Tuesday, September 24, 2013

Sujud bantu jantung rehat

SYAHIDATUL AKMA L DUNYA


Sesungguhnya sujud mempunyai 1001 hikmah yang menakjubkan. Dalam solat, cara bersujud mestilah mengikut kaedah paling sempurna iaitu semua anggota sujud menyentuh bumi dan jari kaki dibengkokkan.

Yazid berkata, keadaan ini memanjangkan umur jantung dan mengelakkan pengecutan salur-salur darah yang membawa kepada penyakit arteriosklerosis. Kadar denyutan yang paling rendah berlaku disebabkan kedudukan kepala yang lebih rendah daripada jantung ketika sujud.

“Pada keadaan ini jantung tidak perlu bekerja keras untuk mengepam darah ke bahagian otak di kepala kerana aliran darah dipengaruhi oleh daya tarikan graviti semula jadi.
Ketika ini lebih banyak darah mengalir ke otak dan menyebabkan otak menerima bekalan oksigen yang dibawa melalui darah.

“Otak akan menjadi lebih sihat dan cerdas kerana mendapat bekalan oksigen yang banyak.

Peter Russell dalam bukunya The Brain Book mengatakan kedudukan kepala di bawah meningkatkan kemampuan otak sebanyak 7 peratus lebih cepat dan 14 peratus lebih tepat. Dalam buku How to Increase Your Intelligence, Winger mengatakan kemampuan otak bertambah pada kedudukan kepala di bawah kerana peningkatan oksigen,” katanya.

Dalam satu hadis daripada Wail Ibnu Hajar dia berkata, “Aku melihat jika Rasulullah SAW sujud, Baginda SAW meletakkan kedua lutut sebelum kedua tangan.

Jika bangun, Baginda SAW mengangkat kedua tangan sebelum kedua lutut.”

Menurutnya, apabila seseorang menjatuhkan diri untuk sujud dengan kedua lututnya maka dia sebenarnya menjaga keseimbangan belakang badan dan tulang belakang serta menjaga lengkungannya.

Ini melindungi diri dari kemungkinan berlaku penyakit tergelincir tulang rawan.

Perbanyakanlah sujud

Memanjangkan masa sujud mampu mengembangkan unsur daya tahan otot terutama bagi otot-otot lengan dan leher. Ketika sujud dan bangun daripada sujud bahu, dada, leher, perut dan punggung.

Pergerakan otot ini akan menjadikan otot lebih kuat dan elastik dan akan memastikan kelancaran perjalanan darah. Inilah hikmah mengapa Rasulullah SAW menyarankan kepada umatnya untuk memperbanyakkan sujud dan memperbanyakkan doa dalam sujud.

Abdullah al-Qari dalam bukunya 160 Faedah Utama Dalam Terapi Solat dan Padah Meninggalkannya mengatakan, ketika turun bersujud tulang dada kita terangkat dan mara ke hadapan menyebabkan rongga dada kita membesar dan paru-paru akan mengembang bagi menghirup udara bersih.

Pakar sains mengatakan sujud ketika solat adalah waktu paling menggalakkan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya. Otot dan kumpulan urat juga turut membesar dan kuat bagi membantu pengaliran darah untuk memberi tenaga ke seluruh tubuh badan.


Hikmah sujud untuk wanita hamil


Ketika sujud wanita meletakkan perutnya pada kedua pahanya. Keadaan ini tidak menghasilkan penguatan pada otot-otot perut wanita. Syaikh Jalal Muhammad Syafi’i mengatakan wanita memerlukan otot-otot yang lentur dan mudah memanjang pada bahagian perut.

Ini supaya otot-otot memanjang ketika hamil terutama pada bulan-bulan terakhir sebelum bersalin. Wanita tidak memerlukan penguatan otot-otot perut seperti lelaki.

“Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.

Pergerakan bahagian otot sewaktu sujud juga boleh memudahkan wanita bersalin.

“Banyak kajian perubatan moden membuktikan bahawa gerakan badan semasa solat banyak memberikan manfaat bagi ibu hamil. Ketika wanita bersolat, gerakan sujud dan rukuk secara semula jadi akan meningkatkan peredaran darah ke rahim.

Ini kerana keperluan sel-sel rahim dan ovari seperti sel-sel limpa yang menyedut banyak darah,” kata Yazid lagi. Menurutnya, bagi wanita yang hamil, rahim memerlukan darah yang cukup agar janin mendapatkan gizi yang cukup dan seimbang.

Jika seorang wanita hamil sujud ketika solat, akan membantunya membawa darah yang cukup ke janin. Keadaan ini amat baik bagi pertumbuhan dan perkembangan bayi dalam kandungan. Setiap yang ALLAH perintahkan atau larang pasti terdapat hikmah atasnya.

Solat adalah kewajipan ke atas mukmin lelaki dan wanita. Walau bagaimanapun bagi wanita yang haid diharamkan mengerjakan solat.

Kajian pakar perubatan membuktikan gerak badan dan otot dalam solat berbahaya bagi wanita haid. Bagi wanita yang bersolat, posisi ketika sujud dan rukuk akan meningkatkan peredaran darah ke rahim.

Ini mengakibatkan kehilangan darah bersih bersama darah haid secara terus menerus selama waktu haid. Kehilangan darah secara terus menerus ini mengakibatkan wanita lebih mudah terkena lelah, kadar emosi yang turun naik serta terkena penyakit anemia (kurang darah) kerana kehilangan mineral zat besi.

Jika wanita haid menunaikan solat, zat ketahanan tubuh akan hancur. Seseorang wanita yang bersolat ketika haid akan kehilangan darah dalam jumlah yang banyak dan mengakibatkan kehilangan sel darah putih.

Keadaan ini mengakibatkan seluruh organ tubuhnya seperti limpa dan otak akan mudah diserang penyakit. Mungkin inilah sebab wanita dalam haid dilarang bersolat.

No comments:

Post a Comment