Friday, May 24, 2013

    KEHIDUPAN SIGNIFIKAN 

    Roslan Ab Hamid MKI

8 Rabiul Akhir 1434

Ibnu Mas'ud berkata, "Pelajarilah kebaikan kerana kebaikan dapat menjadi kebiasaan (tabiat harian)".

Permulaan 
Saya duduk menekun diri.  
Bersungguh mahu membaris dan menyusun abjad kata. Berusaha mencari luhur makna. Saya gementar mahu bermula. Ia rasa debar memulai kuliah pertama di Universiti MKI.

Ketika ini, saya terkenang lembaran kisah silam. Rupanya - dalam diam - sudah 35 tahun insan bernama Muhd Kamil Ibrahim (MKI) berada dalam minda. Kepetahan MKI bertutur bagaikan rantai emas yang mengikat kenangan bersama.

35 tahun dulu, saya di tingkatan satu. MKI di tingkatan tiga MRSM Kota Bharu. Beliau petah berkata, pintar berhujah dan pendebat ternama kebanggaan warga MRSM. MKI sering bertegas, "anak sungai lagikan berubah, inikan pula hati manusia." Ia kata bermakna yang terakam kekal dalam minda.

Tertulis

Hari ini, MKI menjawat jawatan Profesor di Universiti Taibah, Madinah. Saya pula usahawan di bandar tempat kami pernah bermula, Kota Bharu Kelantan. Kini - sekurang-kurangnya kami kembali semula melalui Universiti MKI. MKI digerak Allah untuk  memberi ruang kepada saya berkongsi tajuk MKI juga: MOTIVASI, KOMUNIKASI dan ILMU.

Tawaran menarik ini datang bagai kejutan penghormatan yang amat menyenangkan. Kita tidak semestinya hebat untuk bermula tetapi kita perlu bermula untuk hebat. Lalu HEBAT ini adalah kata kunci pembuka cerita dalam kuliah pertama di Universiti MKI.

Tiada jawapan mampu saya tuturkan pada tawaran MKI kecuali Alhamdulillah Terima Kasih. Seumpama kali pertama melihat MKI berdebat di atas pentas 35 tahun silam, hati dan emosi saya pada masa ini berasa amat teruja sekali.

Lorong Hebat

HEBAT, akronim semasa di MRSM adalah Hati Emosi Berasa Amat Teruja. Apakah HEBAT yang serupa mahu saya kongsikan sekarang? Pada hemat saya, setelah membaca banyak buku dan mengikuti pelbagai seminar - termasuk bacaan buku MKI dan Puan Roza Roslan - akronim hebat ini perlu berubah makna. Seorang teman mengajar saya makna baru di sebalik akronim HEBAT.

H adalah Hanya kerana Allah. MKI dalam banyak perkongsiannya sering mengingatkan agar kita memburu darjat dan kemuliaan di sisi Allah SWT. Kemuliaan di sisi Allah akan merapatkan kita dengan manusia, manakala barang diingat kemuliaan di sisi manusia ada kalanya menjauhkan kita daripada Allah.

E adalah Elakkan Irihati, Benci dan Dengki. Kehidupan akan lebih sempurna bila kita belajar mencintai, memaaf dan memberi. Hidup perlu bahagia dan membahagiakan. Lebih utama diredhai oleh yang Esa.

Perbezaan

Cara terbaik bagi menceriakan diri adalah dengan menceriakan orang lain. Mulakan dengan memberi. Memberi seumpama kita membina jambatan penghubung yang merentasi jurang keterpencilan diri sendiri. Satu satunya perbezaan antara hari yang baik dengan hari yang buruk adalah sikap kita. Sikap adalah perkara kecil yang membawa perbezaan besar.

B adalah Bersyukur bila diuji. Bersyukur bila dipuji. Bersyukur dengan segala nikmat Allah SWT. Kita harus menerima kesakitan, kesusahan dan kepayahan serta menjadikan ia sebagai pembakar semangat dalam perjalanan hidup.

Setiap kali berdepan kesukaran, saya teringat kata-kata Iman Syafi'i,
"Jangan bersedih atas sesuatu yang hilang di dunia, kerana engkau masih memiliki keIslaman dan Kesihatan. Jika sesuatu yang engkau usahakan hilang dari mu maka dengan Islam dan kesihatan itu terdapat ganti yang hilang untuk mu.

Perubahan

A adalah Amalan Kerja Keras dan Fokus. Untuk berjaya ubah Fokus, Emosi dan Fisiologi. Dalam kehidupan, kita tidak dapat berpatah balik dan mencipta permulaan baru semula. Begitupun seseorang sentiasa dapat bermula daripada sekarang dan mencipta penamat baru yang lebih baik tentunya.

Apakah ada sosok agung lain yang dapat kita jadikan contoh keteladanan?  Jawapannya TIDAK ADA. Dia satu dan sesatunya, junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Pada dirinya ada teladan besar kekuatan iman dan kesabaran. Pada diri baginda ada contoh kerja keras dan fokus.

Rasulullah saw dihina, disiksa dan diusir. Baginda berdepan penolakan. Baginda menderita tetapi pantang putus asa. Rasa percaya diri yang tinggi menjadikan Nabi Muhammad SAW istiqamah menyebarkan Islam ke seluruh penjuru dunia dan membawa rahmat ke seluruh alam ini.

Pegangan

T adalah Tawakal. Menurut ulama analogi Tawakal itu ada 3 tahap. Tahap pertama, tahap pemula adalah tawakal di bumi. Pergantungan kita kepada Allah adalah sangat sedikit. Kita selalu tanpa sedar lebih percaya pada kuasa manusia dan mata benda.

Tahap kedua, tawakal di lautan. Kita masih berharap pada pautan sampan atau apungan air manakala tawakal tahap ketiga adalah tawakal di udara. Inilah setinggi tinggi tawakal kerana kita hanya bergantung pada Allah SWT jua.

Akronim HEBAT inilah yang memayungi sesi-sesi Motivasi, Komunikasi dan Ilmu dalam dewan kuliah saya di Universiti MKI. Saya akan cuba sebaik mungkin berkongsi beberapa perkara dengan doa "di hujung perjalanan orang berilmu adalah KEJAYAAN".

Moga ada ruang manfaat di bilik kuliah ini, In'sya Allah.

   


Thursday, May 23, 2013

‘Anak Angkat Masjid’ – Indahnya Kelembutan Dakwah

Oleh: al-bahanj
"Pada suatu hari, seorang budak lelaki telah ditangkap oleh ahli jemaah masjid kerana telah mencuri duit dari tabung masjid.  Apabila mendengar berita tersebut, ahli-ahli jemaah masjid yang lain menjadi marah, malah ada yang mahu memukul budak lelaki tersebut.

Pengerusi masjid apabila mendengar hal itu, telah meminta semua bertenang, bersabar dan jangan memukul budak itu.  Beliau meminta supaya budak itu dibawa kepadanya untuk disoal selidik.
  • “Adik, kenapa adik mencuri?”  tanya pengerusi masjid tersebut.
  • “Ayah tak bagi duit.  Esok cikgu nak duit kena beli buku.”  jawab budak lelaki tersebut.
Si pengerusi masjid apabila mendengar penjelasan budak lelaki tersebut, lantas sebak lalu menitiskan air mata.  Beliau sedih kerana pada saat masjid dapat berbelanja membeli makanan yang banyak untuk ahli jemaah berbuka puasa, tetapi ada rupa-rupanya anak kariahnya yang tidak mampu membeli buku sekolah.

Setelah disoal selidik akan latar belakang budak tersebut, si pengerusi masjid tersebut kemudian menyatakan sesuatu yang di luar kebiasaan, iaitu melantik budak tersebut sebagai ‘anak angkat masjid’.
  • “Baiklah, mulai hari ini kami isytiharkan kamu jadi ‘anak angkat masjid’.  Kalau kamu perlukan duit nak beli buku, baju sekolah atau makanan kamu datanglah jumpa saya.  In shaa’ ALLAH, pihak masjid bantu.  Tetapi dengan syarat kamu mesti datang bersolat lima fardhu di masjid secara berjemaah dan menyertai semua majlis-majlis ilmu di masjid.”  Kata pengerusi masjid itu.
Budak lelaki tersebut setuju.  Dan sejak itu, budak tersebut selalu ke masjid.  Malah dialah yang datang awal ke masjid untuk buka pintu, hidupkan lampu, pasang kipas, susun sejadah dan sebagainya.  Lama-kelamaan peribadi budak lelaki tersebut semakin baik lantaran hatinya yang semakin terdidik dengan masjid.
ALLAHU AKBAR!

Kisah di atas telah saya dengar dari Sheikh Dr `Abdul Basit `Abdul Rahman – hafizohullah – di beberapa tempat yang beliau ceramah (lebih kurang begitulah kisahnya).  [Salah satu Video]

Kisah yang diselitkan beliau itu benar-benar menyentuh hati saya.  Ia menyuntik kesedaran kepada saya akan keindahan berdakwah secara lembut, sabar dan berhikmah.  Bukan dengan kekerasan.  Apatah lagi dengan kelemahan kita pada hari ini yang selalu tidak selidik terlebih dahulu, terus mahu menghukum. 

Moga-moga contoh kehikmahan dari kisah di atas dapat kita sama-sama pelajari dan mencetus di hati kita akan kepentingan berdakwah secara lembut dan hikmah.

Agaknya apakah pula yang akan terjadi jika budak tersebut dimarahi dan dipukul?  Mungkin pengerusi masjid tersebut dapat memberikan pengajaran dan amaran kepada lain-lain agar tidak mencuri, tetapi mungkinkah budak lelaki tadi terdidik sebagaimana kisah di atas? 

Tidak rasanya.  Entah-entah mungkin dia akan menjadi seorang manusia yang sangat berdendam dengan masjid, bukannya seorang yang hatinya dekat dengan masjid.  Itulah perbezaan antara bertindak dengan kekerasan dengan kehikmahan.  Natijahnya berbeza.

Sebenarnya jika kita susuri hadith-hadith Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam, banyak pengajaran bagaimana untuk kita berhikmah dalam berdakwah.  Banyak contoh-contoh yang telah ditinggalkan oleh Baginda untuk kita ikut dan amalkan.  Para sahabat sentiasa jatuh hati dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam lantaran kelembutan Baginda dalam mendidik dan mengajak. 

Anas bin Malik radhiAllahu `anhu yang menjadi khadam kepada Nabi selama 10 tahun tidak pernah dimarahi, hatta dibebeli pun tidak pernah.  Itulah dakwah cara Nabi.  Cuma kita sahaja yang selalu meremehkan, lupa, lalai, tidak merujuk hadith-hadith Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam, bahkan yang lebih teruk ialah kita mencari formula lain selain formula yang telah disediakan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.

Indahnya kelembutan dakwah.

Semoga catitan ini bermanfaat, in shaa’ ALLAH.  Dan semoga kita semua diberikan hidayah dan taufiq oleh ALLAH Ta`ala, amin…

Tuesday, May 21, 2013


Jangan dayus wahai lelaki
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Mei 2013
Jangan dayus wahai lelaki
Jangan dayus wahai lelaki
SOALAN: Ramai  lelaki kurang faham erti dayus dengan jelas. Apakah makna perkataan dan perbuatan yang menjuruskan perlakuan tersebut?

Jawapan: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga golongan yang ALLAH tidak akan lihat (bermakna tiada bantuan daripada dikenakan azab) mereka pada hari kiamat: Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki dayus.” (Riwayat Ahmad dan Al-Nasaie)

Dayus disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadis yang lain iaitu daripada Ammar bin Yasir berkata, dia mendengar daripada Rasulullah SAW berkata: “Tiga golongan yang tidak akan memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.” Lalu sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus?” Berkata Nabi: “Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).” (Riwayat Al-Tabrani: Majma az-Zawaid, 4/327)

Daripada hadis di atas, maksud lelaki dayus adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dengan siapa isteri dan anaknya bersama dan bertemu. Malah, ada yang membiarkan sahaja isteri dan anak perempuannya dipegang lelaki lain.

Soalan yang sama daripada sahabat mengenai siapakah dayus? Lalu jawab Nabi SAW, maksudnya: “Apakah dayus itu wahai Rasulullah?” Jawab Nabi: “Iaitu seseorang (lelaki) yang membiarkan kejahatan (zina, membuka aurat, bergaul bebas) dilakukan oleh ahlinya (isteri dan keluarganya).” (Riwayat Al-Tabrani dan Al-Baihaqi).

Tafsiran golongan ulama berkenaan istilah dayus adalah “Seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya).”

Imam Al-‘Aini berkata: “Cemburu lawannya dayus.” Berkata pula Al-Nuhas, “Cemburu (iaitu lawan kepada dayus) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya daripada ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram.

Disebut dalam kitab Faidhul Qadir, maksudnya: “Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) apabila dia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli keluarganya dia tidak mengubahnya.”

Al-Munawi mencatatkan kata-kata Imam Ibn Qayyim berkenaan dayus: "Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga), dan barang siapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga jauh daripada kejahatan dan perkara keji. Tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali." (Faidhul Qadir, Al-Munawi, 3/430)

Dayus adalah dosa besar

Ulama Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar, maksudnya: “ALLAH telah melaknat lelaki dayus (laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu daripada isterinya dan diharamkan bergaul dengannya)."

Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang dipakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki. Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrif golongan ulama mengenai erti dayus dan istilah yang hampir dengannya, maksudnya: “Al-Qawwad (istilah yang disamakan dengan dayus) di sisi umum ulama adalah ’orang tengah’ kepada zina.”

Imam al-Zahabi berkata, maksudnya: "Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan dia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu (atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat.” (Al-kabair, 1/45)

Cemburu dituntut Islam

Ada isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu. Sebenarnya, kita perlu fahami bahawa ia adalah tuntutan Islam dan menunjukkan suami yang bertanggungjawab.

Bergembiralah si suami yang memperoleh isteri solehah. Ini kerana, tanpa sebarang campur tangan dan nasihat daripada sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Daripada tanda kebahagiaan anak Adam adalah memperoleh wanita solehah (isteri dan anak).” (Riwayat Ahmad, no 1445, 1/168)

Jika seorang bapa mengetahui perbuatan ‘ringan-ringan’ anak perempuan atau lelaki mereka dan membiarkannya, maka dia adalah dayus. Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah ‘ringan-ringan’ atau terlanjur sebelum kahwin dan tanpa taubat yang sebenar-benarnya, sudah pastilah rumah tangga mereka akan goyah.

Kemungkinan besar apabila telah berumah tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan perbuatan ‘ringan-ringan’ dengan orang lain. Hanya dengan bertaubat nasuha dapat menghalang aktiviti mungkar itu daripada melepasi alam rumah tangga mereka.

Jika hal ini dibiarkan, ia akan merebak pula kepada anak mereka, seterusnya kepada zuriat mereka. Awas! Dalam hal ini, semua suami dan bapa perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka daripada dianggap sebagai dayus. Jagalah zuriat anda. Suami juga patut sekali sekala menyemak telefon bimbit dan beg isteri untuk memastikan tiada yang diragui.

Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua. Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka, demi menjaga maruah dan kehormatan isteri serta anaknya.

Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa pada zaman Nabi Muhammad SAW, maksudnya: "Berkata Ubadah bin Somit RA: Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteri ku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedang ku, maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa’ad tadi, lalu Nabi memberi jawapan: “Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa’ad?

Demi ALLAH, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah ALLAH lebih cemburu daripada ku, kerana kecemburuan ALLAH itulah maka diharamkan setiap perkara keji  yang ternyata dan tersembunyi.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Lihat betapa ALLAH SWT dan rasul-NYA menginginkan golongan suami dan ayah mempunyai sifat pelindung kepada ahli keluarga daripada melakukan sebarang perkara keji dan mungkar.

Lelaki menjadi dayus apabila:

1. Membiarkan kecantikan aurat dan bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain selama mereka bekerja atau di luar rumah.

2. Membiarkan isterinya pulang lewat, serta tidak diketahui bersama siapa, serta apa yang dibuatnya ketika dia bekerja.

3. Membiarkan aurat isteri dan anak perempuan dewasanya terdedah (terselak kain) ketika menaiki apa jua kenderaan.

4. Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahramnya.

5. Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangan yang bukan mahramnya di rumah. Kononnya, ibu bapa mereka sporting dan memahami.

6. Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang menjolok mata di luar rumah.

7. Membiarkan anak perempuan menyertai akademi hiburan yang boleh mempamerkan kecantikan mereka kepada jutaan manusia bukan mahram.

8. Membiarkan isteri atau anaknya menjadi pelakon dan membiarkan mereka berpelukan dengan lelaki lain. Kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon, nafsu seorang lelaki itu akan hilang? Tidak sekali-sekali!

9.  Membiarkan isteri bekerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

RAsulullah SAW bersabda “Sesiapa yang mati dibunuh kerana mempertahan kan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid.” (Riwayat Ahmad)

Monday, May 20, 2013


Sawan boleh disembuhkan

Hj Lokman Abd Hamid – Pusat Rawatan Islam Al Hidayah

Jangan putus asa mencari penawar penyakit sawan. - Gambar hiasan

Soalan: ASSALAMUALAIKUM. Anak saya menghidap sawan sejak berusia empat bulan. Kini umurnya enam. Anak saya bergantung pada ubat hospital. Adakah cara lain untuk mengatasinya? Dapatkah perubatan Al-Quran menyembuhkannya? Terima kasih. - Kamarul Ariffin Pekan Pahang

Jawapan:
Waalaikumsalam. Sepanjang saya merawat penyakit sawan, terdapat beberapa jenis sawan. Penyakit sawan ada sementara dan ada mengambil masa untuk sembuh. Ada yang memiliki tanda sawan kronik dan ada di peringkat awal. Biasanya ia bermula dari umur enam bulan hingga lewat dua puluhan.

Bukan saja pesakit mendapat rawatan tetapi juga ibubapa dan ahli keluarga kerana tekanan menjaga pesakit. Sifat sabar ibubapa dan ahli keluarga amat dituntut dalam memberi penjagaan terbaik.

Ingat, Allah sentiasa bersama mereka yang sabar. Seperti firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 153: “Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar."

Sebaiknya, bawa anak ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk diagnosis dan rawatan kerana ramai pesakit sawan yang datang berubat dapat banyak perubahan sama ada kekerapan serangan berkurang atau sembuh sepenuhnya dengan izin Allah.

Pengenalan

Sawan atau epilepsi adalah penyakit akibat ketidakseimbangan rangsangan isyarat elektrik di dalam otak disebabkan kecederaan semasa atau selepas kelahiran, tumor atau demam ketika kanak-kanak atau jangkitan.

Serangan sawan berbeza dari segi intensiti dan frekuensi, bermula dengan kehilangan memori ringan - absences sehingga konvulsi (jatuh atau goncangan badan) berlaku beberapa kali dalam sehari.

Tekanan, demam dan pengambilan alkohol berlebihan berpotensi menyebabkan sawan. Sehingga kini tiada penyebab utama sawan dikesan. Kekurangan vitamin boleh menyebabkan sawan dan mendorong doktor mengawalnya melalui diet.

Perubatan moden mengklasifikasikan sawan kepada tiga kategori:

1 Sawan Menyeluruh/Generalise (melibatkan keseluruhan otak - Grand Mal atau Sawan Tonik-Klonik). Pesakit kaku, rebah, tidak sedar, badan bergoncang atau konvulsi dan meronta. Serangan biasa berlaku dalam lima minit, kebanyakan pesakit tertidur lebih setengah jam dan bila terjaga termenung dan bingung.

2 Sawan Sebahagian (Sawan fokal/partial kompleks atau Gangguan Psikomotor). Mengakibatkan pesakit bingung dan tidak sedar apa yang berlaku.

3 Sawan Ketiadaan (Absence Seizure atau Epilepsi Petit Mal). Banyak terjadi pada pelajar sekolah rendah dan pesakit berada dalam keadaan tidak sedar dalam masa singkat (30 saat), tidak melibatkan jatuh atau goncangan badan (konvulsi). Biasa pulih apabila dewasa.

Punca

Penyakit sawan berlaku tanpa mengira bangsa, latar belakang pendidikan dan kedudukan status ekonomi. Lebih separuh kes tidak mempunyai punca pasti.

- Pengaruh genetik. Sesetengahnya ada sejarah keluarga, atau genetik. Penyelidik mengaitkan beberapa jenis sawan dengan gen tertentu.
- Trauma di kepala yang dialami semasa kemalangan atau kecederaan trauma lain.
- Gangguan perubatan. Penyakit seperti strok atau serangan jantung.
- Demensia adalah punca utama sawan di kalangan orang dewasa lebih tua.
- Penyakit - meningitis, AIDS dan virus ensefalitis juga boleh menyebabkan sawan.
- Kecederaan pranatal. Sebelum lahir, bayi terdedah kepada kerosakan otak disebabkan jangkitan daripada ibu, pemakanan atau kekurangan oksigen. Kira-kira 20 peratus sawan kanak-kanak berkaitan dengan cerebral palsy atau masalah neurologi lain.
- Masalah pembangunan. Kadang-kala ikaitkan dengan gangguan perkembangan, seperti Autisme dan Sindrom Down.
Dalam pengalaman kami, terdapat kes melibatkan gangguan makhluk halus atau jin.

Tanda awal

Gejala sawan berbeza dan bergantung kepada jenis. Ramai menyangka sawan atau epilepsi sama dengan demam sawan. Walaupun tandanya hampir sama, ibu bapa perlu peka dan tahu membezakannya.

Demam sawan berpunca daripada demam panas pada kanak-kanak antara enam bulan hingga lima tahun. Sawan biasanya menyerang orang dewasa disebabkan faktor semulajadi dan tekanan mental dan mungkin sukar dikenal pasti di kalangan kanak-kanak.
Contohnya, sesetengah sawan menyebabkan pesakit suka berkhayal atau anak kecil tersandung. Apabila ini kerap berlaku dalam corak yang sama, mungkin mereka sawan. Sawan sukar didiagnosis pada kanak-kanak.

Tanda kanak-kanak sawan:

- Merenung kosong seperti berkhayal.
- Jatuh secara tiba-tiba tanpa sebab.
- Kurang tindak balas untuk tempoh singkat.
- Mengantuk berlebihan.
- Mengangguk berulang-ulang.
- Mata berkelip laju.
- Sakit perut tiba-tiba diikuti kekeliruan.
- Kerap cuai bila melakukan sesuatu.
- Tiba-tiba takut tanpa sebab jelas.

Kadang-kala sawan bermula di zaman remaja dan sukar dikenali dan disalah tafsir sebagai masalah psikologi.

Tanda remaja mempunyai sawan:

- Merenung kosong, mengunyah, membelek pakaian, membebel atau pergerakan rawak.
- Takut tiba-tiba, marah atau resah.
- Otot, anggota atau badan bergoncang atau mengigil (seizure), terutama awal pagi.
- Perubahan deria seperti perkara yang kelihatan (halusinasi), bunyi (skizophrenia), bau, berasa pelik atau berbeza.
- Masalah memori atau kerap lupa.
- Tidak dapat bercakap atau berkomunikasi secara biasa untuk masa singkat.

Kehadiran tanda berkenaan tidak bermakna anak atau anda sawan, tetapi perlu perhatian serius. Jumpa doktor atau datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.

Rawatan moden

Doktor biasanya merawat sawan dengan ubatan. Jika tidak berkesan, pihak hospital mencadangkan pembedahan atau rawatan lain. Kebanyakan pesakit bebas sawan dengan mengambil ubat anti-epileptik. Jika tidak berhasil, doktor mencadangkan pembedahan atau terapi lain.

Pembedahan dilakukan jika ujian menunjukkan serangan berasal dari kawasan kecil dalam otak dan tidak mengganggu fungsi penting. Jika serangan berasal di bahagian otak yang tidak boleh dikeluarkan, doktor mencadangkan pembedahan di mana pakar bedah membuat satu siri bukaan atau potongan di dalam tisu otak.

Terapi rangsangan saraf melibatkan alat perangsang saraf vagus yang ditanam di bawah kulit dada seperti perentak jantung. Tidak jelas bagaimana ia berfungsi, tetapi ia mengurangkan sawan hingga 40 peratus.

Kanak-kanak dapat mengurangkan serangan dengan mengekalkan diet ketat seperti tinggi lemak dan rendah karbohidrat. Diet ketogenic, menyebabkan badan memecahkan lemak dan bukan karbohidrat untuk tenaga.

Guna ayat Al-Quran

Seperti diterangkan, wujud gangguan pada sistem saraf pesakit. Punca sebenar belum disahkan dan terdapat banyak hadis mengenai sawan menyebut gangguan jin.
Diriwayatkan daripada Nabi Sulaiman bin Daud a.s., baginda melihat seorang perempuan tua rambut beruban, mata biru, kening bertanduk, betis kecil, rambut kusut masai, mulut ternganga dan keluar pucuk api, dapat membelah bumi menggunakan kuku tajam dan memecahkan batu besar dengan pekikan suaranya.

Nabi Allah Sulaiman bertanya, siapakah kamu? Adakah kamu manusia atau jin? Kerana aku tidak pernah melihat orang paling hodoh selain engkau. Perempuan itu menjawab: “Akulah Ummu Sibyan (Jin ibu penyakit sawan) yang dapat menguasai ke atas anak Adam lelaki dan perempuan, …"

Dari Husain bin Ali r.a., ia berkata Rasulullah saw bersabda: “Siapa yang melahirkan anak lalu bayi yang dilahirkan diazankan pada telinga kanan dan diqamatkan pada telinga kirinya, nescaya ummu sibyan tidak akan mengganggunya."

Abu Sulaiman berkata apabila sekumpulan sahabat dalam perjalanan dan bertemu orang terkena sawan. Salah seorang membacakan Surah Al-Fatihah dan meniup di telinga beliau. Pesakit itu segera sembuh.

Apabila Nabi Muhammad s.a.w. dimaklumkan mengenai perkara ini, beliau berkata: "Ia (Surah Al-Fatihah) adalah" Ibu Al-Quran "(Ummu al-Qur'an) dan penawar setiap penyakit."

Di sini, pesakit sawan diberi ayat berikut untuk diamalkan disertai doa kepada Allah mohon penyembuhan. Ayat tersebut adalah:

Surah Az-Zumar ayat 24 hingga 37
Surah Al-Hijr ayat 66 hingga 99
Surah Al-A’raaf ayat 43 hingga 56
Surah Ambiya ayat 74 hingga 81

Pesakit hendaklah membaca surah pertama, tiga kali pada malam dan surah kedua, tiga kali siang. Amalkan tiga hingga empat minggu. Selepas itu, pesakit perlu memohon doa penyembuhan kepada Allah.

Selepas itu, pesakit hendaklah mengulang surah seterusnya. Lebih baik pesakit datang berjumpa perawat supaya kami memeriksa jika ada gangguan makhluk halus.

Penutup

Kepada pesakit, jangan putus asa dan anggap penyakit sawan tidak dapat dibantu.
"Kami menurunkan dari Al Quran itu suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.."-(Al-Israa', 17:82)

InsyaAllah, dengan izin Allah kami boleh membantu pesakit sawan.


Artikel Penuh: 
http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130519/kn_05/Sawan-boleh-disembuhkan#ixzz2TnVukNnQ 
© Utusan Melayu (

Jangan silap didik anak
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Mei 2013

SEMUA anak dilahirkan fitrah, bersih, baik, cenderung pada kebaikan dan kenal ALLAH.  Tetapi kesilapan ayah, ibu dan persekitaran dalam mendidik menyebabkan anak ini membesar menjadi Nasrani, Majusi atau Yahudi," kata pendakwah terkenal Datuk Ustaz Mohd Zawawi Yusoh.

Beliau berkata sedemikian dalam satu slot ceramahnya yang dipetik dari Youtube bertajuk Punca anak derhaka siri satu dan dua.

Ibn Khaldun pernah menyebut, "manusia itu adalah anak kepada persekitaran". Oleh itu, dengan merujuk kepada faktor persekitaran, radio, TV, majalah dan kawan itu saling mempengaruhi.

"(Bayi) asalnya bersih kemudian dikotorkan. Bersih sepatutnya dibersihkan dengan kebersihan iaitu diteruskan dengan pendidikan al-Quran, agama, kenal ALLAH, sayang ALLAH, berkaitan dengan pemikiran, perasaan dan keyakinan. Kerana dengan keyakinan ia membetulkan akal dan nafsu," katanya.

Antara faktor lain punca anak derhaka adalah pemberian nama panggilan tidak bagus; tidak diajar mengenali al-Quran; dan mencintai Rasulullah SAW.

Antara lain punca mengapa anak derhaka adalah kerana rasa cemburu.

"Ibu dan ayah yang memberi rasa anak cemburu. Contohnya, ibu ayah tidak menyamakan pemberian kepada anak dan tidak berlaku adil, bila layanan tidak betul kadang-kadang berlaku resapan.

Resapan itu di mana anak akan menyimpan (perasaan) dan akhirnya akan timbul rasa hendak membalas dendam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Samakanlah pemberian antara anak-anak seperti kamu sekalian senang apabila mereka adil dalam berbakti yang sama kepada kamu sekalian (ibu bapa).” (Riwayat Muslim)

Sunday, May 19, 2013


KEMATIAN PASTI DATANG
Hakikat Tak Terbantahkan Dari Kematian

Tidak semena-semena handphone isteri saya berdering jam 4.30 pagi. Ingatkan orang tersalah panggil. Sengaja dibiarkan. Kadang-kadang ada juga panggilan nakal pagi-pagi buta ni. Tetapi bila kali kedua berdering, hati saya syak mungkin ada panggilan mustahak.  Benar. Kak Yan, kakak ipar saya dari Kg. Beruas buat panggilan, abang sulung saya Syed Abu Bakar telah kembali kerahmatullah. Beberapa minit kemudian Nor adik saya dari KL, telepon memberitahu berita yang sama. Dah pastilah, berita itu benar. Sesungguhnya, mati itu benar.


Innalillahi, wainnalillahi rajiun. Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati..." (Ali 'Imrân [3] : 185) 

Baru minggu lepas, hati saya terpanggil untuk ke Pekan, menziarahi abah dan dua orang abang saya di Pekan. Syed Abu Bakar abang yang sulung, manakala Syed Umar abang nombor 3.


Sewaktu menziarahi abang yang sulung tempoh hari, Allahyarham kelihatan sihat, walaupun dia masih menjalani rawatan penyakit kencing manisnya. Rupa-rupanya Allah yang gerakkan hati saya agar berjumpa untuk kali yang terakhir dan semalam, dan jam 3.30 pagi Sabtu, 18 Mei 2013 beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Meninggalkan anak lelaki seramai 5 orang, dan 3 perempuan. Sudah punyai cucu seramai 7 orang. Alhamdulillah tak kaya harta tetapi kaya keturunan. Moga-moga lahirlah keturunan yang soleh dan solihah.Amiin. 

Semua adik beradik, anak-anak Allahyarham sempat balik, untuk menziarahi Allahyarham. Jenazahnya disemadikan di Perkuburan Kampung Beruas, Kuala Pahang berhampiran dengan kubur arwah tok, nenek dan beberapa kubur bapa saudara yang telah meninggal dunia.

Rupa-rupanya guruan Allahyarham dengan abang saya yang ketiga, Syed Umar, apabila melintasi kubur tersebut mereka bergurau, ”Nak booking dekat mana?” menjadi kenyataan. Dari tanah kita datang kepada tanah kita dikembalikan.


Ibu saya Sharifah Gayah bt Syed Ali, Alhamdulillah masih sihat walaupun usia telah menjangkau lebih 70 tahun. Begitu juga Ayahanda Syed Hassan b Syed Ahmad Al Attas biarpun usianya sudah menjangkau 94 tahun masih mampu menunggang motosikal, berulang alek ke masjid Tanah Putih, Pekan,berhampiran tempat tinggal beliau.

Apabila menghantar jenazah Allahyarham Syed Abu Bakar, ke tanah perkuburan, tersentuh hati ini, betapa hanya kain putih sahaja yang mampu dibawa ke dalam kubur, bantal yang di alas kepala, kain batik penutup keranda pun diambil semula di bawa balik.

Sungguh menginsafkan diri. Sewaktu jenazah diturunkan ke  dalam liang lahat saya terusik perasaan. Saya berfikir sejenak. Teringat diri ini, siang malam bekerja,  mencari duit untuk membeli kereta, membina rumah batu, membeli pelbagai jenis perabut, pakaian yang pelbagai jenama, motosikal, basikal buat joging, rupa-rupanya, semuanya tak boleh nak dibawa ke dalam kubur. Kita terlalu disibukkan dengan hal-hal dunia, akhirnya kita dimasukkan ke dalam kubur seorang diri. 

Saya teringatkan pesan seorang Ustaz satu ketika dahulu, kalau kita menziarahi orang mati,kita kena rasakan yang mati itu adalah diri kita, barulah tercapai maksud Rasulullah saw menggalakkan umatnya agar suka menziarahi orang mati. 

Sehingga dijanjikan pahala menyamai sebesar bukit Uhud, jika sempat menyembahyang jenazah, dan kalau sanggup menghantar ke tanah perkuburan dan menguruskan pengkebumian dijanjikan pahalanya sebesar dua bukit Uhud.

Malangnya, menzaiarahi orang mati ini macam biasa-biasa sahaja. Waktu sampai nampaklah kesedihan tanda simpati, lepas itu, boleh berbual rancak apabila bertemu dengan kenalan. Sepatutnya, semua yang menziarahi tidak perlu berbual kosong, banyakkan baca ayat-ayat suci ataupun berzikir, niatkan pahalanya untuk simati. Jangan sampai kita digolongkan oleh Allah sebagaimana maksud ayat berikut;

"Mereka itulah orang-orang yang hati, pendengaran dan penglihatannya telah dikunci mati  oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang lalai". (An Nahl : 108)

Beginilah, dimana-manapun, ziarah orang mati, tidak menghidupkan hati kita untuk mengambil iktibar daripada kematian itu.

Marilah kita sama-sama mengionsafi diri, bahawa umur kita kian berkurang, nyawa kita bila-bila masa sahaja Allah akan panggil. Tidur itu adalah sebahagian daripada kematian.

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Al Imran : 185)

"Katakanlah 'sesungguhnya kematian yang kamu lari dari padanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu" (Al-Jumu'ah [62] : 8) 


Semuga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh Allahyarham kekanda Syed Abu Bakar b Syed Hassan Al Attas. Semuga Allah ampunkan segala dosa dan kesalahan kita dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang diampunkan. Amiin. Al Fatihah.

berikut ini sedikit tips untuk kita yang menziarahi orang mati.

Ziarah Sakit & Kematian


1 Islam  menggalakkan  umatnya  (sunat)  supaya  menziarahi  orang  sedang sakit. Ini merupakan satu kebajikan masyarakat kepada pesakit dan melahirkan rasa simpati terhadap keluarga pesakit.

Maksud sabda Rasulullah s.a.w.:
"Dan apabila sakit hendaklah ziarahinya dan apabila meninggal dunia hendaklah menghantarnya ke kubur."                                                                                      
(Riwayat Bukhari)  

2 Ziarah Kematian   
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya:

"Sesiapa yang hadir menziarah jenazah sehingga dia dapat menyembahyangkannya, maka baginya mendapat pahala sebuah gunung dan sesiapa hadir menziarah sehingga jenazah itu dikebumikan. Maka ia  mendapat pahala sebesar dua buah gunung."  (Riwayat Bukhari dan Muslim)

3 Tatasusila Semasa Menziarahi

i. Hendaklah melahirkan perasaan muhibbah, bersimpati dan bermanis muka ketika bercakap dengan pesakit atau keluarganya. Jangan sekali-kali mengeluarkan perkataan-perkataan yang boleh melukakan hatinya.
ii. Nasihatkan dia supaya bersabar, teguhkan iman dalam menghadapi ujian Qadha dan takdir Allah.
iii. Sunat berdoa supaya cepat sembuh dan panjang umur. Sewaktu Nabi s.a.w.menziarahi orang sakit baginda berdoa, maksudnya :
"Wahai Tuhan ! Manusia hapuskanlah penderitaan ini, sembuhkanlah, tidak ada penyembuh melainkan Engkau sahajalah berkuasa menyembuh tanpa meninggalkan kesan buruk."     (Riwayat Bukhari dan Muslim)
iv. Perlu juga para penziarah memahami situasi supaya jangan tunggu terlalu lama semasa membuat kunjungan.
v. Berwasiat kepada waris terdekat tentang hutang piutang pesakit yang belum dijelaskan.
vi. Jangan menghisap curut atau merokok semasa berhadapan dengan orang  sakit.
vii. Jangan berkumpul terlalu ramai sehingga kesesakan udara untuk bernafas.
viii. Jangan membuat bising dengan gelak ketawa melalui cerita-cerita lucu. Kita  harus ingat suasana majlis itu kesedihan