Friday, February 28, 2014

Iddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami

FEB 27, 2014  JAKIM
Garis Panduan Ber`Iddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami 

Tujuan

Garis Panduan Ber`iddah Bagi Wanita Yang Bercerai atau Kematian Suami disediakan sebagai panduan dan rujukan kepada masyarakat Islam di Malaysia khususnya dalam kalangan wanita berkaitan batas hukum dan adab semasa berada dalam tempoh `iddah menurut tuntutan syarak. 

Pendahuluan
         
2.         Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap telah menyusun secara terperinci perkara-perkara yang berkaitan dengan nikah, cerai dan rujuk sebagai satu panduan hukum yang wajib dipatuhi oleh umat Islam. Bagi isu yang melibatkan perceraian, terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian seperti nafkah `iddah, mut`ah, hak penjagaan anak dan pembahagian harta sepencarian.  Selain daripada itu, satu lagi perkara penting bagi seorang isteri yang diceraikan ialah tempoh `iddah yang wajib ditempuh oleh mereka. 

3.         Dalam perkara ini, `iddah turut tidak terkecuali bagi seorang wanita yang kematian suami dan Islam menetapkan bahawa mereka wajib menempuh tempoh `iddah tertentu dan berkabung atas kematian tersebut. 

4.         Dengan berlakunya peredaran masa dan zaman, wanita Islam yang berada dalam tempoh `iddah sering berhadapan dengan pelbagai persoalan yang memerlukan penjelasan terperinci khususnya dalam hal yang melibatkan batas hukum dan adab bagi seorang wanita ber`iddah atau berkabung.  Tambahan pula, dengan tuntutan kerjaya, kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi hari ini, ia turut memberi impak dan cabaran terhadap cara dan gaya hidup masyarakat. Dibimbangi, sekiranya tidak dibimbing dan dipandu dengan sebaiknya, masyarakat Islam khususnya dalam kalangan wanita tidak dapat memahami dan menghayati konsep `iddah dan berkabung yang sebenar seperti yang dituntut oleh Islam, bahkan menganggapnya sebagai perkara remeh dan menyusahkan. 

Kandungan Garis Panduan

5.            Garis panduan ini memberi penjelasan mengenai batas hukum yang perlu dipatuhi oleh seorang wanita yang sedang berada dalam tempoh `iddah supaya kehidupan mereka sepanjang tempoh tersebut selari dengan tuntutan Islam dan mengelakkan berlakunya sebarang fitnah serta tohmahan yang tidak diingini.
Garis panduan ini mengandungi perkara-perkara seperti yang berikut: 

a.         Tafsiran.
b.         Hukum `iddah dan berkabung.
c.         Dalil-dalil pensyariatan `iddah.
d.         Dalil-dalil pensyariatan berkabung.
e.         Hikmah `iddah.
f.          Jenis dan tempoh `iddah.
g.         Batasan hukum semasa dalam tempoh `iddah talak raj`ie.
h.         Batasan hukum semasa dalam tempoh `iddah talak ba’in.
i.           Batasan hukum semasa dalam tempoh `iddah kematian suami.
j.          Kesimpulan.

Tafsiran
Tafsiran bagi beberapa istilah yang berkaitan dengan garis panduan ini ialah seperti yang berikut:

i.    Ajnabi  - Tidak mempunyai hubungan kerabat. Orang asing.
ii.   Berkabung (Ihdad)- Meninggalkan perhiasan dan seumpamanya bagi wanita yang sedang ber`iddah kerana kematian suami.
 iii. Fasakh  - Pembubaran perkahwinandengan kuasa pihak pemerintah.
 iv. Iddah -Tempoh tertentu yang ditetapkan ke atas seorang wanita selepas diceraikan atau selepas kematian suami.
 v.  Istihadhah - Darah yang mengalir daripada faraj wanita dan ia bukan darah haid atau nifas.
 vi. Mut`ah- Pemberian sagu hati oleh suami kepada isteri yang diceraikan.
 vii.Rujuk-Suami kembali semula kepada isteri yang diceraikan bukan secara talak ba’in, tanpa memerlukan kepada akad baharu.
viii. Suami Hilang (Mafqud)- Terputus hubungan dengan suami dan tidak diketahui sama ada masih hidup atau mati.
ix. Talak Raj`ie - Talak yang memberi hak kepada suami untuk kembali rujuk kepada isterinya selagi dalam tempoh `iddah.
 x. Talak Ba’in - Talak yang tidak memberi hak kepada suami untuk kembali rujuk kepada isteri yang diceraikan kecuali dengan mahar dan akad yang baharu. Talak ba’in terbahagi kepada dua iaitu ba’in baynunah sughra dan ba’in baynunah kubra.
Ba’in baynunah sughraialah perceraian yang berlaku sebelum berlaku persetubuhan sama ada secara talak satu atau dua. 
Ba’in baynunah kubraialah perceraian secara talak tiga dan suami tidak boleh kembali rujuk kepada isteri yang diceraikan kecuali selepas isteri tersebut berkahwin dengan lelaki lain.
  
Hukum `Iddah dan Berkabung

i.              Hukum `iddah menurut syarak adalah wajib ke atas wanita yang bercerai atau kematian suami.
 ii.            Hukum berkabung menurut syarak adalah wajib ke atas wanita yang kematian suami. 
Dalil-Dalil Pensyariatan `Iddah

Terdapat beberapa dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang mensyariatkan kewajipan `iddah.  Antara dalil-dalil tersebut ialah:

i.              Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 228 yang bermaksud:

Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan  menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa `iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dan suami mempunyai satu darjat kelebihan atas isterinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. 

ii.            Dalam Surah al-Talaq ayat 1, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan `iddahnya, dan hitunglah masa `iddah itu (dengan betul), serta bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai `iddahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan sesudah itu sesuatu perkara (yang lain).

iii.           Firman Allah SWT dalam Surah al-Talaq ayat 4 yang bermaksud:

Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh `iddah mereka) maka `iddahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga `iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh `iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah) sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.
iv.           Hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, daripada Aisyah r.a., katanya yang bermaksud:

Rasululah SAW telah memerintahkan Barirah untuk ber`iddah dengan tiga kali haid.  

Dalil-Dalil Pensyariatan Berkabung

Terdapat beberapa dalil daripada hadith Nabi SAW yang mensyariatkan kewajipan berkabung.  Antara dalil-dalil tersebut ialah: 

i.              Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari bermaksud:

Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat berkabung lebih daripada tiga hari, kecuali berkabung kerana kematian suaminya selama empat bulan sepuluh hari. 

ii.            Hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, daripada Ummu `Atiyyah r.a., katanya yang bermaksud:

Kami dilarang berkabung atas kematian seseorang melebihi tiga hari kecuali berkabung atas kematian suami selama empat bulan sepuluh hari.  Kami dilarang bercelak mata, dilarang memakai wangi-wangian dan memakai pakaian berwarna-warni. 

iii.           Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Nasa’ie bermaksud:

Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat berkabung kerana kematian lebih daripada tiga hari, kecuali berkabung kerana kematian suami, mereka tidak boleh bercelak mata, tidak boleh berinai dan memakai pakaian berwarna-warni. 

Hikmah `Iddah

Terdapat beberapa hikmah pensyariatan `iddah kepada wanita Islam.  Antara hikmah tersebut ialah:

i.              Untuk memastikan kekosongan rahim daripada benih suami terdahulu.  Ia bertujuan untuk mengelakkan percampuran benih antara suami dahulu dengan suami yang baharu dikahwininya. 

ii.            Bagi `iddah talak raj`ie, ia sebagai ruang kepada suami dan isteri untuk berfikir dan menilai semula segala tindakan dan kesilapan yang telah dilakukan termasuk kesan daripada perceraian yang berlaku.  Di samping itu, ia juga dapat memberi peluang kepada suami untuk kembali rujuk kepadaisterinya.

iii.           Bagi perempuan yang kematian suami, tempoh `iddah juga sebagai tempoh berkabung bagi menghormati dan mengingati nikmat perkahwinan terdahulu.  Ia juga sebagai tanda menjaga hak suami dan  tanda menzahirkan kesetiaan isteri kepada suaminya.  Selain itu, berkabung juga sebagai lambang pengabdian diri terhadap perintah Allah SWT. 

Jenis dan Tempoh `Iddah

Secara keseluruhannya, sebab wajib `iddah terbahagi kepada dua bahagian iaitu `iddah disebabkan perceraian semasa hidup dan `iddah dengan sebab kematian suami.   Setiap bahagian `iddah tersebut mempunyai pengiraan tersendiri yang akan menentukan tempoh `iddah yang perlu ditempoh sama ada panjang atau pendek. Pengiraan `iddah terbahagi kepada tiga iaitu:

i.              `Iddah dengan kiraan suci (quru’);
ii.            `Iddah dengan kiraan bulan; dan
iii.           `Iddah dengan kelahiran atau keguguran kandungan. 

Perincian berhubung jenis dan tempoh `iddah adalah seperti dalam Jadual 1.
Jadual 1: Jenis dan Tempoh `Iddah
BIL

JENIS `IDDAH
ADA HAID / TIADA HAID/
SEDANG MENGANDUNG
TEMPOH `IDDAH[1]
KETERANGAN
i.
Bercerai talak raj`ie/ba’in
Ada haid
Tiga kali suci
a.    Jika ditalaq semasa dalam keadaan suci, `iddahnya tamat apabila datang haid yang ketiga.
b.    Jika ditalaq semasa dalam keadaan haid, `iddahnya tamat apabila datang haid yang keempat.
c.    Jika ditalaq semasa dalam keadaan nifas, hendaklah menunggu sehingga tiga kali suci selepas nifas. `Iddah tamat  apabila datang haid yang keempat.
ii.
Bercerai talak raj`ie/ba’in
Tiada haid (sama ada kerana penyakit, telah dibuang rahim, telah putus haid, belum pernah haid atau lain-lain)
Tiga bulan

iii.
Bercerai talak raj`ie/ba’in
Sedang mengandung
Sehingga bersalin atau kandungan gugur
Selesai `iddah apabila melahirkan anak sama ada hidup atau mati, atau gugur kandungan yang telah membentuk janin yang sempurna atau hanya berbentuk segumpal daging yang  menurut pakar perubatan itulah kandungan yang sebenar.
iv.
Bercerai talak raj`ie/ba’in dan belum pernah disetubuhi

Ada haid atau tiada haid
Tiada `iddah





v.
Bercerai talak raj`ie/ba’in dan menghidap istihadhah
a.  Haid tidak menentu tetapi masih dapat mengetahui kebiasaan perjalanan darah haidnya.

b.  Haid tidak menentu dan tidak  mengetahui kebiasaan perjalanan haidnya atau tidak dapat membezakan antara darah haid dan istihadhah.
Tiga kali suci









Tiga bulan









vi.
Berlaku kematian suami semasa berada dalam tempoh `iddah talakraj`ie dan tidak mengandung
Ada haid atau tiada haid
Empat bulan sepuluh hari
Kiraan `iddah baru bermula pada tarikh atau hari kematian suami walaupun sebelum itu `iddah isteri sama ada dengan tiga kali suci atau tiga bulan telah hampir tamat.

vii.
Berlaku kematian suami semasa berada dalam tempoh `iddah talakba’in dan tidak mengandung
Ada haid atau tiada haid
Tiga kali suci atau tiga bulan
Kekal `iddah talakba’in sama ada dengan kiraan tiga kali suci atau tiga bulan dan `iddah tidak bertukar kepada `iddah kematian suami.
viii.
Kematian suami sama ada                                                    telah disetubuhi atau belum disetubuhi dan tidak mengandung
Ada haid atau tiada haid


Empat bulan sepuluh hari
Wanita yang kematian suami bukan sahaja wajib ber`iddah, tetapi juga wajib berkabung.



ix.
Kematian suami
Sedang mengandung
Sehingga melahirkan anak atau kandungan gugur
Selesai `iddah apabila melahirkan anak sama ada hidup atau mati, atau gugur kandungan yang telah membentuk janin yang sempurna atau hanya berbentuk segumpal daging yang  menurut pakar perubatan itulah kandungan yang sebenar.
x.
Suami hilang
Ada haid, tiada haid atau sedang mengandung
Isteri wajib menunggu selama empat tahun. Selepas tempoh tersebut, isteri  wajib pula ber`iddah dengan `iddah kematian suami selama empat bulan sepuluh hari.
Bagi kes suami hilang, isteri boleh mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Syariah bagi mendapatkan pengesahan kematian suami atau membuat tuntutan fasakh.

Batasan Hukum Semasa Dalam Tempoh `Iddah Talak Raj`ie

Wanita yang sedang menjalani `iddah talak raj`ie mempunyai batas hukum yang perlu dipatuhi sepanjang berada dalam tempoh tersebut.  Ini kerana hubungan atau pertalian perkahwinan antara suami isteri yang bercerai secara talak raj`ie masih wujud. Antara perkara-perkara yang perlu dipatuhi ialah:

i.          Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.

ii.         Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan. 

iii.       Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dengan keizinan suami.     

iv.        Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan perkahwinan. Dalam hal ini, suami dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan, bahkan mereka wajib menanggung seluruh nafkahnya termasuk nafkah tempat tinggal.  Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Talak ayat 1 yang bermaksud:

…Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai `iddahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata…

Namun, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda. 

v.            Tidak boleh berkabung.  Bahkan mereka dituntut untuk bersolek dan berhias kepada suaminya sebagai dorongan bagi membangkitkan keinginannya untuk rujuk semula.
     
Batasan Hukum Semasa Dalam Tempoh `Iddah Talak Ba’in

Bagi wanita yang sedang menjalani `iddah talak ba’in, mereka juga mempunyai batas hukum tertentu sepanjang berada dalam tempoh tersebut.  Antara perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh mereka ialah:

i.              Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.

ii.            Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.

iii.           Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja.  Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam.  Termasuk dalam larangan keluar rumah juga ialah keluar untuk bermusafir walaupun untuk menunaikan ibadat fardu haji. Justeru dalam hal ini, keluar rumah tanpa keperluan yang penting dan mendesak adalah tidak dibenarkan sama sekali. 

iv.           Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan perkahwinan.  Ini kerana, sepanjang tempoh `iddah dengan talak ba’in, bekas suami masih berkewajipan menyediakan tempat tinggalnya dandilarang daripada menghalau keluar isteri yang diceraikan.  Namun, sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.  

v.            Disunatkan berkabung dan meninggalkan amalan berhias kerana dibimbangi dengan berhias itu boleh mendorong kepada maksiatdan kerosakan serta membawa kepada fitnah. 

Batasan Hukum Semasa Dalam Tempoh `Iddah Kematian Suami

i.       Bagi wanita yang ber`iddah kerana kematian suami,Islam telah menggariskan cara-cara tertentu sepanjangmereka berada dalam tempoh tersebut.  Antara perkara-perkara yang mesti dipatuhi oleh mereka ialah:

a)            Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.

b)            Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan. 

c)            Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja.  Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam.  Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam.  Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawatdan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk  menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.

d)            Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan. Namun, sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.

e)            Wajib berkabung sepanjang tempoh `iddah.  Oleh itu, sepanjang dalam tempoh tersebut, mereka wajib meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan.  Termasuk dalam larangan berhias ini ialah:

i)         Memakai pakaian berwarna terang atau berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang yang memandang; 

ii)        Memakai barang-barang kemas walaupun sebentuk cincin, gelang, rantai dan barang-barang perhiasan lain yang diperbuat daripada emas, perak dan permata;

iii)       Memakai wangi-wangian pada anggota badan, rambut dan pakaian; dan

iv)       Bersolek, memakai celak, berinai dan memakai minyak rambut serta perbuatan-perbuatan lain yang dianggap sebagai berhias pada pandangan masyarakat setempat.

ii.            Perintah berkabung ini hanya dikhususkan kepada suruhan meninggalkan hiasan tubuh badan dan pakaian sahaja, tidak termasuk hiasan tempat tinggal, bilik tidur dan sebagainya.
iii.           Justeru, walaupun wanita berkabung dilarang daripada berhias, ini tidak bermakna mereka perlu mengabaikan aspek kebersihan dan kesihatan diri serta ahli keluarga. Malah, mereka wajib menjaga kebersihandan kekemasan diri, pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh `iddah dan berkabung itu.

Kesimpulan

Islam bukan hanya menjaga dan memelihara kebajikan dan hak-hak wanita semasa mereka masih berada dalam tempoh perkahwinan, malah berterusan sehingga terbubarnya perkahwinan tersebut sama ada kerana perceraian hidup mahupun perceraian mati. Sudah pasti terdapat hikmah yang besar disebaliksetiap perkara yang disyariatkan oleh Islam yang mungkin tidak mampu dijangkau oleh akal manusia.  Begitu juga dengan pensyariatan `iddah dan berkabung oleh Allah SWT ke atas kaum wanita.  Justeru, sebagai hamba-Nya yang beriman, kita wajib patuh dan taat serta mengambil berat terhadap tuntutan tersebut tanpa sebarang persoalan atau menghadapinya dengan perasaan dan jiwa yang berkeluh-kesah.  Bahkan kepatuhan kepada perintah Allah SWT itu merupakan satu tanda pengabdian diri dan kepatuhan hamba-Nya terhadap Pencipta Yang Maha Agung. 

Dalam era wanita Malaysia yang berkerjaya, peranan ahli keluarga dan anggota masyarakat juga tidak kurang pentingnya.  Mereka perlu sentiasa dididik dan diberi kesedaran supaya  dapat menghayati dan menghormati situasi wanita yang sedang ber`iddah dan berkabung serta membantu mereka agar dapat menjalani tempoh tersebut mengikut landasan syarak. Ini penting kerana dengan pemahaman yang jelas berhubung hal ini, perkara-perkara yang ditegah oleh Islam dapat dihindari seterusnya mengelakkan berlakunya fitnah, tohmahan dan unsur-unsur yang kurang menyenangkan terhadap wanita yang sedang ber`iddah dan berkabung.

Penutup

Garis panduan ini diharap dapat memberikan panduan kepada masyarakat Islam khususnya dalam kalangan wanita Islam yang sedang menjalani tempoh `iddah dan berkabung supaya dapat melalui detik-detik tersebut dengan lebih mudah dan tenang. Ia juga diharap dapat membantu masyarakat untuk lebih memahami dan menghayati konsep `iddah dan berkabung menurut tuntutan Islam  yang sebenar.

RUJUKAN
TERJEMAHAN AL-QURAN

Abdullah Basmeih. 2001. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an. Cet. 12. Kuala Lumpur: Darul Fikir. 
 
KAMUS
Muhammad  Rawas QalƑah Ji.2006. MuƑjam Lughah al-Fuqaha’.Cet. 1. Beirut: Dar al-Nafa’is.   
 
BAHASA ARAB
`Abd al-Karim Zaidan. 2000.  Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim fi al-Shari`ah al-Islamiyyah. Juz. 9. Beirut: Mu’assasah al-Risalah.
Ibn al-Jauzi, Imam Jalal al-Din Abi al-Farj. 1998. Ahkam al-Nisa’. Beirut: Dar al-Ma‘rifah.
Saleh bin ƑAbd al-ƑAziz bin Muhammad bin Ibrahim.
2000.MawsuƑah al-Hadith al-Sharif al-Kutub al-Sittah. Cet. 3.  Arab Saudi: Dar al-Salam. 
Wahbah al-Zuhaily. 1997.Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh.  Juz. 9. Beirut: Dar al-Fikr.
Wazarah al-Awqaf  wa al-Syu’un al-Islamiyyah.1993.  Al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah.Juz. 2. Kuwait: Wazarah al-Awqaf  wa al-Syu`un al-Islamiyyah. 
 Al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah.Juz. 29. Kuwait: Wazarah al-Awqaf  wa al-Syu`un al-Islamiyyah. 
 
AKTA
Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).
2005. Petaling Jaya: International Book Services. 

[1]Bagi `iddah dengan kiraan bulan, pengiraannya adalah berdasarkan kalendar hijrah dan bukannya mengikut kalendar masihi

Wednesday, February 26, 2014

Doa Pelembut Hati Menggunakan Cara Zikir dan Ayat-ayat al Quran

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada manusia adalah sebagai petunjuk dan hidayah untuk dibaca, diyakini dan diamalkan dalam kehidupan kita. Al-Quran merupakan kalamuallh, yang mengandungi mukjizat akan digunakan oleh orang mukmin untuk menyelesaikan semua permasaalahan hidup di dunia ini.

Salah satu masaalah yang dihadapi adalah kita terpaksa berhadapan dengan sikap manusia yang mempunyai  keras hati, cepat marah dan sukar untuk menerima nasihat. Oleh itu cara terbaik adalah melembutkan hati-hati mereka adalah dengan zikir dan ayat-ayat Allah S.W.T. dan berdoa semuga Dia melembutkan hati-hati mereka yang keras itu.
Doa asas yang digunakan untuk melembutkan hati seseorang ada kaitannya dengan peristiwa sejarah Sayyidina Umar al-Khattab r.a, iaitu ayat yang dirampas oleh Sayyidina Umar daripada adiknya. Bila ayat ini dibaca, hatinya terus menjadi lembut lalu memeluk Islam (ayat tersebut adalah ayat 1-5 surah Taha)
Di antara bahan-bahan ciptaan Allah yang paling keras di dunia ini ialah besi tetapi dapat dilembutkan oleh Nabi Daud a.s. Doa yang ada kaitannya dengan Nabi Allah Daud inilah yang digunakan sebagai kombinasi dengan doa pelembut hati.

KAEDAH PERTAMA.
Mengikut aturannya, bacalah:

Pertama : Baca surah Al-Fatihah ayat 1-7.
Maksudnya :
[1] Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[2] Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
[3] Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[4] Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat).
[5] Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
[6] Tunjukilah kami jalan yang lurus.
[7] Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
  
Kedua : Baca Surah al-Hasyr ayat 21
Maksudnya : "Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya."

Ketiga : Baca Surah Taha ayat 1-5.
Maksudnya :
"Dengan nama Allah. Yang Maha Pemurah , lagi Maha Mengasihani
1.  Thaahaa.
2.  Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah;
3.  Tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah),
4.  Iaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
5.  (Iaitu) Tuhan yang Maha Pemurah. yang bersemayam di atas ‘Arsy."

Kemudian baca doa pelembut hati di bawah
“Allahumma laiyinli qalbahu, laiyinta li Daudal hadid”
“Ya Allah, lembutkanlah hatinya sebagaimana Kamu melembutkan Daud (akan) besi”

Kemudian tiupkan ke air
Doa di atas boleh digunakan untuk semua orang yang keras hati, sentiasa melawan dan tidak menurut kata. Ini termasuklah untuk melembutkan hati untuk diri sendiri. Untuk kegunaan diri sendiri, letakkan tangan kanan di dada iaitu di bahagian hati dan baca doa di atas. Kemudian tarik nafas perlahan-lahan hingga habis dan lepaskan. Untuk kegunaan orang lain, ketika membaca doa, letakkan tangan kanan di dada iaitu di bahagian hati orang yang meminta pertolongan tadi. Bagi orang yang meminta doa pelembut hati melalui wakil, air diberikan untuk diminum. 

KAEDAH KEDUA
Kaedah dengan cara  zikir dan doa pelembut hati .
Zikir dan Doa Pelembut Hati
Zikir ini elok dia amalkan oleh isteri yang mahu hati suaminya menjadi lembut atau suami yang mahu hati  isterinya menjadi lembut.
Beristighfar sebanyak 3 kali, dan niatkan untuk melembutkan hati suami
Kemudian baca : "Ya Aziz Ya Jabbar Ya Mutakabbir "

Selepas membacanya beberapa kali, hembuskan ke atas suami sekira-kira suami tidak perasan. Atau isteri membacanya waktu suami tidur nyenyak. Hembuskanlah di tapak tangan dan letakkan di hati (dada) suami. Mudah-mudahan Allah lembutkan hatinya. Bila hati sudah lembut, mudahlah dibuka kunci perhubungan atau pintu perbincangan. (Zikir ini juga boleh diamalkan untuk melembutkan hati anak) .
Selain daripada itu amalkan doa ini:
"Ya Allah, lembutkanlah hatinya (suami) sepertimana Engkau lembutkan besi"

KAEDAH KETIGA 
Zikir dan Doa Pelembut Hati.
Baca Ya Latif, ya Latif sebanyak  7 kali kemudian diikuti dengan membaca Surah Asy-Syura ayat 19. ( baca ayat al-Quran dalam bahasa Arab)
Maksudnya : "Wahai Tuhan yang Maha Pelembut. Allah Maha Lembut terhadap hamba-hambanya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dikehendakinya dan Dialah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa" (Surah Asy-Syuura ayat 19)
Hembus dimuka suami  dan hembusan itu dibawa turun ke hati suami.
Ulangkan sebanyak 3 kali.atau 7 kali. Insya Allah hati suami akan menjadi lembut.Selain daripada itu amalkan doa ini:
"Ya Allah, lembutkanlah hatinya (suami) sepertimana Engkau lembutkan besi"
(Cara-cara ini boleh digunakan oleh suami kepada isteri dan ibu bapa kepada anak-anaknya)
{Amalkanlah cara-cara ini setiap hari insya Allah akan ada  perubahan dan kesannya.}

 KAEDAH KEEMPAT
Doa Untuk Melembutkan Hati yang Marah
Pada orang yang marah kepada kita, contohnya suami atau rakan, agar lembut hatinya, bacalah dihadapannya Surah an-Nisaa Ayat 84. berulang-ulang (Sila rujuk Al-Quran)
Maksudnya: "Semoga Allah menahan kekuatan orang-orang kafir dan Allah yang lebih kuat dan lebih sangat siksaNya. Ya Tuhan yang Maha Pemelihara dan Maha Pemberi Keselamatan."

KAEDAH KELIMA
Apabila kita marah maka doa untuk mengawal diri daripada sifat marah bacakan doa ini :

"Ya Allah, sejukkanlah hatiku dengan salji dan kesejukan dan air yang sejuk. Ya Allah bersihkanlah hatiku daripada dosa-dosa sebagaimana Engkau membersihkan baju yang putih daripada kekotoran." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Sekiranya isteri ingin menyejukkan hati suami yang marah boleh baca doa diatas dan ubah sedikit :

"Ya Allah, sejukkanlah hati suamiku (fulan bin fulan) dengan salji dan kesejukan dan air yang sejuk. Ya Allah bersihkan hati suamiku (fulan bin fulan) daripada dosa-dosa sebagimana Engkau membersihkan baju yang putih daripada kotoran."

KAEDAH KEENAM
Doa untuk melembutkan hati anak 
Doa pelembut hati Surah Asy-Syuura ayat 19'
Maksudnya : "Wahai Tuhan yang Maha Pelembut. Allah Maha Lembut terhadap hamba-hambanya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dikehendakinya dan Dialah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa" (Surah Asy-Syuura ayat 19)
Baca di waktu malam semasa anak sedang tidur.

i. Letakkan tapak tangan kanan di dada sebelah kiri
ii. Istighfar 3 x kemudian niatkan dalam hati 
Ya Allah lembutkanlah hati anakku
Ya Allah jadikanlah anakku ini anak yang soleh/solehah 
iii. Kemudian baca doa di atas (Surah Asy-Syuura ayat 19)
iv. Dah habis baca doa tadi tiup umbun-umbun kepala , muka dan dada anak 3 X
Amalkan doa ini secara istiqamah, insya Allah akan dapat keberkatan dan pertolongan dari Allah . Doa ini juga boleh di amalkan untuk diri sendiri dengan meletakkan tangan kanan di dada kiri dan baca doa di atas.Boleh juga di amalkan oleh isteri atau suami. 
KAEDAH KETUJUH DOA PENGASIH
Kita berdoa semoga kita dikasihi oleh orang-orang yang beriman dan kita mengasihi orang yang beriman,  sebagaimana doa yang diajarkan Nabi S.A.W. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

"Ya Allah! Limpahkanlah perasaan cinta hamba-Mu ini terhadap diri hamba-Mu yang beriman, limpahkanlah juga perasaan cinta mereka terhadapku."

Suami boleh juga berdoa dengan doa pengasih ini  supaya dia mengasihi dan dikasihi oleh isterinya :
"Ya Allah! Limpahkanlah perasaan cinta hamba-Mu ini terhadap isteriku (Pulan bte Pulan) dan limpahkanlah juga perasaan cinta isteriku (Pulan bte Pulan) terhadap diriku"
(Jika berpoligami sebut isteri-isteriku tak payah sebut nama)

Sahabat yang dimuliakan,
Doa-doa di atas adalah cara dan ikhtiar kita untuk melembutkan hati insan yang dikasihi samaada isteri, suami, anak-anak, ibu bapa, adik beradik, sahabat-sahabat dan sesiapa sahaja dengan niat dan hasrat untuk kebaikan. Semoga hati yang keras dapat dilembutkan dengan izin Allah. Jika sekiranya usaha dan doa telah dilaksanakan hati seseorang itu masih tidak mahu lembut dan tetap keras macam batu maka serahkanlah kepada Allah S.W.T. kerana sesungguhnya hidayah itu adalah hak mutlak Allah S.W.T.

Nabi S.A.W. berdoa supaya Allah S.W.T. memberi hidayah dan melembutkan hati salah satu daripada dua Umar (iaitu Umar al-Khattab dan Umar bin Hisham (Abu Jahal) maka Allah S.W.T. makbulkan doa Nabi S.A.W. dengan diberinya taufik dan hidayah-Nya kepada Umar al-Kahattab.

Oleh itu kita jangan berputus asa jika insan yang dikasihi masih tidak mahu berubah, yang penting kita teruskan berdoa selepas lepas solat, dimalam hari selepas solat tahajjud dan di waktu-waktu mustajab doa semoga dimakbulkan doa dan hajat kita


AlKisah seorang budak nakal ........

DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN
21 Februari 2014



SEORANG pelajar bernama Amin terkenal dengan kenakalannya di sekolah.

Amin suka memberontak, tidak memberikan penumpuan dalam kelas, keputusannya tidak cemerlang, suka mengacau rakan lain, mempersendakan dan melawan kata-kata cikgunya.

Selepas tamat sesi persekolahan tahun lepas, dan tiba masa untuk mengagihkan pelajar, tiada guru di sekolah yang sudi menerima Amin di dalam kelas mereka.

“Saya tak mahu. Nanti sakit jantung,” kata Puan Halimah.

“Saya tak mahu. Dah serik setahun dengannya,” kata Cikgu Kamala.

“Jangan pandang saya. Kalau saya, saya dah tendang dia keluar,” kata Tuan Kassim.

“Tak apa saya ambil,” jawab Ustaz Ismail Nihat.

Semua menarik nafas lega, tapi sahabat baik Ustaz Ismail, Cikgu Koh berkata, “Ustaz fikir baik-baik. Kena ada kesabaran tinggi untuk mengajar budak itu. Kalau tak tahan, ustaz tukar dengan saya.”

“Takkan budak ini saya tak dapat kawal hehehhe,” jawab Ustaz Ismail dengan berseloroh.

Malangnya, perbualan guru-guru itu telah didengari Amin.

Amin berbisik di hatinya, “Ustaz Ismail nak kawal saya ya? Kita tengok siapa lebih hebat!”

Sesi persekolahan baru pun bermula, Amin memasuki kelas Ustaz Ismail.

Ustaz Ismail mengaturkan Amin duduk di barisan depan kelas.

Amin cuba buat perangai, tapi Ustaz Ismail tetiba bersuara…

“Saya nak cadangkan seorang pelajar untuk jadi ketua kelas. Dia ini keputusan tak berapa baik. Akan tetapi, dia pandai bergurau. Jika dia jadi ketua kelas, sudah tentu kita dapat senyum tiap-tiap hari,” kata Ustaz Ismail sambil menunjuk kepada Amin.

Para pelajar kelas Ustaz Ismail terus terdiam dan berbisik sesama sendiri.

“Orang macam dia pun, Ustaz pilih jadi Ketua Kelas? Ustaz tahu ke dia terkenal sebagai pelajar ternakal di sekolah.”

Amin yang muka kemerahan kerana segan hendak menolak tawaran, tapi Ustaz Ismail tidak memberi peluang…

“Jadi ketua kelas bukan lihat pada keputusan sahaja. Yang paling penting dia boleh jadi contoh kepada pelajar lain. Saya percaya Amin boleh melakukannya dan dia amat berpotensi. Apa kata kita beri dia satu peluang?”

“Baik ustaz,” jawab para pelajar.

Kata-kata ini menyebabkan Amin terasa malu dan segan sehingga muka bertambah merah.

Akhirnya, Amin menjadi ketua kelas.

Besok harinya, apabila masuk ke kelas, pelajar mendapati Amin sudah berada di tempat duduknya dan tidak mengacau pelajar lain ketika Ustaz Ismail mengajar.

“Amin sudah tak buat perangai dan kacau orang?” tanya seorang pelajar bernama Zul yang selalu dibuli Amin.

“Saya ketua kelas. Saya perlu jadi contoh pada orang lain,” jawab Amin.

Apabila melihat Amin menumpukan perhatian di dalam kelas, seorang pelajar lain Jannah bertanya pada Amin, “Mengapa Amin tak perlekehkan ustaz seperti biasa sehingga cikgu menghalau Amin keluar?”

“Saya ketua kelas. Saya perlu jadi rajin dan bagus keputusan barulah orang lain boleh terima saya sebagai Ketua Kelas dengan hati terbuka ,” jawab Amin.

Peperiksaan menjelang dan keputusannya, Amin melonjak dari tangga terakhir di sekolah ke tangga ke 15.

“Dia meniru ke ustaz?” tanya Tuan Kassim pada Ustaz Ismail.

“Berdasarkan ketekunan dia, saya rasa keputusan ini benar. Ini memang hasil dia,” jawab Ustaz Ismail.

“Ustaz Ismail memang hebat,” kata Cikgu Koh.

“Apa yang Ustaz buat kat dia?” tanya Puan Halimah.

“Dia nakal sebab ego nak perhatian. Saya bagilah dia dapat perhatian secukupnya sebagai ketua kelas. Kerana egonya, maka dia memaksa dia menjadi baik supaya orang tak kata dia tak layak jadi ketua kelas,” jawab Ustaz Ismail sambil tersenyum.

Wahai anakku,
Semua yang dicipta ALLAH ada hikmahnya jika digunakan dengan betul.

Najis binatang, jika diletakkan pada tempat yang tidak betul, ia busuk dan tidak menyenangkan pandangan.

Jika ia terkena tanah dan ditanam, ia bertukar menjadi baja yang menghasilkan banyak pokok yang berbuah.

Begitu juga dengan kamu wahai anak kesayanganku, apakah kamu sedang menggunaan segala pemberian ALLAH (badan, minda dan jiwa kamu) dengan betul dan selayaknya? Atau kamu sedang membusukkannya.

Senyum Jumaat

Tuesday, February 25, 2014

Penat Menanti Detik Kemustajaban Doa

Disiarkan pada Apr 24, 2010 dalam kategori Akidah |

Soalan: Saya mudah kecewa. Apabila saya doa, saya rasa doa saya Allah tidak akan terima. Saya dah minta doa macam-macam, tapi banyak benda yang minta itu tak berlaku seperti yang diminta. Kadang-kadang sehingga saya rasa macam tidak larat hendak berdoa. Tolonglah saya Dr!
 Wardini, Kuala Kangsar.

 Jawapan Dr MAZA:

 Saudari, semoga Allah merahmati kita semua. Untuk menjawab kemusykilan saudari itu, saya nyatakan seperti berikut:

1. Doa adalah permohonan kepada Allah. Allah ialah Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mencipta. Apabila seseorang berdoa kepadaNya, hendaklah ia dilakukan dengan penuh perasaan merendah diri, kekusyukan jiwa, harapan dan pergantungan yang mutlak diserahkan kepadaNya.

Ramai orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu jiwa merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah. Kebanyakan doa diungkapkan dengan jiwa yang hambar sedangkan Allah memerintahkan: (maksudnya)
“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. (Surah al-‘Araf, 55).

Jika kita dapat menjadikan jiwa kita ini begitu beradab, merendah, khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah, kita menghampiri pintu kemakbulan.

2. Bersangka buruk kepada Allah seperti menganggap Allah tidak akan terima doa adalah perasaan yang salah dan perlu dibaiki. Bagaimana mungkin Allah menolak doa, sedangkan Dia yang memerintahkan kita berdoa kepadaNya. Firman Allah:
(maksudnya): “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah, 186).

FirmanNya juga: (maksudnya)
“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”. (Surah Ghafir, 60).
Doa yang dilakukan dengan penuh penghayatan pasti diterima Allah. Itulah jaminan Allah sendiri.

3. Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doanya. Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa sahaja yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah. Sabda Nabi s.a.w:
“Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

4. Namun, waktu dan ketika yang dipilih oleh Allah untuk sesuatu doa itu diperkenankan, hanya dalam ilmu Allah. Kadang-kala dilewatkan atas hikmah yang Dia Maha Mengetahui, dan insan yang berdoa juga biasanya akan tersingkap hikmah tersebut apabila tiba masanya. Sehingga apabila tiba waktu doa itu ditunaikan Allah, baru kita akan merasa betapa beruntungnya kemustajaban itu hadir pada waktu tersebut. Maka jangan putus asa dalam berdoa. Sabda Nabi s.a.w :
« Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah ». Ditanya baginda : « Apa itu tergopoh-gapah ? ». Sabda baginda : «Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa » (Riwayat Muslim).

5. Cara bagaimana Allah memustajabkan sesuatu pengharapan atau doa hamba itu juga berbeza-beza. Mungkin tidak seperti jalan yang disangka hamba yang berdoa itu, tetapi Allah sesuatu yang lain yang lebih baik untuknya. Umpamanya, mungkin seorang hamba meminta kekayaan yang besar atas andaian dengan kekayaan itu maka dia akan bahagia.
Namun Allah mengetahui tentang hal hamba tersebut yang mana kekayaan besar boleh memudaratkan iman atau persekitarannya yang lain. Allah mungkin menggantikan kekayaan yang besar itu dengan rezeki yang mencukupi, kesihatan yang baik, anak-anak yang soleh dan keluarga yang bahagia. Kesemua itu membawanya mencapai ketenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Maka insan hendaklah jangan cepat menyatakan doanya tidak diterima, sebaliknya hendaklah dia sentiasa menyemak dan menilai segala kurnia Allah yang ada di sekelilingnya. Kemustajaban doa itu berlaku dalam berbagai bentuk. Sehingga ada yang Allah tangguhkan apa yang diminta itu ke hari akhirat, kerana Allah mengetahui bahawa di saat itu insan tersebut lebih memerlukan apa yang diminta tersebut. Sabda Nabi s.a.w :
« “Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulan, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya”. (Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya’la dengan sanad yang sahih).

6. Doa tidak sia-sia. Doa adalah lambang pengabdian diri seorang hamba Allah kepada Allah Yang Maha Agung. Sebab itulah berdoa kepada selain Allah, sekalipun memohon kemustajaban dari nabi atau wali adalah dianggap sebagai syrik. Sementara berdoa kepada Allah adalah ibadah. Ertinya, jika seorang hamba itu berdoa selama sejam, dia sebenarnya sedang beribadah selama sejam. Jika dia berdoa sepanjang malam, bererti dia beribadah sepanjang malam. Sabda Nabi s.a.w :

“Doa itu adalah ibadah” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Adapun berdoa selain Allah pula adalah syirik dan memusuhi penyerunya pada hari Kiamat kelak. Firman Allah: (maksudnya):
“Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka” (Surah al-Ahqaf, 5-6).

7. Kehidupan ini mempunyai rahsianya yang tersendiri. Banyak perkara yang kita rasa pahit dan membencinya pada masa tertentu padahal ia manis pada masa yang lain. Banyak perkara yang kita rasa baik, ia buruk apabila berubah masa dan keadaan. Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan telah terjadi. Kita selalu tergopah-gapah menilai sesuatu keadaan. Sehingga kadang-kala kita berdoa hendak sesuatu, sedang Allah mengetahui ia tidak baik untuk kita. Allah menggantikan dengan perkara lain, kita mungkin tidak perasan atau sedar.

Seseorang mungkin merasakan doa yang dikehendaki belum Allah mustajabkan, tetapi dia terlupa apa yang sedang dinikmatinya itu sudah mencapai harapannya. Maka, janganlah cepat kita berputus asa dengan rahmat Allah dan terus menghukum bahawa doa kita belum dimustajabkan.

8. Dukacita dan keperitan hidup menghapuskan dosa dan menaikkan darjat seseorang di sisi Allah. Ia juga membawa insan membanyakkan doa. Dalam detik menunggu kemustajaban doa, ramai yang kembali menjadi soleh, tunduk, tawaduk dan membanyakkan ibadah. Penangguhan doa mempunyai berbagai hikmah dalam kehidupan muslim. Dunia ini amat kerdil dan tidak dibandingkan dengan akhirat. Doa merupakan amalan yang membawa kebahagian insan di akhirat. Menanti kemustajaban doa dengan iman dan penuh tawakal merupakan tempoh yang menyebabkan banyak insan kembali menemui jalan Allah yang hakiki.

9. Marilah kita teruskan doa, baiki diri dan nilailah apa yang telah berikan kepada kita dalam kehidupan hari ini. Keperitan hari ini, mungkin kemanisan hari esok. Kemanisan hari ini, belum tentu kenikmatan hari esok. Maka, sentiasa bertawakal kepada Allah dan jangan putus asa berdoa kepadaNya

sumber : http://drmaza.com/home/?p=1109