Wednesday, September 12, 2012



Persiapan hadapi kematian

 
 
Kesibukan urusan di dunia dorong manusia lalai

Sebagai seorang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan hadis, kita mempercayai bahawa kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati adalah peringkat kewujudan yang wajib dilalui semua manusia.

Pada peringkat kehidupan kita di dunia, jarang umur manusia melebihi 100 tahun dan puratanya mencapai umur antara 60 hingga 80 tahun. Umur pendek atau panjang tidak menjadi persoalan kerana akhirnya manusia pasti mati.

Bagaimana sihat seseorang, bagaimana megah kuasa dan kaya, namun manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Malah nabi, Rasul, iaitu manusia yang paling dekat dengan Tuhan, bahkan manusia yang menjadi kekasih Allah SWT pun tidak dapat lari daripada kematian.

Firman Allah SWT: “Di mana saja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat.” (Surah an-Nisaa’, ayat 78)

Setiap manusia pasti mati kerana mati bermakna manusia kembali kepada asal kejadiannya. Ia berasal dari tanah, maka pastilah ia akan kembali menjadi tanah supaya menjadi peringatan kepada manusia.


Kiamat kecil

Persoalan mati adalah suatu kejadian yang hebat, suatu kejadian tidak dapat dielakkan. Apabila seseorang manusia itu mati, ia dikatakan kiamat kecil berlaku pada diri kerana jasadnya hancur lebur kembali menjadi tanah dan roh keluar dari badan. Roh yang menyebabkan kita hidup, boleh mendengar, melihat, berakal, merasai dan berfikir.

Barzakh bermaksud dinding pembatas antara dua benda. Berdasarkan iktikad al-Sunnah wa al-Jamaah, setiap manusia akan berada dalam alam barzakh yang terletak antara alam dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati sehingga dibangkitkan.

Alam barzakh juga tempat permulaan manusia di hukum segala amalannya di dunia. Seperti mana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran seksaan kubur di alam barzakh.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras).” (Riwayat al-Tirmizi)

Sahabat Nabi bernama Ubaid bin Umair al-Laitsi pernah berkata: “Setiap mayat yang hendak meninggal, pasti liang lahad yang mana mayat itu di kubur memanggilnya, “Akulah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sendiri. Jika waktu hidupmu kau taat kepada Allah SWT maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu. Jika kau derhaka, maka hari ini aku akan menjadi seksa bagimu. Siapa memasukinya dengan taat, akan keluar dengan bahagia. Dan sesiapa masuk dengan derhaka, dia akan keluar dengan penuh penyesalan.”


Manusia tak terlepas alam kubur

Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang akan berakhir di alam kubur. Ulama al-Rifa’i pernah berkata: “Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali alam kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali buat selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan, dulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya telah tertanggal, dulu lidahnya fasih bertutur, kini cacing tanah telah memakan mulutnya. Dulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.”

Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkata kepada beberapa orang rakannya di dalam satu majlis: “Wahai fulan, engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir alam kubur dan penghuninya? Jika kau tahu keadaan sebenarnya dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya.”

Ketika khalifah Umar mengiringi jenazah sahabatnya lalu kubur memanggilnya dan bertanya, “Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukah aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan terhadap jenazah yang kau cintai ini? Ya, jawab Umar.

Kubur itu menjawab: “Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya. Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya? Tentu, jawab Umar. Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, Peha dari lututnya. Aku cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya.

Khalifah Umar menangis dan berkata: “Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Yang muda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati. Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku dan bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang diturunkan oleh Tuhanku.”


Sibuk urusan dunia

Pada akhir zaman ini, semakin kurang atau amat sedikit daripada kalangan manusia yang bercakap mengenai kematian, alam berzakh dan mahsyar, kerana manusia sedang sibuk dengan pembangunan kerjaya, kemewahan dan kelazatan kehidupan dunia serta hiburan.

Kesibukan mencari keseronokan dan kelazatan dunia adalah penyumbang terbesar kelalaian manusia mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi kematian. Insaflah dan sedarlah mengenai kehidupan yang sebenarnya dan jangan kita lalai daripada mengingati kematian.

No comments:

Post a Comment