Saturday, September 28, 2013

Most honest - dishonest - cities in the world

Depending on where you’re from, an interesting experiment conducted around the world could help restore your faith in mankind – or leave you feeling mildly demoralised.

After dispatching a team of reporters in 16 cities to leave wallets in parks, shopping centres and sidewalks, a Reader’s Digest experiment found that Helsinki (pic), Finland emerged the most honest city in the world with Finns returning 11 of 12 wallets intact.
If you happen to lose your wallet in Lisbon, Portugal, however, odds are low you’ll ever see it and your money again, as only one wallet out of 12 was returned. Furthermore, the couple who returned it wasn’t from Lisbon but tourists visiting from Holland.
Reporters were instructed to put a name, cellphone number, family photo, coupons, business cards and the equivalent of US$50 in a dozen wallets and leave them strewn across their city.

“Then we watched to see what would happen.”
In Budapest, where eight of the 12 wallets were returned, reporters watched a woman in her early sixties open the wallet and enter a nearby building.
“We never heard from her again,” reporters said.
The results also revealed that big bustling cities may suffer from unfair reputations. The teeming metropolis of Mumbai, for instance, where 9 out of 12 wallets were returned ranked the second most honest city ("I teach my children to be honest, just like my parents taught me," said one mother-of-two), while New Yorkers ranked fourth.
"Everyone says New Yorkers are unfriendly but they’re really quite a nice people," said one government worker. "I think you’d be very surprised to see how many New Yorkers would actually return a wallet."
Many of the unwitting participants said it was the family photo that swayed them to return the wallet.
As for what makes Finns particularly honest, one man explained, “We are a small, quiet, closely-knit community. We have little corruption, and we don't even run red lights."
Or as another Finn added, “Honesty is an inner conviction."
Here’s how cities stacked up against each other in the honesty test:
1. Helsinki, Finland 11 of 12 wallets returned
2. Mumbai, India 9/12
3. Budapest, Hungary 8/12
4. New York, USA 8/12
5. Moscow, Russia 7/12
6. Amsterdam, Holland 7/12
7. Berlin, Germany 6/12
8. Ljubljana, Slovenia 6/12
9. London, England 5/12
10. Warsaw, Poland 5/12
11. Bucharest, Romania 4/12
12. Rio de Janeiro, Brazil 4/12
13. Zurich, Switzerland 4/12
14. Prague, Czech Republic 3/1
15. Madrid, Spain 2/12
16. Lisbon, Portugal 1/12

– AFP Relaxnews, September 27, 2013
Sumber :  http://www.themalaysianinsider.com/travel/article/most-honest-and-dishonest-cities-in-the-world

Tuesday, September 24, 2013

Sujud bantu jantung rehat

SYAHIDATUL AKMA L DUNYA


Sesungguhnya sujud mempunyai 1001 hikmah yang menakjubkan. Dalam solat, cara bersujud mestilah mengikut kaedah paling sempurna iaitu semua anggota sujud menyentuh bumi dan jari kaki dibengkokkan.

Yazid berkata, keadaan ini memanjangkan umur jantung dan mengelakkan pengecutan salur-salur darah yang membawa kepada penyakit arteriosklerosis. Kadar denyutan yang paling rendah berlaku disebabkan kedudukan kepala yang lebih rendah daripada jantung ketika sujud.

“Pada keadaan ini jantung tidak perlu bekerja keras untuk mengepam darah ke bahagian otak di kepala kerana aliran darah dipengaruhi oleh daya tarikan graviti semula jadi.
Ketika ini lebih banyak darah mengalir ke otak dan menyebabkan otak menerima bekalan oksigen yang dibawa melalui darah.

“Otak akan menjadi lebih sihat dan cerdas kerana mendapat bekalan oksigen yang banyak.

Peter Russell dalam bukunya The Brain Book mengatakan kedudukan kepala di bawah meningkatkan kemampuan otak sebanyak 7 peratus lebih cepat dan 14 peratus lebih tepat. Dalam buku How to Increase Your Intelligence, Winger mengatakan kemampuan otak bertambah pada kedudukan kepala di bawah kerana peningkatan oksigen,” katanya.

Dalam satu hadis daripada Wail Ibnu Hajar dia berkata, “Aku melihat jika Rasulullah SAW sujud, Baginda SAW meletakkan kedua lutut sebelum kedua tangan.

Jika bangun, Baginda SAW mengangkat kedua tangan sebelum kedua lutut.”

Menurutnya, apabila seseorang menjatuhkan diri untuk sujud dengan kedua lututnya maka dia sebenarnya menjaga keseimbangan belakang badan dan tulang belakang serta menjaga lengkungannya.

Ini melindungi diri dari kemungkinan berlaku penyakit tergelincir tulang rawan.

Perbanyakanlah sujud

Memanjangkan masa sujud mampu mengembangkan unsur daya tahan otot terutama bagi otot-otot lengan dan leher. Ketika sujud dan bangun daripada sujud bahu, dada, leher, perut dan punggung.

Pergerakan otot ini akan menjadikan otot lebih kuat dan elastik dan akan memastikan kelancaran perjalanan darah. Inilah hikmah mengapa Rasulullah SAW menyarankan kepada umatnya untuk memperbanyakkan sujud dan memperbanyakkan doa dalam sujud.

Abdullah al-Qari dalam bukunya 160 Faedah Utama Dalam Terapi Solat dan Padah Meninggalkannya mengatakan, ketika turun bersujud tulang dada kita terangkat dan mara ke hadapan menyebabkan rongga dada kita membesar dan paru-paru akan mengembang bagi menghirup udara bersih.

Pakar sains mengatakan sujud ketika solat adalah waktu paling menggalakkan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya. Otot dan kumpulan urat juga turut membesar dan kuat bagi membantu pengaliran darah untuk memberi tenaga ke seluruh tubuh badan.


Hikmah sujud untuk wanita hamil


Ketika sujud wanita meletakkan perutnya pada kedua pahanya. Keadaan ini tidak menghasilkan penguatan pada otot-otot perut wanita. Syaikh Jalal Muhammad Syafi’i mengatakan wanita memerlukan otot-otot yang lentur dan mudah memanjang pada bahagian perut.

Ini supaya otot-otot memanjang ketika hamil terutama pada bulan-bulan terakhir sebelum bersalin. Wanita tidak memerlukan penguatan otot-otot perut seperti lelaki.

“Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.

Pergerakan bahagian otot sewaktu sujud juga boleh memudahkan wanita bersalin.

“Banyak kajian perubatan moden membuktikan bahawa gerakan badan semasa solat banyak memberikan manfaat bagi ibu hamil. Ketika wanita bersolat, gerakan sujud dan rukuk secara semula jadi akan meningkatkan peredaran darah ke rahim.

Ini kerana keperluan sel-sel rahim dan ovari seperti sel-sel limpa yang menyedut banyak darah,” kata Yazid lagi. Menurutnya, bagi wanita yang hamil, rahim memerlukan darah yang cukup agar janin mendapatkan gizi yang cukup dan seimbang.

Jika seorang wanita hamil sujud ketika solat, akan membantunya membawa darah yang cukup ke janin. Keadaan ini amat baik bagi pertumbuhan dan perkembangan bayi dalam kandungan. Setiap yang ALLAH perintahkan atau larang pasti terdapat hikmah atasnya.

Solat adalah kewajipan ke atas mukmin lelaki dan wanita. Walau bagaimanapun bagi wanita yang haid diharamkan mengerjakan solat.

Kajian pakar perubatan membuktikan gerak badan dan otot dalam solat berbahaya bagi wanita haid. Bagi wanita yang bersolat, posisi ketika sujud dan rukuk akan meningkatkan peredaran darah ke rahim.

Ini mengakibatkan kehilangan darah bersih bersama darah haid secara terus menerus selama waktu haid. Kehilangan darah secara terus menerus ini mengakibatkan wanita lebih mudah terkena lelah, kadar emosi yang turun naik serta terkena penyakit anemia (kurang darah) kerana kehilangan mineral zat besi.

Jika wanita haid menunaikan solat, zat ketahanan tubuh akan hancur. Seseorang wanita yang bersolat ketika haid akan kehilangan darah dalam jumlah yang banyak dan mengakibatkan kehilangan sel darah putih.

Keadaan ini mengakibatkan seluruh organ tubuhnya seperti limpa dan otak akan mudah diserang penyakit. Mungkin inilah sebab wanita dalam haid dilarang bersolat.

30 Pesanan Imam Shafie

Nama sebenarnya adalah Muhamad bin Idris bin Abbas bin Ulthman bin Shafie bin Saib bin Abdu Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Ayahnya berasal daripada keturunan Quraisy dari Bani Mutalib. Ayahnya meninggal dunia ketika Iman Syafie masih kanak-kanak. Ibunya bernama Ummu Habibah al-Uzdiyyah berasal dari kabilah Yaman dari suku Uzd. Beliau dilahirkan di kota Gaza Palestin pada bulan Rejab tahun 150 hijran. Ada yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) meninggal dunia. Khalifah Islam pada masa itu ada khalifah Abu Jaafar al-Mansur dari Bani Abbasiyah.

Imam Syafie dibesarkan dalam serba kekurangan. Sejak kecil lagi beliau sudah mempelajari Al-Quran. Beliau mula menghafal al-quran sejak berusia sembilan tahun. Berusia 10 tahun beliau menghafal dan memahami kitab al-Muwatta yang ditulis Imam Malik. Beliau mempunyai suara merdu, boleh bersyair dan bersajak. Ketika berusia 15 tahun, beliau mengajar dan memberi fatwa kepada orang ramai di Masjid al-Haram. Kerana kegigihan dan kecerdikan beliau yang luar biasa, beliau di sanjung masyarakat. Beliau meninggal di Mesir tahun 204 hijran ketika berumur 54 tahun. 

Imam Syafie melarang taklid, baik taklid kepada dirinya sendiri ataupun kepada sesiapa sahaja. Semasa hidup, beliau selalu menasihatkan orang ramai terutama anak muridnya berkenaan taklid, "Janganlah mereka-reka dalam perkara-perkara agama mengguna pakai taklid sahaja kepada perkataan ataupun tindakan yang tidak disertai dengan keterangan ataupun alasan dari Al-quran dan hadis."
Pesan Imam Syafie, " Tiap-tiap perkara yang saya katakan padahal Rasulullah bertentangan kepada perkataan saya, Rasulullah itulah yang lebih utama perlu dituruti."

30 PESANAN IMAM SYAFIE
1.     Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di dunia dan akhirat.
2.    Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut dunia.
3.    Pilihlah makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan menyebabkan syaitan gerun.
4.    Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Bala dan musibah menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu, bersyukurlah kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukut.
5.    Apabila salah seorang antara kaum kerabat ataupun jiran dan saudara kamu sakit, kamu perlu ringankan langkah menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat dan dan dicintai Allah.
6.    Marah adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindarilah ia supaya dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.
7.    Kasihanilah anak yatim kerana Rasulullah juga tergolong sebagai anak yatim dan beliau akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihi anak-anak yatim di akhirat.
8.   Berbuat baik dan tunjukkan bakti kepada ibu bapa tanpa mengenali letihh dan lelah sebagaimana mereka berbuat begitu sepanjang hayat mereka. Ia dapat menambah keberkatan pada umur, menambah rezeki dan keampunan atas dosa-dosa kamu.
9.    Banyakkanlah amal soleh kerana ia adalah pendinding dan perisai orang mukmin dan pelindung kepada serangan iblis.
10.  Takwa adalah pakaian kebesaran dan hiasan akhlak Muslim sebenar. Ia ibarat pokok zaitun, minyaknya membawa berka, ia juga memberi kejayaan dan kemenangan.
11. Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu bagi menguatkan benteng iman, keimanan perlu dibajai dengan lima perkara, yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah, bertatasusila ataupu berdisiplin dalam mengerjakan ibadah.
12.Ingat dan zikir kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana ia mengubati penyakit jasmani dan hati. Ia mencetuskan ketenangan hidup dan qanaah.
13.Khusyuk secara zahir adalah khusyuknya orang awam, khusyuk secara batin adalah khusyuknya orang pilihan di sisi Allah.
14.Kubur adalah perhentian sementara bagi membolehkan ke satu perhentian lagi yang penuh dengan soal siasat. Oleh itu, siapkanlah jawapan yang adil dan benar menerusi amal yang benar dan taat kepada al-haq yang tidak berbelah bagi.
15. Kita perlu sentiasa memohon perlindungan daripada Allah, sekurang-kurangnya dengan mengucapkan "A'uzubillahi minassaitathanirrajim". Kita perlu bersabar sekiranya serangan syaitan datang juga bertalu-talu dengan hebat dan menyedari Allah taala hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat ketulenan jihad kita. Ketahuilah perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil.
16.Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah kamu mengira keburukan orang lain sedangkan keburukan itu terdapat dalam dirimu sendiri.
17. Hati adalah raja dalam diri. Oleh itu,lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebatilan.
18.  Ketahuilah istighfar yang diucapkan dengan betul mampu membuat syaitan lari ketakutan dan menggoncang empayar iblis di istana kerajaannya.
19.Ketahuilah sebesar-besar kesenangan di duna dan akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya. Allah pasti akan meninggikan darjatnya di sisi manusia.
20. Tafakurlah sebelum tidur bagi menghisab diri atas salah dan silap semasa aktiviti pada siang hari sebagaimana Umar bin al-Khattab menyiasati dirinya dengan pelbagai soalan berkenaan dosa-dosanya pada siang hari.
21.Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat. Ia juga amalan para nabi, rasul dan orang soleh.
22. Sesiapa yang mahu meninggalkan dunia dengan selamat, dia perlu mengamalkan perkara berikut iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan bercakap dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
23. Kamu seorang manusia yang dijadikan daripada tanah dan kamu juga akan disakiti (dihimpit) dengan tanah.
24. Sesiapa yang menjalin ukhuwah dan menghidupkannya, dia memperoleh banyak kebaikan.
25.  Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan ditinggikan darjat dan diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan perintah Allah.
26. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pertolongan Allah seperti dalam pernyataannya dalam surah ar-Rom ayat 47 yang bermaksud; dan adalah menjadi hak(tanggungjawab) kami untuk menolong orang yang beriman.
27.  Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pembelaan kepada Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-Hajj ayat 38 yang bermaksud, Allah membela orang yang beriman.
28. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman dan bertakwa, Allah pasti menaikkan darjat mereka hingga ke taraf wali-wali Allah selagi memenuhi syarat-syaratnya seperti dalam pernyataannya dalam surah al-Baqarah ayat 257 yang bermaksud, Allah penolong (wali) bagi orang yang beriman.
29. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman akan memberi petunjuk dan jalan lurus sebagaimana pernyataan Allah dalam surah al-Hajj ayat 54 yang bermaksud " Allah akan memberi petunjuk bagi orang yang beriman kepada jalan yang lurus."
30. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan memperoleh rezeki yang baik dan pelbagai keberkatan selagi mereka menunaikan perintah Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud, sekiranya penduduk kota beriman dan bertakwa pasti kami akan melimpahkan mereka berkat dari langit dan bumi tetapi sekiranya mereka mendustakan ayat-ayat kami, kami akan seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.
Semoga bermanfaat.

Dipetik daripada buku Imam Syafie - Pejuang Kebenaran karangan Abdul Latip Talib


Sumber : http://akuhamba-allah.blogspot.com

Friday, September 20, 2013

TPP dan nilai sebenar kemerdekaan

MOHD RIZAL JAAPAR
20 September 2013

SEKIRANYA diberi peluang untuk bertanya kepada Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, antara soalan yang bakal diajukan ialah; apa yang Tunku impikan daripada kemerdekaan Tanah Melayu?
Bolehkah kita mentadbir negara sendiri setelah sekian lama diperhambakan? Kekayaan dan kebebasan sememangnya telah diberikan oleh British, jadi mengapa kita perlu merdeka?

Tunku mungkin sudah tiada lagi, tetapi persoalan di atas sebenarnya masih relevan, bahkan lebih mendesak apabila dikaji semangat juang rakyat Malaysia pada hari ini.  Kita sedih kerana nikmat dan kemanisan merdeka sudah tercabut daripada sanubari.

Lagu Negaraku diubah sesuka hati mengikut rentak yang tiada makna, Jalur Gemilang dibiarkan kusam dan longlai, manakala filem-filem yang bersifat sejarah boleh diolah sesedap rasa tanpa mengambil kira ketulenan dan keaslian fakta.

Bahkan ada yang begitu celupar merendah-rendahkan perjuangan anak watan dengan mendakwa kemerdekaan Malaysia di meja rundingan tidak setaraf dengan kemerdekaan negara lain yang bermandikan darah.

Justeru saban tahun kita melihat sambutan hari kemerdekaan semakin lesu dan penuh kepura-puraan.

Apakah kita fikir yang kita akan merdeka selama-lamanya dan tidak mungkin akan dijajah kembali? Sebenarnya pada hari ini, usaha menjajah masih giat berlaku di mana-mana menggunakan pelbagai cara.

Sebagai contoh, penjajahan minda berlaku melalui indoktrinasi pendidikan, informasi maya dan hiburan tanpa sempadan. Penjajahan kehidupan pula melalui ajaran agama dan gaya hidup yang kabur serta penyalahgunaan erti kebebasan. 

Namun kemusnahan yang paling dahsyat ialah penjajahan ekonomi tanpa disedari; dan dalam sekelip mata mampu mengheret negara dan rakyat kepada kemusnahan besar. Rakyat tidak mati dibunuh, tetapi terpenjara dengan beban hutang.
Semenjak berakhirnya perang dunia kedua, penjajah mencipta begitu banyak perjanjian yang kononnya untuk berdagang dengan aman dan saksama di samping berkongsi pasaran dan keuntungan.

Bermula daripada rundingan GATT, WTO, Apec dan akhir sekali perjanjian perdagangan dua hala (FTA); yang pada asasnya dikarang oleh pemilik-pemilik syarikat yang berasal dari empayar terbesar abad ini iaitu Amerika Syarikat.  

Pada 2006, TPP tercipta dengan niat mengumpulkan negara-negara berminat untuk berurus niaga dengan Amerika Syarikat menggunakan kaedah FTA tetapi bersifat multilateral. Ia jalan tengah Amerika kepada WTO yang tidak efektif dan perjanjian-perjanjian bilateral lain yang kurang menguntungkan.

TPP khabarnya akan dimuktamadkan pada tahun ini juga di antara Amerika dan 11 anggota lain, termasuk Malaysia.

TPP tidak lain hanyalah helah untuk merampas kembali kemerdekaan yang telah kita kecapi sekian lama.

TPP bukanlah perjanjian yang baik dan ikhlas. Ia hanyalah versi baru kepada perjanjian-perjanjian lampau yang mahu dijual oleh Amerika.

Memang pada awalnya TPP kelihatan seperti inisiatif negara membangun, namun setelah diteliti, perjanjian ini dari awal lagi adalah kertas cadangan syarikat-syarikat gergasi Amerika yang tidak mahu rugi, dan mengambil kesempatan di atas kuasa besar Amerika untuk desak, bahkan mengugut mana-mana negara yang ingkar dengan pelbagai sekatan dan denda.

TPP tidak mungkin mampu membuka pasaran Amerika untuk kita kerana itu tidak pernah berlaku sebelum ini, dan Amerika sekali-kali tidak akan mengizinkannya.

TPP juga adalah agenda politik yang penting buat Amerika dalam usaha mencari sekutu bagi meneutralkan pengaruh serta kekuatan ekonomi China dan Korea yang sudah begitu jauh ke hadapan.

TPP pasti akan menyempitkan peluang pekerjaan  tempatan, akan menyebabkan monopoli produk buatan Amerika; langsung meningkatkan harga barangan mustahak seperti ubat-ubatan, produk-produk pertanian dan automotif.

TPP lambat laun akan mendedahkan Malaysia kepada serangan nuklear ekonomi apabila kita sudah tercekik ini diheret ke tribunal antarabangsa yang tidak pernah sekali pun bertindak adil.

Justeru, kita tidak sepatutnya buang masa dan tenaga melayan kehendak-kehendak yang mahu merampas hak anak bangsa dan harus segera keluar daripada rundingan TPP.  
* Penulis ialah bekas Sekutu Kanan Polisi & Ekonomi di  (MTEM)

Mengapa Saya Suka Kumpulan 24?

ABD JALIL ALI
Sinar Harian 19 September 2013

HARAP maklum keliling kita ramai sangat perompak. Orang yang sepatutnya baik pun boleh menjadi penjenayah. Nampak macam mudah sangat untuk menyamun dan menjadi mewah.

Ada kedudukan, ada duit, dan beli sahaja apa yang dihajati, termasuk 10 buah kenderaan mewah.
Dua hari lalu bekas seorang pegawai kanan sebuah kementerian disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pegawai tersebut dikatakan memiliki lebih 10 buah kenderaan mewah, tidak munasabah dengan gajinya sebagai pegawai di sebuah kementerian.
Seperti yang dijelaskan oleh Pengarah Penyiasatan SPRM, Datuk Mustafa Ali, antara kereta yang dimiliki pegawai tersebut ialah Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Toyota Camry, Volkswagen Golf GTI.
Pegawai berkenaan bertanggungjawab kendali sebuah dana khas yang ditubuhkan kerajaan untuk membantu rakyat termiskin. Ada kebimbangan  sebahagian peruntukan dari dana tersebut telah diselewengkan untuk membeli kenderaan milik peribadi. Samseng moden!
Bercakap mengenai samseng, tabik saya pada polis yang berjaya menakutkan kumpulan kongsi gelap menerusi Ops Cantas. Sehingga kelmarin, genap sebulan sejak dilancarkan, operasi tersebut berjaya menahan lebih 8,000 orang di seluruh negara, sebahagian besarnya samseng.
Ketua Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Bukit Aman, SAC Datuk Jalil Hassan berkata, turut dirampas dalam operasi tersebut setakat ini ialah 283 senjata termasuk 23 senapang, 12 senapang angin, 1,232 peluru hidup, 25 pedang, 89 pisau, 83 parang, 16 batang besi dan sebutir bom tangan.
Jumlah yang ditahan ialah Melayu (3,620), India (2,425), Cina (1,052) dan lain-lain (1,352). Angka-angka ini bagaimana pun masih amat sedikit berbanding jumlah sebenar anggota kongsi gelap di seluruh negara kira-kira 40,000 orang.
Seperti yang didedahkan baru-baru ini ada 49 kongsi gelap di seluruh negara, dengan tiga daripadanya - Geng 36, Geng 04 dan Geng 08 – dikesan sebagai paling berbahaya. Geng-geng ini terlibat dalam pelbagai jenayah termasuk pengedaran dadah, peras ugut, pelacuran dan pergaduhan, pembunuhan.
Menurut rekod polis, perincian mengenai kumpulan-kumpulan kongsi gelap adalah seperti berikut:
G08 aktif di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. G38 di Kepong, Jinjang dan Setapak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan di Johor Baharu, G30 aktif di seluruh Semenanjung,  G24 di Kuala Lumpur,  Pulau Pinang, Perak dan Johor.
Pendek kata di keliling kita ada sekian banyak nombor yang dikaitkan dengan kegiatan jenayah. Terasa sangat kita hidup dalam bahaya. Setiap hari, sana-sini, ada sahaja pistol meletup, dan nyawa melayang kerananya.
Harap-harap Ops Cantas diteruskan sehingga kongsi gelap betul-betul diperangi sepanjang masa. Gerakan ini kena diteruskan, bukan bermusim, dan tidak hangat-hangat tahi ayam. Jangan beri muka langsung kepada samseng.
Bercakap mengenai angka-angka dan nombor-nombor pengenalan kumpulan kongsi gelap, saya pulang ke Muar hujung minggu baru lalu, dan segera terpengaruh dengan kumpulan 24. Seperti yang diketahui umum ini adalah antara kumpulan yang menjadi sebutan dari dulu hingga sekarang, tidak kira dalam kalangan anak muda, mahu pun orang tua.
Saya diberitahu, di negeri Johor, khasnya di Muar, ada beberapa kumpulan lain yang selalu menjadi perhatian, termasuk 02, 88, dan 101. Polis sendiri pun telah lama memerhatikan kumpulan-kumpulan ini, tetapi sampai sekarang kumpulan tersebut tidak pernah diganggu.
Dengan fakta yang amat meyakinkan, dan jaminan tidak akan diganggu gugat oleh mana-mana pihak, termasuk oleh Ketua Polis Daerah, saya tidak berfikir panjang dan petang hujung minggu itu memilih kumpulan 24, walaupun sejak awal saya tahu risikonya. Kata orang berani buat berani tanggung.

Seperti saya jangka, kesan kumpulan 24 memang terasa sekarang. Doktor mengesahkan kadar gula saya meningkat mendadak. Untuk keselamatan doktor memberi amaran supaya saya segera meninggalkan kumpulan tersebut, atau jika tidak mautlah jawapannya.
Jangan salah sangka, nombor-nombor di Muar yang saya sebutkan itu bukan Geng atau ‘G’, tetapi D24, D02, D88, D101, iaitu angka-angka untuk baka durian. Bukan semua angka merujuk kepada kongsi gelap!

Takluk Negara Dengan Hutang

MUHAMAD MAT YAKIM
20 September 2013

JOHN Adams, Presiden Amerika Syarikat yang kedua (1797 hingga 1801) berkata, ada dua cara yang paling berkesan untuk menakluk sesebuah negara iaitu yang pertama dengan senjata, kedua dengan hutang.

Sejak beberapa tahun lepas, nama John Perkins tiba-tiba meletup di seluruh dunia sebagai penjenayah ekonomi yang telah bertaubat. Perkins mempopularkan apa yang sekarang dipanggil 'korporatokrasi' iaitu kaedah menjatuhkan sesebuah negara atau seseorang pemimpin dengan menggunakan senjata ekonomi.

Perkins sebelum bertaubat berkhidmat dengan National Security Agency (NSA) sebagai perunding ekonomi  khusus untuk 'membantu' negara-negara dunia ketiga. Antara negara di mana dia pernah berikan khidmat termasuk Ecuador, Panama dan Indonesia.

Mengenai Ecuador, Perkins menceritakan dalam bukunya 'Confessions of an Economic Hitman' bagaimana dia cuba merasuah Presiden Jaime Roldos yang dipilih dengan majoriti  besar dalam pilihan raya pada 1979. Tawaran rasuah Perkins bagaimanapun ditolak oleh Roldos.

Roldos sememangnya adalah pemimpin prorakyat dan tidak digemari oleh AS. Sehubungan itu, Uncle Sam cuba menjatuhkannya dengan rasuah. Di sinilah peranan Perkins.

Pada 1981, Roldos dibunuh. Saksi utama pembunuhannya juga mati dalam kemalangan jalan raya.

Pada tahun yang sama, Omar Torrijos, ahli politik yang dikagumi Perkins naik sebagai Presiden Panama. Walaupun Torrijos seorang pemimpin yang dia sendiri kagumi, demi kepentingan negara, Perkins cuba juga mengumpan rakannya itu untuk menyeleweng. Namun dia sekali lagi gagal.

Bagi Torrijos, dia hanya mengutamakan rakyatnya termasuk mendapatkan kembali hak ke atas Terusan Panama.
Selepas pembunuhan Roldos, Torrijos memberitahu keluarganya bahawa selepas Presiden Ecuador itu, mungkin dia pula akan dibunuh. Benarlah. Tidak lama kemudian pesawat dinaikinya terhempas.

Dalam buku keduanya, 'The Secret History of The American Empire', Perkins menceritakan pengalaman di Indonesia di mana dia berhadapan dengan  anak-anak muda yang meyakini akan tiba masa negara-negara Islam  mengalahkan kapitalis.

Malah kata mereka, dasar ekonomi komunis yang ketika itu sangat kuat juga tidak mampu mengalahkan kapitalis seperti Islam.

Berbalik peringatan John Adams, kita tentu masih ingat banyak negara jatuh muflis termasuk Indonesia tatkala krisis mata wang pada 1997. Kita juga tentu ingat bagaimana Suharto, seorang pemimpin yang berkuasa selama lebih 30 tahun akhirnya terpaksa tunduk  menyerahkan masa depan negaranya kepada Pengarah Urusan IMF, Michel Camdessus.

Kita juga tidak lupa bagaimana Suharto kemudian dimomokkan dengan KKN (Korupsi, Kronisme dan Nepotisme), apa yang menurut Perkins salah satu strategi NSA untuk menjatuhkan seseorang pemimpin.

Mereka mengumpan, mereka juga yang mendakwa dan kemudian menjadi hakim!

Suharto sebelum itu sangat akrab dengan Duta AS, Paul Wolfowitz. Wolfowitz sebelum ke Jakarta adalah Timbalan Setiausaha Pertahanan AS. Tidak lama setelah meninggalkan Jakarta, merebak demonstrasi anti Suharto.

Wolfowitz muncul seakan jelmaan  Snouck Hurgonje, tokoh Belanda yang begitu licik memainkan jarum pada era penjajahan hingga berpura-pura memeluk Islam, bertahun-tahun berguru dengan ulama Acheh di Masjidil Haram sebelum berhijrah ke Tanah Jawa, berkahwin dengan dua wanita yang kedua-duanya anak kadhi. Dia lakukan itu semua hanya untuk memudahkan kerja Kristianisasi sebelum kembali semula ke Belanda!

Kisah Hurgonje akan diceritakan dalam bab yang lain kemudian. Indonesia akhirnya huru-hara kerana hutang. Rakyat yang terhimpit, berdemo siang malam.

Apakah ini perkara baru dalam penjajahan? Apa pula kaitannya dengan peperangan yang tidak pernah kunjung padam di atas muka bumi ini sejak berabad silam? Apakah perang demi perang ini sebenarnya perang atau hanya sandiwara ibarat patung wayang kulit yang dimainkan oleh tok dalang?

Naib Presiden AS pada 1913, Thomas R Marshall pernah mengungkapkan kenyataan yang sangat pelik: "The World Government will not permit the establishment of peace."

Siapa Kerajaan Dunia?
Keluarga Malaysia keluarga bahagia?

NURUL IZZAH ANWAR =Sinar Harian 20/09/13

"BIARLAH kita sedar, iaitu di Tanah Melayu ini adalah orang yang bukannya keturunan orang Melalyu tetapi yang kasih dan sayang kepada Tanah Melayu - barangkali lebih - daripada setengah orang Melayu sendiri. Biarlah kita sedar, iaitu orang-orang Melayu sendiri telah menuntut supaya dijalankan kemerdekaan dengan secara demokrasi... dan biarlah kita sedar, iaitu sebuah pemerintahan atau sesebuah negeri yang berdasarkan di atas demokrasi itu, tidak boleh hendak memeliharakan hak-hak negeri itu bagi kepunyaan satu pihak sahaja.”  - Datuk Onn Jaafar (Perhimpunan Agung Umno 1951)

Sebuah negara boleh diibaratkan sebuah keluarga.

Hari Malaysia yang ke-50 sebenarnya kesinambungan dari Hari Kemerdekaan ke-56 yang menggambarkan sebuah keluarga Malaya muda yang sudah dewasa sebagai keluarga Malaysia. Tetapi, adakah keluarga ini sudah dewasa?

Keluarga menggambarkan kesatuan, perhubungan rapat dan tempat tumpahnya kasih sayang. Terlintas sahaja perkataan ‘keluarga’ maka tercetuslah perasaan kasih sayang, persefahaman dan kebahagiaan.

Dalam mana-mana keluarga, semestinya ada peranan yang dimainkan bermula dengan ibu bapa dan adik-beradik. Untuk sebuah keluarga berfungsi dengan baik berdasarkan kasih sayang, seharusnya abang sulung bersedia menolong ibu dan ayah dengan memimpin, mengasuh dan menjaga adik-adiknya; bukan membuli, seraya mewujudkan ketegangan dalam keluarga.

Apakah tanggungjawab abang dalam keluarga ini? Abang sepatutnya menjaga dan bantu untuk memperkukuhkan adik-adiknya. Abang yang begini akan dihormati dan diangkat sebagai ketua mereka.

Malangnya, apabila abang pula membuli adik-adiknya supaya hanya mendengar dan mengikut telunjuknya atau menakutkan adik-adiknya dengan cerita hantu, adik-adik tersebut akan berasa keliru dan dipinggirkan.

Keluarga itu akan jadi lebih rumit apabila abang tersebut juga membuli ibu bapanya dengan memeras ugut dan merajuk sakan. Paling sedih apabila si abang buat ‘kepoh’ sehingga semua adik-beradik berasa mereka adalah adik tiri atau lebih dahsyat, anak angkat.

Ini bukanlah ciri sebuah keluarga yang bahagia. Apabila ini berlaku sudah tentu mereka akan berasa bukan sebahagian daripada keluarga sebenar dengan semangat kekitaan tetapi hanya menumpang.

Bagaimana keadaan si-abang menjadi pembuli ini boleh berlaku?

Para psikologi mengatakan punca seseorang itu menjadi seorang kaki buli adalah disebabkan sifat ketidakyakinan, kepunyaan harga diri yang rendah, tingkah laku patologi dan juga pernah menjadi mangsa dera seorang pembuli lain.

Bilamana tabiat membuli disorok di sebalik alasan bahawa si abang telah menjadi mangsa keadaan sehingga yang buruk dikatakan baik, apabila korupsi dikatakan subsidi, warna kulit dan bukan perlembagaan dikatakan ketuanan, penipuan dalam pilihan raya dikatakan usaha menyelamatkan kuasa bangsa - semua ini adalah hujah ilusi seorang abang yang takut.

Alasan sebenar tabiat membuli oleh abang itu kerana tidak berani menghadapi cabaran dunia tanpa sempadan serta sudah biasa dengan mendapat kekayaan secara mudah tanpa bekerja kuat memang merugikan seluruh keluarga.

Namun adalah tidak lambat untuk si-abang bertaubat dan pulang ke pangkal jalan, tetapi abang itu mesti mahu dipulihkan dan jujur mengaku ada masalah yang memerlukan penyelesaian atau penawar yang sewajarnya.

Si abang mesti berpegang kepada jati diri yang mulia sebagai pelindung kepada semua adik-adiknya. Si abang mesti mahu berkongsi secara saksama semua sumber keluarga agar adik-adik juga dapat berasa kekayaan yang dimiliki. Si abang mesti menjadi pemimpin yang adil agar membantu bukan membantut perkembangan serta pembangunan seluruh keluarga.

Saya masih ingat ucapan ayah saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada tahun 1997 ketika beliau masih timbalan perdana menteri. Di dalamnya beliau membacakan peribahasa:

Buah delima berpangsa-pangsa
Sama jua bijinya merah
Jangan tuan berpilih bangsa
Sama jua darahnya merah

Dalam erti kata lain, kita tidak perlu taksub dengan keturunan atau etnik kerana darah adalah merah, apa pun warna kulit.

Bapa Kemerdekaan banyak berjasa  Dikenang rakyat sepanjang masa Negara kita berbilang bangsa Bersatu padu muhibah sentiasa

Ini adalah semangat muhibah yang pernah wujud satu ketika dahulu. Semangat ini masih boleh dihidupkan agar Hari Malaysia menjadi tanda bukti semangat kekitaan dalam sebuah keluarga besar iaitu keluarga Malaysia yang bahagia.

Kalau kita katakan Malaysia adalah sebuah keluarga seharusnya kita bermula beraksi sebagai sebuah keluarga bermula dengan menasihati abang itu agar jangan lupa diri atau terus membuli.


Saturday, September 14, 2013

Punca Denmark menjadi negara paling bahagia di dunia - Muhammad Imran Ismail

Denmark sekali lagi mengekalkan takhta sebagai negara paling bahagia di dunia berdasarkan laporan tahunan kedua yang dikeluarkan oleh UN Sustainable Development Solutions Network, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  (PBB) dalam Laporan Kebahagiaan Dunia 2013 (World Happpiness Report 2013).

Tahap kegembiraan sesebuah negara dinilai berdasarkan enam elemen penting iaitu kesihatan jangka hayat (health life expectancy), persepsi terhadap rasuah (perceptions of corruption), KDNK per kapita (GDP per capita), kebebasan untuk membuat pilihan hidup (freedom to make life choices), sokongan sosial (social support) dan juga and kemurahan hati (generosity). Laporan yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di Earth Institute di University of Columbia itu mengklasifikasikan tahap kebahagiaan pada skala 1 hingga 10. Denmark mendapat 7.693 mata manakala Malaysia pula berada di tangga ke-56 dengan 5.760 mata dari keseluruhan 156 negara yang tersenarai.
Apa yang menarik, kelima-lima negara yang mengungguli carta negara paling gembira atau bahagia di dunia adalah negara yang terletak di utara eropah iaitu Denmark (1), Norway (2), Switzerland (3), Netherlands (4) dan juga Sweden (5).  Jadi, apakah punca sebenar rakyat di negara tersebut gembira dan bahagia? Adakah faktor cuaca dan lokasi sesebuah negara?
Daripada pemerhatian dan pengamatan penulis yang berada di bumi Denmark selama hampir tiga tahun, terdapat banyak faktor yang mendorong Denmark menjadi negara paling gembira di dunia. Apa yang pasti ia bukan disebabkan faktor cuaca kerana negara di skandinavia mengalami musim sejuk yang panjang. Mana mungkin, seseorang itu boleh menjadi lebih gembira sekiranya sentiasa dibelenggu cuaca yang sejuk dan dingin sepanjang tahun. Jadi apakah faktor sebenar yang melayakkan Denmark digelar sebagai negara paling bahagia?

Kebajikan rakyat terjaga
Denmark sememangnya cukup dikenali sebagai model contoh sebuah negara kebajikan. Semua warganegara mempunyai hak yang sama dalam aspek keselamatan sosial dan beberapa perkhidmatan disediakan untuk rakyat secara percuma. Contohnya kemudahan kesihatan. Di Denmark, setiap individu bebas memilik klinik panel dan doktor keluarga masing-masing. Ini termasuk semua penduduk sama ada berstatus penduduk tetap ataupun sementara. Semua diberikan insurans kesihatan bagi menjamin kebajikan orang yang menetap di Denmark terjaga.
Tidak keterlaluan dinyatakan bahawa negara ini turut menitikberatkan kebajikan haiwan peliharaan. Penulis sendiri pernah melalui pengalaman yang merumitkan walau sekadar ingin memelihara ikan kecil di dalam rumah. Ini adalah kerana untuk memelihara ikan, sampel air di rumah perlu dihantar untuk dianalisis dan perlu membeli akuarium yang mempunyai saiz tertentu serta lengkap dengan peralatan khas termasukkan sistem pengaliran udara dan juga penapisan air. Pendek kata, jika tuntutan tersebut tidak dapat dipenuhi maka ikan tidak akan dijual. Semua langkah ini dijalankan bagi memastikan kebajikan ikan yang bakal dipelihara terjaga.
Pendidikan percuma
Dalam sistem kebajikan Denmark, pendidikan juga adalah percuma dari sekolah rendah hingga universiti. Kadar literasi di Denmark antara yang tertinggi di dunia iaitu 99%.  Pendidikan awal kanak-kanak lebih tertumpu sebagai tempat membina kemahiran berdikari dan bersosial serta menyuburkan nilai murni dan jati diri. Pelajar sekolah tidak terbeban dengan timbunan kerja sekolah yang perlu dilangsaikan setiap hari. Sekali seminggu, guru akan membawa kanak-kanak kecil melawat zoo, muzium, taman rekreasi dan tasik dengan hanya menaiki pengangkutan awam seperti bas dan juga keretapi tanpa perlu menempah bas sekolah atau van. Mudah dan senang bukan?
Semua mahasiswa di universiti tidak perlu membayar yuran pengajian bagi institusi pengajian tinggi awam dan juga hampir semua institusi pengajian tinggi swasta. Malahan semuanya ditawarkan bantuan kewangan bulanan yang dikenali sebagai Statens Uddannelsesstøtte  (The State's Educational Support). Institusi pendidikan di Denmark mempunyai tahap yang tinggi dan menggabungkan pendekatan pembelajaran yang inovatif bagi menghasilkan pelajar yang berperananan aktif dalam masyarakat berasaskan pengetahuan global. Apa yang menarik, institusi pendidikan turut mendapat manfaat daripada kerjasama yang erat dengan pihak industri dan institusi penyelidikan lain bagi memperkayakan suasana pembelajaran yang efektif untuk pelajar.
Kerja sedikit, gaji banyak
Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) pada tahun lalu melaporkan pekerja di Denmark mempunyai purata tempoh waktu kerja yang kedua terendah selepas Netherlands iaitu hanya 33 jam seminggu. Semua pekerja turut memperolehi sekurang-kurangnya lima minggu cuti bergaji untuk bercuti di musim panas. Tidak dinafikan pekerja di Denmark juga turut selesa menikmati gaji bulanan yang tinggi. Misalnya gaji minimum yang disyaratkan oleh kerajaan Denmark adalah 115 danish kroner iaitu kira-kira RM66 sejam.
Bagaimanapun, pekerja dikenakan cukai yang cukup tinggi. Purata cukai yang dikenakan adalah dari 38-55% bergantung kepada jumlah pendapatan tahunan. Malah, potongan cukai boleh mencapai sehingga 68%. Walaupun cukai yang dikenakan tinggi, warga tempatan seolah reda kerana mereka sama-sama dapat menikmati kemudahan dan prasana kelas pertama yang disediakan kerajaan. Misalnya, jaringan pengangkutan awam yang efisen serta pilihan perkhidmatan internet dan telekomunikasi yang baik.
Selain itu, undang-undang buruh negara Denmark mengamalkan konsep 'flexicurity' iaitu gabungan unik di antara fleksibiliti (flexibility) dan juga keselamatan ataupun jaminan (security). Konsep unik ini membolehkan  majikan bebas melantik atau memecat pekerja. Bagaimanapun, sekiranya dipecat, pekerja tersebut akan dilindungi kerajaan yang mana penganggur berhak mendapat gaji minimum yang membolehkannya menyara hidup sehingga mendapat kerja yang baru dalam tempoh dua tahun.
Pekerja juga mempunyai waktu kerja yang fleksibel. Kebanyakan majikan membenarkan pekerja memilih waktu masuk kerja. Apa yang penting kerja yang ditugaskan diselesaikan dalam tempoh waktu kerja yang ditetapkan. Lebih menarik, ibu yang melahirkan anak boleh mendapat cuti bersalin dengan gaji penuh sehingga setahun. Manakala si bapa pula boleh mendapat cuti bergaji jika pasangan bersalin hingga tiga bulan. Menarik bukan?
Persekitaran sihat dan selamat
Penduduk di sekitar bandar Copenhagen gemar menggunakan basikal untuk ke sesuatu tempat. Oleh itu kesesakan lalu lintas adalah sangat kurang walaupun pada waktu puncak. Situasi ini bukan sahaja baik untuk alam sekitar malah baik untuk kesihatan. Masyarakat tempatan juga gemar melakukan aktiviti riadah tanpa mengira waktu. Seringkali kelihatan orang ramai bersenam dan berjoging tidak kira dalam kehujanan, pada waktu malam malah semasa salji turun sekalipun. Di kawasan kejiranan pula banyak disediakan taman kecil dan tempat beriadah. Sementelahan  itu, jika cuaca baik, maka berpusu-pusu orang ramai keluar bersiar-siar atau hanya sekadar duduk di bangku di beranda sambil menikmati sinar mentari.
Malah sewaktu musim sejuk sekalipun mereka gemar menceriakan suasana sambil beristirehat di rumah dengan memasang lilin beraroma atau lebih dikenali sebagai 'hygge' dalam bahasa tempatan. Perkataan itu sendiri sebenarnya sukar didefinisikan kerana mempunyai konotasi berbeza-beza. Tetapi boleh ditakrifkan sebagai keselesaan. Contohnya, dengan menikmati secawan kopi sambil dibaluti selimut sambil membaca buku. Suasana sebegini sudah tentu mendamaikan dan membuatkan hati menjadi tenang dan selesa.
Antara faktor lain yang menjadikan seseorang itu sentiasa gembira adalah apabila berasa selamat. Kadar jenayah di Denmark secara keseluruhannya rendah. Jarang sekali terdengar kes tembakan, kecurian atau rompakan. Tirai besi tidak diperlukan untuk membaluti tingkap kaca rumah. Anak kecil juga boleh bebas bermain di sekitar kediaman tanpa ibu bapa perlu risau bahaya kes penculikan.
Lantaran itu, faktor sebegini mendorong rakyat di Denmark menjadi sentiasa ceria dan gembira serta sangat berpuas hati dengan kehidupan masing-masing. Memang penduduk negara kaya cenderung untuk lebih bahagia tetapi kekayaan sesebuah negara bukanlah menjadi faktor penentu untuk mengukur tahap kebahagiaan.
* Penulis adalah pelajar yang baru menamatkan ijazah sarjana di Copenhagen, Denmark.