Alhamdulillah, Allah telah memberi rezeki kepada saya kerana dapat menunaikan umrah pada 11 hingga 22 Jun lalu. Terima kasih Tuan Hj Lokman Abd Hamid dan adik Ashraf Muslim kerana bermurah hati membiayai saya.
Sekembali daripada Umrah, Allah kurniakan kesihatan yang baik dan anak-anak dan isteri juga sihat walafiat. Syukur kepada Allah yang banyak mengurniakan nikmat setelah bersara.
Cuma pada kesempatan ini saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan dan sahabat handai yang belum berkemampuan untuk menunaikan umrah atau Haji samada disebabkan masalah kewangan ataupun kesihatan. Ataupun ada juga yang sudah ada kemampuan tetapi tidak tergerak untuk menjejaki kaki ke dua tanah suci; Mekah dan Madinah.
Apa yang menariknya dalam buku Misteri Panjang Umur karya Muhamad bin Ibrahim Al Nu'aim penterjemahnya Muhammad Zuhri, Al Hidayah Publication mendedahkan beberapa rahsia yang sepatutnya direbut bersama oleh umat Islam khususnya.
Apa yang menariknya ialah beberapa amalan yang disyorkan oleh penulis mampu meraih pahala yang begitu besar dan hebat. Sebagai tatapan kita bersama suka saya petik beberapa amalan yang mudah dan tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak tetapi mampu menyaingi kerja buat amalan yang kita terpaksa bebelanja besar seperti Haji dan Umrah. Bukan bererti tidak perlu tunaikan Haji dan Umrah, tetapi mereka yang terhalang kerana masalah kewangan dan kesihatan, mampu beramal dengan memperoleh ganjaran pahala yang besar. Malangnya tidak begitu dipedulikan oleh Umat Islam.
Dalam Faridh Al Qadir, al Manawi menyebutkan sabda Rasulullah s.a.w. “Barangsiapa pergi untuk melakukan solat berjemaah, maka solatnya itu sama seperti mengerjakan ibadah haji”
Orang yang membiasakan dirinya berwuduk di rumah kemudian ke masjid untuk solat berjemaah 5 waktu sehari mengharapkan pahala akan ditulis baginya pahala 5 kali haji sehari.
Dalam setahun 5 waktu x 360 hari = 1800 (30 tahun) berapa hajikah telah kita lakukan? (Buku Misteri Panjang Umur ms. 72-73)
Daripada Abu Umamah (r.a) bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya; “Barangsiapa berjalan (ke masjid) untuk mengerjakan solat fardhu berjemaah, maka solatnya sama dengan melaksanakan ibadah haji. Barangsiapa pergi mengerjakan solat sunat (dhuha) di masjid, maka solanya itu sama dengan mengerjakan ibadah “umrah"Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Fath al Rabbani (2/12). Abu Daud (2/263) Ia dinilai sahih menurut Al Albani dalam sahih al-Jami no.6556
Daripada Uthman bin Affan (r.a) bahawa Rasulullah s.aw. Bersabda “Barangsiapa mengerjakan solat Isyak berjemaah, maka dia sama seperti mengerjakan solat selama setengah malam dan barangsiapa mengerjakan solat Isyak dan subuh berjemaah, maka dia sama seperti mengerjakan solat sepanjang malam” Diriwiyatkan oleh Abu Dawud (2/261) al Tirmidzi (2/22) Ia dinilai sahih oleh Al Albani dalam Shahih al Jami’ no.6342.
Begitu juga dengan amalan mengkahtamkan al Quran setiap hari. Memang logiknya kita tidak mampu berbuat demikian, tetapi amalan membaca surah Al Ikhlas menyamai pahala membaca satu pertiga al Quran manakala membaca surah Al Kafirun sama seperti membaca satu perempat daripada Al Quran.
Berada di dalam bas, menunggu giliran di klinik, atau menunggu anak dalam kereta waktu balik dari sekolah atau tusyen, mampu untuk kita baca surah al Ikhlas lebih daripada 3 kali. Berbanding dengan setengah golongan berlumba-lumba membaca al Quran tanpa mengira tajwid, kerana inginkan cepat khatam. semua hukum dilanggar. Maka cacat cederalah bacaan kita.
Biar sedikit tetapi berterusan. Marilah kita beramal sebelum ajal memanggil.