melalui ibadah Umrah

IBADAH umrah khusus dilakukan di Mekah dan boleh dilakukan bila-bila masa. Antara rukun yang terkandung dalam ibadah umrah adalah niat, tawaf, saie dan bertahallul.

Alhamdulillah, hari ini ramai mampu menjalani ibadah umrah di Mekah. Saban tahun, Kota Mekah dibanjiri jutaan manusia dari seluruh dunia untuk mengerjakan umrah.

Saya baru pulang dari membawa jemaah termasuk pesakit mengerjakan umrah dan menjalani rawatan. Insya-Allah, kita berikhtiar, Allah memberi kesembuhan.

Rawatan pesakit di tanah suci dimulakan Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah beberapa tahun lalu. Alhamdulillah, ramai pesakit puas hati dan sembuh dengan izin Allah.

Mengapa perlu berubat hingga ke tanah suci? Apa rasionalnya? Persoalan ini sering diajukan kepada saya. Ingin saya nyatakan, tanah suci adalah tempat istimewa kerana di sana terletaknya Kaabah kiblat seluruh dunia.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, "Demi Allah! Sesungguhnya Mekah ialah sebaik-baik negeri dan tempat paling disayangi Allah." (Hadith dari Abdullah bin Adi bin Hamra).

Malah, tanah suci adalah tempat dijamin Allah sebagai tempat mustajab berdoa. Sememangnya dalam hidup setiap pesakit, doa merupakan 'penawar' terpenting dalam berjuang untuk sembuh.

Rasulullah saw bersabda. "Al-Multazam itu tempat dikabulkan doa. Apa saja doa dan permohonan hamba di tempat ini InsyaAllah dikabulkan". (Hadith daripada Ibnu Abbas).

Tanah suci telah dibuka oleh Nabi Ibrahim a.s., merupakan tempat para rasul serta tempat lahir Rasulullah s.a.w, justeru ia mempunyai barakah tersendiri melebihi tempat lain di dunia.

Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 125, "Dan (ingatlah), ketika Kami menjadikan rumah (Kaabah) tempat berkumpul dan tempat yang aman bagi manusia. Dan jadikanlah maqam Ibrahim itu tempat solat. Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail, "Bersihkan rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, orang yang iktikaf, orang yang rukuk dan orang yang sujud!".

Pengalaman merawat dan dirawat di Mekah berbeza berbanding di klinik Setiawangsa atau seluruh tanah air. Sepanjang 12 hari, pesakit dapat menunaikan umrah dan saya merawat serta memantau perkembangan mereka.

Di tanah suci, rawatan melibatkan elemen tawaf, berdoa di hadapan Multazam, solat dan berdoa di dalam Hijr Ismail dan solat sunat di belakang Makam Ibrahim, di mana ibadah tersebut tidak dapat dilakukan di tempat lain selain di Masjidil Haram.
Proses rawatan di Mekah termasuk ;

Rawatan pertama di tempat penginapan

Dalam rawatan pertama, saya cuba mengenali latar belakang pesakit. Saya ingin memahami tujuan dan matlamat pesakit mengerjakan umrah. Selepas mengenalpasti penyakit dialami, saya beri setiap pesakit dua ayat Al Quran untuk diamalkan, khusus mengikut kesesuaian penyakit. Ayat ini hendaklah dibaca dan diamalkan pada siang dan malam selama berada di tanah suci. Selepas membacanya, pesakit dikehendaki berdoa kepada Allah apa yang dihajati.

Rawatan Kedua di Dataran Kaabah

Pesakit dirawat secara individu, seorang demi seorang di Dataran Kaabah oleh saya dan menantu saya, Ashraf Muslim. Dalam sesi ini, kami merawat pesakit dan fokus kepada anggota yang sakit, disertai doa kepada Allah mohon penyembuhan.

Tawaf Sunat
Selesai rawatan, pesakit dibawa untuk tawaf sunat yang diketuai oleh saya dan Ashraf Muslim dibantu petugas Al Hidayah bagi memastikan pesakit tidak berpecah. Ibadah tawaf sangat penting dalam sesi penyembuhan. Semasa tawaf, pesakit diminta fokus dan berdoa seikhlasnya kepada Allah apa yang dihajati.

Doa di Multazam
Selesai Tawaf Sunat, saya serta petugas memastikan pesakit masuk ke ruangan betul-betul di depan Multazam untuk berdoa kepada Allah apa yang dihajati. Sukar untuk jemaah berhimpun di depan Multazam memandangkan keadaan penuh sesak dengan jemaah bertawaf dan hendak mencium Hajaratul Aswad tetapi perkara ini dipermudahkan dengan izin Allah.

Solat Sunat dan Doa dalam Hijr Ismail

Selesai berdoa di Multazam, saya dan petugas mengiringi pesakit masuk ke Hijr Ismail untuk solat dan berdoa sekali lagi. Keadaan amat sukar untuk jemaah masuk kerana sesak dan keluasan Hijr Ismail yang terhad. Alhamdulillah, dengan izin Allah kami berjaya menolong semua pesakit termasuk yang berkerusi roda untuk solat dan berdoa di dalamnya.

Solat Sunat Tawaf, Sunat Taubat, Sunat Hajat belakang Makam Ibrahim

Seterusnya, pesakit diiringi untuk solat sunat tawaf, sunat taubat dan sunat hajat di belakang Makam Ibrahim. Di sini pesakit solat hajat memohon Allah menyembuhkan penyakit. Sebagai pesakit, kebergantungan kepada Allah sangat penting.

Semua ini dilakukan dalam kumpulan 10 hingga 15 orang dengan empat petugas. Biasanya terapi tawaf dilakukan pada tengah malam dan mengambil masa dua hingga tiga jam.Rata-rata pesakit yang pernah menerima rawatan sangat puas hati kerana dapat menyempurnakan ibadah tawaf dengan fokus, malah dapat memasuki tempat mustajab berdoa, yang mana bukan semua orang berpeluang terutama golongan berumur dan wanita.

Selain menunaikan ibadah umrah, pesakit berkesempatan berubat di tempat paling barakah, itu yang sangat membuatkan para pesakit berpuas hati. Saya sempatberbual dengan pesakit mengenai pengalaman mereka berubat dengan saya, Alhamdulillah jawapan mereka positif.

Satu pengalaman luar biasa, saya rasa sangat dekat dengan Allah dan objektif berubat tercapai kini sakit saya makin ringan.."

- Puan Asiah
Saya mengidap kronik ekzema sejak 2005, terasa sangat pedih di seluruh belakang tubuh. Alhamdulillah rawatan kali ini, sakit saya berkurang dan paling bermakna, saya dipimpin oleh petugas untuk berdoa di hadapan Multazam. Sebelum ini ketika ke Mekah tidak pernah saya mengalaminya kerana orang terlalu ramai."

- Puan Ezakiyah
Saya mengalami penyakit Anxiety Disorder. Saya kurang keyakinan diri, cepat gemuruh dan takut berhadapan dengan orang ramai. Setelah mengambil keputusan menyertai rombongan umrah, saya membuat persiapan cukup rapi. Alhamdulillah, semasa tawaf, saya merayu betul-betul kepada Allah agar sakit saya sembuh dan ibadah dipermudahkan. Allah maha mendengar. Saya amat bersyukur kerana dapat melakukan ibadah tawaf sendiri walau sesak dengan jemaah"

- En. Azuad
Saya mengalami masalah tulang belakang dan berubat di Al Hidayah selama setahun, belum pernah berkesempatan berubat dengan Hj Lokman. Di sini kita dirawat sendiri oleh Hj Lokman dan diberi perhatian penuh oleh petugas. Dalam keadaan lemah, saya dipimpin ke Hijr Ismail dan Multazam, ia satu pengalaman sangat berharga."

- Puan Shima
Bagi pihak saya dan Al Hidayah, program ini adalah salah satu kerja amal membantu pesakit sembuh sebab tanah suci sungguh istimewa untuk beribadah dan ber doa.

Apa yang penting adalah niat menolong pesakit. Perlu diketahui, Pusat Rawatan Islam Al Hidayah bukan menguruskan pakej umrah, kami berkerjasama dengan agen umrah dan haji berdaftar - Wira Saujana Sdn Bhd. Pihak Al Hidayah bertanggungjawab untuk proses rawatan dan segala perkhidmatan pakej umrah dikelola oleh Wira Saujana dengan bantuan Al Hidayah.

Saya memilih Wira Saujana Sdn Bhd kerana pakej mereka 'mesra pesakit'. Hotel di Madinah terletak 20 meter dari pagar Masjid Nabawi dan di Mekah, hanya 180 meter dari Masjidil Haram. Bagi saya, keselesaan pesakit menjadi keutamaan. 

Kepada pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis, pihak kami sedia membantu mendapatkan rawatan dialisis percuma di hospital kerajaan di Mekah dan Madinah.

Sebagai kesimpulan, Mekah adalah tempat sangat berkat dan mustajab berdoa. Tiap apa yang dihajatkan, asal dengan hati ikhlas akan dikabulkan. Sepanjang pengalaman saya berubat di tanah suci, saya dapat menyaksikan perkembangan baik pesakit.

Niat kami adalah untuk menolong dan bukan tujuan komersial dan promosi. InsyaAllah dengan amalan serta bimbingan serta rawatan di tanah suci, pesakit akan merasakan pengalaman berbeza, kepuasan dan kesembuhan dalam ibadah. Insya Allah.

Untuk keterangan lanjut mengenai pakej Umrah Al Hidayah bulan April 2013 sila layari laman web http://ww.alhidayah-medic.com

No comments:

Post a Comment