Monday, November 4, 2013

Pendedahan Menjadi Kesalahan

SYAHREDZAN JOHAN
Sinar Harian - 4 November 2013


TIDAK ramai yang tahu baru-baru ini, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013 yang meminda Kanun Keseksaan sedia ada.

Untuk mereka yang tidak mengetahui, Kanun Keseksaan (“KK”) adalah akta utama yang memperuntukkan kesalahan jenayah, daripada kesalahan mencuri sehinggalah kesalahan membunuh.

Rang Undang-undang (“RUU”) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013 ini mencadangkan pelbagai pindaan kepada KK yang mendalam ke atas sistem kehakiman dan penulis mungkin akan menyelami pindaan-pindaan yang penting pada masa hadapan, tetapi untuk rencana kali ini, penulis beri fokus kepada cadangan pindaan yang memperkenalkan peruntukan Seksyen 203A KK.

Seksyen 203A KK menjadikan ‘pendedahan maklumat’ atau ‘disclosure of information’ sebagai satu kesalahan. Menurut Seksyen 203A(1), barang siapa yang mendedahkan maklumat atau perkara yang diperolehnya semasa menjalankan tanggungjawabnya mengikut undang-undang akan dihukum dengan denda tidak lebih daripada RM1 juta atau penjara sehingga 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 2013(2) pula menyatakan bahawa barang siapa yang mendedahkan maklumat yang di dalam pengetahuannya didapati melalui pendedahan mengikut Seksyen 203A(2), dia pula akan dihukum dengan denda tidak lebih daripada RM1 juta atau penjara sehingga 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

Apakah kesan pindaan ini sekiranya ia menjadi undang-undang? Ini bermakna, jika seseorang kakitangan kerajaan mendapat maklumat atau perkara tentang apa-apa penyelewengan, ketirisan atau salah tadbir semasa menjalankan tanggungjawabnya, dia akan melakukan satu kesalahan dan boleh didakwa dan jika didapati bersalah, dihukum dengan berat.

Sama juga sesiapa yang mendedahkan maklumat atau perkara tentang diterimanya daripada kakitangan tersebut, contohnya ahli politik atau wartawan akhbar yang melaporkan perkara tersebut.

Pindaan ini juga akan menjadikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (dalam bahasa Inggeris, Whistleblower Protection Act 2010)(WPA) sia-sia. Menurut WPA ini, seseorang yang membuat pendedahan kelakuan tidak wajar kepada agensi penguatkuasaan berdasarkan kepercayaannya yang munasabah bahawa telah, sedang dan akan berlakunya kelakuan tidak wajar akan diberi perlindungan.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang kakitangan kerajaan untuk membuat pendedahan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang rasuah yang berlaku, menurut WPA dia akan diberi perlindungan.

Apakah jenis perlindungan yang diberikan? Tiga jenis perlindungan. Pertama, perlindungan maklumat peribadi yakni maklumat peribadinya tidak boleh didedahkan dalam mana-mana prosiding Mahkamah.

Kedua, perlindungan imuniti daripada tindakan jenayah dan sivil di mahkamah. Ketiga, perlindungan daripada ‘tindakan yang memudaratkan’, contohnya gangguan, kehilangan, intimidasi dan juga layanan memudaratkan seperti ‘dibekukan’ di tempat kerja. Perlindungan-perlindungan ini boleh dinikmati oleh seorang pemberi maklumat menurut WPA tersebut.

Sekiranya Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013 ini menjadi undang-undang, Seksyen 203A KK akan menghalang pendedahan kelakuan tidak wajar di bawah WPA. Ini kerana, mengikut WPA, pendedahan yang dibuat tidak boleh dihalang oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Oleh itu, perkara-perkara yang diliputi oleh Akta Rahsia Rasmi 1972 contohnya, walaupun didedahkan mengikut WPA, pendedah tidak akan mendapat perlindungan. Samalah juga, Seksyen 203A tidak akan melayakkan pendedah maklumat kepada perlindungan di bawah WPA.

Memang diakui, ada perkara sulit tidak wajar didedah, terutama sekali berkenaan perkara-perkara sensitif seperti keselamatan negara dan pertahanan. Tetapi, undang-undang sedia ada boleh menangani pendedahan seperti ini.

Tidak perlu untuk mewujudkan kesalahan baru yang menjenayahkan semua pendedahan secara total, tidak kira sama ada ia dilakukan dengan niat baik atau tidak. Apa-apa undang-undang yang digubal perlu berkadar dengan matlamat penggubalan undang-undang itu. Jangan kerana nyamuk, dibakarnya kelambu.

Sekiranya Seksyen 203A ini menjadi undang-undang, komitmen kita untuk membanteras penyelewengan, ketirisan dan salah tadbir sudah tentu boleh dipersoalkan.



No comments:

Post a Comment