Tarikh : November 18, 2011
 
                              Alangkah baiknya jika kita memiliki bandar seperti Oxford. Sebuah  bandar yang penuh dengan pusat-pusat pengajian. Hampir setiap manusia  yang bergerak di bandar ini ada kaitan dengan pengajian. Pelbagai tajuk  yang pelik dan aneh dikaji. BBC Oxford juga ada kelainannya. Isu-isu  yang dibincangkan sesuai dengan taraf keilmuan di bandar ini.
Seminar itu dan ini begitu banyak dalam pelbagai cabang ilmu  pengetahuan. Hampir semuanya percuma. Mereka biasanya tidak  memperuntukkan tempat yang canggih dan anggun untuk berseminar. Cukup  dengan satu ruang dalam perpustakaan ataupun selainnya yang boleh  memuatkan beberapa puluh orang. Kebanyakannya tiada pembesar suara.  Hanya kerusi, meja dan pembicara. Sebahagian seminar hanya beberapa  belas orang. Ia tetap berlangsung penuh diskusi pengetahuan. Saya  sendiri cuba hadir dalam banyak seminar setiap minggu, sama ada yang ada  kaitan secara langsung atau tidak dengan bidang saya. Beberapa seminar  di School of Anthropology umpamanya memberikan saya pengetahuan baru di  luar bidang. Semalam di Muslim-Christian Studies, ada pembentangan oleh  Martin Whittingham seorang Kristian dengan tajuk: Ezra as the Corrupter  of the Old Testament Text? Ibn Hazm and the Long History of an idea.  Seorang Kristian yang memperkatakan tentang idea al-Imam Ibn Hazm. Ya,  banyak boleh dimanfaatkan jika kita ingin cari pengetahuan di sini. Jika  kita buru pengetahuan memang hidup akan sibuk. Sehingga saya kadangkala  terfikir untuk berhenti menulis setiap minggu yang sentiasa menekan  waktu saya sejak hampir lima tahun lalu. Dahulu ketika di Mingguan  Malaysia, deadline saya pada hari Sabtu amat mendesak. Sekarang di Sinar  Harian deadline saya pada hari Khamis untuk edisi Jumaat. Waktu  Malaysia pula awal 8 jam dari UK. Namun, oleh kerana tulisan  menghubungkan saya dengan ramai manusia, di akhbar dan internet maka  saya teruskan. Dengan harapan ada kebaikan mendatangkan pahala di  sebalik setiap artikel yang dikeluarkan.
 ILMU UNTUK APA?
Di sebalik kesibukan manusia memburu ilmu di bandar seperti Cambridge  dan Oxford ini, saya tertanya ke manakah ilmu pengetahuan yang penuh  sarat ini akan membawa manusia. Apakah tujuan ilmu? Apakah ilmu untuk  ilmu, atau ilmu hanya jambatan kepada satu tujuan lain yang lebih murni.  Apakah cukup seorang insan memegang gelaran ilmu kemudian hidup dalam  lingkungan sendiri tanpa menjadikan pengetahuannya memberikan sumbangan  kepada pembangunan insan? Lebih buruk lagi, apabila apa yang dianggap  ‘ilmu’ itu menyumbang kepada kemusnahan kehidupan manusia.
Sebelum saya pergi lebih jauh, saya teringat hari pertama sampai di  bilik penginapan, saya bertanya arah kiblat kepada jiran bilik saya yang  juga seorang ilmuwan Muslim. Beliau berkata tidak tahu. Saya terdiam  dan berfikir apakah peranan ilmu dalam kehidupan seorang individu  Muslim? Apakah makna bagi sebuah perbahasan agama yang kononnya mencapai  ketinggian falsafah sehingga ke langit tinggi jika pembahasnya gagal  untuk meletakkan dahi ke bumi untuk sujud kepada TUHAN MAHA TINGGI? Ilmu  itu ada roh dan tuntutannya.
Kita tidak menafikan betapa malunya dunia Islam yang ketinggalan dalam  pembangunan ilmu. Sedangkan dahulu, dunia Islam telah ke hadapan dalam  hal ini. Museum History Science di Oxford - bersebelahan tempat tinggal  saya ini, mengiktiraf sumbangan dunia Islam terhadap perkembangan sains  dan mengakui Barat mengambil manfaat daripada kaum Muslimin. Barat yang  pada mulanya mengambil ilmu dari dunia Muslim lalu mengembangkannya  sehingga mereka maju ke hadapan dalam pelbagai bidang kehidupan. Kita  pula ketinggalan, bahkan ramai hidup dalam kejumudan. Ada memusuhi ilmu  pengetahuan dengan menganggap pengajian selain ilmu-ilmu langsung  berkaitan agama hanyalah sia-sia. Bahkan ada yang melarang menuntut ilmu  dengan orang kafir atau di ‘negara kafir’. Golongan literalist ini  melupai bahawa sebahagian kemudahan beragama adalah hasil sumbangan ilmu  dalam pelbagai bidang. Perkara asas dalam kehidupan seperti jam untuk  solat, kompas untuk arah kiblat, kenderaan untuk ke Mekah, pembesar  suara, mesin cetak, internet dan pelbagai lagi yang membolehkan Islam  tersebar adalah hasil sumbangan ilmu dalam pelbagai bidang yang secara  zahirnya tidak kelihatan berkaitan agama. Namun, ramai manusia kembali  kepada TUHAN hasil perantaraan ilmu dari bidang yang lain.
Permasalahan utama penuntut ilmu di Barat ataupun Timur adalah mereka  gagal menghubungkan ilmu pengetahuan dengan TUHAN SEMESTA ALAM. Apabila  mereka terlupa, ataupun syaitan melupakan mereka segala falsafah dan  penemuan dalam pembukaan ilmu hanyalah usaha menemui rahsia ciptaan  TUHAN di alam maya ini. Umpamanya, kehairanan saintis tentang ‘Black  Holes’ yang akan menelan kehidupan maya pada ini, tidak dapat  dirungkaikan tanpa menyelak lembaran-lembaran tentang kiamat dan  kehidupan baru selepas kemusnahan alam.
Islam tidak pernah memusuhi ilmu. Walaupun ada pandangan-pandangan  jumud seperti konservatif agama dahulu di Indonesia dan Malaya yang  menentang Kiyai Ahmad Dahlan dan ‘Kaum Muda’, atau golongan literalist  hari ini yang menentang pengajian falsafah, namun sejarah umat Islam  tidaklah seburuk Kristian yang membakar hidup ribuan ilmuwan dalam rekod  sejarah mereka. Dalam dunia Islam, walaupun ada kezaliman disebabkan  aliran mazhab dan school of thought yang berbeza, tetapi ruang ilmu  tetap luas. Al-Ghazali, Ibn Rusyd, Ibn Taimiyyah dan selain mereka yang  berbahas tentang falsafah Greek dan Yunan secara pro dan kontra, kesemua  mereka mendalami ilmu tersebut secara masak dan dalam. Mereka bukan  terus mengharamkan tanpa berkenalan. Dalam apa sahaja bidang, tidak sama  orang yang mengetahui dengan tidak mengetahui: (maksudnya) “Katakanlah:  apakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui?”.  (al-Zumar: 9)
TUNTUTAN ILMU
Apa yang Islam tuntut agar ilmu sentiasa dikaitkan dengan kebesaran  ALLAH, TUHAN PENCIPTA ALAM. ALLAH itu di sebalik segala ilmu  pengetahuan. Apa yang manusia temui hanya cebisan daripada penciptaan  alam yang maha luas. Sama ada penemuan dalam bentuk kebendaan ataupun  pemikiran dan falsafah kehidupan, semuanya hanyalah debu daripada ilmu  TUHAN yang tiada tepiannya. Inilah yang ALLAH nyatakan: (maksudnya)  “Tidaklah kamu semua diberikan ilmu melainkan sedikit” (al-Isra: 85).  Dengan ilmu yang sedikit itulah manusia menghasilkan pelbagai kemajuan  yang mengagumkan. Dengan ilmu yang sedikit itulah manusia berbangga dan  menzalimi antara satu sama lain. Namun, dengan ilmu yang sedikit itulah  satu-satunya jalan untuk manusia mengenali TUHAN dan tunduk kepada-NYA.  Justeru, ALLAH mengajar manusia sejak awal penurunan wahyu agar ilmu  pengetahuan dibaca dengan nama-NYA YANG MAHA PEMURAH yang mengurniakan  ilmu kepada insan. Firman ALLAH: (maksudnya) “Bacalah dengan nama TUHAN  mu Yang Menciptakan (segalanya). DIA menciptakan insan dari ‘alaq.  Bacalah, dan TUHAN mu YANG MAHA PEMURAH. Yang mengajar dengan pena. DIA  mengajarkan insan apa yang tidak diketahuinya” (al-‘Alaq :1-5).
Demikian sejak hari awal penurunan wahyu kepada Nabi SAW, asas ini  telah dipasak. TUHAN itu berada di setiap tabir ilmu. Kesimpulan seorang  pengkaji ilmu akan kembali kepada kebesaran TUHAN. Apa sahaja ilmu yang  dikaji, TUHAN jua akan ditemuinya. Jika berjaya atau gagal, dia hanya  berjaya atau gagal membongkar rahsia ciptaan TUHAN. Namun dia tetap  akur, segala ilmu hakiki berada di sisi TUHAN. Apa yang ditemui, hanya  debuan dari kebesaran-NYA. Maka ilmu akan membawa insan mengenali ILAHI.  Mengenali TUHAN menerusi ilmu membawa kepada cinta hakiki.
Ilmuwan berpaksikan TUHAN sentiasa akan menyimpulkan jawapan akhir bagi  segala pencarian iaitu “Hanyalah ALLAH Yang Mengetahui hakikat setiap  perkara”. Apa yang manusia bahas dan bincangkan hanyalah zahir ilmu,  batinnya tetap dalam pengetahuan TUHAN. Benar dan salah, hanya tafsiran  dan takwilan fakta dan nas; hakikatnya TUHAN jua yang mengetahui.
Manusia yang memburu ilmu dengan penuh kejujuran, menemui TUHAN di  setiap penjuru ilmu. Firman ALLAH: (maksudnya) “Tidakkah engkau melihat  bahawa ALLAH menurunkan hujan dari langit, lalu KAMI keluarkan dengan  air hujan itu buah-buahan yang berlainan warnanya; dan di antara  gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur putih dan merah, yang  berlainan warnanya dan ada juga yang hitam legam. Dan demikian pula  antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang  ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? sebenarnya yang takutkan  ALLAH dari kalangan hamba-hamba-NYA hanyalah orang-orang yang berilmu  (ulama). Sesungguhnya ALLAH MAHA KUASA, LAGI MAHA PENGAMPUN” (Fatir:  27-28).
Ayat ini sering dijadikan dalil, golongan ulama paling takutkan ALLAH.  Lalu, ditonjol ulama berserban, berjubah, ahli fekah, lebai atau ustaz  sebagai golongan yang takutkan ALLAH. Namun, jika kita perhatikan ayat  ini ia bicara tentang mereka yang memerhati kejadian alam dengan segala  keajaiban, selepas itulah diikuti dengan penegasan ‘yang takutkan ALLAH  dari kalangan hamba-hamba-NYA hanyalah orang-orang berilmu (ulama)’.  Jika berserban dan jubah tanpa meneroka rahsia alam, atau menelaah  penemuan keajaiban ciptaan TUHAN tidak akan menimbulkan rasa kegerunan.  Maka, tidak salah untuk kita katakan saintis itulah paling dimaksudkan  mereka yang takutkan ALLAH. Saintis itulah ulama dalam konteks ayat ini.  Sesiapa mengkaji alam dalam segala bidang kebendaan dan pemikiran,  merekalah ulama bidang mereka. Adapun yang daftarkan diri dalam  persatuan ulama, atau badan ulama belum tentu terangkum dalam ayat ini.
Apa pun, dalam apa pengetahuan perasaan itu tidak akan hadir, jika ilmu  dibaca secara berasingan daripada nama TUHAN. Hendaklah TUHAN berada di  setiap tabir ilmu.
 
No comments:
Post a Comment